Sunday, December 30, 2018

BUDAYATRADISI TIDAK DILUPAKAN DALAM KARNIVAL PELANCONGAN DEDSAAN

BUDAYATRADISI TIDAK DILUPAKAN DALAM KARNIVAL PELANCONGAN DEDSAAN

SEBENARNYA banyak hal menarik yang boleh disaksikan dalam Karnival Pelancongan Dedsaan yang diadakan di Dedsaan Beach Village (DBV) di Suang Kila, Kampung Rampayan Laut Kota Belud, yang terletak kira-kira 78 km dari Kota Kinabalu.

“Inilah pertama kali saya ikut tarian berunsai. Saya rasa seronok sekali. Runsai bukan sesuatu yang susah. Saya dapat mengikuti rentak runsai dengan mudah, “ kata seorang pengunjung dari Kota Kinabalu.

Runsai adalah sejenis tarian tradisi yang popular di kalangan masyarakat Bajausama, dan turut popular juga di kalangan masyarakat Iranun, yang biasanya menjemput penari-penari runsai untuk memeriahkan lagi majlis keramaian seperti perkahwinan dan sebagainya.

“Saya rasa sangat beruntung, dapat menyaksikan dan ikut menari runsai,” kata Liew yang pertama kali berkunjung ke Kampung Rampayan Laut. Minatnya untuk datang itu apabila ternampak iklan yang dipasang, mempelawa kehadiran orang ramai ke program itu.

Selain runsai, turut diadakan ialah persembahan kulintangan. Permainan kulintangan itu bukan saja menarik perhatian ramai termasuk penduduk kampung yang dikenali kerana kemahiran mereka bermain kulintangan tetapi yang banyak mempesonakan ramai orang ialah kelibat 7 remaja, anak-anak dari Kampung Lentigi, yang berjaya mempersembahkan permainan kulintangan dengan begitu menarik sekali.

Adalah sesuatu yang amat mengujakan melihat kanak-kanak memalu gendang, gong, dengan titikan dan paluan bebendir yang sangat memukau.

Inilah salah satu daya penarik karnival pelancongan Dedsaan itu. Meskipun banyak pertandingan yang diadakan namun seni dan kesenian tradisi tidak dilupakan dan dilaksanakan sebagai salah satu acara persembahan dalam karnival itu.

Satu lagi yang menarik ialah permainan sepak manggis atau dalam bahasa Iranun dikenali sebagai Ka Sipa Sa Manggis. Permainan ini adalah permainan tradisi yang popular sejak dahulu lagi. Bahkan permainan ini turut disebut dalam epik Darangen, yang mengisahkan bagaimana paramata Bantogen, tokoh utama dalam cerita itu bermain sepak manggis.

Sipa sa manggis ini diambil sempena nama manggis yang dibentuk bulat bujur  dan digantung pada tiang yang diperbuat daripada buluh Apabila pemain menyepak ke arah manggis menggunakan `dsipa’ maka timbul nama bagi Sepak Manggis.

Permainan ini menjadi budaya masyarakat Iranun bukan saja semasa acara penting seperti majlis perkahwinan, perayaan dan menunaikan nazar.

Buah manggis yang diperbuat daripada kayu, dawai, kertas bewarna, biasanya diisi dengan makanan, kain, sapu tangan dan duit. Buah manggis diikat pada hujung batang buluh yang kecil dinamakan tumangu’. Buah manggis dikat dengan tali bagi memudahkannnya untuk dinaikkan ke atas atau menurunkannya ke bawah. Tinggi manggis lebih 30 kaki ke bawah.

Permainan yang sangat menarik ini turut dipertandingkan dan dipertontonkan dalam acara Karnival Pelancongan Dedsaan itu.

Acara lain yang turut diadakan ialah permainan moden, seperti ragbi, bola tampar pantai dan sebagainya.

Karnival Pelancongan Dedsaan kali ini dimeriahkan dengan pelbagai acara termasuklah pertandingan ratu cantik kanak-kanak yang memperagakan pelbagai pakaian tradisi etnik etnik di Kota Belud.

Selain pameran dan jualan pakaian yang turut menarik perhatian, peniaga gerai juga menjual makanan tradisi Iranun seperti siager, seda a tiapa dan sebagainya. Pelbagai jenis makanan juga dijual termasuk laksa, bakso dan sebagainya.

Karnival ini menarik perhatiian masyarakat bukan saja di daerah Kota Belud malah di seluruh Sabah. Terdapat juga pengunjung dari luar negeri yang sangat tertarik dengan pelbagai acara yang diadakan.

Orang ramai juga berpeluang melihat kereta kerbau berhias. Segalanya menjadi kenangan bagi pengunjung ke karnival Pelancongan yang berjaya diadakan dan mencatat sejarah dalam kalendar pelancongan di Sabah.

Selain pertandingan tarik tali yang disertai 19 pasukan dari seluruh Sabah termasuk  pasukan dari Negara Brunei Darussalam, pertandingan Dart juga menggamit penyertaan  seramai 41 peserta dari Pitas, Kota Marudu, Kota Belud, Tuaran,Ranau KK, Tambunan, Tenom, Beaufort dan WP Labuan.

Sementara itu, Larian Pantai Dedsaan atau Dedsaan Beach Run juga menerima lebih 200 peserta, juga dari seluruh Sabah. Ketiga-tiga acara itu, selain acara memancing, akan menjadi acara tahunan,terbuka kepada orang ramai.

Kejayaan karnival ini tidak terlepas dari peranan yang dimainkan oleh penaungnya, Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia, mantan Speaker Dewan Rakyat, yang banyak membantu promosi Kota Belud, keindahan alam semula jadi, kekayaan khazanah budaya masyarakat dan segala keistimewaan yang dimilikinya sebagai destinasi pelancongan yang perlu dikunjungi di negeri ini.

Industri pelancongan pastilah memberikan peluang pekerjaan dan mampu mendatangkan sumber ekonomi di kalangan masyarakat sekitarnya khasnya di daerah Kota Belud.

Beliau meminta agar masyarakat berfikir jauh ke depan, dan mengambil peluang yang ada untuk memajukan potensi pelancongan di Kota Belud.

Lebih 3,000 mengunjungi Karnival itu, silih berganti. Pengunjung berduyun-duyun sejak pagi, ada juga yang datang sebelah petang dan ramai yang tidak pulang sehingga pertandingan Larian Pantai Dedsaan atau Dedsaan Beach Run selesaikan dilaksanakan.

Matahari sudah tenggelam ketika orang ramai mulai meninggalkan tapak Karnival Pelancongan Dedsaan yang diadakan dengan jayanya.

No comments: