Saturday, May 19, 2018

DIALOG KANDALAYANG DAN IKAN TENGGIRI MENGENAI PEMIMPIN

DIALOG KANDALAYANG DAN IKAN TENGGIRI MENGENAI PEMIMPIN
Ada dialog menarik antara kandalayang ( ikan layar) dengan ikan tenggiri, dalam satu kisah darangen atau epik masyarakat Iranun di Kota Belud. Dialog ini terkandung dalam “Darangen a Seda” yang juga dikenal sebagai “Darangen a Kandalayang”, sejenis sastera lisan Iranun yang mengisahkan  seekor  ikan layaran atau kandalayang yang memerintah sebuah kerajaan laut bernama Bembaran. Kandalayang dikisahkan sebagai seorang pemerintah yang sangat sombong serta zalim kepada rakyatnya yang terdiri daripada ikan-ikan kecil. Pelbagai nasihat yang diberikan oleh jemaah menterinya yang terdiri daripada Tanggiri’ (ikan tenggiri) dan mamesa (Ikan putih) tidak dihiraukan oleh Kandalayang. Sikap angkuh dan tidak mendengar nasihat itu menyebabkan mereka terperangkap dan kecundang dalam sebuah lagun yang dikuasai orang laut.
Kisah `darangen a seda’ ini sangat menarik. Seperti diceritakan oleh Haji Asmah Haji Ibrahim dari Kampung Merabau, Kota Belud dan diterjemahkan seorang peneliti sastera rakyat Iranun, Mabulmaddin Haji Shaiddin, Kandalayang kerana kegagahan dan kehebatannya tidak mengendahkan nasihat yang diberikan kepadanya sehinggalah ia kalah tersungkur.
Begini nasihat Tanggiri kepada Kandalayang.
Aya den Datu’ aken;Si Kandalayang pembedtas tabung a pedtarapas;Na indud tanan su inged a iliyan a bembaran
Su alungan imantu, di’ ta den kasaba’an sa masirik a biala;Na si ta den kasaba’an manga raun a pandan;O nisayan sa ilis
(Aduhai ketuaku,Kandalayang yang perkasaMari kita berundur ke sempadan Bembaran,Kerana pada hari ini ;Katakan kita terlepas dari tebaran jala;Tapi kita akan terpesona pada daun-daun pandan;Yang (mereka lipat dan jadikan umpan) seakan akan ikan bilis).
Tanggiri memperingatkan kandalayang agar berundur buat seketika, kerana musuh mempunyai banyak muslihat. Meskipun mereka mungkin boleh terselamat dari tebaran jala, tetapi mereka masih boleh membuat daun-daun pandan yang boleh menyerupai ikan bilis,, yang jadi kegemaran kandalayang.
Apa Kata Kandalayang; “Kena ku ipeglalek,Masirik a biala manga raun a pandan,A inisayan sa ilis, kena’ku ipegkalek”
(Aku tak gentar pada tebaran jala,Atau daun pandan yang seolah-olah kelihatan seperti bilis,Aku tak pernah gentar).
Kandalayang bertempik bahawa apapun yang dilakukan, dia tak akan pernah takut. Walau bagaimanapun, Tanggiri tetap juga memberikan nasihat kepada pemimpin mereka, kandalayang  agar segera berundur.
Kadenan datu’ aken indud tanun sa inged;I tulung ta sa surat na ilaita sa rimaran;
Pun magayun su angka’ agu’ su kuta’ kudarat;Na sageda’-geda’ ku run da’ den a maka durat;Tuladanta pinidaya’ kulima sa pandi’an
(Aduahai pemimpinku, berundurlah ke negeri Bembaran;Kita baca catatan kita;kita rujuk kitab ramalan;Jika serasi angka dan kekuatan;Kukira tiadalah yang dapat menghalang;Untuk kita mendapat kemenangan).
Tanggiri mengatakan sebaikknya mereka berundur melihat segala catatan,, membaca segala tanda, merujuk kitab-kitab dan jika didapati, cukup jumlah dan kekuatan berbanding lawan, maka tidak ada lagi yang dapat menghalang untuk mereka mencipta kemenangan.
Namun Kandalayang tidak lagi percaya kepada kitab, atau catatan kerana catatan yang ada semuanya tidak boleh dipercayai.
Aden a surat bpamugkag ku surat;Aden den a rimaran bpagakal su rimaran;Ya ku pagapa’an su angin laut magerang;Panalukunan ku den munut sa bagu aig!
(Ada catatan yang bersifat dusta,Ada ramalan yang sangat nista;Aku hanya menunggu hembusan angin laut;Dan pasti ke sana bersama air pasang).
Akibat keengganan Kandalayang menerima nasihat dari menteri-menterinya, akhirnya mereka terperangkap, kalah tersungkur di tangan musuh mereka. Wal hal, Tanggiri sudah memperingatkan agar kitab panduan yang ada hendaklah dibaca untuk mengkaji dan mencari strategi untuk mereka bangkit semua.
Kisah Darangen a Kandalayang ini terdapat dalam “Inventori Budaya Etnik Negeri Sabah;Etnik Iranun terbitan Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah tahun 2017. Ia salah satu warisan khazanah sastera lama yang boleh dijadikan bahan renungan dan panduan.


No comments: