Friday, May 11, 2018

SEKADAR MENGUTIP UNGKAPAN LAMA

SEKADAR MENGUTIP UNGKAPAN LAMA

Saya berkira-kira mahu menulis mengenai kempen pilihan raya umum ke-14. Malangnya saya belum dapat ayat yang paling tepat untuk intro, padahal tulisan itu perlu siap segera.
Kemudian saya terfikir, mungkin ada baiknya saya mengutip beberapa ungkapan tradisional Melayu Riau yang pernah dikumpulkan oleh pak Tenas Effendy. Boleh jadi ungkapan lama ini bermanfaat untuk difikir dan direnungkan, tidak semestinya ketika ketika berada dalam musim pesta demokrasi ini.
Saya mengutip ungkapan-ungkapan lama secara rambang, dan mungkin tidak punya korelasi antara satu dengan yang lain, tetapi saya yakin, dalam menghadapi musim celaru dan keliru dalam menentukan pilihan, ungkapan Melayu lama ini boleh membantu meringankan beban fikiran sambil kita duduk menikmati minuman sama ada di rumah atau di kedai kopi.
“Sedap limpah-limpahkan, pahit sorok-sorokkan”. Jika ada yang sedap, limpah-limpahkan lah kepada yang lain, jangan makan sendiri-sendiri. Sebaliknya jika ada yang pahit, sembunyikan dari orang lain. Misalnya jika ada aib seseorang, sorok-sorokkanlah dan tak perlu didedahkan hanya kerana ini musim pilihanraya.
Kata orang, kalau terbakar kayu, rumput tertumpang layu. Kalau terbakar tunggul, terbakarlah pula cendawan. Kalau terbakar batang, terbakarlah pula lumutnya. Kalau terbakar ladang, terbakarlah belalang.
Mungkin semua orang mampu memahami ungkapan lama ini. Kalau terbakar kayu, rumputpun akan layu.Kalau terbakar tunggul, cendawan yang tumbuh diatasnya akan turut terbakar.Sama juga dengan batang.Jika batang terbakar, pasti terbakarlah lumutnya. Kalau terbakar ladang, kita yang belalang-belalang ini akan ikut terbakar. Pastilah begitu kerana ia adalah sebahagian hukum alam.
Yang baik cepat-cepatkan. Yang buruk lambat-lambatkan. Yang sedikit pada-padakan, yang banyak lebih-lebihkan. Ungkapan yang sangat menarik. Buat baik berpada-pada, berbuat jahat jangan sekali, kalau makan berhingga-hingga, kalau hilang cari mencari.
Jangan kita kalah kira, oleh kira-kira. Sekali selera diturut, seumur hidup merana perut.
Sebaiknya cakaplah berhingga-hingga, kasih berkira-kira Jangan mati langkah, oleh tingkah, jangan kalah angan, oleh angan-angan. Tetapi yang jelas, orang yang banyak kira-kira, menjadi kura-kura. Tidak baik juga begitu. Berkira, memang patut, kalau sangat berkira-kira, kita pula yang jadi bantut. Berkira pada tempatnya, berkira-kira pada patutnya.
Sekadar ingatan kepada yang pembaca, moga ungkapan lama ini ada faedahnya. Padi pulut padi ketan, dari mulut menjadi syaitan.Padi mulut padi cerai, dari mulut orang bercerai, padi pulut padi tumbuk, dari mulut orang bertumbuk.Dari pulut keluar ketan, dari mulut keluar syaitan. Kerana itu, berhati-hatilah, jangan bicara sesedap rasa.Walaupun musim pilihanraya, etika dan kesopanan hendaklah dipelihara.

Utusan Borneo 9 Mei 2018

No comments: