Ahad, 24 Jun 2018

HAJI GHULABDIN , YANG PULANG DENGAN SENYUMAN

Tags

HAJI GHULABDIN , PULANG DENGAN  SENYUM
Oleh ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN


Kalau ada orang yang selalu hadir dengan senyuman, ia adalah Haji Ghulabdin. Saya terkenang betapa beliau seorang  personaliti yang ceria, komited dan setia pada perjuangannya dan berani pula melawan arus.

Siapakah Haji Ghulabdin? Penulis dari Tuaran ini menulis sejak1981-an lagi dan mula terlibat dalam sastera sejak di bangku sekolah. Karya-karyanya tersiar di suratkhabar tempatan seperti Sabah Times, Borneo Mail, Kinabalu Weekend, Mingguan Waktu, Borneo Bulletin, Berita Minggu, Dewan Sastera, Sarina, Juita dan Utusan Borneo.
Haji Ghulabdin pernah terpilih sebagai Pengarah Drama Terbaik daerah Tuaran pada tahun 1982  melalui drama Protes. Beliau juga menghasilkan cerpen. Salah satu cerpennya berjudul ‘cucu’ dimuatkan dalam antologi cerpen Lambaian Kinabalu diterbitkan DBP pada tahun 1980-an.
Biar bagaimanapun beliau sibuk dengan kerjayanya sebagai seorang ahli politik, beliau masih sempat untuk menuangkan fikirannya dalam karya-karyanya.
“Bukan senang bersenang-senang. Perlu perjuangan untuk bersenang-senang. Bukan senang untuk memberi kesenangan kepada semua orang, walaupun kita lebih suka semua orang dapat kesenangan.
“Bila sudah senang, jangan lupa kepada rakyat,” katanya. Bukan senang mencari senang tetapi paling senang mencari susah,” Saya teringat kata-katanya suatu kali.
Kerana itu, kita harus ingat, bila senang , jangan kita lupa membantu orang yang pernah menaikkan kita. Bukan senang mencari senang, katanya setengah bercanda.
Haji Ghulabdin seorang yang suka berkawan. “ Itu mungkin sifat semulajadi saya. Saya suka membantu asalkan ada peluang untuk membantu”.


Haji Ghulabdin Enjih lahir di Kampung Kota Tuaran pada 20 Ogos 1957. Beliau mendapat pendidikan awal di SRK Bolong sebelum menduduki bangku sekolah menengah di SM St John Tuaran dan SMK Badin Tuaran.
Sebaik tamat persekolahan pada tahun 1979,beliau terus melibatkan diri dalam pergerakan belia. Bermula dari kampungnya, beliau menubuhkan Persatuan Budaya Seri Kota selain bergiat dalam Pertubuhan Belia Kebangsaan Sabah (SANYA) . Haji Ghulabdin pernah dilantik sebagai Setiausaha Badan Penyelaras Sanya Tuaran sebelum diberi kepercayaan sebagai  Pengerusi Penyelaras Sanya Tuaran dari tahun 1981 hingga 1990. Selepas itu, beliau menjadi Ahli Majlis Tertinggi Sanya pada 1997 hingga 2000. Beliau juga adalah ahli Lembaga Pengarah Koperasi Serbaguna Sanya Berhad (KOSAN) sejak 1999 dan pernah menjadi Timbalan Pengerusi KOSAN selama dua penggal iaitu 2005-2007 dan 2010-2020.
Beliau juga terpilih sebagai Ahli Lembaga Pengarah Koperasi kita Sabah (KITA), sebuah koperasi yang menumpukan perhatian kepada perladangan seperti menanam ubi kayu, serai dan gaharu dan dipengerusikan Mantan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Harris Salleh. Haji Ghulabdin juga pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Perumahan  Bandar (LPPB) dari tahun 2010-2013.


Dalam kegiatan kemasyarakatan, beliau juga aktif dalam bidang keibubapaan dan menjadi Pengerusi PIBG SRK St John Tuaran daari tahun 1999 hingga sekarang. Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Kota Tuaran dari tahun 2000 hingga 2014. Sumbangan beliau dalam bidang nasyid tidak kurang pentingnya. Pada tahun 2005, beliau menjadi pengurus kumpulan Tazkirah manakala pada tahun 2006, beliau menjadi pengurus Kumpulan Isbat. Kedua-dua kumpulan nasyid yang terpilih mewakili Negeri Sabah dan menjadi juara di peringkat kebangsaan.
Haji Ghulabdin pernah berkhidmat di Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan Sabah (KBSS) pada tahun 1984-1990. Selepas itu, beliau dilantik sebagai Pegawai Perhubungan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Monggoh Orow pada tahun 1990 hingga 1994. Kemudian beliau dilantik sebagai Pegawai Perhubungan Parlimen Ahli Parlimen Tuaran  Datuk Madius Tangau dari tahun 1999-2004. Kemudian beliau dilantik sebagai Setiausaha Akhbar kepada Datuk Haji Hajiji Haji Mohd Noor di Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan dari tahun 2004 hingga melepaskan jawatan pada tahun 2010.
Beliau juga pernah menjadi Setiausaha Bahagian Berjaya, Timbalan Ketua Pemuda PBS Tuaran, Ketua Penerangan UMNO Tuaran sebelum bertanding sebagai calon PKR Tuaran. Selepas itu, beliau menjadi Pengerusi Amanah Tuaran.
Atas jasa-jasanya, beliau dikurniakan Bintang Setia Kinabalu (BSK) pada tahun 1999 dan Ahli Darjah Kinabalu (ADK) pada tahun 2002.


Beliau mendirikan rumah tangga dengan Suzanne Bangih @ Siti Nurulhizan berketurunan Dusun Lotud Tuaran dan dikurniakan 7 cahayamata iaitu Sohbierah @ Obie, Mohd Fitri,Shaziela, Shaierah, Shafinaz, Mohd Fikri Aidid dan Mohd Fathi Adib.

Haji Ghulabdin adalah seorang yang sentiasa ingin berbakti sepanjang hidupnya. Sehingga akhir hayatnya, beliau terus komited terhadap perjuangannya. Lahir pada 20 Ogos 1957, beliau kembali ke rahmatullah pada 17 Jun 2018.

Bukan senang bersenang-senang, begitu yang pernah ditulisnya dalam satu puisinya.Bukan senang mencari senang, tapi saya yakin kini beliau sudah menemui  kesenangannya di dunia sana. Selepas menerima ujian sakit beberapa waktu di rumahnya, kini beliau sudah meninggalkan kita, dengan senyuman yang selalu terukir dalam kenangan kita. Al Fatihah.