Wednesday, October 17, 2018

BALOY MAYO ADAT TIDOENG, KEBANGGAAN KOTA TARAKAN

BALOY MAYO ADAT TIDOENG, KEBANGGAAN KOTA TARAKAN

Kunjungan ke Kota Tarakan mungkin kurang lengkap jika kita lupa berkunjung ke Baloy Mayo Adat Tidoeng, yang terletak di Jalan Yaki Bagu RT 20, No 31, kelurahan Karang Anyar Pantai, Tarakan Barat.
Ada apa di Baloy Mayo?
Baloy Mayo yang didirikan pada 4 April 2004 ini sudah lama menjadi kebanggaan Kota Tarakan kerana ia termasuk salah satu objek  pelancongan yang dikunjungi pelancong dari Asean, Jepun, Cina, negara-negara Eropah dan tidak ketinggalan dari Indonesia sendiri.
Kami merasa bertuah kerana pada kunjungan itu, kami dapat bertemu, tidak lain tidak bukan,  dengan Kepala Adat Besar Tidong Kalimantan, Adji Pengiran H Mochtar Basry Idris.
Baloy Mayo Adat Tidoeng yang juga juga dikenali sebagai Baloy Djamaloel Qiram berjumlah 12 rumah termasuk bangunan rumah besar dan rumah kecil. Ia dibina menghadap ke utara, pintu utamanya menghadap ke selatan, di atas tanah seluas 2.5 hektar. Ia terbuat dari kayu Ulin.








Ia dibina oleh Adji Pengiran H Mochtar Basry Idris kerana keinginannya untuk mengangkat martabat penduduk asli Tarakan iaitu suku kaum Tidung. Beliau sendiri adalah Kepala Adat Besar Tidong bergelar Amiril Pengiran Machkuta Adji Radin Alam. Pembinaan Baloy mayo itu menggunakan biaya sendiri atau dana peribadi.
Kenapa beliau membinanya?
“Kerana saya mempunyai cita-cita ingin mengangkat harkat martabat penduduk asli Tarakan iaitu suku Tidong dan ingin memajukan masyarakat Tidong baik dari segi ekonomi, pendidikan mahupun budaya masyarakat asli Tarakan,” katanya dalam buku terbitan Lembaga Adat Tidoeng Tarakan.
Selepas dirasmikan oleh Gubernur Kalimantan Timur, Bapak Drs Yurnalis Ngayoh pada 4 Ogos 2006, Baloy Mayo itu terus menjadi tumpuan pelancong dari dalam luar negeri.
Baloy Mayo memiliki 4 Ambir iaitu Ambir Kiri, Ambir Tengah, Ambir Kanan dan Lamin Dalom.
Ambir Kiri namanya Ambir Kait atau Alad kait berfungsi untuk menerima tamu atau masyarakat adar yang mengadu perkara masalah-masalah adat. Ambir Tengah dikenali dengan nama Lamin Bantong berfungsi sebagai tempat duduk pemuka-pemuka adat untuk bersidang memutuskan perkara masalah adat manakala Ambir kanan yang dinamakan Ambir Kemagot berfungsi untuk ruang istirehat atau ruang untuk berdamai setelah menyelesaikan persidangan.
Lamin Dalom pula adalah singgahsana Kepala Adat Besar Tidung Kalimantan.
Di belakang Baloy Mayo ada bangunan di tengah-tengah kolam yang diberi nama Lubung Kilong atau Lubung Tamba. Fungsinya adalah tempat untuk menampilkan kesenian asli Tidong seperti Tarian Jepen dan lain-lain. Apabila ada tamu atau acara adat, tarian jepen (Zapin ) ditampilkan di Baloy Kilong itu.
Di belakang Lubung Kilong, ada bangunan besar  yang dinamakan Lubung Intamu , yang menjadi tempat pertemuan masyarakat adar yang lebih besar, seperti upacara pertabalan atau pelantikan pemangku atau Musyawarah besar Pemangku adat seluruh Kalimantan.
Seluruh bangunan rumah yang ada di Baloy Mayo Djamaloel Qiram itu berjumlah 12 rumah. Baloy Mayo itu menjadi kebanggaan Suku Tidung. Barangkali masih ada yang belum tahu mengenai masyarakat Tidung.
Orang-orang sukuTidong sebahagian besar menetap di Wilayah Utara Kalimantan daerah daerah Bulungan hingga Nunukan dan sepanjang pantai Timur Sabah, dari Sandakan ke Tawau.
Jumlah keseluruhan suku Tidong, kira-kira 70,000 hingga 80,000. Menurut pengkaji Jepun, Mika Okushima dalam artikelnya Asal Usul Etnis Suku Tidong dan Penguasa yang musnah di Pantai Borneo Timur Laut yang dialihbahasakan Drs Asnan Sofian, Beberapa suku Tiidong berpindah randah dan kebanyakan mereka tidak lagi menggunakan bahasa nenek moyang mereka. Mereka menetap di Berau, Kutai (Kutai Lama, Sangkulirang, Sangata, Anggana dan lain-lain), Mereka juga terdapat di Pulau Tidong Besar dan Pulau Tidong Kecil di Teluk Jakarta dan terdapat juga di Kepulauann Sulu iaitu di bahagian Selatan Kepulauan Sulu di Sibutu, Simunul, Bungao dan Sitangkai dan lain-lain).
Sebenarnya banyak hal menarik jika kita ingin mengkaji sejarah suku Tidong. Namun dalam kunjungan singkat sebegitu, tidak semua dapat dicatatkan dengan lengkap dan sempurna.
Saya sempat mengitari Baloy Mayo dan bangunan di sekitarnya dan melihat kekayaan khazanah budaya Suku Kaum Tidong yang sempat dilestarikan oleh Adji Pengiran  H Mochtar Basry Idris.
Selepas pertemuan dengan beliau, rombongan Kunjungan Ilmiah Sosek Malindo ke Kota Tarakan yang diketuai Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Alijus Haji Sipil sempat singgah ke Baloy Souvenir Paguntaka untuk membeli beberapa cenderamata untuk di bawa pulang. 

Turut sama dalam kunjungan itu ialah Sahibus samahah Ustaz Datuk Haji Bungsu Aziz Jaafar, Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Hajah Maimunah Haji Suhaibul dan suami,Haji Said Andong, Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Zon Sabah, Haji Samin Haji Ongki dan isteri, Hajah Masni Ali, dan Ketua Pegawai Eksekutif MASwings, Aminuddin Zakaria dan isteri Azwin Abdul Aziz,Pegawai Undang-Undang MPT,Puan Norhayati Amat, Pegawai Penilaian, Haniza Ramlan, Pegawai Penerangan, Jumaat Hassan, Pegawai Jheains Tawau, Ustaz Kahar dan beberapa anggota rombongan yang lain.

Tidak lama kemudian, kami minta diri untuk ke acara selanjutnya, meninggalkan Baloy Mayo yang tersergam menyimpan khazanah budaya Tidong dan menjadi kebanggaan Kota Tarakan.






No comments: