Sunday, December 30, 2018

BUDAYA DAN EKONOMI HARUS SEIRING: ISMAILY BUNGSU

BUDAYA DAN EKONOMI HARUS SEIRING: ISMAILY BUNGSU

TIDAK BERLEBIHAN, jika dikatakan semua orang sastera, orang budaya, orang teater, orang seni, dan banyak jenis orang lagi, mengenali Haji Ismaily Bungsu. Beliau sebenarnya tidak peru diperkenalkan lagi. Terlibat aktif dalam bidang sastera, seni dan budaya sejak 70-an lagi, Ismaily sudah lama menjadi penggerak utama kegiatan sastera dan budaya di negeri ini iaitu selama kira-kira 27 tahun. Beliau menulis puisi, menghasilkan buku hasil pemikiran dan  renungan budaya, Ismaily  pernah menjadi Pengelola Kebudayaan di Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan. Kini masa jeda kira-kira 10 tahun, Ismaily atau dikenali Bang Maily di kalangan rakan-rakannya, kembali diberikan tanggungjawab dan amanah sebagai Pengerusi Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) berkuatkuasa 1 September 2018.

HAJI ISMAILY BUNGSU dilahirkan di Kampung Brunei Membakut pada 15 Mac  1956. Beliau mendapat pendidikan awal di SRK Kampung Brunei Membakut sebelum melanjutkan pelajaran menengah di SM St Patrick Membakut dan kemudian ke SM St John Beaufort. Selepas itu, beliau melanjutkan pengajian ke Yayasan Sabah-Institut Teknologi Mara (YS-ITM) sebelum meneruskan pendidikan di Lembaga Pendidikan Kesenian Jakarta (LPKJ). Ismaily pernah bekerja sebagai kerani di Jabatan Kerja Raya (JKR) sebelum berpindah ke Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) sebagai Penolong Pengelola Kebudayaan dibawah Datuk Haji Shuhaibun Yussuf dan kemudian dilantik sebagai Pengelola Kebudayaan Sabah. Beliau terlibat dalam pengurusan kebudayaan selama kira-kira 27 tahun.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemuramah Haji Ismaily Bungsu di pejabatnya di Tingkat 4 Wisma Budaya,  Kota Kinabalu. Ikuti petikan temuramah mengenai pengalaman masa kecil beliau, pengalaman dalam kerjaya dan penglibatan dalam politik dan kemudian misi dan visi dalam bidang kebudayaan.

UTUSAN BORNEO (UB) : Bolehkah tuan ceritakan sedikit mengenai latar belakang tuan haji?
HAJI ISMAILY BUNGSU (HIB): Saya dilahirkan di Kampung Brunei Membakut pada 15 Mac 1956. Saya hanya ada kakak dan adik, Datin Dr Raisah Haji Bungsu. Ada dua abang angkat tapi dah meninggal. Ayah saya Bungsu bin Satang manakala ibu saya bernama Halimah Arif. Kerja sebagai petani,nelayan dan tukang rumah.Saya ada darah Brunei, Dusun, Bisaya dan ada darah Iban juga.

UB: Di mana tuan haji mendapat pendidikan awal?
HIB: Saya mula bersekolah rendah di SRK Kampung Brunei Membakut dari darjah satu hingga enam.



UB:  Naik apa ke sekolah? Jalan kaki?
HIB: Saya berjalan kaki dari kampung setiap hari, sejauh kira-kira dua kilometer melalui sawah padi, dan melewati hutan untuk ke sekolah.

UB: Jam berapa bangun pagi?
HIB: Saya bangun awal setiap hari. Saya ini anak orang miskin.Usia tujuh tahun, bangun subuh, bantu ibu masak, goreng kuih pisang. Kemudian keliling kampung Brunei jual kuih tanpa sepatu. Sebab sepatu hanya satu. Takut kotor. Sebab kalau kotor cikgu marah. Jalan kampung masa itu belum di tar.

UB: Masih ingat nama cikgu sekolah rendah?
HIB: Antaranya arwaj Talib Alias, Osman Sulaiman, Jais Mohamad, Dr Yasin Amit, Talib Kirah,  Jainab Kirah dan ramai lagi.

UB: Selepas sekolah rendah, di mana tuan haji bersekolah menengah?
HIB: Saya bersekolah di St Patrick Membakut. Dari kampung ke St Patrick, saya biasanya naik kereta pickup atau naik basikal.

UB: Siapa-siapa yang pernah mengajar tuan haji di sekolah menengah?
HIB: Di SMK pula, antara cikg saya, ialah Father David,, Mrs Alabajo, John Moi, dan banyak lagi guru-guru dari kalangan  orang putih dan India. Dari St Patrick, saya bersekolah di St John Beaufot. Saya berjalan kaki sejauh dua kilometer kesekolah

UB:Siapa nama rakan rakan sekolah kalau masih ingat?
HIB: Lagai kirah, Datuk Shari Nazir, Saili Mahali, arwah Salleh Mahali, Zainab Hassan, Gani Kirah

UB: Selepas sekolah menengah, di mana tuan haji melanjutkan pelajaran?
HIB: Saya melanjutkan pelajaran di YS-ITM kemudian ke Lembaga Pendidikan Kesenian Jakarta (LPKJ).
UB: Di mana tuan haji kerja selepas sekolah?
HIB: Sebelum masuk ke YS-ITM, saya sempat bekerja sebagai kerani di Jabatan Kerja Raya. Selepas  itu saya bekerja di Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan Sabah (KKBS).

UB:Boleh ceritakan sedikit bagaimana mulanya tuan haji  terlibat dalam bidang kebudayaan?

HIB: Ketika berusia 10 tahun hingga ke sekolah menengah, saya minat sangat melukis. Di sekolah menengah, saya pernah terlibat membuat pameran seni lukis. Selain itu, saya suka baca buku-buku sastera. Di kampung juga, saya ikut kumpulan pancaragam.Main muzik dan menyanyi. Tapi nyanyi selalu sumbang.
Bila kerja di KK, saya menubuhkan Anak Seni bersama Marzuki Ali. Kmai terlibat dalam kegiatan tetaer, menulis, berlakon dan sejak itu mula giat dalam semua bidang kesenian. Saya terus aktif ketika menjadi pelajar di YS-ITM atau sekarang dikenali UiTM. Itulah mulanya saya terlibat dalam bidang budaya.

UB: Selepas YS-ITM, di mana tuan haji berkhidmat?
HIB: Saya berkhidmat di Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan Sabah (KKBS). Saya rasa agak teruja kerana ketika itu, tiba-tiba saya ditawarkan jawatan nombor dua di KKBS. Saya mula aktif di peringkat negeri, kebangsaan dan  antarabangsa . Kemudian selepas itu, saya dilantik mengetuai hal ehwal kebudayaan sebagai Pengelola Kebudayaan di Sabah.Itulah sejarahnya.

UB: Tapi kemudian tuan haji berhenti kerja. Tahun berapa?
HIB: Saya berhenti kerja sekitar tahun 2007, kesan dari sedikit bertelingah dengan mantan CM lalu saya memilih bebas. Itulah saatnya saya berhenti semua kegiatan. Tapi sebenarnya secara diam diam saya mengajar seni di UiTM Sabah, UNIZA, Matrikulasi Labuan, UMS dan sesekali Universiti Malaysia Kelantan. Kesannya, UiTM muncul tiga kali juara kebangsaan, Matrikulasi sekali juara kebangsaan. Universiti di Terengganu, sekali muncul juara kebangsaan, UMS berulang-ulang jadi juara, naib juara dan saya lahirkan dekonis, aktor terbaik kebangsaan.

Saya empat kali mewakili Malaysia baca puisi antarabangsa dan enam kali mewakili negara ke Festival Kesenian antarabangsa.

UB: Dengan jasa bakti sebanyak itu, apa pingat yang tuan haji pernah perolehi?
HIB: Saya pernah ditawarkan anugerah pingat, tapi saya menolak kerana merasakan diri saya belum layak. Saya mengajar seni di mana-mana pun, saya menolak bayaran. Cukuplah dengan hadiah, pelajar yang saya bimbing, muncul juara.

UB: Maaf tuan haji. Saya belum jelas apa yang terjadi pada tahun 2007, yang menyebabkan tuan haji mengambil keputusan berhenti kerja.
HIB: Apabila saya dianggap melawan kerajaan, saya ditendang macam bola. Tak bergaji selama 10 bulan, di buang ke jabatan agama, kemudian dibuang ke Kementerian Sosial tapi di kementerian sosial, menterinya tak mahu terima saya. Kesan pembangkangan selama hampir 11 bulan saya tidak ada pejabat. Saya terfikir mahu balik ke jabatan agama atau sebaliknya.. Akhirnya saya memilih untuk berhenti.

UB: Selepas itu?
HIB: Selepas berhenti, atas restu Anwar Ibrahim (Datuk Seri), saya memegang jawatan Ketua Penerangan PKR. Kemudian Datuk  Lajim (Datuk Seri Panglima Lajim) melantik saya sebagai Pengarah Komunikasi sebelum saya mengambil keputusan bersara dari politik.
Akhirnya, apabila Datuk Seri Shafie Apdal mengajak saya kembali ke politik, untuk membantu beliau.Itulah sejarahnya.

Ketua Menteri sekarang hubungi saya mohon bantu. Ini sebelum penubuhan  warisan lagi. Kerana beliau kawan lama, saya bekerja membantu beliau hingga beliau berjaya  dan menduduki kerusi CM. Kesan daripada kerja keras itu, saya dimaki hamun, dihina dicerca dikutuk malah pernah disaman satu juta.

UB: Itu sebabnya tuan haji berhenti dari kegiatan seni?
HIB: Saya sebenarnya tak boleh berhenti. Ada saja jemputan tapi secara rahsia sebab saya digam. Saya diperhatikan hingga ada yang  tak mahu jemput saya, termasuk dalam  kegiatan seni, kerana dicap lawan kerajaan

UB: Apa cerita selepas kerajaan baharu terbentuk?
HIB: Sesudah berjaya, dan kerajaan baharu memerintah, saya diamkan diri, tak mahu dekati mana-mana politikus, Yang Berhormat termasuk ketua menteri, saya  tak pernah jumpa tapi tiba-tiba, saya  diletakkan sebagai pengerusi Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS). Saya bersyukur.Alhamdulillah.

Sebelumnya saya katakan saya tak mahu apa-apa  jawatan CEO meski diletak di mana-manapun, tapi jika ada peluang , saya diletakkan di bidang yang saya minat tapi bukan CEO,  jawatan ada kuasa dan boleh ubah sesuai dengan visi kerajaan, saya pertimbangkan. Itulah ceritanya, saya diletakkan sebagai Pengerusi LKNS.

UB:Apa misi dan visi tuan haji dalam usaha mengangkat kebudayaan di negeri Sabah ke tahap yang lebih tinggi?

HIB: Visi saya sejak dulu tak tertunai ialah mahukan budaya dan ekonomi jalan seiring.

Rakyat mesti diberi kefahaman soal atau maksud budaya bukan sekadar tarian tapi merangkumi semua  termasuk norma nilai, bahasa, adat istiadat, politik, undang-undang, hormat, sikap, cara hidup, pendidikan dan ada seribu satu macam lagi.

Saya mahu bina sekurang-kurangnya lima hingga enam  kampung budaya di Sabah dan di setiap kampung, ada kegiatan seni lukis, ukir, tari, anyaman, permainan rakyat, lagu-lagu rakyat. Ada tempat tinggal ala kampung tradisi  untuk menarik pelancong datang   seperti kampung sendiri. Ada dewan,  ada restoran, masakan tradisi dan macam-macam.

Jangan lupa, Negeri Sabah memperolehi sekitar RM7 bilion hingga RM8 bilion, hasil  pelancongan dan kampung budaya ini, boleh menjadi salah satu sumber pendapatan.



UB: Menarik sekali tuan haji. Bagaimana cara mewujudkan impian itu?
HIB:  Sebenarnya saya sudah berbincang dengan pelabur yang sedia melabur dan Kerajaan tak perlu mengeluarkan dana, cuma sediakan  lokasi atau tapak untuk kampung budaya itu. Syaratnya, ada sungai, ada  laut sesuai dengan budaya cara hidup orang kita , yang mesti ada sungai dan laut.Hasil pendapatan saya cadang 30% kepada kerajaan negeri, 10% disalur kepada kebajikan dan yang lain milik pelabur.

Melalui cara ini, kita  dapat beri peluang pekerjaan anak bangsa kita dan sekaligus tambah  sumber ekonomi.Makanya ,  kita bercakap hebat soal kesenian dan budaya tapi poket kosong dan hidup miskin tak guna.

UB: Saya sangat tertarik dengan idea tuan haji.
HIB:  Kita banyak seni budaya asli dan bukit, gunung, laut, pulau tercantik. Kenapa  sumber yang hebat ini , tak diguna naikkan budaya sekaligus makmurkan negara kita yang ada pelbagai bangsa, walau berbeza kepercayaan dan agama tapi semua hidup aman bahagia.

UB:  Apa respon kerajaan baharu terhadap isu isu kebudayaan?
HIB: Sebenarnya, semua ini adalah kehendak CM juga tapi dia mahu saya  usahakan dulu dan terus gerakkan, beri tumpuan kepada  kesenian etnik Sabah. Malah CM beberapa kali telefon, sebut mengenai kesenian etnik yang perlu digerakkan segera. Itu sebabnya saya sudah berkeliling Sabah sebagai langkah merealisasikan cita-cita itu.

UB: Oh ya. Dulu waktu kecil, apa cita-cita tuan haji?
HIB: Saya bermati-matian mahu jadi renjer jabatan Hutan. Arwah Datuk  Dzulkifli Hamid rekomen tapi tak dapat. Kemudian saya mohon jadi inspektor polis. Saya dapat  tapi keluarga pula tak mahu.

UB: OK. Soalan terakhir tuan haji. Apa nasihat atau petua orang tua yang masih melekat hingga sekarang?
HIB:  Orang tua saya selalu berpesan, berbuat baik. Jangan meminta. Jangan  cakap kasar sama orang tua. Jangan  cakap kata `kau’ sama orang tua. Senyum selalu. Datang ke rumah orang jangan  banyak cakap, duduk diam-diam.Jangan  meningkah kata  di kala orang tua  bercerita. Bantu orang susah. Biar orang aniaya kita tapi jangan balas,serah kepada Allah. Ini ajaran ibu ayah, saya cukup saya ingat.

No comments: