Sunday, December 30, 2018

KALAU KITA BERJALAN, KITA MESTI BERJALAN LURUS, KATA YB HAJI AHMAD HASSAN

KALAU KITA BERJALAN, KITA MESTI BERJALAN LURUS, KATA YB HAJI AHMAD HASSAN

Kalau kita berjalan, kita mesti berjalan lurus, jangan menyimpang. Apa yang kita lakukan , kita buat dengan  ikhlas, kata Ahli Parlimen Papar, Haji Ahmad Haji Hassan. Pesan yang diturunkan oleh ayahnya kepada beliau sejak masa kecil, sentiasa menjadi pegangan dan prinsip dalam menjalankan tugas dan amanah yang diberikan.

Sebenarnya beliau boleh dikatakan baru menceburi bidang politik. Sebelumnya beliau adalah seorang akauntan dan juruaudit bertauliah dalam sebuah syarikat bertaraf antarabangsa. Sebagai seorang juruaudit, beliau tahu sedikit sebanyak ketirisan yang berlalu. Itulah antara sebab yang menggamitnya untuk terjun dalam dunia politik.
Untuk rekod dalam pilihan raya umum ke-14 yang lepas, Haji Ahmad yang mewakili Parti Warisan Sabah (Warisan) yang memperolehi undi 17,394  berjaya memenangi kerusi P175 Papar selepas mengalahkan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Rashid Shirlin (BN-Umno) yang mendapat 17,069 undi  ,Jamil William Core (Star) 892, dan Elbert Sikuil (PCS) 480 undi.


Haji Ahmad Haji Hassan lahir pada 31 Disember 1960 di Kampung Benoni, Papar. Anak pertama dari enam adik beradik ini mendapat pendidikan awal di SRK Benoni dari darjah satu hingga dua. Beliau kemudian terpilih untuk projek Four lalu bersekolah di St Joseph Papar, dari darjah empat hinggalah darjah enam dan seterusnya dari tingkatan satu hingga lima di SM St Joseph Papar. Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran di YS-ITM hingga memperolehi diploma dalam bidang perakaunan. Selepas itu, beliau bertugas di Permodalan Bumiputera Sabah selama tiga tahun dan kemudian melanjutkan pengajian di peringkat ijazah hingga lulus sebagai akuantan bertauliah. Selepas itu, beliau bertugas selama 27 tahun sebagai juruaudit di   Boustead Holdings Berhad. Kemudian beliau meletakkan jawatan untuk bertanding dalam PRU ke 14 dan berjaya memenangi kerusi Parlimen Berhad.Beliau mendirikan rumah tangga dengan Hajah Hariati Abdullah dan dikurniakan lima cahaya mata.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang mewawancara Ahli Parlimen Papar itu di Benoni Commercial Centre sejurus selepas solat Maghrib. Dalam sesi wawancara itu YB Haji Ahmad menceritakan masa kanak-kanak yang penuh cabaran hinggalah beliau menjawat jawatan tinggi juruaudit di salah sebuah syarikat  terkenal di tanah air. Ikuti petikan wawancara berikut:

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan serba sedikit latar belakang YB?
YB HAJI AHMAD HAJI HASSAN: Saya dilahirkan pada 31 Disember 1960. Saya anak pertama dari enam adik beradik.Semua lelaki, hanya satu perempuan. Ayah saya Haji Hassan Haji Bujal , seorang petani, begitu juga ibu Hajah Dayang Aminah,seorang suri rumah.

UB: Dimana YB mendapat pendidikan awal?
YB: Saya mendapat pendidikan awal di SRK Benoni selama dua tahun iaitu dari darjah satu hingga darjah dua sahaja. Kemudian saya terpilih untuk mengikuti Projek Four dan berpindah sekolah di SRJK St Joseph Papar hingga darjah enam seterusnya melanjutkan pelajaran menengah, juga di St Joseph dari  tingkatan satu hingga lima.

UB: Naik apa ke sekolah?
YB: Ketika mula bersekolah, kami selalu ikut kereta cikgu Haji Awang Mahmun, ayah kepada Datuk Awang Buhtaman. Selepas itu, dari darjah empat, apabila berpindah sekolah ke St Joseph, kami naik Bas Mara. Kemudian ketika memasuki sekolah menengah, ayah saya membelikan basikal. Beliau buat pinjaman sebanyak $180.00 ringgit daripada Jabatan Parit dan Tali Air semata-mata untuk membelikan saya basikal.Saya mengayuh basikal ke sekolah setiap pagi. Jalan raya pada masa itu adalah jalan raya berbatu, tidaklah sebaik seperti sekarang. Kadang-kadang kami ikut jalan tabasan hingga ke landasan keretapi.
Bagaimanapun saya tidak terlambat ke sekolah. Masa masuk waktu itu ialah pukul 8.00 pagi. Kalau tidak naik basikal, saya naik bas Mara, waktu itu tambangnya kalau tidak silap antara dua puluh sen atau tiga puluh sen.

UB: Berapa bekal YB ke sekolah?
YB: Saya tidak bawa duit ke sekolah. Untuk dapat duit, susah juga masa itu. Saya bawa bekal ke sekolah dengan kopi o. Itulah bekal saya.  Sebelum turun sekolah, saya makan nasi dan minum kopi. Kami biasa makan pagi. Yang ada hanya Nasi dan  kopi. Atau  makan nasi sama bawang. Itu saja makanan yang ada.Hanya bila ada orang kahwin, kami dapat makan daging .Masa itu musim susah.



UB: Apa kegiatan selepas pulang dari sekolah?
YB: Pulang dari sekolah, kami tangkap ikan, ikan tilapia. Ikan ini kemudian dikeringkan untuk dijual di Tamu Papar, tukar dengan baragan apa yang kita kehendaki. Guna sitem tukar barang atau barter trade. Jika musim kemarau, kami masuk ke tempat yang berpaya, masuk ke dalam hutan,cari ikan haruan.
Kalau musim sawah padi, kami ikut bersawah. Tapi sawah kami tak besar.Itu sebabnya kami menyewa tanah. Pulang dari sekolah, kami juga ikut menghalau pipit

Jika musim menuai padi, kami  pergi mengetam padi, dapat upah antara RM1.50 dan RM3.00 sehari. Itulah antara kegiatan selepas pulang dari sekolah.

UB: Selain itu, apa lagi jenis kerja yang pernah YB ceburi?
YB: Saya pernah kerja kuari juga. Jika mahu diceritakan semua pengalaman, saya juga pernah kerja di Kampung Mook, buat gabian tapi terpaksa berhenti kerana yang diangkat batu batu besar sedangkan badan saya kecil. Saya tak boleh tahan.


UB: Selepas tingkatan lima, di mana YB bersekolah?
YB: Saya melanjutkan di YS ITM dalam bidang perakaunan.

UB: Siapa antara rakan YB masa di ITM Sabah? Masih ingat?
YB: Antara rakan sekolah saya masa itu ialah Datuk  Mohd lan Allani,Pg Mursidi. Mereka ini senior saya satu tahun. Datuk Maijol Mahap, Datuk Basalie Abdul Hamid

UB: Apa Kerja di mana selepas tamat ITM?
YB: Saya mendapat tawaran kerja di Permodalan Bumiputera Sabah selama tiga tahun. Selepas itu, saya mendapat biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di England. Semua persediaan sudah dibuat untuk berangkat ke England. Tapi bila terjumpa kawan yang baru balik dari sana, masa tu musim sejuk, duit pula sudah tak ada, akhirnya saya memohon untuk masuk semula ke ITM hingga lulus sebagai akauntan. Kemudian saya menjadi  chartered akauntan dan chartered auditor. Untuk menghabiskan bond, saya bekerja di Sabah Forest Industries selama lima tahun sebagai juru audit.

UB: Di mana YB bekerja selepas itu?
YB: Kemudian saya bekerja di Bousted selama 27 tahun sehinggalah meletakkan jawatan untuk menceburi bidang politik.

UB: Apa yang menyebabkan YB menceburi bidang politik?
YB: Sebagai seorang juru audit  jadi tahu apa yang berlaku itu, ada sesuatu yang tidak ngam, banyak berlaku ketirisan dalam pentadbiran.

UB: Minat politik sejak dahulu?
YB: Tidak.Saya bukan orang politik. Saya masuk politik selepas ditelefon oleh seorang kawan. Saya terpaksa melepaskan jawatan sebagai pengarah bagi wilayah Sabah,Sarawak, Brunei dan Indonesia. Syarikat tempat saya bekerja adalah sebuah syarikat besar yang terlibat dalam bisnis sawit, perladangan, pelaburan,Kewangan, perdagangan  dan sebagainya.
Prospek kerja di sana lebih besar.Saya pernah ditawarkan naik pangkat di ibu pejabat tetapi setelah difikir fikir, saya terpaksa menolak kerana kebetulan pula ayah saya sakit masa itu. Itu sebabnya saya bertahan bekerja di Sabah. Masa yang sama saya juga melibatkan diri dalam perniagaan sambil bekerja.

UB: Bagaimana sambutan masyarakat ketika YB mula-mula menceburi bidang politik?
YB: Sambutan rakyat memang sangat menggalakkan. Pada mulanya saya menumpukan kempen dan menemui rakyat di kawasan Pantai Manis. Sambutan masyarakat pun bagus. Tapi menjelang pilihanraya, saya diminta bertanding di Kawasan Parlimen. Masa itu, tinggal lapan hari sebelum penamaan calon. Saya terpaksa berkempen dalam tempoh yang singkat itu. Tapi rakyat memang mahukan perubahan, saya lihat reaksi mereka sepanjang tempih kempen itu.

UB: Apa rutin harian YB? Jam berapa berangkat dari rumah ke pejabat?
YB: Biasanya saya berjalan lebih  awal, kira-kira  jam 8.00 dari rumah untuk ke pejabat. Kadang-kadang, saya turun menemui rakyat terlebih dahulu jika ada keperluan. Saya Jsentuasa bawa  bawa cop dalam kereta. Sebelum ada pejabat, saya bawa cop ke mana-mana, hingga sekarang.

UB: Jam berapa balik ke rumah?
YB: Kadang-kadang  jam 10.00 malam , saya baru balik rumah. Ramai orang berjumpa dan datang ke pejabat. Semua saya layan dengan baik dan mendengar permasalahan dan aduan mereka.

UB: Bagaimana pula jika ada sidang Parlimen?
YB: Jika ada persidangan di Dewan Rakyat, saya balik hari Jumaat dan balik semula ke KL  pada  hari minggu. Jika ada taklimat hari Sabtu, lepas itu saya baik dan balik semula ke KL keesokan harinya.

UB: Apa isu yang selalu YB suarakan di Parlimen?
YB: Saya suarakan apa saja permasalahan rakyat. Saya sentiasa berhubung dan berkomunikasi dengan mereka. Saya minta input melalui media sosial misalnya melalui  beberapa grup whatsapp, facebook dan sebagainya mengenai apa saja cadangan dan permasalahan rakyat di Papar.

UB: Apa cita-cita YB sebelum ini? Pernah terfikir menjadi wakil rakyat?
YB: Saya tidak  terfikir jadi ahli politik. Saya hanya mahu jadi orang biasa saja. Selepas jalan hidup saya membawa saya menjadi akauntan, juru audit kemudian jadi ahli parlimen.

UB: Apa pesan orang tua yang masih diingati?
YB: Kalau kita berjalan, kita mesti berjalan lurus, jangan menyimpang. Apa yang kita buat, kita mestilah ikhlas.

UB: Akhir sekali,  Bolehkah YB ceritakan apa visi YB untuk Papar?
YB: Kita mahu menarik seberapa banyak pelabur ke Papar Kita mahu wujudkan peluang peluang pekerja untuk belia menganggur. Selain itu, kita mahu membangunkan sumber manusia di Papar, kita mahu melahirkan sumber manusia yang mempunyai kemahiran dan keterampilan. Sekarang kita lihat banyak graduan universiti. Kita berusaha untuk mewujudkan peluang kerja dan mengurangkan pengangguran di Papar. Itu antaranya.

UB: Sebenarnya banyak lagi yang mungkin boleh ditanyakan tetapi ruang tidak mengizinkan.Terima kasih YB kerana sudi memenuhi permintaan untuk sesi wawancara Sembang Sabtu ini.
YB: Terima kasih kembali.








No comments: