Thursday, September 6, 2018

SINGGAH DI PULAU BUNAKEN, SEBELUM MENINGGALKAN KOTA MANADO

SINGGAH DI PULAU BUNAKEN, SEBELUM MENINGGALKAN KOTA MANADO


SEBELUM pulang meninggalkan Kota Manado, kami tidak mahu melepaskan peluang ke Pulau Bunaken,yang terletak kira-kira 45 minit perjalanan dengan bot dari Tasik Ria Resort,di Desa Mokupa,  tempat kami menginap pada malam terakhir di Sulawesi Utara.


Jadi, sejak awal pagi lagi kami sudah berkemas. Check out. Mendaftar keluar dari hotel. Meletakkan bagasi di kaunter untuk diuruskan concierge. Kemudian sarapan di restoran yang terletak di tepian Teluk Manado.

Sarapan dalam dakapan pagi yang cerah itu, biarpun menyelerakan, tidak dapat mengusir keinginan kami untuk segera ke Bunaken, pulau yang menyimpan keajaiban alam yang sungguh mempesona.


Penolong Pengurus Tasik Ria Resort, Hartini Mochtar menyapa kami dengan ramah. Hartini, orang Jawa Tondano. Dia masih keturunan Kyai Modjo, salah seorang ulama dari Pulau Jawa yang diasingkan oleh Belanda  ke Sulawesi Utara bersama 63 pengikutnya pada tahun 1829.

Sebelum melompat ke dalam bot yang disediakan, saya terdengar seseorang menyebut nama saya, Nadin. Saya biasa dipanggil Nadin walaupun sebenarnya nama penuh saya Abd.Naddin. Saya menoleh dan cuba mengamati apa yang diceritakan. Rupanya bukan saya yang dimaksudkan tapi seorang lain bernama Nadine Gorny, seorang perempuan penyelam scuba  yang masih bercuti ketika itu.





Tidak lama selepas itu, kira-kira jam 8.00 kami berangkat ke Bunaken. Sepanjang perjalanan kami menghabiskan masa bercerita sambil menyaksikan keindahan pemandangan, laut yang terbuka luas, misteri hidupan di dasarnya, dan pulau Manado Tua yang penuh sejarah.

Ada juga yang sempat menikmati kopi, ada yang makan mangga. Saya sendiri, bersama Pak Sarip menikmati kacang yang dibeli dari kawangkoan. Banyak cerita menarik mengenai Bunaken, yang diceritakan sendiri oleh pak Joe Watung, pemilik Bastianos Dive Resort.

Bunaken adalah antara syurga penyelaman terbaik di dunia. Memiliki banyak batu karang yang cantik, dan hidupan  laut yang jarang ditemui di tempat lain. Ia sentiasa menjadi pilihan pelancong khususnya penyelam dari seluruh dunia yang berkunjung ke Manado. Bunaken sentiasa berada dalam jadual perjalanan mereka.




Setiap bulan, resort kami dikunjungi kira-kira 100 orang, katanya. Kebanyakannya dari Eropah. Jumlah ini terus bertambah, katanya sambil mnambah. Pihaknya akan memperkenalkan banyak pakej pelancongan yang tentunya menarik minat pelancong.

Bastianos terletak di Pantai Liang, di bahagian barat pulau Bunaken. Sebaik tiba di pulau seluas 8.08 kilometer persegi di Teluk Manado, kami diberikan taklimat oleh Michael Pilkvist, pengurus Resort. 

Katanya, di sekitar Pulau Bunaken itu terdapat Taman Laut Bunaken yang memiliki biodiversiti laut yang terkaya di dunia. Itu sebabnya penyelam skuba sentiasa menjadikan Taman Laut Bunaken pilihan mereka. Di Taman Laut Bunaken seluas 75,265 hektar meliputi lima pulau iaitu pulau Manado Tua, Pulau Bunaken, Pulau Siladen, Pulau Mantehage dan beberapa anak pulaunya dan pulau Naen.


Terdapat sebanyak 20 titik penyelaman (dive spot) di Taman Laut Bunaken. Sebanyak 12 titik selam yang lain banyak dikunjungi penyelam terdapat di Pulau Bunaken. Keindahan pemandangan bawah lautnya, menurut orang orang yang pernah menyelaminya, sukar dibayangkan. Terdapat dinding-dinding karang raksasa yang berdiri secara vertikal dan banyak lagi khazanah laut yang luar biasa keajaibannya dan hanya dapat dinikmati penyelam.

Biasanya pelancong yang datang ke Bunaken, selain menyelam (diving) mereka juga berkeliling (sightseeing) menikmati keindahan taman laut dengan bot katamaran. Sorkeling (berenang memakai alat pernafasan)Ada juga yang rekreasi air, berperahu layar (boat sailing), jet ski atau foto bawah laut (photography Underwater) , bermandi matahari (Sunbathing) dan sebagainya.

Kami rombongan Fam Trip yang terdiri dari agen dan operator pelancongan dari Sabah diketuai Konsul Ekonomi, Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Kota Kinabalu, Ibu Hendro Retno Wulan, harus pulang hari itu juga ke Sabah.  Itulah sebabnya mengapa kami tidak boleh berlama-lama di Bunaken. Kami hanya sempat menghirup udara dan menikmati keindahan pantainya kira-kira sejam sebelum naik semula ke bot untuk Kota Manado seterusnya ke Bandar Udara Dr Sam Ratulangi, menunggu pesawat Batik Air yang akan membawa kami ke Jakarta.

No comments: