Tuesday, May 8, 2018

PANDIKAR MINTA RAKYAT BUAT PILIHAN SECARA RASIONAL



PANDIKAR MINTA RAKYAT BUAT PILIHAN SECARA RASIONAL

KOTA BELUD: "Dalam politik tidak ada tempat bagi orang yang suka merajuk atau tempat melepaskan geram," kata Presiden Pertubuhan Bumis Bersatu Sabah (USBO), Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia.

Beliau  berkata, masyarakat harus lebih rasional dalam menentukan pilihan mereka dan tidak terlalu ikutkan perasaan atau emosi ketika membuat  keputusan dalam pilihanraya umum ke-14 demi masa depan mereka.

Pandikar  berkata demikian ketika berucap pada Majlis Santai Calon-Calon BN Bersama Rakyat P169 Kota Belud anjuran Pertubuhan Sabah Bumis  Bersatu (USBO) dan Rakan Padila di Dewan Sri Dungkuan, Kampung Rampayan Laut Kota Belud.





Kira-kira 10,000 hadir dalam majlis itu yang turut diserikan dengan persembahan artis tempatan dan artis Indonesia.

Secara lebih spesifik, beliau menyeru agar masyarakat Iranun di Kota Belud terus memberikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) dan berharap majoriti undi BN akan bertambah dalam pilihanraya kali ini.

Katanya, hanya BN yang mampu membela nasib dan masa depan rakyat dan membawa lebih banyak pembangunan demi kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya.

 Beliau BN perlu memenangi PRU14 demi kesinambungan perjuangannya untuk membangunkan negara, juga untuk mensejahterakan rakyat seluruhnya tanpa mengira anutan dan ideologi politik.

Katanya, BN sangat relevan kerana parti itu tidak pernah menjalankan dasar diskriminasi sebaliknya terus memberi ruang dan peluang kepada setiap individu yang berbakat dalam bidang masing-masing.

Tambahnya, politik pada masa kini lebih kepada memahami aspirasi rakyat khususnya mendengar apa yang disuarakan oleh Generasi Y, kerana golongan tersebut merupakan pemegang teraju pemerintahan negara pada masa akan datang.

"Suara ini amat lantang kedengaran apabila sebahagian besar daripada mereka meminta saya untuk bertanding di mana-mana DUN di Kota Belud, ekoran daripada program Jelajah USBO pada 2017 dalam menerangkan Perjanjian MA63.

"Para pemberita pernah bertanya saya semasa program itu, adakah saya mahu berkecimpung dalam arena politik kembali, jawapan saya 'ya, saya bersedia bertanding pada PRU14 jika pucuk pimpinan memerlukan saya untuk berbuat demikian," jelasnya.

Beliau  menambah, apabila pucuk pimpinan tidak mengkehendaki beliau untuk bertanding meskipun  berusaha membantu mengembalikan kepercayaan rakyat kepada kerajaan khususnya dalam menerangkan isu MA63 dengan mengadakan siri Jelajah USBO secara sukarela, beliau tidak berkecil hati.

"Saya tidak merajuk apabila tidak dicalonkan, kerana mereka yang merajuk tidak mempunyai sebarang tempat di dalam arena politik. Kerana politik adalah urusan tentang perjuangan, politik adalah suatu ideologi yang menjadikan anda sentiasa berada di dalam keadaan yang mantap dan penuh karisma

Sementara itu, Calon BN untuk Parlimen Kota Belud, Datuk Salleh Tun Said Keruak menasihatkan rakyat agar memilih parti Barisan Nasional (BN), satu-satunya parti  yang mampu menjaga kestabilan, keharmonian dan perpaduan.
Katanya, Kerajaan BN terbukti banyak membawa  pembangunan demi kesejahteraan rakyat.
 "Semua pembangunan yang dirancang akan  beri ruang kepada peluang ekonomi, peluang pekerjaan kepada rakyat," katanya.
Beliau menyeru agar rakyat terus memberikan sokongan kepada Barisan BN dan memastikan kejayaan yang besar kepada BN dalam Pilihan raya Umum ke-14.
Turut berucap dalam majlis itu ialah Calon BN bagi N6 Tempasuk, Datuk Haji Musbah Haji Jamli dan Calon BN bagi N8 Usukan, Datuk Japlin Haji Akim. (foto ihsan Jabatan Penerangan)

No comments: