Selasa, 8 Mei 2018

BERKUNJUNG KE PURA TIRTA EMPUL DI TAMPAKSIRING

Tags

TIRTA EMPUL DI TAMPAKSIRING


Syarat pertama yang harus dipenuhi jika ingin memasuki kawasan pura Tirta Empul adalah mengenakan kain atau sarung dan diikat dengan selendang kuning. Tetapi kalau  tidak membawa kain sendiri, anda tidak perlu risau kerana kain  atau sarung yang disebut kamen itu  ada disediakan untuk pengunjung di pintu masuk.



Itulah pengalaman saya ketika berkunjung ke Pura Tirta Empul, yang terletak di Tampaksiring, Kabupaten Gianyar, iaitu hari ketiga kami berada di Bali. Di pura yang dianggap suci oleh masyarakat Bali yang beragama Hindu itu, beberapa peraturan harus dipatuhi. Antaranya, wanita yang datang bulan tidak boleh memasuki kawasan pura, tidak boleh bercakap kotor atau lucah, tidak boleh memanjat pagar dan sebagainya.


Di Tirta  Empul terdapat mata air yang masih mengalir air tanpa henti  sejak abad ke-10 lagi.Menurut cerita mitos masyarakat Bali, Raja Mayadenawa yang bersikap sewenang-wenang dan melarang rakyat melaksanakan upacara keagamaan mereka  diserang oleh dewa dewa yang marah atas perbuatannya. Mayadenawa kalah lalu melarikan diri ke hutan di  utara Desa Tampaksiring sambil menciptakan mata air beracun menyebabkan askar Betara Indra yang mengejarnya mati terminum racun. Kerana itu, Betara Indra menancapkan tombaknya lalu keluar mata air dari tanah. Mata air ini  yang dinamakan Tirta Empul atau air suci yang menyembur dari tanah  ini digunakan oleh masyarakat Bali sebagai tempat pemandian untuk menyucikan diri. Ketika berlari itu ia berjalan dengan memiringkan kakinya supaya tidak boleh dijejaki. Itu sebabnya tempat itu dinamakan Tampaksiring.. Tampak ertinya telapak manakala Siring bererti miring. Telapak miring atau tampak siring yang diceritakan dalam mitos itu adalah milik Raja Mayadenawa yang sakti tetapi mempunyai perangai yang jahat.
Kini Tirta Empul adalah satu destinasi yang perlu dikunjungi, bukan saja kerana ia tempat yang menarik tetapi kerana  nilai sejarahnya. Pura Tirta Empul dibina pada abad ke 10 bermula tahun 962M.

Selepas memasuki kawasan pura yang luas  itu,saya melangkah memasuki bangunan yang didalamnya terdapat kolam pemandian. Saya melihat ramai  pelancong dari dalam dan luar negara yang mengambil peluang untuk mandi di tempat pemandian itu.


Saya mengambil peluang untuk berjalan mengelilingi pura itu. Selain mata air yang terus menyemburkan air dari tanah sejak ribuan tahun yang lalu itu, terdapat juga sebuah kolam besar. Penuh ikan. Ikan-ikan yang terdapat di dalamnya sebesar paha orang dewasa. Jika kita taburkan makanan, ikan-ikan itu  ke tepi kolam dan kita dapat melihatnya dengan lebih jelas lagi.

Nama Tampaksiring itu sering terngiang di telinga saya. Saya lupa dimana saya pernah baca nama itu. Rupanya pertanyaan itu segera terjawab apabila apabila Pak Bagas menunjuk arah sisi kira pura itu, nun terletak di atas bukit. Terdapat sebuah vila yang jadi tempat peristirahatan presiden dan tamu-tamunya. Vila Tampaksiring, yang dibina Presiden Sukarno pada 1957 hingga 1960 dan kini sering didiami Presiden Jokowi jika bekunjung ke Bali. Jika berkunjung ke sini, pastilah mereka singgah ke Tirta Empul. Malah ketika berkunjung ke Bali pada Jun 2017, Mantan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, Michelle Obama dan anak mereka, Malia dan Natasha sempat berkunjung ke tempat yang unik dan menarik itu.
Tirta Empul terletak kira-kira satu setengah jam menggunakan kenderaan dari Lapangan Terbang I Gusti Ngurah Rai.
Selepas itu, kami terpaksa berangkat menuju destinasi lain. Namun untuk menuju pintu keluar, kami harus melalui jalan yang dipenuhi dengan kedai-kedau barangan cenderamata. Terdapat ratusan kedai di sana, dan penjualnya tak jemu-jemu menawarkan pelbagai jenis barangan sebagai ole ole untuk di bawa pulang. Jika misalnya kita tidak berminat, mereka akan mempelawa kita untuk masuk dulu ke dalam kedai, dan biasanya strateginya mereka berjaya kerana setiap kali masuk kedai, kita akan segera tergoda dengan pelbagai barangan yang harganya murah.



Pak Bagas yang menjadi pemandu pelancong untuk rombongan pengusaha dan operator pelancongan dan Media  dari Sabah dan Sarawak memperingatkan kami bahawa masanya sudah sampai untuk kami berangkat meninggalkan Tampaksiring.