Wednesday, October 17, 2018

DR DAUD YUSOF, TEKAD BEKERJA UNTUK RAKYAT

DR DAUD YUSOF, TEKAD BEKERJA UNTUK RAKYAT

KITA bekerja bukan untuk pemimpin, kita bekerja untuk rakyat, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan, Dr Daud Haji Yusof. Baginya kepentingan rakyat harus didahulukan dan diberi keutamaan. Tidak hairanlah, sejak dipilih sebagai wakil rakyat, beliau menjadikan kegiatan turun padang bertemu rakyat sebagai rutin harian. Sebagai seorang pemimpin yang disenangi oleh rakyat, Dr Daud berazam untuk memberikan khidmat terbaik kepada rakyat yang diwakilinya. Sebagai rekod dalam PRU-14 lepas, Dr Daud Yusof yang bertanding atas tiket parti Warisan Sabah (PWS) menang kerusi DUN Bongawan selepas memperolehi sebanyak 6,912 undi mengalahkan penyandang, Datuk Mohamad Alamin dari Barisan Nasional (BN) yang mendapat 6,117 undi dan calon Parti Harapan Rakyat, Jaafar Ismail yang mendapat 627 undi.
Dr Daud bin Haji Yusof lahir di Kampung Tengah Bongawan pada 22 Januari 1961. Beliau mendapat pendidikan awal di SRK Bongawan dari darjah satu hingga enam. (1967-1972). Selepas itu, beliau memasuki bridge class tahun 1973 sebelum meneruskan sekolah menengah dalam aliran Inggeris dari Form One hingga Form Three di SMK Bongawan. Selepas peperiksaan Lower Certificate of Education (LCE) pada tahun 1977,beliau berpindah ke aliran Melayu  dari Tingkatan empat hingga tingkatan lima dan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 1979. Selepas tamat sekolah menengah,  beliau bekerja di Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) selama dua tahun 1980 hingga 1981. Kerjayanya di Jabatan Perkhidmatan Haiwan  dan Perusahaan Ternak (JPHPT)  bermula pada tahun 1982 dan memiliki pengalaman luas kerana  pernah memegang pelbagai jawatan di jabatan itu. Beliau juga berpeluang melanjutkan pelajaran di Institut Pertanian Bogor dari tahun 1998 hingga lulus tahun 2004. Jawatan terakhirnya sebelum bersara pada tahun 2017 ialah Penolong Pegawai Veteriner di Beaufort. Beliau mula terlibat dalam politik sejak 2004 sebagai Ahli Jawatankuasa Bahagian. Beliau pernah dilantik sebagai Ketua Penerangan UMNO Kimanis sehinggalah mengambil keputusan memasuki Parti Warisan Sabah. Selepas menang kerusi DUN N23 Bongawan, Dr Daud dilantik sebagai Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sabah.
Wartawan  UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemubual beliau di ruang pejabatnya di Wisma Pertanian pada pagi yang cerah.Ikuti petikan temubual bersama beliau di celah celah kesibukannya melayani rakyat:
UTUSAN BORNEO: Bolehkah YB beritahu sedikit latar belakang YB?
DR DAUD YUSOF : Saya dilahirkan di Kampung Tengah Bongawan pada 22 Januari 1961. Saya anak ketiga daripada lapan adik beradik. Ayahanda saya, Haji Yusof Matarsad, seorang petani dan ibu saya, Hajah Mariam Omar, seorang suri rumah sepenuh masa. Kerja ayah sebagai petani juga tidak tentu.Kalau musim tanam padi, mereka tanam padi. Kalau musim getah, orang tua potong getah.
Saya mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Bongawan dari darjah satu hingga darjah enam.
UB: Berapa jauh rumah dari sekolah? Naik apa ke sekolah?
DR DAUD: Jaraknya kira-kira 2 kilometer. Saya bersekolah dengan berjalan kaki. Tahun 60-an itu tak banyak kenderaan seperti sekarang.Lagipula mana kita mampu. Nak dapat basikal pun susah.Seingat saya, kami tidak pernah bawa bekal, tapi sempat sarapan pagi di rumah.
UB: Bagaimana keadaan persekolahan pada masa itu?
DR DAUD: Dulu kalau dirotan di sekolah kerana tidak buat kerja rumah, sia sia kalau kita repot kepada orang tua.Mereka akan tambah merotan kita.Jangan harap kita akan dibela sebaliknya kita akan dirotan oleh orang tua. Murid-murid dahulu takut dengan guru. Kita takut jumpa.Dahulu terdapat beberapa sekolah di Bongawan iaitu SRK Ulu Lumagar, SRK Biging dan SRK Sembiling. Kebanyakan guru tinggal di pekan Bongawan.Mereka ke sekolah dengan berbasikal.Kalau kita berselisih di tengah jalan, kita ucap selamat pagi cikgu, walaupun mereka bukan guru sekolah kita. Murid murid memberi penghormatan tertinggi kepada guru.Kalau dibanding sekarang, keadaannya jauh berbeza.
UB: Siapa rakan seangkatan YB di SRK Bongawan?
DR DAUD: Antaranya Mohamad Basir, kini Penolong Pengarah Bahagian Penyiasatan Lembaga Hasil Dalam Negeri, Awang Mohd Tahir, mantan Pengarah Jabatan Air, kami dari kampung yang sama,
UB: Di mana YB bersekolah menengah?
DR DAUD: Saya masuk Form One di SMK Bongawan, saya terpaksa masuk Bridge Class tahun 1973. Selepas itu, saya meneruskan pelajaran Form One di SMK Bongawan hingga Form Three. Selepas lulus peperiksaan LCE (Lower Certificate Of Education), pada 1977, saya pindah aliran kebangsaan. Tingkatan  empat hingga lima saya masuk aliran kebangsaan.
UB: Ketika bersekolah dulu, tentu ramai cikgu yang mungkin banyak mempengaruhi hidup YB. Siapa antaranya?
DR DAUD: Antara guru saya, cikgu Razak Osman, Cikgu Mohd Yusof, Cikgu Bidin Karman, Ustaz Sharif, itulah antaranya yang pernah membimbing saya. Sebenarnya waktu sekolah, saya seorang murid yang nakal. Bahkan selepas mendapat keputusan yang kurang memuaskan dalam peperiksaan SPM, saya beberapa kali mengulang dan menduduki peperiksaan sebagai calon persendirian. Walaupun sering gagal, saya tidak pernah berputus asa.Ketika itu  saya sudah bekerja. Alhamdulillah, berkat kegigihan dan semangat tidak kenal menyerah akhirnya saya berjaya melanjutkan pelajaran ke Institut Pertanian Bogor dan lulus kedoktoran dalam bidang Veteriner.
UB:  Selepas sekolah menengah, apa langkah YB berikutnya?
DR DAUD:Selepas tamat tingkatan lima,saya bekerja Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS), kira -kira dua tahun dari 1980 hingga 1981. Pada tahun 1982, saya dapat tawaran kerja di Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Perusahaan Ternak (JPHPT)
UB: Berapa lama bertugas di Jabatan Haiwan?
DR DAUD: Saya bekerja di JPHPT  dari tahun 1982 hinggalah saya bersara awal pada tahun 2017. Pada tahun 1986 hingga 1988, saya dihantar ke Keluang Johor untuk berkursus. Selepas itu, saa balik bertugas di Sabah dan pada tahun 1998, saya memasuki Institut Pertanian Bogor (IPB). Mula-mula di Kampus Taman kencana sebelum pindah Kampus IPB di Darmaga dari tahun 2000 hingga 2004.
UB: Mungkin boleh sebut rakan-rakan seangkatan YB ketika menuntut di IPB?
DR DAUD: Antaranya ialah Dr Jamaun Angkap, Penolong Pengarah Veteriner di Kudat, Dr Debra Epun, Penolong Pengarah JPHPT  Keningau,Dr Frankie Thanaji,, Makmal Bioteknologi Veteriner. Rakan senior kami pula Dr Samuel Mopun, Dr Jaidun Mohd Nor, Pengarah JPHPT  Beaufort, Junior kami pula ialah Dr Piddi Marshal, Penolong Pengarah JPHPT  Sandakan, Dr Lawrence Adan, Penolong Pegawai JPHPT di Tawau, Dr Santi, kini bertugas di veteriner di Tawau.
UB: Dimana YB bertugas selepas itu?
DR DAUD: Sepulangnya dari Sabah, saya bertugas Di Pusat Bioteknologi di Keningau dari tahun 2005 hingga 2010.
UB: Kemudian?
DR DAUD: Selepas itu pindah sebagai Penolong pengarah JPHPT  di Beaufort dari tahun 2011 hinggalah bersara awal pada 1 September 2017.
UB: Sejak bila menceburi bidang politik?
DR DAUD: Saya memasuki bidang politik pada tahun 2004. Saya terpilih sebagai Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Kimanis. Selepas itu saya dilantik sebagai Ketua Penerangan UMNO Kimanis.
UB: Apa yang berlaku selepas itu?
DR DAUD: Selepas berbincang dan mendapatkan pandangan dari pemimpin-pemimpin yang lebih senior seperti Datuk Karim Bujang, Datuk AK Aliuddin kebanyakannya positif. Selepas berbincang dengan keluarga, akhirnya saya mengambil keputusan untuk menyertai Parti Warisan Sabah, berdasarkan aspirasi rakyat yang mahukan perubahan. Pada awalnya ayahanda saya agak keberatan, apatah lagi waktu itu BN adalah parti yang kuat. Akhirnya setelah mendengar pandangan, beliau akhirnya bersetuju. Tapi ada sokongan dari sebahagian pemimpin, saya mengambil keputusan keluar parti UMNO dan menyertai Warisan.
 Alhamdulillah dalam PRU-14 lepas, rakyat memberikan kepercayaan saya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan. Boleh dikatakan, saya anak kelahiran Bongawan pertama yang menjadi wakil rakyat di Bongawan. Sebelum ini, ada juga orang Bongawan tapi tidak menang. Yang menang ialah arwah Ghani Bidin, tetapi beliau bertanding dalam pilihan raya kecil ketika zaman PBS.
UB: Masa itu YB yakin menang dalam pilihanraya?
DR DAUD: Ya, saya yakin kerana saa berjuang sejak awal lagi, kerana sebelum itu, saya memang sudah aktf dalam UMNO.
UB: Boleh ceritakan sedikit, apa agaknya antara perancangan YB untuk Bongawan?
DR DAUD: Kita  lihat banyak kawasan tanah pertanian yang belum diusahakan. Kawasan sawah padi yang terbiar, ada lebih kurang 500 ekar yang belum diusahakan sejak tahun 2011.Itu yang berdaftar, banyak lagi yang belum didaftarkan. Banyak lagi kawasan tanah yang dimasuki oleh air masin menyebabkan ia tidak sesuai untuk tanaman padi.
Untuk memajukan sektor pertanian, kita sudah berbincang dengan Jabatan Pertanian, dan Lembaga Pertubuhan Peladang untuk mengusahakan san memajukan tanaman padi  di kawasan Kampung Bunal.Setakat ini ada 100 ekar kita mahu majukan. Kita sudah mulakan dengan meracun rumput, kira-kira dua minggu lalu, kita sudah mulakan pembersihan.
UB: Bagaimana pula dengan nasib nelayan?
DR DAUD: Kita juga memberikan perhatian terhadap masalah-masalah yang dihadapi oleh nelayan di Bingawan.Kita akan cuba membantu mereka dan membela nasib nelayan kecil, yang kebanyakan mereka terancam masalah bot pulat tunda.
UB: Apa beza sebelum jadi YB dan selepas jadi YB?
DR DAUD: Ketika bertugas sebagai kakitangan kerajaan, kita terikat dengan peraturan, antaranya kita mesti masuk pejabat pada jam tertentu tetapi ketika menjadi wakil rakyat, ada sedikit perubahan jadual. Biasanya kita masuk dulu di `kawasan’, jumpa rakyat dahulu, dan bantu selesaikan masalah mereka, beri jalan keluar terhadap masalah yang mereka hadapi. Selepas itu barulah kita ke pejabat untuk menunaikan tugas yang diamanahkan sebagai Pembantu Menteri Perikanan dan Industri Makanan.
UB: Bagaimana YB membahagikan masa? Bila masa terluang?
DR DAUD: Boleh dikatakan penuh, dari hari Isnin hingga ke hari Sabtu dan hari minggu. Kini sudah tidak banyak masa dengan keluarga, itu saya akui. Hari Sabtu atau hari minggu,jika ada jemputan kahwin, kita kena hadir, kecuali kalau kita tiada di kawasan. Itupun, saya pastikan dapat datang juga lebih awal sehari sebelumnya.Kalau majlis kahwin hari Sabtu, hari Jumaat usahakan untuk berkunjung ke rumah bakal pengantin.
UB: Pernah terfikir jadi YB? Apa cita cita sewaktu kecil dahulu?
DR DAUD: Paling-paling waktu itu, saya mahu jadi polis.Zaman kanak-kanak kita cepat dipengaruhi persekitaran kita. Saya tidak pernah terfikir jadi YB. Meskipun orang saya dulu aktif dalam USNO dan apabila Berjaya ditubuhkan, ayahanda salah seorang prngasas Berjaya.Ayah saya mahu anak-anaknya berjaya tetapi dia tidak mahu mengongkong.
UB: Apa hobi YB di masa lapang? Apa jenis sukan yang YB sukai?
DR DAUD: Dulu saya aktif main bolasepak, badminton, hoki dan pernah menjadi wakil sekolah.
UB: Apa motto YB?
DR DAUD: : Kita bekerja bukan untuk pemimpin. Kita bekerja untuk rakyat.
UB: Apa tekad YB sebagai wakil rakyat?
DR DAUD: Kita mahu membela kepentingan dan merubah nasib mereka ke arah yang lebih baik.
UB: Terima kasih YB. Sebenarnya masih banyak soalan yang perlu ditanyakan tapi kerana waktu yang tidak mengizinkan, insyaAllah, kita akan adakan sesi interview pada masa akan datang.
DR DAUD: Terima kasih banyak kerana sudi mewancara saya.

No comments: