Sunday, July 1, 2018

KUNDASANG, DESTINASI PILIHAN UNTUK SEBUAH KUNJUNGAN

KUNDASANG, DESTINASI PILIHAN UNTUK SEBUAH KUNJUNGAN


Mulanya kami agak bingung juga. Bingung untuk menentukan pilihan. Mana satu tempat yang boleh dikunjungi.Banyak tempat yang menarik di Sabah tetapi ruang waktu yang ada agak terbatas.
Jadi apabila peserta luar negara yang menghadiri Pertemuan Iranun Nusantara (PIN)  tiba di ibu negeri, kami membawa mereka ke Kundasang, sebuah daerah yang sejuk, terletak kira-kira 100 kilometer dari Kota Kinabalu sebelum mengajak mereka mengunjungi perkampungan Iranun di Kota Belud.

Salah satu tempat yang pilihan kami ialah Desa Dairy Farm, sebuah ladang ternakan tenusu yang terletak di Tanah Tinggi Mesilau, Kundasang.
“Kalau bukan kerana program ini, mungkin saya tidak sampai ke sini,” kata seorang kawan. Walaupun sering ke Kundasang, malah sempat mengikuti acara berbasikal ke Mesilau, inilah kali pertama beliau berkesempatan untuk berkunjung ke ladang tenusu yang dikatakan memiliki suasana seperti di New Zealand.
Tempat itu dibuka setiap hari. Bayaran masuknya agak murah iaitu RM5 seorang. Apa yang agak menarik ialah suasananya yang dingin dan membuat kita merasa seolah-olah berada di luar negara.
Selepas berkunjung ke ladang, dan melihat lembu-lembu tenusu, kita dapat juga merasai produk segar seperti susu segar, puding dan aiskrim gelato yang sedap.
Setibanya di Ladang Tenusu itu, waktu menunjukkan kira-kira jam 10.00 pagi. Jaraknya kira-kira 100 km dari Kota Kinabalu.Kami agak lambat juga kerana berhenti sejenak di Taman Negara Kinabalu untuk mengambil gambar. Rupanya bukan kami saja pengunjung pada hari itu, terdapat ratusan lagi pengunjung dari dalam dan luar negara berkunjung ke Tanah Tinggi Mesilau untuk melihat pemandangan yang indah di kaki gunung Kinabalu itu. Di sana suhunya agak sejuk, rumputnya menghijau dan lanskap pergunungan yang menarik. Sekilas kita merasa seperti berada di luar negara walhal sebenarnya kita berada di salah satu tempat cantik yang perlu dikunjungi jika kita melawat ke Sabah.




Ladang tenusu itu seluas kira-kira 199 hektar. Ia menghasilkan kira kira 900,000 liter susu lembu setiap tahun.  Namun bukan setakat pelancong tetapi tempat sering pula jadi lokasi penggambaran filem, bahkan menjadi tempat pilihan ramai pengantin untuk penggambaran foto pengantin mereka.
Kunjungan ke Desa Cattle Dairy Farm itu adalah satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh peserta PIN dari seluruh Nusantara. Ada yang datang dari Kabupaten Tolitoli Sulawesi Tengah, Pulau Belitong, Sarawak, dan Mindanao Filipina selain peserta dari Sabah sendiri.
Banyak yang dipelajari pada kunjungan ke Kundasang itu. Selepas berkunjung ke Desa Dairy Farm, kami singgah sekali lagi Taman Negara Kinabalu Kundasang untuk melihat pemandangan gunung Kinabalu yang sentiasa menarik dan menawan.

Sayang sekali, puncak gunung dilitupi kabus. Kami datang agak lewat. Semilir angin pergunungan terasa agak dingin. Sebelum kami meneruskan perjalanan ke Kota Belud, kami sempat merakamkan kenangan di kaki Gunung Kinabalu, yang pada waktu itu,puncaknya tidak kelihatan.

No comments: