Rabu, 17 Oktober 2018

HAJI SAID ANDONG, CERITA PENGALAMAN KETIKA BERSEKOLAH

Tags

HAJI SAID ANDONG, CERITA PENGALAMAN KETIKA BERSEKOLAH
KETIKA berada di Universiti, beliau memilih pengajian Fizik dan Matematik , sesuatu yang jarang dan luar biasa pada ketika itu. Bagi Haji Said Andong, bidang matematik bukanlah sesuatu yang luar biasa. Menurutnya, setiap kali pulang dari sekolah, beliau sering mempraktikkan apa yang dipelajarinya ketika mengajar ayahnya, yang masa itu belajar di sekolah dewasa. Selain itu, beliau juga  sering diminta oleh pakciknya  untuk  tukang kira harga alat perkakas rumah yang dibelinya dari kedai atau kilang. “Akhirnya saya menjadi mahir matematik.” kata Mantan Pengetua SMK Taman Ria Tuaran.  Beliau bersara pada tahun 2018, selepas 35 tahun berkhidmat dalam pendidikan.
Haji Said Haji Andong dilahirkan di Kampung Kulambai, Kota Belud pada tahun 1960. Anak kepada pasangan Haji Andong bin Kalon dan Ikuh binti Rasedin ini mendapat pendidikan awal di NVS Kulambai dari tahun 1965 hingga 1969. Selepas itu, beliau memasuki bridge class atau kelas peralihan di GJSS Kota Belud pada tahun 1970 sebelum melanjutkan pelajaran dalam tingkatan satu hingga tingkatan empat di GSS Kota Belud pada 1971 hingga 1974. Selepas itu, beliau meneruskan pelajaran dalam tingkatan lima di SMK Likas pada 1975. Pada 1976/1977, beliau memasuki matrikulasi UKM di Limauan sebelum memasuki Fakulti Sains Universiti Kebangsaan Malaysia UKM pada tahun 1978. Selepas tamat universiti, Haji Said mengajar di SMK Arshad pada 1983. Pada tahun 1993, beliau dilantik sebagai Penyelia Petang SMK Arshad. Kemudian pada tahun 1996,beliau  dilantik sebagai Penolong Kanan 1, SMK Kudat. Pada tahun 1999, Haji Said dilantik sebagai Pengetua di SMK Tambulion, Kota Belud.Kemudian beliau dilantik sebagai Pegawai Pendidikan Gabungan Kobtar (Kota Belud, Ranau, Tamparuli) pada tahun 2007. Pada tahun 2009, beliau  dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah (KPP) Peperiksaan DG48 di Kota Kinabalu hingga tahun 2011. Bulan November tahun 2012 Haji Said dilantik sebagai Pengetua SMK Taun Gusi DG52 tapi tidak lama, hanya tujuh bulan, kerana pada bukan Julai 2013, beliau berpindah sebagai pengetua di SMK Taman Ria Tuaran hingga bersara pada tahun 2018.
Beliau mendirikan rumah tangga dengan Datuk Hajah Maimunah Haji Suhaibul (kini Pengarah Pendidikan Sabah) pada Disember 1985 dan dikurniakan tujuh cahaya mata.
Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemuramah HAJI SAID ANDONG di ibu negeri untuk berkongsi pengalaman masa persekolahannya dari zaman sekolah rendah hingga menjejakkan kaki ke universiti. Beliau juga bercerita pengalaman selama 35 tahun dalam perkhidmatan pendidikan.Ikuti petikan temuramah bersama beliau.
UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang tuan haji?
HAJI SAID ANDONG (HSA): Saya lahir di Kampung Kulambai pada tahun 1960. Pada tahun 1965 hingga 1969, Saya bersekolah rendah  di SRK Kulambai, Dulu NVS  Kulambai.
UB: Berapa umur tuan haji masa itu?
HSA: Umur saya waktu itu baru lima tahun. Bila cikgu minta saya letak tangan ke telinga, tangan saya ngam-ngam sampai ke telinga. Itu cara menentukan sama ada murid boleh diterima masuk darjah satu atau tidak. Saya diterima kerana tangan saya sampai ke telinga ketika pendaftaran masuk sekolah. Saya didaftarkan oleh Cikgu Zainal Ayub walaupun sebenarnya saya tarik telinga sedikit supaya dapat dicapai oleh tangan saya.
UB: Siapa antara guru sekolah yang mengajar di Kulambai dulu?
HSA: Antaranya Cikgu Unsang binti Raup, Cikgu Lamsin bin Nain, Cikgu Haji Mahali Haji Wakman.
UB: Siapa yang mendorong tuan haji untuk ke sekolah masa itu?
HSA: Waktu itu kita baru merdeka. Bila kita merdeka, orang berebut-rebut masuk sekolah. Saya fikir semangat zaman masa itu, dimana kebanyakan orang ingin bersekolah. Tiada orang lain yang mendorong.Saya terdorong ke sekolah kerana orang-orang masa itu berebut-rebut mahu ke sekolah. Malaysia dibentuk tahun 1963. Saya masuk ke sekolah tahun 1965. Setiap kali saya melewati sekolah dan mendengar lagi Malaysia Kita Sudah Berjaya, setiap hari, saya minta ayah saya hantar ke sekolah. Akhirnya saya masuk sekolah walaupun umur masih belum cukup.
UB: Berapa jarak antara rumah tuan haji ke sekolah?
HSA: Tidak berapa jauh. Ke sekolah pun hanya berjalan kaki saja, Saya tiada basikal kerana tidak mampu beli.
UB: Berapa bekal ke sekolah masa itu?
HSA: Lima sen setiap hari. Dengan lima sen itu bolehlah membeli kuih besina (kuih ubi) yang Ansing. Itu sudah mengenyangkan. Atau beli mee Yang Nuramah. Air minum pula hanya air telaga.
UB: Selepas itu, dimana tuan haji bersekolah menengah?
HSA: Sebelum ke sekolah menengah, saya memasuki bridge class atau kelas peralihan di Government Junior Secoondary Kota Belud selama satu tahun, iaitu pada tahun 1970. Pada tahun 1971 hingga 1974, saya melanjutkan pelajaran menengah di Government Secondary School Kota Belud, yang kini dikenali sebagai SMK Arshad dari tingkatan satu hingga tingkatan empat.
UB: Siapa antara rakan-rakan sekolah tuan haji semasa sekolah menengah di Kota Belud?
HSA: Yang saya ingat, masa itu Datu Tigabelas Datu Zainal Abidin, ketua pengawas sekolah. Rakan-rakan saya yang lain ialah Datuk Ginun Yangus,Masbak Haji Rumashid.
UB: Bagaimana tuan haji ke sekolah? Jarak antara Kulambai dengan SMK Arshad kalau tidak silap saya, agak jauh juga.
HSA: Ketika memasuki sekolah menengah, saya tinggal bersama pakcik saya,  di Kampung Sembirai dari tahun 1970 hinggalah 1985.. Boleh dikatakan saya membesar di kampung Sembirai.Sampai sekarang saya lebih diakui sebagai Anak Sama Sembirai walaupun sebenarnya saya lahir di Kulambai.
UB: Berapa duit bekal ketika sekolah menengah?
HSA: Belanja ke sekolah menengah sebanyak 20 sen. Tapi duit itu hanya digunakan untuk naik kereta pikap sewaktu pulang dari sekolah. Untuk pergi ke sekolah, biasanya jalan kaki saja. Sebenarnya tidak jauh. Dari Kampung Sembirai ke Kota Belud menggunakan jalan rentas hanya sekitar 15 minit saja. Dari Pekan Kota Belud ke SMK Arshad hanya kira-kira satu kilometer. Kalau pergi ke sekolah dengan berjalan kaki, sewaktu pulang, kami akan naik kereta pikup Dembula (Arwah) Subir bin Dumpil kerana masa itu hanya dia saja yang memiliki pikap. Duit 20 sen itu digunakan sebagai tambang kereta  dari Pekan KB ke Sembirai
UB: Hanya setakat tingkatan empat di GSS Kota Belud?
HSA: Sewaktu tingkatan lima, pelajar-pelajar aliran sains di SMK Arshad, kalau tak silap 19 orang semuanya terpaksa pindah ke SMK Likas kerana jumlah pelajar tidak cukup 25 orang seperti yang disyaratkan untuk mewujudkan pusat peperiksaan. Kami mula menempati bangunan baru SMK Likas. Sebelum itu, pelajar SMK Likas sendiri menumpang di sekolah lain. Jadi kamilah yang mula-mula menduduki bangunan baru itu.
UB: Kemudian, selepas tingkatan lima, dimana tuan haji melanjutkan pelajaran?
HSA: Saya memasuki kelas matrikulasi sesi 1976/1977 di UKM Limau-Limauan. Kemudian selepas itu, saya diterima memasuki Fakulti Sains di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang pengajian fizik dan matematik.
UB: Siapa antara rakan tuan haji dari Sabah semasa kuliah di UKM?
HSA: Antaranya Francis Dayah, Ali Ngasio, Sahat Sadikun, kami satu Fakulti fizik dan matematik. Saudara Madrim Tasan, masa itu belajar bidang geologi. Kami satu angkatan. Saya juga satu angkatan dengan Haji Jamalul Kiram Zakaria, yang ketika itu di USM Minden Pulau Pinang.
UB: Apa jenis sukan yang digemari sewaktu di Universiti?
HSA: Bolasepak. Saya bermain di posisi penjaga gol. Sebenarnya saya bukanlah pandai sangat bermain  bolasepak, saya bermain lebih untuk mencukupkan jumlah pemain. Jika saya tidak bermain, tidak cukup untuk membentuk satu pasukan.
UB: Oh ya, sepanjang ingatan tuan haji, siapa antara anak Kota Belud yang berjaya ke universiti masa itu?
HSA: Setakat yang saya tahu, dari Kuala Abai, Sembirai, Suang Punggur, Kulambai, Timbang Dayang,, saya mungkin pelajar antara yang pertama berjaya menjejakkan kaki ke menara gading. Jika tak silap saya lebih dulu dari Cikgu Sirun Siboh. Beliau belajar di Amerika selepas itu. Cikgu Sirun pernah mengajar saya ketika Bridge Class. Jangan bandingkan dengan Kampung Kota Belud atau kampung Taun Gusi, kerana masa itu, mereka sudah ramai yang menjejakkan kaki ke unversiti. Jauh sebelum itu, Datuk Mohd Noor Mansoor sudah lama lulus dari universiti.
UB: Selepas tamat pengajian di UKM, dimana tuan haji bertugas?
HSA: Alhamdulillah. Sebaik tamat pengajian, saya terus menjadi guru di SMK Arshad Kota Belud pada tahun 1983. Pada tahun 1993, saya dilantik menjadi Penyelia Petang di SMK Arshad. Kemudian pada tahun 1996, saya dilantik sebagai Penolong Kanan 1, SMK Kudat. Pada tahun 1999, saya dilantik menjadi Pengetua di SMK Tambulion.
UB: Kemudian, dimana cikgu bertugas?
HSA: Kemudian saya bertugas sebagai Pegawai Pendidikan Gabungan Kobtar (Kota Belud, Ranau, Tamparuli) pada tahun 2007. Pada tahun 2009, berikutan penstrukturan baru, saya dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah (KPP) Peperiksaan DG48 di Kota Kinabalu hingga tahun 2011. Bulan November tahun 2012 saya dilantik sebagai Pengetua SMK Taun Gusi DG52 tapi tidak lama, hanya tujuh bulan, kerana pada bukan Julai 2013, saya berpindah sebagai pengetua di SMK Taman Ria Tuaran hingga bersara pada tahun 2018.
UB: Apa pengalaman pahit manis ketika bertugas dulu?
HSA: Pengalaman paling pahit ialah ketika baru bertugas di sebuah sekolah, tidak perlu disebutkan namanya, prestasi sekolah itu sangat tidak memuaskan dalam peperiksaan PMR dan SPM. Saya terus dimasukkan keWad kecemasan kerana tekanan darah, sampai sekarang saya terpaksa minum ubat. Masa itu, saya baru bertugas di sekolah itu, Saya terpaksa memikul beban walaupun sebenarnya yang patut dipertanggungjawabkan ialah pengetua sebelum saya. Itu antara pengalaman pahit bagi saya.
UB: Apa pula pengalaman manis?
HSA: Antaranya ketika bertugas di SMK Taman Ria Tuaran,.Sekolah kami mendapat penarafan audit Kewangan Cemerlang tahhun 2017. Kami juga mendapar Lonjakan Saujana Penarafan KBAT 4C tempat kedua di peringkat kebangsaan. Tempat pertama SMK Taman Fajar Sandakan. Kami juga menjadi pemenang Pembelajaran Abad Ke 21 PAK21.
UB: Khabarnya walaupun sibuk, tuan haji sempat melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana?
HSA: Saya melanjutkan pengajian untuk MA, Sarjana dalam Pengurusan Pendidikan di UMS. Antara rakan kami, Haji Samin Ongki, Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Zon Sabah.Kamilah yang selalu berdebat dalam kuliah.
UB: Kalau boleh tahu, apa cita-cita tuan haji ketika kecil dahulu?
HSA: Mula-mula saya mahu menjadi doktor perubatan.Tapi keputusan matrikulasi saya kurang memuaskan bagi matapelajaran biologi. Itu sebabnya saya terpaksa pindah ke Pengajian Fizik dan Matematik.
UB: Bagaimana tuan haji boleh meminati subjek matematik ?
HSA: Mungkin kerana sewaktu kecil saya sudah dilatih untuk mengira. Dulu sewaktu sekolah rendah, setiap kali pulang sekolah, saya selalu diminta oleh ayah saya untuk mengajar beliau. Masa itu, ayah saya juga belajar Kelas Dewasa yang dibimbing oleh Cikgu Zainal Ayub Jadi sepulang dari sekolah, tiap tiap hari  beliau meminta saya mengajarnya apa yang saya pelajari.
Selain itu, ketika tinggal di rumah pakcik saya, Bunti bin Kalon, beliau sering meminta saya menjadi tukang kira harga alat perkakas rumah yang dibelinya dari kedai atau kilang. Beliau akan membaca harga dari senarai yang dibelinya dan meminta saya menjumlahkannya.Akhirnya saya menjadi mahir matematik. Pakcik saya ini seorang yang tegas, suka marah. Tapi beliau tidak pernah memukul saya. Suatu hari, saya pernah terlambat pulang rumah. Beliau bersama orang kampunng sudah sibuk mencari saya.. Dari situ, saya faham, bahawa saya tidak boleh lewat pulang. Beliau seorang yang mementingkan ketepatan masa.
Seperti yang saya beritahu tadi,Sejak 1970 hinggalah 1985, saya menetap di Kampung Sembirai, di rumah pakcik saya. Saya lebih dikenali sebagai Anak Sama Sembirai daripada Anak sama Kulambai. Di Sembirai, banyak juga pengalaman . Antara yang saya ingat, saya dan Ustaz Tuhimin lah yang memulakan sembahyang tarawih di Kampung Sembirai pada tahun 1979. Begitu juga ketika pindah ke Kampung Keguraan, kamilah yang memulakan solat tarawih bersama dengan Haji Simbing Maslah dan Arwah Haji Bisari. Satu lagi yang saya ingat, setiap hari raya, melalui Jawatankuasa Sambutan Hari Raya kami akan mengadakan Sambutan Hari Raya setiap tahun, dan kami menjadi satusatunya kampung di Kota Belud yang mengadakan sambutan hari raya setiap tahun dan  tradisi itu masih bertahan sampai sekarang.
UB: Apa prinsip atau motto tuan haji?
HSA: Saya mahu hidup saya tenang bersama keluarga dan anak-anak.
UB: Mungkin tuan haji boleh kongsikan sedikit pengalaman mendidik anak-anak?
HSA: Dalam keluarga, saya selalu mengingatkan kepada anak-anak agar sentiasa menghormati ibu bapa, selalu mengamalkan sopan santun, jangan menggunakan kata-kata kasar dan sentiasa meminta izin jika bepergian ke sesuatu tempat. Mereka dibiasakan dari kecil untuk bersikap santun.
 Ini untuk mengelakkan mereka daripada terpengaruh dengan kebiasaan sebilangan orang dalam masyarakat kita yang suka bercakap  kasar atau kotor.
 Saya fikir, Pendidikan harus bermula dari rumah. Kalau kita tidak dapat pengaruhi orang lain untuk mengubah kebiasaan bercakap kasar atau kotor, kita dapat pengaruhi keluarga kita untuk sentiasa  bersikap santun.