Sunday, July 1, 2018

Oya ba doom na, kemut tigom-tigom na, catatan mengenai sepotong kalang sama

CATATAN MENGENAI KALANG SAMA DAN BAHASA BAJAU

“Oya ba doom na, kemut tigom-tigom na”. Ini sepotong kalang sama yang mengingatkan saya kepada seorang kawan di Tuaran. Namanya Sabli Nasi. Pada satu hari kira-kira lapan tahun yang lalu, kami pernah berbincang mengenai kalang sama. Kalang sama adalah seni puisi rakyat bagi masyarakat Bajau Sama. Hanya mereka yang menguasai bahasa bajau klasik boleh memahami kalang sama dengan baik.. Ini kerana dalam kalang sama itu terdapat falsafah hidup orang bajau, world view dan sebagainya.

"Oya ba doom na, kemut tigom-togom na". Kalang yang diucapkan untuk bertanya khabar. Doom ertinya perasaan. kemut tigom-tigom na membawa tersenyum seperti mulut tiram? . Tigom bermakna tiram. Jadi bayangkan bagaimana tiram tersenyum. Ini membuktikan kehidupan orang Bajau dekat dengan dunia maritim.

Saya teringat serangkap lagi  kalang sama. `Dela si tutum puti', magligutum pandai bi'. Yang  secara harfiah bermakna  lidah tidak bertulang boleh menuturkan apa saja. Serangkap kalang yang perlu direnung-renungkan maknanya.

Sebenarnya, banyak juga perkataan Bajau sama yang sudah  diserap ke dalam bahasa Melayu.Antaranya tunu' ertinya bakar.Istilah ini dipinjam untuk penunu, istilah sains. neba atau Teba-teba yang ertinya berjalan mencari sesuatu di pinggir pantai. Boleh dibahaskan kemudian mengenai perkataan ini. satu lagi perkataan ialah sabau, istilah yang bermaksud menumpahkan kuah ke nasi. Istilah ini, kata denakan Sabli, tiada dalam bahasa Melayu.

Kalang sama memang menarik. Menurut arwah Ayahanda  saya Haji Shaiddin Haji Mohd Hashim,  kalang sama menggunakan bahasa klasik sama dari sumber asalnya. paling menarik ialah penemuan bahawa 70 peratus bahasa kalang sama itu adalah bahasa yang dituturkan orang kegayan, (jama mapun) yang menunjukkan bahawa mungkin dahulu, orang bajau yang kini banyak sukunya itu menggunakan satu bahasa.

 Biduk kupang kalam na, nungiling dudun kasi, minsan lungai salam na, lindu tintom masi. biduk ertinya perahu., ini kalang Saudara Lamsari yang dikirimkannya kepada saya.

Kalam ertinya tenggelam. lungai ertinya hilang. Bahasa kalangnya `lungai’, bahasa sehari-harinya `rungai”  tintom ertinya masih diingati. Walaupun biduk atau sampan yang tenggelam, tapi orang atau kekasihnya masih juga dirindui.

Kemudian saya teringat pula perkataan “mengkak”  dan “ mengkulung”. Apa yang dikatakan mengkak dan apa yang dikatakan mengkulung.Situasi yang hampir serupa dan tidak mempunyai perbezaan yang terlalu ketara, dalam masyarakat Bajau Kota Belud dapat digambarkan dengan peribahasa ini. Iyan mengkak, eyan mengkulung. Orang Bajau di Bandau pula memerikan mengenai keadaan yang hampir sama dengan peribahasa ini.

Eyan bida' ni baa ngko kalimbubut. Kalimbubut ialah perkataan Bajau untuk bisul. Tetapi jika di Kota Belud, Kalimbubut adalah Bisul yang tumbuh dari bawah pusat ke ke kaki.

Bisul yang tumbuh dari bahagian Pusat  ke atas dipanggil Biring. Tetapi Bisul yang tumbuh di dalam bahagian dalam organ tubuh kita dipanggil `Baa'. Jadi apa bezanya Baa ngko kalimbubut? Jika kedua-duanya bermakna bisul, yang satu bisul di luar manakala yang satu lagi bisul dalaman. Tak ada bezanya.Kedua-duanya bernanah, kata ayah saya.

No comments: