Wednesday, June 20, 2018

KUNJUNGAN SINGKAT PENUH INSPIRASI KE MINANGA

 KUNJUNGAN SINGKAT PENUH  INSPIRASI KE MINANGA
Kampung Rampayan Laut, sebuah kampung di pinggir pantai, kira-kira 20 km dari arah utara Kota Belud. Tempatnya cantik dan menarik. Di kalangan masyarakat Iranun yang menjadi penduduknya, kampung Rampayan Laut, lebih dikenali sebagai `minanga’ bukan semata sebuah perkampungan nelayan tetapi sebuah tempat yang memiliki sejarah yang panjang.
Sejak berkurun lamanya, Minanga sudah menjadi destinasi pedagang, saudagar dari seluruh nusantara. Rampayan adalah sebuah pelabuhan entreport yang penting. Saudagar dari China datang dengan wangkangnya membawa  barangan seperti porselin, mesiu, meriam, peluru dan sebagainya.
Dari Rampayan, mereka membawa pulang barangan seperti damar, rotan, kulit penyu, kulit kayu bakau dan sebagainya. Ada juga pedagang yang datang dari wilayah Nusantara yang lain, seperti Cirebon, yang membawa kain dan pulang membawa rempah-rempah dan sebagainya.
Selain itu, golongan pendakwah Islam datang ke Kota Belud dipercayai menggunakan Minanga sebagai tempat pendaratan mereka. Dikisahkan ada pendakwah dari Hadramaut bernama Syarif Alwi Papaki atau Syarif Alawi Bafaqih juga dikatakan mendarat di Minanga a Marampayan.
Penemuan batu nisan bertulis aksara jawi di Rebuk, bertarikh 231H bersamaan 845 M seperti yang tertulis di batu itu menunjukkan Islam lebih dahulu sampai ke Pantai Barat Sabah. Sehingga kini bukti kedatangan Islam di Sabah lebih banyak berpandukan manuskrip suku Idahan bertarikh 1408 di Lahad Datu,Sabah.
Terdapat beberapa bukti lain seperti kewujudan Quran tulisan tangan abad ke-16 dari Rampayan yang kini tersimpan di Muzium Tamadun Islam Sabah.
Jika kita ingin melihat mengenai pemuliharaan dan pelestarian budaya, kita boleh menjadikan Minanga atau kampung Rampayan Laut sebagai sebuah tempat yang perlu dikunjungi.

Itulah antara sebab mengapa kami mengajak  seramai 20 delegasi dari Mindanao Filipina, Tolitoli Sulawesi Tengah dan Tanjungpandan dan Manggar Belitong, Sumatera Selatan yang menghadiri Pertemuan Iranun Nusantara (PIN) di Kota Kinabalu pada April lalu untuk berkunjung ke Kampung Rampayan Laut.
Tempat pertama yang kami kunjungi ialah Pusat Tenunan Kraftangan Iranun milik Hajah Pandian Haji Sulaiman. Sesampainya di sana, Hajah Pandian memperlihatkan mengenai seni tenun Iranun, dan segala bentuk perhiasan, seperti ulap ulap,sambira, dan kain tenunan seperti muga, maraboro, siambitan, jali jali, anyaman dan seni tekat seperti dempas a liaupan, sambulayang, ubur ubur, pajuntai dan sebagainya.
Peserta tertarik dengan kekayaan seni tenunan dan anyaman Iranun itu. Pak Agus Pahlevi dari Tanjungpandan melengkapkan koleksi tanjaknya dengan membeli tubau.
Pak Sayuti Salleh, ketua keluarga keturunan Iranun di Manggar juga amat teruja dengan kunjungan mereka ke pusat tenunan itu. Juga Pak Trihartono yang kini menetap di Bandung. Anggota delegasi lain seperti Suhana Lina Sarkawi dari Kota Samarahan Sarawak tertarik dengan seni tenun seperti kain muga, malah sempat mencuba alat tenunan, seperti juga Mbak Puspa dari Tarakan,pegawai pengiring yang mengiringi rombongan dari Tolitoli. Rombongan Tolitoli diketuai oleh Ketua Dewan Adat Tolitoli, Drs Ibrahim H Sauda dan Kepala Dinas Pariwata Pak H Muh Nasir Daeng Marumu.




Sementara itu, Naib Canselor, Universiti Negeri Mindanao, (MSU), Dr Elin Anisha Guro, yang baru tiba dari Marawi City, merasa seperti berada di kampung halaman sendiri. Selain Dr Elin Anisha, delegasi dari Filipina yang hadir antaranya ialah Sultan Samporna Sa Masiu, Imam Mohamad Ali Masbod, Sam Pangcatan.
Selepas itu, kami berkunjung ke kediaman Yang Di Pertua Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Iranun (BKI), OKK Haji Masrin Haji Masrin, yang menjadi pengerusi penganjur PIN. Di sana, rombongan dapat melihat kampilan, senjata Iranun, bangkau atau tombak, panabas, set kulintangan, tempayan warisan dan alat-alat kebudayaan Iranun yang tidak kurang pentingnya Terdapat juga dokumentasi lengkap budaya Iranun termasuk salasilah Datu Gador, kitab-kitab lama, tulisan tangan di atas kulit kambing berusia 300 tahun dan sebagainya. Delegasi juga dijamu dengan kuih muih Iranun seperti amik, wadit, panganan, tiyadtag, pinakembang dan sebagainya.



Malah Dr Elin merasa kagum dengan dokumentasi  puisi Iranun yang dicetak di atas batu jubin. Puisi-puisi rakyat Iranun iaitu bayuk dikumpulkan oleh OKK Haji Masrin Haji Hassin sejak berpuluh tahun lamanya. OKK Haji Masrin adalah tokoh budayawan Iranun yang amat prihatin terhadap sejarah dan budaya Iranun.



Pengalaman yang sangat menarik. Delegasi Pertemuan Iranun Nusantara (PIN) merasa teruja dengan kunjungan ke Minanga atau Kampung Rampayan laut itu. Namun, kerana jadual pertemuan agak padat,delegasi terpaksa berlepas pulang ke Kota Kinabalu sebelum matahari terbenam sambil meninggalkan Minanga dengan ingatan dan kenang-kenangan.



1 comment:

Unknown said...

Assalamualaikum, mhn tuan kongsikan sekiranya ada maklumat mengenai keturunan Syarif yang kuburnya berada di Pulau Timbang, Sandakan.JazakALLAH..Ahmad Zaki bin Mohd. Noor : 0174163862