Rabu, 17 Oktober 2018

KRISHNA: SAYA SEPERTI BERADA DI NEGERI SENDIRI

Tags

KRISHNA: SAYA SEPERTI BERADA DI NEGERI SENDIRI
“Saya  tidak merasa berada  di negeri orang. Saya seperti berada di negeri sendiri” kata Konsul  Jenderal Republik Indonesia (KJRI) di Kota Kinabalu, Bapak Drs Krishna Djelani ketika ditanya perasaannya bertugas di Sabah. Katanya, cuaca, budaya di Sabah dan Indonesia hampir sama. Orang-orangnya baik dan  ramah,katanya kepada Utusan Borneo.
Drs. Krishna Djelani, M.A dilahirkan di New Delhi India pada 19 September 1961. Beliau adalah anak kedua dari empat bersaudara.Ayahnya Laksamana Muda (Laksda) Koen Djelani pernah menjadi Atase Pertahanan di Kedutaan Besar Republik Indonesia di New Delhi. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Dasar di Jakarta Selatan sebelum melanjutkan pelajaran menengah di Sekolah Negeri 5, Bandung. Kemudian apabila ayahnya dilantik sebagai Duta Besar Luar Biasa dan Berkuasa Penuh untuk Yugoslavia, Krishna bersekolah di Sekolah Indonesia di Beograde, Yugoslavia. Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran dalam ilmu sosial dan politik di Fakulti FISIP Universiti Padjajaran Bandung.
Kini beliau dilantik sebagai Konsul Jenderal Republik Indonesia di KJRI Kota Kinabalu sejak akhir Februari lepas. Sebelum ini, beliau bertugas sebagai Ketua Perwakilan Indonesia di Konsulat RI Tawau (Oktober 2016-Februari 2018) Direktorat Perlindungan WNI dan Badan Hukum Indonesia (2012 - Oktober 2016). Sebelum itu, beliau pernah bertugas di Kedutaan Besar Republik Indonesia di Bangkok (2008-2012) , Kedutaan Besar Indonesia di Kaherah ( 2000- 2004)  dan Kedutaan Besar Republik Indonesia di Prague Republik Czech (1994 -1998).

Beliau mendirikan rumahtangga dengan Cindy Mayrianti dan dikurniakan dua cahayamata, Livia Djelani dan Vania Djelani.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemuramah Bapak Krishna Djelani di ruang kerjanya di Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Kota Kinabalu. Ikuti petikan temubual bersama beliau.

UTUSAN BORNEO: Terima kasih kerana sudi ditemuramah. Pertama sekali, saya mengucapkan tahniah kepada Pak Konjen, Dirgahayu Indonesia kerana merayakan sambutan Hari Ulang tahun ke-73.  Setiap kali tibanya bulan Ogos, rakyat Indonesia sibuk merayakan sambutan hari ulangtahun kemerdekaan. Apa maknanya Ogos bagi bapak?
KRISHNA DJELANI: Bulan Ogos adalah bulan yang sangat istimewa  bagi Indonesia dan Malaysia kerana menyambut kemerdekaan masing masing  pada bulan Ogos iaitu 17 Ogos untuk Indonesia dan 31 Ogos untuk Malaysia.
Makna Ogos sangat penting bagi kedua bangsa yang kini menikmati kemerdekaan  dan lepas dari belenggu penjajahan.
Tahun ini, dua tema dipilih untuk sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) Proklamasi Kemerdekaan Indonesia yang ke-73.
Saya menghimbau warga Indonesia di Sabah  agar menghayati tema Hari Ulang Tahun Proklamasi  Kemerdekaan Republik Indonesia ke-73 tahun ini iaitu “Energi” dan “Kerja”.
Tema”`Energi” adalah tema pelaksanaan Sukan Asia atau Asian Games XVIII iaitu Energy of Asia sementara tema” kerja” adalah cerminan tekad  pemerintah di bawah Presiden Joko Widodo yang selama selama empat tahun terakhir  sentiasa bekerja ke arah perubahan yang lebih baik. Sepanjang empat tahun Kabinet Kerja, kita belajar untuk membawa Indonesia ke arah yang lebih baik.
Bagi Indonesia yang merayakan Hari Ulangtahun Kemerdekaan yang ke-73 tahun ini, sambutan HUT Proklamasi Kemerdekaan RI ini lebih bermakna kerana Indonesia menjadi Tuan Rumah Sukan  Asia ke-18,  Asian Games XV111
Semarak peringatan HUT RI bersamaan dengan semarak pelaksanaan Asian Games yang diadakan di Jakarta dan Palembang.
Kita berharap dengan tema “ Energi” dan “Kerja” , ia dapat memberikan impak kepada  masyarakat Indonesia agar meningkatkan  semangat bekerja bersama membangun negeri dan semangat menjadi tuan rumah yang baik bagi dunia
UB: Sempena HUT Republik Indonesia ke-73, apa saja kegiatan yang diadakan di KJRI KK?
KRISHNA:Berbagai program diadakan sempena Hari Ulang Tahun Kemerdekaan iaitu bakti sosial (kerja amal), sunatan massal (berkhatan beramai-ramai), ada kegiatan olahraga seperti bolatampar, tenis meja (pingpong), Futsal kanak-kanak, dan sebagainya..
Semua ini kita adakan untuk memupuk rasa persaudaraan, rasa sebangsa di antara kita dan saling mengakrabkan sesama kita.
Selain itu ada upacara pengibaran bendera pada 17 Ogos yang diadakan setiap tahun. Kita mengalu-alukan seluruh warga Indonesia yang berada di Sabah untuk menjayakan lagi upacara sambutan HUT Proklamasi Kemerdekaan Indonesia ke-73.
UB: Tidak lama lagi, pada tahun depan, Indonesia akan melaksanakan pesta demokrasi. Apa seruan pak Krishna kepada masyarakat Indonesia di Sabah?
KRISHNA: Tahun 2019, Indonesia akan melaksanakan Pesta Demokrasi. Kali ini pilihanraya umum akan diadakan secara serentak pada  17 April tahun depan iaitu pemilihan presiden dan pemilihan anggota legislatif  atau parlimen.
Warga negara Indonesia diharuskan melaksanakan kewajiban seterusnya mensukseskan kegiatan pemilihan umum. Mereka yang layak ialah mestilah berumur 17 tahun atau sudah menikah.
Seluruh warga Indonesia dimana saja berada sama ada di dalam negeri atau  di luar negeri mempunyai tanggungjawab untuk menjayakan pemilihan umum.
UB: Berapa jumlah pemilih Warga Indonesia yang boleh mengundi tahun ini? Mana yang lebih banyak jumlahnya, tahun ini atau tahun lalu?
KRISHNA: Diharapkan jumlah pemilih kali ini adalah lebih banyak dari pemilu sebelumnya. Jumlah ini bisa berubah kerana ada juga diantara mereka sudah pulang ke Indonesia. Sebelum ini terdapat kira-kira 159,000 pengundi yang terdaftar. Kita sedang membuat sesi pendaftaran pemilih dan membuat pendataan, tapi belum tentu yang mendaftar itu keluar pada hari pengundian. Saya menggesa agar warga Indonesia di Sabah menunaikan hak pilihnya.
UB: Bagaimana cara pengundian dilaksanakan?
KRISHNA: Ketika Panitia Pemilihan Luar Negeri (PPLN) mengadakan proses pendaftaran, warga yang mendaftar diberikan pilihan, sama ada mereka datang mengundi di Konsulat Republik  Indonesia (KJRI) Kota Kinabalu. Mereka juga boleh mengundi melalui undi pos atau mengundi melalui Kotak Suara Keliling. PPLN akan memastikan berapa ramai yang mengundi di KJRI, undi pos atau kotak suara keliling.
UB: Oh ya pak. Kami ingin tahu mengenai perkembangan Pusat Pembelajaran Komuniti atau Community Learning Centre (CLC). Setakat ini berapa sudah jumlahnya?
KRISHNA: Kini terdapat sebanyak 229 CLC di seluruh Sabah, dengan pertambahan satu CLC di Sandakan. CLC menyediakan kurikulum hingga tingkat Sekolah Menengah Pertama (SMP). Jika mereka mahu melanjutkan ke Sekolah Menengah Atas (SMA), siswa boleh melanjutkan ke SMA di Sekolah Indonesia Kota Kinabalu (SIKK) atau mereka  boleh meneruskan pendudikan di Indonesia.
Pemerintah Indonesia  sangat memberi perhatian kepada bidang pendidikan. Hak setiap anak anak untuk mendapat pendidikan adalah terjamin tidak kira agama atau suku. Hak mereka untuk mendapatkan pendidikan tetap terjamin. Kerajaan Indonesia menyediakan guru dan kurikulum untuk kemudahan siswa.
UB: Bagaimana kerjasama yang ditunjukkan oleh Kerajaan Malaysia khususnya di Sabah mengenai isu-isu pendidikan seperti menubukan CLC?
KRISHNA: Kerjasama yang diberikan sangat baik sekali. Kami sangat berterima kasih kepada Kerajaan kerana memberikan keizinan atau kebenaran KJRI untuk mendirikan CLC. Selain itu, syarikat-syarikat perladangan kelapa sawit memberikan kerjasama penuh, menyediakan tempat belajar dan megajar di kawasan mereka.
UB: Kalau dulu, banyak sekali laporan mengenai permasalahan yang melibatkan tenaga kerja warga Indonesia di Sabah. Bagaimana situasinya sekarang pak?
KRISHNA: Masalah melibatkan tenaga kerja Indonesia di Sabah memang masih ada dari waktu ke waktu. Ada masalah melibatkan imigresen, permit kerja, ada permasalahan mengenai gaji yang tidak dibayar, ada yang bayar gaji yang rendah dan tidak sesuai dengan perjanjian.  Ada kes mengenai pekerja yang masih dapat gaji sekitar RM300 walaupun sudah tiga tahun bekerja. Isu-isu ini seperti inilah yang cuba kita bantu untuk menyelesaikannya.
UB: Berapa jumlah aduan yang diterima dalam sehari?
KRISHNA: Setiap hari kami menerima satu atau dua aduan melibatkan pekerja Indonesia di Sabah. Kebanyakan mereka bekerja dalam bidang perkebunan atau perladangan sawit, ada juga yang bekerja sebagai nelayan, kerja dalam bidang pembinaan, kilang atau pabrik dan ada pula yang berkerja sebagai pembantu rumah tangga.
Alhamdulillah, selama kita berurusan dengan jabatan  dan pegawai kerajaan, mereka memberikan kerjasama yang baik . Terima kasih. Kita bersyukur kerana pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) , Jabatan Imigresen, Jabatan Buruh dan jabatan jabatan lain yang sangat koperatif, memberi kerjasama dan sangat membantu.
UB: Misalnya ada warga Indonesia yang kehilangan pasport atau pasport mereka tamat tempoh, bolehkah mereka datang membuat permohonan di KJRI KK?
KRISHNA: Warga Indonesia dipersilakan datang pada bila-bila masa ke KJRI KK. Memang tugas kita adalah memberikan layanan dan perkhidmatan kepada warga Indonesia di luar negeri. Bagi mereka yang kehilangan pasport, tidak mempunyai dokumen, mereka boleh datang ke KJRI KK untuk membuat permohonan asalkan mereka dapat memberikan bukti yang menunjukkan mereka warga Indonesia. Kita akan periksa dan verifikasi. Jika kita yakin mereka warga Indonesia, pasti berikan pasport. Bagi mereka yang memiliki pasport tetapi tamat tempoh atau tidak berlaku lagi, mereka boleh datang untuk membuat permohonan baru di KJRI Kota Kinabalu.
Salah satu tugas utama KJRI Kota Kinabalu adalah memberikan perlindungan terhadap Warga Negara Indonesia khususnya yang tinggal di Sabah.
Perlindungan  bagi warga negara itu, antaranya perlindungan dari segi administrasi pernikahan. Masih ada yang belum memiliki buku nikah rasmi sehingga tidak boleh membuat dokumen peribadi mahupun keluarga seperti kartu keluarga, akta kelahiran (Surat lahir) Kartu Tanda Penduduk KTP (Kad pengenalan) mahupun pasport. KJRI juga mempunyai program itsbat nikah untuk membantu warga Indonesia mendaftarkan pernikahan mereka secara sah.Tugas konsulat adalah memelihara rasa nasionalisme watak dan karakter bangsa.KJRI adalah  rumah dari warga Indonesia sesiapapun boleh datang untuk silaturahim. Kita sentiasa terbuka. Apa yang dikeluhkesahkan masyarakat kita layani
UB: Selepas beberapa bulan bertugas di Kota Kinabalu, apa komen bapak terhadap suasana di KK? Apa bezanya dengan tempat bertugas sebelum ini?
KRISHNA: Saya sudah enam bulan di Kota Kinabalu. Sebelum ini saya bertugas selama satu tahun lima bulan di Tawau. Jika dibandingkan dengan Tawau, Kota Kinabalu lebih besar, lebih luas dan lebih formal. Kalau di Tawau, kalau mahu jumpa, kita hanya perlu angkat telefon dan tak ada masalah untuk berjumpa. Kalau di KK, kerana kesibukan , kalau mahu bertemu, kita terpaksa buat temujanji lebih dahulu.
Hubungan saya dengan pegawai pegawai kerajaan di Sabah  amat akrab. Saya rasa senang hati.Kalau mahu ditanya apa perasaan saya, my first impression ialah saya tidak merasa di negeri asing. Saya seperti berada di Indonesia kerana cuacanya sama, budayanya hampir sama, orang-orangnya ramah, saya tiada kesulitan untuk mencari makanan Indonesia.
Sebelum ini saya pernah bertugas di Prague, Republik Czech. Saya pernah bertugas di Kaherah Mesir.,Saya sudah pernah bertugas di Bangkok Thailand , tapi yang paling saya senang ialah di sini, di  Kota Kinabalu.
Di Prague, Republik Czech cuacanya minus 15, sulit cari makanan yang halal, cari masjid pun sulit.
Di Cairo, cuaca kadang-kadang panasnya 40 hingga 45 darjah. Dari segi makanan tak ada masalah kerana banyak makanan halal. Di Bangkok, Thailand pula, saya sulit cari makanan halal. Kecuali kalau berada di kawasan Muslim.
Di Sabah, saya merasa seperti berada di negara sendiri. Malah satu ketika, saya rasa teruja mengikuti Festival Budaya Antarabangsa di Tawau, yang disertai oleh masyarakat  berbilang etnik di Tawau. Apabila mereka mengadakan perarakan, saya melihat sekurang-kurangnya 10 etnik di Tawau berasal dari Indonesia. Antaranya ada keturunan Bugis, keturunan Jawa, Manado, Wakatobi, Buton, Bulungan dan sebagainya. Mereka masih memelihara budaya nenek moyang mereka. Saya merasa berada di rumah sendiri. I feel at home.
UB: Apa harapan bapak terhadap hubungan bilateral antara Sabah dan Indonesia?
KRISHNA: Kita akan meningkatkan hubungan ekonomi, sosial dan budaya antara Indonesia dan Sabah.Kita harap lebih ramai pelancong dari Sabah berkunjung ke Indonesia dan begitu sebaliknya. Di Indonesia, banyak tempat yang boleh dikunjungi untuk tujuan wisata, bisnis, sosial,pendidikan dan sebagainya.
UB: Apa hobi pak Konjen jika ada masa lapang?
KRISHNA:: Hobi saya olahraga. Kalau ada masa lapang, hobi saya naik sepeda (basikal) Biasanya hari Sabtu dan Minggu saya istirahat. Hari Isnin hingga Jumaat saya bekerja.
UB:Akhir sekali, apa nasihat Pak Konjen kepada warga Indonesia di Sabah?
KRISHNA: Kita di sini sebagai tamu. Pandai-pandailah membawa diri seperti kata pepatah “Di mana bumi dipijak disitu langit dijunjung”.
Saya menasihatkan masyarakat Indonesia agar sentiasa menjaga nama dan martabat bangsa Indonesia. Hormati dan patuhi undang-undang dimana mereja berada.Selain itu, sebagai warga Indonesia juga mereka harus mentaati hukum Indonesia
Saya menghimbau  agar warga Indonesia di perantauan meningkatkan persaudaraan, jangan saling bergaduh antara kita.
Tahun depan , kita akan mengadakan Pesta Demokrasi atau pemilihan umum.Saya juga berharap, seluruh warga Indonesia di Sabah agar  menunaikan haknya untuk berpartisipasi atau mengundi  dalam pesta demokrasi pada tahun 2019.
UB: Terima kasih pak kerana sudi ditemuramah.
KRISHNA: Terima kasih kembali.