Tuesday, April 17, 2018

MENYEBERANGI LAUT UNTUK MENATAP KEINDAHAN NUSA PENIDA

MENYEBERANGI LAUT UNTUK MENATAP KEINDAHAN NUSA PENIDA

Selepas pengalaman hari pertama yang menakjubkan di Uluwatu, hari kedua di pulau Bali, kami dibawa menyeberang ke Nusa Penida. Dari Pantai Sanur, kami menaiki bot dan kira-kira satu jam kemudian, tiba di Nusa Penida.
Saya sempat melihat Gunung Agung, nampak cantik dari kejauhan. Pulau ini pernah memuntahkan laharnya hanya beberapa sebelumnya, paling akhir meletus pada November 2017 dan sempat menjejaskan kedatangan pelancong ke Pulau Bali.
Tapi sekarang, situasi kembali seperti sediakala di Bali. Semakin ramai pelancong dari Australia, Eropah, India,  Cina, Timur Tengah  dan negara-negara Asia Tenggara berkunjung ke Pulau Bali, kata Pak Bagas, pemandu pelancong kami yang berpengalaman itu.






Sebaik mendarat,rombongan media dan agen/operator pelancongan dari Sabah dan Sarawak yang mengikuti Program Fam Trip itu dibahagikan kepada beberapa kenderaan pacuan 4 roda dan kemudian merentasi desa perbukitan menuju Pantai Klingking. Ketika musim kemarau, daun-daun kering yang diterbangkan angin menjadi keindahan tersendiri di Nusa Penida. Penduduknya hanya bergantung kepada sumber laut untuk menghidupi keluarga mereka.
“Musim ada ikan, kita melaut pakai jaring,” kata Made Sane,, 46, penduduk asli Nusa Penida.
Setiap kali turun ke laut, beliau membawa beberapa set pukat jaring yang diisi dalam beberapa karung guni. Satu karung mengandungi dua set pukat. Satu set pukat sepanjang kira-kira 100 meter. Biasanya banyak ikan yang diperolehi. Seekor ikan tongkol berharga antara Rp4000 hingga Rp5000 seekor.
Selain menjadi nelayan, beliau juga menyewakan kenderaan untuk pelancong yang berkunjung ke tempat-tempat wisata menarik di Nusa Penida seperti Pantai Klingking, Pasih uug (Broken Beach) dan Angel Billabong. 




Masyarakat banyak mendapat manfaat dari industri pelancongan itu. Selain hasil dari pelancongan, masyarakat di kampung itu mengusahakan tanaman pertanian untuk sumber kehidupan mereka. Tanaman yang hidup kebanyakkannya yang mampu bertahan di panah terik matahari seperti jagung,mangga,limau, kelapa ubi kayu, dan sebagainya.
“Ada juga yang cuba menanam durian, tetapi tak tumbuh,” katanya sambil memandu dengan cekap kerana sudah mengetahui mengenai laluan di pulau itu. Tidak lama kemudian, tibalah kami ke Pantai Kelingking yang terletak di Dusun Karang Dawa, Desa Bunga Mekar, Nusa Penida. Keindahan Pantai Klingking dapat dinikmati dari atas bukit yang tinggi.  Tiada laluan jalan raya untuk sampai ke pantainya.Kami hanya melihatnya dengan rasa takjub dari bukit tinggi. Ramai pelancong atau pengunjung ke Pantai itu merakamkan gambar masing-masing dengan pelbagai aksi menarik. Cuaca agak panas.Selepas mengambil gambar itu, saya berehat di sebuah warung sambil menikmati kelapa muda.
Kami makan tengahari di sebuah restoran yang terletak di pertengahan jalan ke destinasi selanjutnya iaitu Angel Billabong. Perkataan Billabong itu diambil dari kata bahasa Inggeris yang bermakna penghujung sungai mati . Tempatnya sangat cantik. Ada diantara pelancong yang sempat turun ke bawah untuk mandi manda. Berenang atau menyelam di air yang jernih itu menyerlahkan pengalaman luar biasa.. Tempat ini adalah antara destinasi pelancongan yang baru diperkenalkan hanya beberapa tahun lepas.
Dari Angel Billabong, kami berjalan lagi ke Pasih Uug atau Broken Beach. Dalam bahasa Bali,Pasih Uug bererti pantai yang patah. Pantai yang agak cantik ini terletak di Banjar Sumpang, Desa Bunga Mekar, Kecamatan Nusa Penida, kabupaten Klungkung Bali. Pantainya seperti Uluwatu tetapi di sini tidak ada monyet liar atau pura. Namun kecantikan Pasih Uug itu memang luar biasa. Ia juga menjadi lokasi istimewa untuk pelancong luar negara.Malah ada sepasang bakal pengantin dari China sanggup datang semata-mata untuk mengambil gambar di Broken Beach.
Selain pelancong tempatan, pengunjung ke tempat tempat menarik itu kebanyakannya pelancong berkulit putih. Ramai di antara mereka lebih suka menunggang motosikal di tengah panas terik itu.
Namun entah kenapa sepanjang perjalanan itu,saya teringat deburan ombak yang menghempas ke tebingan.Saya sempat menulis puisi walaupun tidak sepenuhnya siap. “Yang terhempas ke tebingan itu cuma rindu yang tak dapat kubayangkan betapa sakit dan deritanya.Pertemuan itu, biarpun luka, mengheretmu di kedalaman laut yang membiru dalam misteri yang tak dapat diungkapkan.” Tempat itu sungguh mengilhamkan dan banyak kata-kata yang berlegar dalam fikiran sehinggalah saya bersalaman dengan Made Sane untuk pamit pulang. 

No comments: