Sabtu, 28 Julai 2018

AMRI GINANG: FOTOGRAFI BUKAN SEKADAR GAMBAR

Tags
Foto oleh Haron Sawal
 AMRI GINANG: FOTOGRAFI BUKAN SEKADAR GAMBAR

DALAM dunia fotografi, nama Amri Ginang adalah satu nama yang sangat terkenal  di  peringkat antarabangsa. Berpengalaman selama 35 tahun dalam bidang fotografi,Amri sudah melanglang hingga ke 84 negara di dunia. Dikenali ramai sebagai ahli fotografi dalam bidang komersil dan potret paling berpengaruh di Malaysia. Foto-fotonya diterbitkan di peringkat antarabangsa.Beliau menyumbang kepada kejayaan syarikat besar membuat imej untuk jenama seperti Isetan (Jepun)Kose, H&M, IKEA,Crown Plaza Hotels, Tourism Malaysia, Petronas,MIDA, Shangri-La, Chanel, Estee Lauder, Lancome, Unilever,Celcom, Berita Publishing, Utusan Malaysia Publishing, Putrajaya Holdiings, Malaysia Airlines, Emirates Airlines, Chitralada Thailand, Amari Group of Hotels, HP International, LCC Properties, dan lain-lain.


AMRI GINANG lahir di Kampung Air Semporna pada 14 April 1957. Beliau mendapat pendidikan awal di GPS Semporna dan kemudian meneruskan persekolahan di peringkat menengah di St Patrick Tawau. Selepas itu, Amri melanjutkan pelajaran di Isle of Ely College Wisbech Cambridgeshire, St Martin London. Beliau sempat pulang ke tanahair untuk bekerja di Muzium Negara di bawah pimpinan Datuk Shahrom Yob selama 6 bulan sebelum memutuskan kembali semula ke England untuk meneruskan kerjaya dalam bidang fotografi di sana. Bermula sebagai In House Photographer, beliau kini memiliki nama yang dikenali oleh pengamal fotografi di seluruh dunia.
Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang untuk mewawancara beliau di salah sebuah hotel terkemuka di Kota Kinabalu. Ikuti petikan temubual bersama beliau.
UTUSAN BORNEO: Boleh berikan sedikit latar belakang untuk pembaca?
AMRI GINANG: Saya Amri Ginang. Saya bangsa Bugis Bajau.Lahir di Semporna. Saya Anak ke lapan dari sembilan adik beradik. Ayah saya  Mohd Ginang bin Musa  manakala ibu Hajijah binti Imam Mahmud.Imam Mahmud adalah imam Bugis pertama di Semporna. Anak saya  enam orang, tiga lelaki tiga perempuan dari Isteri berbangsa Inggeris dan Swedia. Anak sulung saya, Emil sekarang banyak membantu saya dalam fotografi komersial.
UB: Dimana tuan mendapat pendidikan awal?
AG: Saya mendapat pendidikan awal di Government Primary School  (GPS) Semporna. Kemudian saya melanjutkan sekolah menengah di St Patrick School, Tawau. Selepas tamat Form 5, saya melanjutkan pelajaran di United Kingdom. Saya mengambil A Level di Cambridgeshire dan kemudian melanjutkan pelajaran dalam bidang seni di Isle of Ely College Wisbech, Cambridgeshire, St Martin London.
UB:  Kebanyakan ibu bapa masa itu menghantar anaknya ke England untuk belajar dalam bidang undang-undang atau kejuruteraan. Tapi tuan memilih bidang seni. Apakah memang sejak awal tuan minat dalam bidang seni?
AG: Saya memang mahu jadi pelukis.Tiada niat jadi lawyer (peguam). Seni sudah lama di jiwa saya.
UB: Bagaimana tuan terlibat dalam seni sewaktu di London?
AG:Sewaktu mula-mula tiba  ke London untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat A Level di Cambridgeshire  selepas Form Five di St Patrick Tawau, saya dibawa melawat ke sebuah galeri seni lukis di kota London. Waktu itu umur saya baru 17 tahun.Pelajar dari Sabah masuk galeri di sebuah kota besar di London. Di sanalah minat saya terhadap lukisan dan fotografi bercambah.
Selepas itu saya  bersekolah seni di Isle of Ely College Wisbech Cambridgeshire, St Martin London.
UB: Apakah orang tua tahu tahu tuan belajar seni di London?
AG: Mereka hanya tahu saya belajar di London. Tapi tidak tahu saya belajar dalam bidang seni.
UB: Selepas tamat universiti, apakah tuan terus bekerja di London?
AG: Saya sempat bekerja di Muzium Negara di bawah Dato Shahrom Yob, pengarahnya waktu itu. Saya sempat bekerja selama enam bulan di KL tapi kemudian mengambil keputusan untuk balik ke London, jadi In House Photoghrapher. Sejak itu saya tidak menoleh lagi. Saya terus menekuni bidang fotografi. Pada tahun 1987, saya pindah ke Stockholm, Sweden. Sebelum itu, saya memang berulang alik antara London dan Sweden.  Kini saya banyak terlibat dengan projek fotografi di kawasan Asia, dan berulang alik antara KL , Jakarta , London untuk  memenuhi tugasan dan kontrak yang diberikan.
UB: Bagaimana tuan mendapat idea dan inspirasi?
AG: Saya mendapat idea dan inspirasi di mana saja, dari TV hingga percakapan yang saya dengar di jalanan. Agak sukar untuk tidak mengambil sesuatu idea yang menginspirasi tetapi saya fikir idea yang baik akan hidup lama dalam imaginasi hinggalah ia dilahirkan. Mungkin ia mengambil masa yang lama, satu bulan, satu tahun atau mungkin lebih dari itu sehingga anda punya peluang untuk merakamnya , tetapi anda masih merasa tertarik dengan idea itu.
UB: Boleh cerita sedikit proses kerja tuan?
AG: Saya bahagikan proses kerja saya kepada lima, iaitu inspirasi, penyelidikan, perancangan, shooting atau penggambaran dan post pra produksi. Kerana saya selalu membuat shooting di lokasi, saya cuba untuk membuat perancangan sebaik mungkin. Hasil produk sangat bergantung dimana saya bekerja dan seberapa jauhnya tempat saya mengambil gambar itu. Saya ingin memperolehi idea yang jelas mengenai apa yang saya mahu dari sesuatu gambar, jadi saya boleh kosongkan ruang untuk improvisasi, dan selalunya sesuatu yang ajaib dan mengejutkan boleh terjadi.
UB: Di mana tuan bekerja, maksud saya di mana tempat ruang kreativiti tuan untuk menghasilkan idea?
AG: Saya memiliki Studio di KL dan saya mempunyai studio di Jakarta dan Singapura. Tapi ruang kerja kreatif saya yang sebenar ialah dimana saya berada. Ia boleh sahaja di mana mana di dunia ini. Saya suka kerja saya kerana ia membawa saya ke tempat yang baru, tempat yang kadang tak terduga, bekerjasama dengan masyarakat dari pekbagai peringkat. Ini adalah sesuatu yang terus menerus mendorong dan menginspirasi saya.
UB: Kalau boleh tahu, apa antara kerja yang mencabar yang pernah tuan laksanakan?
AG: Antara tugas yang mencabar yang pernah saya buat ialah membantu negara untuk menepis tanggapan buruk pihak Barat terhadap minyak sawit. Mereka menentang penggunaan minyak sawit kerana beberapa sebab. Antara dakwaan yang mereka lemparkan ialah penanaman kelapa sawit merosakkan alam sekitar, memusnahkan habitat hidupan liar seperti orang Utan, penebangan hutan dan dakwaan penggunaan buruh kanak-kanak di ladang-ladang.
Selepas diberikan tugas oleh Malaysia Palm Oil Council (MPOC), saya membuat penyelidikan. Saya cuba melihat dari sudut kemanusiaan. Tentu banyak aspek kemanusiaan di ladang-ladang sawit. Saya membuat pengambilan gambar hampir selama dua bulan untuk mendekati masyarakat yang terlibat. Saya ke Pulau Carey, di Selangor untuk mengambil gambar puak Mah Meri. Saya mengambil wajah wajah dan rupa paras pekerja-pekerja ladang Sawit. Saya berkunjung ke ladang-ladang di  Sabak Bernam, Selangor , ke Bentong , Pahang dan lain-lain.  Saya cuba untuk memberikan sudut pandang kemanusiaan dalam industri sawit. Idea awal sebenarnya hanya untuk mengambil gambar wajah kerana saya yakin melalui wajah seseorang, ia boleh memberi banyak cerita. Bila memandang ke dalam mata mereka, kita dapat melihat banyak cerita pahit manis dari sana.  Dengan sokongan MPOC, saya membuat pameran foto di Strand Gallery London pada 23 Februari.
Setiap foto saya berikan cerita.Bila anda melihat sebah foto, anda rasa ingin terus melihatnya dan mula membayangkan kehidupan mereka melalui pengalaman yang kita alami.
Foto oleh AMRI GINANG
untuk mengenali beliau, anda juga boleh melawat laman web http://www.ag.my.
Saya tidak hanya bercerita mengenai ladang sawit.Kita mahu mereka melihat wajah-wajah petani, pekebun sawit yang menjadi tulang belakang ladang sawit di Malaysia, bahawa kehidupan mereka tidak jauh dengan kehidupan petani di Eropah, Amerika dan tempat-tempat lain di dunia.
Penggambaran itu memberikan kesedaran mengenai kehidupan manusia dan kemanusiaan di ladang sawit. Saya pameran di London, kita buat pameran di Belgium, Peranchis, New York.
UB: Selain itu, apa lagi yang pernah tuan buat?
AG: Saya pernah diberikan tugas oleh Unicef untuk merakamkan gambar orang-orang gelandangan.Saya menemui orang-orang yang hidup tanpa rumah, tanpa memiliki tempat tinggal. Saya merakamkan wajah mereka yang bercerita mengenai kehidupan yang mereka alami.
Selain itu, saya juga pernah membuat gambar mengenai kehidupan penyelam-penyelam mutiara Melayu di Australia. Mereka kebanyakannya berasal dari Mantin Negeri Sembilan, dan sudah berada di Australia sejak tiga hingga empat generasi yang lalu.Mereka di bawa kesana untuk menjadi penyelam mutiara. Ada di antara mereka kahwin dengan orang Australia, dengan kaum aborogine dan di kalangan mereka sendiri. Sudah tentu budaya mereka sudah multikultural. Projek itu melibatkan juru foto Malaysia dan Australia. Juru foto Malaysia dihantar selama sebulan di Australia dan juru foto Australia dihantar pula ke Malaysia.
UB: Sekarang apa projek yang tuan buat?
AG: Saya membuat fotografi untuk iklan komersil. Sekarang saya lebih banyak menekuni bidang ikan komersil. Membuat tugasan untuk jenama-jenama syarikat besar di seluruh dunia.
UB: Antaranya?
AG: Saya membuat fotografi untuk iklan komersil untuk jenama seperti Isetan (Jepun)Kose, H&M, IKEA,Crown Plaza Hotels, Tourism Malaysia, Petronas,MIDA, Shangri-La, Chanel, Estee Lauder, Lancome, Unilever,Celcom, Berita Publishing, Utusan Malaysia Publishing, Putrajaya Holdiings, Malaysia Airlines, Emirates Airlines, Chitralada Thailand, Amari Group of Hotels, HP International, LCC Properties, dan lain-lain.
UB: Apa niat tuan yang belum terlaksana?
AG: Saya ingin membantu golongan belia di Sabah terutamanya yang berminat dakam bidang fotografi. Saya yang membimbing mereka terutamanya graduan-graduan yang banyak menganggur. Di Sabah, saya difahamkan terdapat kira-kira 40,000 lepasan ijazah yang masih menganggur. Jika mereka mendapatkan kemahiran dalam bidang fotografi, hidup mereka pasti bertambah baik, Saya ingin balik untuk membimbing mereka dalam bidang fotografi
UB: Boleh tahu berapa harga sekeping foto yang tuan hasilkan?
AG: Bergantung kepada saiz besar atau kecil. Sekeping foto boleh berharga antara RM7,000 hingga RM25,000.
UB: Apa nasihat tuan kepada jurufoto baru?
AG: Fotografi bukan setakat ambil gambar. Apapun usaha anda pastikan anda mahir. Anda harus berlatih meningkatkan kemahiran. Mesti tingkatkan pengetahuan dan kemahiran dan selalu berlatih. Ibarat bola. Kalaupu anda pandai main bola, kalau tidak berlatih, tidak juga ke mana.
Fotografi boleh mendatangkan hasil yang lumayan. Ia tidak semestinya bergantung kepada peralatan yang mahal. Ia terletak kepada kualiti, kreativiti dan imaginasi kita. Banyak orang ambil gambar tetapi tidak tahu nilai gambar itu.
Nasihat saya untuk menjadi fotografer yang berjaya, mesti ada hala tuju.Cari bidang fotografi yang anda suka dan anda mahir. Jangan gunakan fotografi untuk dapatkan glamour.







Khamis, 26 Julai 2018

TORANG SAMUA BASUDARA, kisah perjalanan dari Kota Manado ke Kawangkoan

Tags
TORANG SAMUA BASUDARA, kisah perjalanan dari Kota Manado ke Kawangkoan

HATI-hati bercanda di media sosial, antara tajuk muka depan  Manado Post, 12 Julai. Berita itu menyebut kisah mengenai seorang gadis, MT (15) asal  Sonder, sebuah kecamatan di Minahasa, yang tular  di dunia maya akibat janjinya untuk mengelilingi kampungnya tanpa busana jika Belgium kalah melawan Perancis. Cabaran MT dalam videonya yang tular itu menarik perhatian ramai, sebabnya Belgium benar-benar kalah kepada Perancis dalam perlawanan yang diadakan di Stadium  Saint Petersburg, dengan kiraan 0-1 hasil jaringan Samuel Umtiti selepas memanfaatkan sepakan sudut Antoine Griezmann pada minit ke 51.
Sebenarnya saya sendiri tidak sempat menyaksikan perlawanan itu kerana tertidur. Sebaik bangun dan membuka jendela Hotel Peninsula, Kota Manado yang sudah lama terbangun. Kelihatan Jambatan Soekarno, sepanjang 1,127 meter dan dirasmikan Mei 2015, yang kami singgahi malam sebelumnya. Dari jauh juga, kita dapat melihat Pulau Manado Tua, sebuah pulau bersejarah, yang menurut cerita, pertama kali didiami pada tahun 1339 oleh rombongan keluarga enam orang dari Kota Batu Mindanao yang lari akibat peperangan.

Pak Daru sempat mengira menara masjid di Kota Manado. “Banyak juga,” katanya. Kota Manado adalah ibu kota Provinsi Sulawesi Utara. Kota pinggir pantai yang sering disebut Menado itu, terletak di Teluk Manado, dikelilingi daerah pergunungan.
Dari sejumlah  533,000 penduduk Kota Manado, 37.78 peratus beragama Islam, 54.31 peratus beragama Protestan, 6.91 peratus Katolik, manakala Hindu 0.43 peratus, Buddha 0,42 peratus manakala Kong Hu Cu 0.15 peratus.
“Di sini tiada masalah. Torang Samua Basudara”, kata James Gopang, salah seorang ahli Asita yang mengiringi kami dalam bahasa Melayu Manado atau lebih disingkat bahasa Manado. Bahasa Manado dituturkan di bandar Manado, Sulawesi Utara dan sekitarnya. Bahasa Manado adalah bahasa pertuturan di kalangan masyarakat berbilang etnik di Manado. Selain Minahasa, terdapat juga suku lain seperti Arab, Cina, dan lain-lain.Menurut ahli bahasa, bahasa Manado juga menggunakan banyak perkataan pinjaman dari bahasa Portugis dan bahasa Belanda dan bahasa tempatan.
“Kita” digunakan sebagai kata ganti nama diri tunggal atau “saya dalam bahasa Melayu. Ini hampir sama dengan penggunaan kata “kita” di Sabah yang merujuk kepada “kamu” atau boleh juga merujuk kepada “kami”.
Ungkapan “Torang Samua Basudara” atau makna harfiahnya “Kita Semua Bersaudara” menunjukkan identiti Manado, sebuah kota yang dianggap kota yang penuh toleransi.
Apabila orang Manado bertemu sesama orang Manado, walau berbeza latar belakang agama dan etnik, ungkapan “torang samua basudara” itu menjadi sangat relevan. Ungkapan itu sudah menjadi sebahagian dari mereka sejak lahir. “Dari tong pe tau dunia memang so bagini”. Sejak kami mengenal dunia keadaan memang seperti ini”, kata mereka.

Pagi itu, kami harus mendaftar keluar dari Hotel Peninsula untuk ke Bolaang Mongondow Timur (Boltim), dan kemudian menginap di Kota Mubagu.
Kira-kira jam 7.00 pagi semua orang sudah berada di Lobi hotel, dan menikmati sarapan sebelum berangkat dengan bas Pariwisata.
“Ada bae bae jo?”
Alhamdulillah, semua baik-baik saja, saya menyapa pak Mario, yang menjadi pemandu pelancong kami. Tidak lama kemudian kami berangkat menuju Tutuyan.
Saya beruntung kerana dapat menyertai rombongan Fam Trip agen pelancongan dari Sabah ke Manado yang diatur oleh  KJRI Kota Kinabalu pada 11 hingga 14 Julai 2018. Manado memang banyak keistimewaan. Walaupun malam sebelumnya, kami tidak sempat mencari nasi kuning, yang cukup terkenal di kota itu,Manado memang sebuah kota yang cantik dengan masyarakatnya yang berbilang etnik. “ Ada kampung Cina yang terletak tidak jauh dari kampung Arab Kota  Manado,” kata Mario.
Segera saya teringat Dr Didik Pradjoko, dari Universiti Indonesia yang memberitahu mengenai Makam Tuanku Imam Bonjol di Manado.
“Iyo. Kita akan melewati jalan itu,” kata Mario. Tuanku Imam Bonjol adalah seorang Pahlawan Nasional Indonesia yang terlibat dalam Perang Padri di Sumatera pada 1821 hingga 1837 bersama Tuanku Tambusai dan Tuanku Rao. Selepas dikalahkan Belanda, Imam Bonjol dibuang ke Minahasa pada tahun 1837. Imam Bonjol meninggal pada 6 November 1864 ketika berusia 92 tahun.
Kebetulan hari itu, Harian Komentar menyiarkan satu wacana mengenai cadangan Ketua Umum  Gerindra, Prabowo Subianto untuk memindahkan makam Pahlawan Nasional yang berada di luar daerah untuk dimakamkan di tanah kelahiran masing-masing.
Jika saranan itu mendapat sokongan,Makam Tuanku Imam Bonjol yang terletak di Desa Lotta, Kecamatan Pineleng itu akan dipindahkan ke Pasaman Sumatera Barat.

 Tetapi menurut akhbar itu, Kepala Dinas Kebudayaan dan Parowisata (Disbudpar) Minahasa, Agustivo Tumondo, saranan itu perlu meninjau pelbagai aspek. Ada undang-undang pasal 67 yang melarang setiap orang untuk memindahkan cagar budaya peringkat nasional, provinsi, kabupaten/kota , baik seluruh atau sebahagian kecuali dengan izin Menteri, Gubernur, bupati atau wali kota. Pesalah boleh dikenakan penjara paling singkat tiga bulan dan paling lama dua tahun, denda paling sedikit Rp100 juta  (RM28,047.41) dan paling banyak Rp1000,000,000.00 (satu miliar rupiah) bersamaan RM280,532.06.
Wah, luar biasa.Betapa pedulinya mereka terhadap sejarah.  Mereka memelihara dan menjaga tapak tapak dan tempat bersejarah dengan baik, bahkan sebahagiannya berpotensi untuk dijadikan destinasi pelancongan.
Banyak yang dipercakapkan sepanjang perjalanan itu. Kami sempat singgah ke Kawangkoan, sebuah kota kecil di Tomohon Minahasa yang terkenal sebagai kota kacang. Ia terletak kira-kira 45 km dari Kota Manado atau kira-kira satu jam 50 minit  perjalanan.

Bersama Pak Sarip, staf KJRI, kami melihat-lihat sekitar kota itu. Saya melihat kereta kuda, salah satu alat pengangkutan yang popular di kota itu. Rombongan yang lain mencari kacang Kawangkoan, yang sangat terkenal itu. “Kalau mahu makan kacang, harus dimakan dengan dengan pisang,” kata pak Peppy Karouwan,81,seorang pesara yang dahulunya pernah menjadi kontraktor untuk membina Lapangan Terbang Tolitoli.






Saya baru menyedari `kedaulatan bola’ di kota ini. Sebelumnya saya kurang memerhatikan. Setelah mengamati dengan baik, saya mendapati banyak rumah yang memasang bendera negara-negara yang bertanding Piala Dunia di Russia.
Semua peminat bola bebas untuk mengibarkan bendera negara pasukan bola yang mereka minati. Maka terjadilah perang bendera yang dahsyat tapi kerana perlawanan bola sudah hampir ke peringkat akhir,, jumlah bendera negara yang kalahpun sudah diturunkan.
Sungguh pengalaman yang sangat mengujakan. Sebenarnya saya teringin untuk menaiki kereta kuda,atau bendi  sekadar berkeliling kota, tapi kerana waktu itu tidak mengizinkan, saya hanya sempat mengambil gambarnya.
Tidak lama kemudian kami meneruskan perjalanan ke Tutuyan, Bolaang Mongondow Timur.


Ahad, 22 Julai 2018

SELAMAT BAKU DAPA. INI MANADO PUNYA CIRITA

Tags
SELAMAT BAKU DAPA. INI MANADO PUNYA CIRITA


SEJAK jam 4.00 pagi lagi, hari Rabu 11 Julai, kami sudah berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu untuk Check in. Pesawat Batik Air ID7168 Tujuan Jakarta terbang tepat  jam 6.00 pagi dari Kota Kinabalu. Penerbangan mengambil masa kira-kira dua jam 55 minit dan dijangak  dijangka tiba kira-kira jam 8.55 minit pagi atau jam 7.55 Waktu Indonesia Barat (WIB).
Selepas itu, kami transit beberapa jam di Bandara Internasional Soekarno Hatta, sebelum berpindah  ke Terminal 2  untuk penerbangan ke Kota Manado . Pesawat ID2680 berangkat kira-kira jam 12.30 tengahari WIB dan tiba di Bandara Sam Ratulangi kira-kira tiga jam 10 minit kemudian atau jam 4.50 petang Waktu Indonesia Timur. (waktu Manado sama waktu dengan Sabah).
Setibanya kami di Bandara Sam Ratulangi, hari sudah petang. Rombongan Fam Trip seramai 12 orang  diketuai Ibu Hendro Retno Wulan dan disertai oleh agen dan syarikat pelancongan dari Sabah disambut oleh Ketua Asita (Association of Indonesian Tour and Travel Agencies) Sulawesi Utara, Ibu Merry Karouwan dan ahli jawatankuasa Asita.

Selepas urusan mengambil bagasi selesai, kami merakamkan gambar kenangan sebelum memasuki perut bas berkeliling kota Manado sambil melanjutkan perjalanan ke Restoran Star di Manado Town Square3 atau lebih dikenal Mantos..
Pemandu pelancong kami,, namanya Pak Mario atau nama lengkapnya Mario Salomo Ben Gavriel Sarinsang Pantow. Orangnya masih muda dan memiliki banyak maklumat dan pengetahuan mengenai Kota Manado dan sejarahnya.
Di dalam perjalanan itu, beliau memberikan kuih tradisional manado yang dikenali sebagai kuih `cucur’. Kalau di Sabah, kuih ini dinamakan kuih pinjaram di kalangan masyarakat Bajau atau kuih Amik dalam bahasa Iranun.

Kami memberitahunya mengenai persamaan itu. Ada lagi beberapa persamaan lain dengan beberapa bahasa tempatan seperti Ama’ (bapa), Ina’ (Ibu), Paniki (kelawar) dan banyak lagi perkataan lain. Tetapi ini tidak terlalu menghairankan kerana bahasa manado tergolong dalam bahasa Melayu Austronesia.
Sepanjang perjalanan kami, Pak Mario memberitahu mengenai beberapa keistimewaan Kota Manado, yang menjadi ibu negeri bagi Provinci Sulawesi Utara.
Selamat Baku Dapa, katanya dalam bahasa Manado yang bermaksud Selamat Datang. “Manado punya Cirita” sangat banyak. Oleh sebab itu “Marijo ka Manado”.
Di  Manado ada pulau Bunaken, Pasir Pantai Siladen,Pulau Lihaga,Gunung Api Mahangetang,Air Terjun Tumimperas, Bukit Doa Timohon, Bukit Kasih Kanonang dan sebagainya.







Sepanjang perjalanan itu, dapat disaksikan Kota Manado sedang membangun dengan pesat. Manado memang sebuah kota yang mengagumkan. Tidak lama kemudian kami melintasi jambatan yang boleh berubah warnanya kepada pelbagai warna khususnya pada waktu malam. Jambatan Soekarno itu sudah menjadi mercu tanda Kota Manado sejak sekian lama. Kami berhenti sebetar untuk mengambil gambar untuk kenang-kenangan sebelum melalui jalanan yang agak sesak tidak jauh dari kawasan Mantos 3.
Di Manado Town Square 3 itu kami dibawa ke Restoran Mantos dan dijamu dengan pelbagai jenis makanan. Saya memilih makanan berasaskan ikan, kerana favourit saya memang ikan.


Suasana majlis makan malam itu penuh ceria. Selepas itu, kami merakamkan lagi foto kenangan sebelum bergegas ke Hotel Peninsula, tempat penginapan kami pada malam pertama di Manado.
Beberapa hari lagi, Kota Manado dengan tema  Manado Cerdas, Manado Rukun akan merayakan ulang tahun yang ke 395. Kota Manado yang dikenal kota Tinutuan itu lahir pada tahun 1623, adalah sebuah kota yang amat terkenal dan dianggap sebagai kota yang paling toleransi di Indonesia.
Saya cuba mencari buku sejarah mengenai Kota Manado tetapi tidak jumpa ketika singgah di toko buku Gramedia. Saya menanyakan buku mengenai Dr Sam Ratulangi, atau apa saja mengenai Manado, namun tidak sempat dicari kerana harus bergegas ke hotel. Esok harinya harus bangun awal kerana kami meneruskan lagi perjalanan dari Kota Manado ke Tutuyan.

SENI MUZIK TRADISI PERLU DIDOKUMENTASIKAN, KATA PROF MARGARET KARTOMI

Tags
SENI MUZIK TRADISI PERLU DIDOKUMENTASIKAN, KATA PROF MARGARET KARTOMI





JIKA tidak dikaji, diteliti dan didokumentasi, muzik tradisional akan hilang ditelan globalisasi. Sekarang sudah banyak yang hilang, tanpa kita sedari,” kata Profesor Margaret Kartomi, Profesor dalam bidang Muzik di Universiti Monash dan Pengarah Arkib Muzik Universiti Monash (MAMU). Wanita kelahiran tahun 1940 adalah seorang ilmuwan bertaraf dunia. Beliau menghabiskan lebih separuh usianya untuk mengkaji muzik dan budaya di Sumatera, Jawa, Kalimantan, Maluku, Flores, Irian Jaya dan sebagainya. Beliau adalah pelopor pengajaran dan penyelidikan bidang muzik Indonesia di Australia. Hingga kini beliau masih aktif membimbing pelajarnya untuk penyelidikan dalam bidang muzik di beberapa universiti seperti Universiti Adelaide dan Humboldt.


“Sekarang saya 77 tahun, saya tidak ada waktu, banyak tugas lagi yang perlu dilakukan,” katanya ketika ditemui di Kota Kinabalu pada Rabu. Beliau berada di ibu negeri untuk menghadiri Simposoum ke5  The ICTM  Study Group on Performing Arts of Southeast Asea (PASEA) pada 16 hingga 22 Julai di Muzium Sabah.



Prof Margaret Kartomi, AM, FAHA, Dr Phil, B Mus, AUA, lahir di Adelaide Australia pada 24 November 1940. Beliau mendapat BA dalam bidang Muzik di Universiti Adelaide. Selepas memperolehi ijazah Doktor Falsafah dalam bidang ethnomusicology di Universiti Humboldt di Berlin pada 1968, beliau bertugas di Jabatan Muzik Universiti Monash sejak tahun 1969,bermula sebagai penyelidik, kemudian pensyarah, pensyarah kanan, dan kini bertugas sebagai Professor dan Ketua Jabatan Muzik Universiti Monash. Beliau pernah mendapat Piagam Penghargaan Kebudayaan dari Pemerintah Indonesia. Selain itu, beliau juga dianugerahkan gelar Ratu Berlian Sangun Anggun kerana komitmennya terhadap kajian kebudayaan di Sumatera.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN mewawancara beliau di Muzium Sabah ketika menghadiri Simposoum ke 5  The ICTM  Study Group on Performing Arts of Southeast Asea (PASEA). Turut serta dalam sesi wawancara itu ialah Dr Karen S Kartomi Thomas dan penulis, Nelson Dino.
UTUSAN BORNEO: Bagaimana mulanya Prof tertarik untuk menyelidiki bidang muzik di Asia Tenggara khususnya di Indonesia?
PROF MARGARET KARTOMI: Saya mula tertarik dengan Indonesia ketika berusia sembilan tahun apabila orang tua saya mengundang pelajar Indonesia yang mengikuti pengajian di bawah Rancangan Colombo untuk datang makan tengahari di rumah pada satu hari minggu.  Ketika itu, saya jatuh cinta dengan muzik gamelan.  Kemudian saya berkenalan dengan salah seorang pelajar itu, Hidris Kartomi, dari Banyumas, yang kemudian menjadi suami saya.


Sebagai pelajar di Universiti of Adelaide, saya menulis tesis saya untuk ijazah sarjana muda BA mengenai muzik tradisi Jawa itu.Usia saya ketika itu 18 tahun. Minat saya bertambah dalam ketika menyiapkan tesis PhD di University Humboldt Berlin juga mengenai muzik tradisional.
Selepas itu saya meneruskan minat saya dalam bidang muzik. Selepas berjaya memperolehi ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Etnomusikologi dari Universiti Humboldt di Berlin pada tahun 1968, saya terus bekerja di Jabatan Muzik di Universiti Monash.Mula-mula sebagai Felo Penyelidik, kemudian pensyarah, pensyarah kanan dan selepas itu sejak tahun 1989, saya menjadi Profesor dan Ketua Jabatan Pengajian Muzik di Universiti Monash.
Saya adalah Profesor Muzik di Faculty of Arts, Monash University dengan pengkhususan  Indonesia dan Asia Tenggara, dengan kepakaran  muzik Sumatera. Selain itu, Koordinator penelitian di School of Music-Conservatorium. Penelitian saya  akhir-akhir ini berfokus pada kultur musik di Aceh, Kepulauan Riau, dan Lampung. 
Selain itu, saya pernah menjadi Panitia Simposium International Musicological Society di Melbourne (1988, 2004, dan 2017).,Anggota dewan Society of Ethnomusicology (2007),Anggota American Musicological Society (2004).Anggota Fellow of the Australian Academy of the Humanities (1989).
Pada tahun 1970, saya menggagas pengajaran dan penelitian muzik Asia di Australia dan membangun arkib muzik Sumatera dan Asia di Monash University.
UB: Sebagai ahli etnomusikologi, organologi dan historiografi Indonesia dan Asia Tenggara, sudah tentu prof sudah menghasilkan banyak karya. Mungkin boleh sebutkan apa antara karya yang prof hasilkan?
PROF: Saya menulis banyak artikel, buku dan karya-karya etnografi muzik yang diterbitkan dalam bentuk rakaman atau Compact Discs. Antara buku yang saya hasilkan ialah Gamelan Digul and the Prison Camp Musician who Built it: An Australian Link with the Indonesian Revolution. Bersama suami saya, Hidris Kartomi, saya mengunjungi dan mengkaji muzik di seluruh Indonesia selama lebih 40 tahun. antaranya Kalimantan, Sulawesi, Maluku, Irian Jaya dan sebagainya. Saya juga menghasilkan  buku “Musical Journeys in Sumatera” setebal 480 halaman pada tahun 2012.
UB: Apa sebabnya  Prof banyak memberikan tumpuan kepada Sumatera?
PROF: Saya fikir dari seluruh dunia, Indonesia paling kaya dalam hal musik tradisional. Bagaimanapun, saya melihat saat itu muzik budaya di Sumatera seolah dipinggirkan. Kita boleh membaca banyak buku dan kajian mengenai muzik di Pulau Jaya tetapi tidak di Sumatera.
UB: Setakat ini, apakah prof sudah menulis mengenai soal muzik di seluruh pulau Sumatera?
PROF: Saya sudah membuat penyelidikan di enam daripada 10 provinsi atau wilayah di Sumatera. Antaranya ialah  Aceh, Sumatera Utara,Riau, Sumatera Barat, Sumatera Selatan dan Bangka Belitung.
.Buku mengenai Muzik tradisi di Kepulauan Riau akan di terbitkan di Denmark manakala penerbitan mengenai Muzik  Lampung kini sedang diusahakan.  Banyak sekali yang perlu dilakukan. Saya sudah mengabdikan diri dalam kajian ini sejak berusia 19 tahun. Kini saya sudah 77. Saya tidak banyak waktu lagi.
UB: Bagaimana minat yang ditunjukkan oleh mahasiswa terhadap pengajian muzik di universiti?
PROF: Pelajar dan mahasiswa menunjukkan minat yang sangat besar terhadap muzik tradisi.. Ada ribuan jumlahnya. Untuk itu kami membeli gamelan, talempong, angklung dan lain-lain lagi.
UB: Menarik sekali Prof. Sepanjang kajian tentu sekali banyak muzik tradisional yang prof kumpulkan.
PROF: Kami memiliki puluhan koleksi alat Muzik, rakaman, video mahupun suara muzik tradisional Indonesia.Kini tersimpan rapi di Arkib Muzik MAMU dan menjadi rujukan ramai orang.
UB: Bagaimana dengan proses globalisasi? Mungkinkah ia megancam kedudukan muzik tradisional?
PROF: Saya khuatir akibat globalisasi, muzik-muzik tradisional akan hilang. Kerajaan mesti membantu mendokumentasi dan marakamnya. Ada banyak muzik tradisi  yang sudah hilang.Saya fikir perlu lebih banyak penyelidikan, dan semua pihak perlu menyimpan dan membuat arkib muzik, silat, sandiwara dan lain-lain yang tersebar di berbagai daerah. Kalau ini tidak dilakukan, maka semuanya akan hilang begitu saja.
UB: Saya difahamkan  Prof banyak juga melakukan kajian di Lampung Sumatera Selatan?
PROF: Di Lampung, banyak seni muzik tradisi yang perlu diketengahkan. Masyarakat antarabangsa juga sangat tertarik dengan berbagai festival yang diselenggarakan bupati Lampung Timur seperti Festival Way Kambas, Festival Melinting, Fastival Panen Padi dan Festival Musik yang diselenggarakan ibu bupati.
UB: Prof ada jua menyebut Tupping. Boleh jelaskan sedikit?
PROF: Sebelumnya Tupping Kuripan tidak boleh sembarangan dipertontonkan di khalayak umum kerana mengandungi nilai sejarah dan dianggap suci, Tapi kini masyarakat umum suda diperbolehkan untuk melihatnya. Ini satu langkah yang baik agar masyarakat boleh mendalami sejarah Tupping dan Lampung Selatan, ini letaknya di Sumatera Selatan.Menurut saya, sejarah kebudayaan dan kesenian ini perlu diperkenalkan kepada masyarakat luas.
Usaha-usaha perlu banyak dilakukan. Ini untuk menyelmatkan generasi muda Lampung di masa yang akan datang mengenai tradisi dan asal usul mereka.
UB: Apa yang menarik di Indonesia mengikut pandangan prof selama 40 tahun mengadakan penyelidikan di sana?
PROF: Saya suka dengan keramahan, kebaikan rakyat Indonesia dari semua peringkat usia, tua muda  ketika bertanya kepada mereka mengenai seni, dan kehidupan mereka. Saya suka makan durian, dan banyak lagi jenis buah-buahan,, lauk pauknya, cuasa dan iklimnya dan pemandangan yang cantik khususnya di pulau-pulaunya.

UB: Selain Indonesia, dimana lagi di Asia Tenggara ini yang pernah Prof Kunjungi?
PROF:Saya pernah diundang ke Marawi City olh Prof Dr Jose Maceda lebih 30 tahun yang lalu. Kami keliling Mindanao untuk merakamkan muzik tradisi di sana. Saya belum sempat menulis mengenainya. Ia masih tersimpan dengan baik di Arkib Muzik di Monash University, di MAMU. Sesiapa yang berminat mengakji muzik tradisi silakan datang buat kajian di sana.
UB: Boleh saya tahu tanggapan Prof mengenai Sabah?
PROF: Sabah sangat kaya dengan muzik dan tarian tradisional. Saya baru pertama kali kali ke Sabah dan baru beberapa hari berada di sini. Saya sempat menyaksikan sepuluh jenis tarian tradisional. Unik sekali.Luar biasa.sangat bagus pakaian dan kostumnya.

UB: Terima kasih prof kerana sudi diwawancara.
PROF: Terima kasih banyak.Jumpa lagi.

Ahad, 1 Julai 2018

KUNDASANG, DESTINASI PILIHAN UNTUK SEBUAH KUNJUNGAN

Tags
KUNDASANG, DESTINASI PILIHAN UNTUK SEBUAH KUNJUNGAN


Mulanya kami agak bingung juga. Bingung untuk menentukan pilihan. Mana satu tempat yang boleh dikunjungi.Banyak tempat yang menarik di Sabah tetapi ruang waktu yang ada agak terbatas.
Jadi apabila peserta luar negara yang menghadiri Pertemuan Iranun Nusantara (PIN)  tiba di ibu negeri, kami membawa mereka ke Kundasang, sebuah daerah yang sejuk, terletak kira-kira 100 kilometer dari Kota Kinabalu sebelum mengajak mereka mengunjungi perkampungan Iranun di Kota Belud.

Salah satu tempat yang pilihan kami ialah Desa Dairy Farm, sebuah ladang ternakan tenusu yang terletak di Tanah Tinggi Mesilau, Kundasang.
“Kalau bukan kerana program ini, mungkin saya tidak sampai ke sini,” kata seorang kawan. Walaupun sering ke Kundasang, malah sempat mengikuti acara berbasikal ke Mesilau, inilah kali pertama beliau berkesempatan untuk berkunjung ke ladang tenusu yang dikatakan memiliki suasana seperti di New Zealand.
Tempat itu dibuka setiap hari. Bayaran masuknya agak murah iaitu RM5 seorang. Apa yang agak menarik ialah suasananya yang dingin dan membuat kita merasa seolah-olah berada di luar negara.
Selepas berkunjung ke ladang, dan melihat lembu-lembu tenusu, kita dapat juga merasai produk segar seperti susu segar, puding dan aiskrim gelato yang sedap.
Setibanya di Ladang Tenusu itu, waktu menunjukkan kira-kira jam 10.00 pagi. Jaraknya kira-kira 100 km dari Kota Kinabalu.Kami agak lambat juga kerana berhenti sejenak di Taman Negara Kinabalu untuk mengambil gambar. Rupanya bukan kami saja pengunjung pada hari itu, terdapat ratusan lagi pengunjung dari dalam dan luar negara berkunjung ke Tanah Tinggi Mesilau untuk melihat pemandangan yang indah di kaki gunung Kinabalu itu. Di sana suhunya agak sejuk, rumputnya menghijau dan lanskap pergunungan yang menarik. Sekilas kita merasa seperti berada di luar negara walhal sebenarnya kita berada di salah satu tempat cantik yang perlu dikunjungi jika kita melawat ke Sabah.




Ladang tenusu itu seluas kira-kira 199 hektar. Ia menghasilkan kira kira 900,000 liter susu lembu setiap tahun.  Namun bukan setakat pelancong tetapi tempat sering pula jadi lokasi penggambaran filem, bahkan menjadi tempat pilihan ramai pengantin untuk penggambaran foto pengantin mereka.
Kunjungan ke Desa Cattle Dairy Farm itu adalah satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh peserta PIN dari seluruh Nusantara. Ada yang datang dari Kabupaten Tolitoli Sulawesi Tengah, Pulau Belitong, Sarawak, dan Mindanao Filipina selain peserta dari Sabah sendiri.
Banyak yang dipelajari pada kunjungan ke Kundasang itu. Selepas berkunjung ke Desa Dairy Farm, kami singgah sekali lagi Taman Negara Kinabalu Kundasang untuk melihat pemandangan gunung Kinabalu yang sentiasa menarik dan menawan.

Sayang sekali, puncak gunung dilitupi kabus. Kami datang agak lewat. Semilir angin pergunungan terasa agak dingin. Sebelum kami meneruskan perjalanan ke Kota Belud, kami sempat merakamkan kenangan di kaki Gunung Kinabalu, yang pada waktu itu,puncaknya tidak kelihatan.