Saturday, May 19, 2018

YB HAJI UDA SULAI, JANJI BUAT YANG TERBAIK UNTUK PETAGAS



YB HAJI UDA SULAI, JANJI BUAT YANG TERBAIK UNTUK PETAGAS

BERUBAH tidak ada had umur.Kenapa saya hadkan diri saya jika saya memperjuangkan masa depan rakyat Sabah? Saya tidak mahu tunggu perubahan.I’m The Change, kata Ahli Dewan Undangan Negeri N18 Petagas, Haji Uda Sulai. Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 yang baru saja berlalu, beliau membuat kejutan apabila berjaya mengalahkan mantan  Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin yang menjadi wakil rakyat Petagas selama lebih 20 tahun. Kemenangan itu hadir pada ketika usianya 75 tahun. Dalam percubaan pertamanya kira-kira 20 tahun lalu, beliau kecundang di tangan Yahya tetapi kali ini beliau berjaya menumbangkan Yahya  ketika hampir semua orang tidak menyangka beliau mampu melakukannya. Dalam Pilihan raya Umum ke-14, Haji Uda memperolehi DUN Petagas apabila memperolehi sebanyak 6,526 undi mengalahkan mantan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin yang mendapat undi sebanyak 6,318 undi dan Ester Otion yang mendapat 760 undi.


“Ramai orang bertanya apa yang orang tua ini boleh bagi khidmat apabila menjadi wakil rakyat N18? Saya katakan pada mereka, tolong jangan pandang remeh semangat dan kebolehan saya menggerak perubahan. Meskipun  saya sudah lama bersara, tetapi saya tidak pernah berhenti berkhidmat melalui pelbagai NGO yang saya sertai. Kini saya diberikan amanah dan tanggungjawab untuk membela nasib rakyat. Saya akan laksanakan sebaik mungkin,” kata Haji Uda Sulai yang baru saja dilantik sebagai Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri dalam Kabinet Sabah yang baru saja dibentuk, Rabu lepas.

Haji Uda Sulai dilahirkan di Kampung Tekuli, Putatan pada tahun 1943. Beliau mendapat pendidikan awal di SRK Buit Hill Putatan hingga darjah lima. Kemudian  melanjutkan pelajaran di Sabah College (kini Maktab Sabah ) hingga Form 3 (Tingkatan Tiga). Selepas lulus LCE, beliau berhidmat di Jabatan Hutan Sandakan dari tahun 1961 hingga 1968, Biro Bahasa Jabatan Ketua Menteri (1968-1970), Penolong Pegawai Daerah Kota Marudu (1971-1974), Penolong Pegawai Daerah Kunak (Pertengahan 1974), Pegawai Daerah Semporna (1975-1976), Pegawai Daerah Lahad Datu (1977-1979). Selepas itu, beliau mengikuti Kursus Diploma di South Dewon Technical College, England dan sekembalinya dari sana, beliau ditukarkan ke Suruhanjaya Perkhidmatan Awam sehingga 1983. Kemudian, sekali lagi beliau ke England untuk melanjutkan pelajaran di Teeside University, Middlesbrough sehingga berjaya memperolehi BA dalam Social Studies. Haji Uda kemudian bertugas sebagai Pegawai Tadbir (Prinsipal Officer) di Jabatan Keretapi Negeri Sabah selama tiga tahun sebelum berpindah sebagai Senior Assistant Secretary di Kementerian Pembangunan Perindustrian. Selepas itu, beliau dilantik sebagai Setiausaha Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dari tahun 1994 hingga 1996. Jawatan akhirnya sebelum bersara pada 1998  ialah Pegawai Daerah  Tuaran. Dalam kegiatan sukarela dan kemasyarakatan, Haji Uda mula melibatkan diri dalam NGO ketika usianya masih muda lagi.. Beliau pernah sebagai Ahli Persatuan Islam Putatan (PIP), pernah menjadi Ahli Majlis Tertinggi USIA, Penolong Setiausaha Agung USIA, Ketua Usia Bahagian Penampang, dan pernah menjadi Pengerusi Rukun Tetangga Pasir Putih, dan Penasihat Umum Jawatankuasa Masjid Nurul Iman Pasir Putih Putatan. Beliau mendirikan rumahtangga dengan Hajah Naimah Sabin dan dikurniakan lima cahayamata.



Wartawan Utusan Borneo, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemubual beliau pada Rabu lepas di rumahnya di Jalan Dembila Kera, Kampung Pasir Putatan. Sambil menikmati teh tarik dan kuih bumbai, beliau bercerita mengenai pengalamannya semasa berkempen, isu-isu yang diperjuangkannya dan perkara -perkara utama yang diperjuangkannya sebagai wakil rakyat. Ikuti petikan temubual bersama Haji Uda Sulai, ADUN Petagas yang baru saja dilantik sebagai Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri:

UTUSAN BORNEO: Apa perasaan YB terpilih sebagai waki rakyat bagi N18 Petagas?
YB HAJI UDA SULAI:Syukur alhamdulilah dengan izin Allah saya berjaya memenangi kerusi DUN N18 Petagas. Saya gembira dan rasa terharu dengan keputusan kemenangan saya, yang kebetulan dikecapi ketika usia saya 75 tahun. Saya ucapkan ribuan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh semua pengundi  yang membenarkan saya menggalas tugas mewakili mereka.
UB: Sejauhmana keyakinan YB untuk menggalas tugas yang diberikan ini?
YB: Ramai orang bertanya apa yang orang tua ini boleh bagi khidmat apa bila menjadi wakil rakyat N18. Saya katakan pada mereka, tolong jangan  pandang remeh semangat dan kebolehan saya menggerak perubahan. Selama ini, sejak bersara dalam perkhidmatan kerajaan kira-kira 20 tahun lalu, saya tidak pernah berhenti berkhidmat. Setelah bersara, saya masih menyumbang khidmat kerja kepada Persatuan USIA, RELA, Komunitu Masjid Putatan hingga sekarang. Bagi saya, saya tidak mahu tunggu perubahan. Im the change. Bagi saya, berubah tidak ada had umur. Kenapa perlu saya hadkan diri saya jika saya memperjuangkan masa depan rakyat Sabah. Itu sebab dalam kempen pilihanraya lepas, saya menyeru agar rakyat Sabah bangkit berubah.

UB: Boleh YB jelaskan sedikit mengenai perubahan yang perlu dibuat?
YB: Banyak perkara yang perlu perubahan. Bagi saya kita orang Sabah, sangat unik dengan pelbagai bangsa. Kita tahu orang Sabah adalah bangsa yang berani,, kita orang Sabah bangsa yang memang teguh bersatu. Itu sebab saya katakan kita tidak boleh menjadi pak turut.Kalau kita berpuakpuak , itu bukan bersatu namanya. Sabah boleh menjadi contoh perpaduan di kalangan rakyat. Di Sabah tidak ada masalah. Tapi kita lihat kerajaan yang lalu berbelanja dengan boros mempromosi 1 Malaysia, padahal kita orang Sabah atau umumnya di Borneo sudah lama bersatu. Kita tidak perlu slogan 1Malaysia untuk bersatu. Cuba lihat, dimana mana tempat di negeri Sabah, kita boleh duduk di kedai kopi, boleh ada makanan halal tersedia. Kita boleh duduk bersama bersembang pelbagai perkara. Kita lihat ada orang Cina pandai bercakap Bajau, Kadazan, Dusun, dan bangsa-bangsa lain pula pandai bercakap Cina. Kita orang Sabah sangat unik dengan pelbagai bangsa.

Walaupun kita lihat ada kemajuan, tetapi kebanyakan kemajuan pembangunan itu dimulakan oleh pihak swasta, seperti di Putatan.. Tanpa pihak swasta yang membuat pembangunan, apa yang BN buat. Kerajaan yang lalu mengambil masa 25 tahun untuk buat perasmian membina sekolah di Petagas,Ada rasmi pecah tanah tapi belum bina bangunan. Pihak  swasta berjaya membuat Giant, Servay, One Place Mall, Royal Plaza, Platinum dan sebagainya. Ini semua dirancang oleh pemaju Swasta tidak pun mengambil masa 25 tahun. Yang buat jalanraya masuk Kedai Putatan bukan BN tetapi developer.

Cuba kita lihat perbandingannya.Kita lihat keadaan jalanraya kampung yang masih sempit, parit tiada, jambatan kecil pun rosak, kontraktor yang dilantik pun buat kerja cincai,asal boleh claim . kontraktor buat kerja `asal buli claim’.
Apa ini semua? Inikah yang  kita mahu generasi akan datang dididik dengan mentaliti ‘asal buli  klaim?”


Kita berada di zaman berpelajaran,zaman berteknologi tinggi, era digital, semua mudah akses dan sebagainya
Jangan benarkan diri kita  diletak dibawah menjadi rakyat yang tidak ada integriti.

Saya selalu katakan dalam tagline,rakyat yang berpecah akan musnah dan kemusnahan itu akan menjadi racun paling berbisa sehingga kita tidak mampu bersatu menerajui perubahan. Bersatulah demi  negara bangsa dan ugama. Jom ubah Sabah. Perubahan yang perlu kita lakukan ialah kalau dulu kita berpecah, sekarang kita tidak boleh berpecah, tetapi kita mesti bersatu agar suara kita didengar dan kita kuat dan dapat memperjuangkan banyak kebaikan untuk rakyat.

UB: Apa antara perkara yang menjadi keutamaan YB untuk membela nasib rakyat di kawasan Petagas?
YB:Perkara utama yang diminta disuarakan oleh rakyat ialah masalah kemudahan prasana kesihatan seperti klinik. Kita lihat klinik kesihatan yang ada tidak mampu lagi menampung pesakit. Sepatutnya Klinik kesihatan yang  sudah dinaiktaraf sebagai sebuah hospital. Selain itu, sebagai sebuah daerah yang semakin berkembang, Putatan sepatutnya sudah memiliki Balai Bomba. Kita sudah lama memerlukan sebuah balai bomba. Kalau dikatakan masalah tanah,, saya fikir ia bukan alasan. Kita boleh cari jalan. Selain Balai Bomba, kita juga perlukan Pejabat Polis yang baru. Pejabat yang ada perlu dinaiktaraf.

Perkara lain yang perlu diberikan fokus ialah pembangunan sektor pelancongan termasuk mengenal pasti kawasan yang boleh dijadikan pusat peranginan.Kita akan majukan Daerah Putatan dan Petagas khasnya dengan memberikan tumpuan kepada pembangunan sektor pelancongan kerana ketika ini kawasan tersebut tidak mempunyai tempat peranginan yang mampu menarik kehadiran pelancong

Saya sedar bahawa saya memikul tanggungjawab besar, tapi saya punya perancangan tersendiri untuk membangunkan kawasan yang saya wakili.

Saya berazam akan membawa satu perubahan besar buat kawasan Petagas memandangkan kawasan ini  tidak jauh daripada Pusat Bandaraya Kota Kinabalu dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

UB: Apa masalah lain yang dihadapi rakyat?
YB: Masalah perparitan yang kurang baik menyebabkan berlakunya banjir. Ini perkara asas yang perlu diiambil perhatian.  Sungai yang ada juga perlu dibersihkan bagi mengelakkan banjir.Ia perlu diatur dengan baik baik.

Kita harus beri keutamaan kepada kebajikan rakyat. Kita mesti pastikan penduduk boleh hidup dalam keadaan yang sejahtera dan baik.

UB: Oh ya, apa hobi YB di masa lapang?
YB: Jika ada masa lapang, saya suka menyiram bunga, memelihara ikan dan sebagainya.

UB: Pernah terfikir mahu jadi YB pada usia sebegini?
YB: Sebenarnya saya tidak pernah melobi untuk menjadi calon. Saya sedar diri saya sudah tua. Tetapi Presiden, Datuk Seri Haji Mohd Shafie Haji Apdal memberikan kepercayaan kepada saya untuk menjadi calon. Saya berterima kasih. Alhamdulillah, dalam pilihanraya kali ini saya dipiliih oleh rakyat untu mewakili mereka. Bagi saya kemenangan saya dalam pilihanraya ini adalah kehendak rakyat. Jika dihitung atas kertas,, peluang saya menang memang tipis tapi kerana kehendak rakyat, kemenangan berpihak kepada saya. Saya sangat berterima kasih atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan kepada saya.





UB: Sebelum kita akhiri temubual ini, ada apa-apa yang YB ingin sampaikan?
YB: Syukur alhamdulilah dengan izin Allah saya berjaya memenangi kerusi DUN N18. Saya gembira dan rasa terharu dengan keputusan kemenangan saya pada usia saya 75 tahun.Saya ucapkan ribuan terima kash atas kepercayaan yang diberikan oleh semua pengundi  yang membenarkan saya menggalas tugas mewakil rakyat.Terima kasih kepada sahabat sahabat dan keluarga yang tidak putus putus memberi sokongan dengan iringan doa-dia kejayaan. Saya juga mengucapkan terima kasih semua anggota jentera parti, saya tabik kamu semua. Semua ketua-ketua PDM yang membanu dengan kerelaan tanpa penat, saya ucapkan ribuan terima kasih dan berdoa semoga Allah melindungi kamu.
Saya juga mengucapkan terima kasih kepada isteri saya yang sentiasa bersama dalam perjuangan ini, walaupun kita dah berumur. Kepada anak-anak dan cucu-cucu, terima kasih kerana menolong bapa untuk berjuang untuk rakyat, fighting for the voice of rakyat. Sahabat dan keluarga yang tidak putusutus memberi semangat dan ucap tahniah.Terima kasih.
Saya percaya dengan izin Allah, saya akan buat yang terbaik sebagai ADUN Petagas iaitu tempat kelahiran saya.

No comments: