Ahad, 20 Mei 2018

KUNJUNGAN KE BALI, PENGALAMAN YANG TIDAK DAPAT DILUPAKAN

Tags

KUNJUNGAN KE  BALI, PENGALAMAN YANG TIDAK DAPAT DILUPAKAN



Selepas empat hari berada di Bali, tibalah masanya untuk kami berangkat pulang. Sepanjang berada di pulau yang terkenal di seluruh dunia itu,Rombongan Fam Trip Media dari Sabah dan Sarawak dibawa melawat beberapa tempat seperti Pura Uluwatu dan menyaksikan tari Kecak, menyeberang dari Pantai Sanur ke Nusa Penida melihat Pasih Uug atau Angel Billabong, sempat pula ke Pantai Klingking. Kemudian ke Tanjong Benoa.Selepas itu, kami sempat dibawa berkunjung ke Pura Tirta Empul yang dibina sejak abad ke-10 lagi, serta berpeluang pula ke desa terbersih di dunia iaitu Desa Penglipuran.
Selain itu juga, rombongan berpeluang untuk merasai pengalaman safari malam melihat segala jenis binatang dan mergastua di Bali Safari. Pengalaman memegang kulit harimau dan singa, adalah satu pengalaman yang mungkin sukar terulang di tempat lain.





Tidak ada Bali yang lebih Bali dari Bali itu sendiri. Bali adalah sebuah pulau yang istimewa, yang walaupun sudah dikunjungi berkali kali tetapi tetap menyuguhkan pengalaman lain setiap kali kita ke sana.
Kali ini, rombongan juga yang menyertai program Fam Trip anjuran Kementerian Pariwisata dan Ekonomi Kreatif Republik Indonesia dan disokong oleh Assocation of The Indonesian Tours  & Travel Agencies (ASITA) ditempatkan di sebuah hotel enam bintang, The Trans Resort Hotel, di Jalan Sunset Road, Kerobokan, Bali Kuta, Indonesia.
Hotel ini adalah milik seorang pengusaha Muslim yang terkemuka di Indonesia, turut memiliki Trans Tv dan beberapa perniagaan lain. Lokasinya pun agak strategik iaitu tidak jauh dari Seminyak Square dan Pantai Legian. Kami sempat berbual dengan Pengurus Besarnya, Alexander Jovanovic yang sangat berpengalaman. Beliau memberikan pelbagai info mengenai hotel yang menyediakan pelbagai kemudahan kepada pengunjungnya.
Pemerintah Indonesia memang giat memperkenalkan banyak tempat pelancongan untuk menarik lebih ramai pelancong ke Bali dan Bali-bali yang baru. Mereka sedang gigih mempromosi destinasi pelancongan yang baru.
Ketibaan pelancong ke Bali meningkat setiap tahun walaupun agak terjejas akibat letusan gunung Agung. Kebanyakan pelancong ke Bali masih didominasi pelancong dari Australia, China , Amerika,India dan negara-negara Eropah dan Asia. Selain destinasi yang sudah terkenal seperti Ubud, Tanah Lot, Sanur, banyak tempat lain yang menarik di sekitar Bali yang diperkenalkan sebagai destinasi baru yang perku dikunjungi.
Banyak yang dapat dipelajari dan pengetahuan yang diperolehi sepanjang kunjungan ke Bali kali ini. Sesungguhnya program Fam Trip yang disertai Media dan operator dan agensi pelancongan dari Sabah dan Sarawak mampu memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak dalam memajukan lagi industri pelancongan.


Pada hari terakhir di Bali, kami diraikan dalam satu majlisw jamuan makan malam bersama pengusaha-pengusaha pelancongan di Bali. Selain persembahan tarian, hadirin juga menyaksikan tayangan multimedia mengenai kehebatan Bali.
Selepas berkemas, kami berangkat pulang ke destinasi masing-masing  melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai.