Sunday, December 30, 2018

SABAH DAN SULAWESI UTARA MILIKI BANYAK PERSAMAAN: GUBERNUR OLLY


SABAH DAN SULAWESI UTARA MILIKI BANYAK PERSAMAAN: GUBERNUR OLLY


SABAH dan Sulawesi Utara memiliki banyak persamaan. Kekayaan alam,flora dan fauna, khazanah budaya yang pelbagai, menggamit kedatangan pelancong untuk berkunjung ke destinasi yang menarik di kedua-dua wilayah yang mempunyai kedekatan dari sudut geogari.

“Kita mahu meningkatkan lagi hubungan bilateral antara Indonesia dan Malaysia, terutamanya antara Sabah dan Sulawesi Utara” kata Gubernur Olly Dondokambey yang mengetuai delegasi yang besar dan berpengaruh dari Sulawesi Utara untuk mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Shafie Apdal. Rombongan sempat juga mengadakan kunjungan kepada Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew. Turut serta dalam kunjungan itu ialah Duta Besar Republik Indonesia ke Malaysia, Bapak Rushdi Kirana dan Konsul Jenderal Republik Indonesia ke Kota Kinabalu, Pak Krishna Djelani.

Olly Dondokambey dilantik sebagai Gabenor Sulawesi Utara pada 12 Februari 2016. Tokoh berpengaruh ini adalah Ketua 1 Partai Demokratik Indonesia Perjuangan (PDIP) bagi Sulawesi Utara dan Bendahara Umum (Bendahari Agung) PDIP dan meraih undi ketujuh tertinggi dari 560 kepala daerah seluruh Indonesia.

Olly Dondokambey dilahirkan di Manado pada 18 November 1961. Beliau mendapat pendidikan menengah di SMA Negeri Manado, Manado (1982),Akademi Akuntansi Jayabaya (1982-1984),D3, Akademi Akuntansi Manado, Manado (1984-1987) dan S1, Manajemen, Sekolah Tinggi Ilmu Ekonomi Tri Dharma Widya, Jakarta (1995-1997) Beliau pernah menjadi Manager WIKA-PP JO Taman Rasuna Apartemwn Jakarta 1994-1995, Manager PT Pembangunan Perumahan, Direktur PT Bintang Rezeki Abadi Makmur dan Direktur Pusat Koperasi Mega Gotong Royong 2001.

Beliau pernah menjadi Ketua Komisi X1 Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Republik Indonesia (2004-2014), Wakil Ketua Badan Anggaran (Banggar) DPR-RI (2009-2014), Anggota DPR-RI (2014-2015) dan Gubernur Sulawesi Utara (2016 hingga sekarang).
Beliau dilantik sebagai Gubernur Sulawesi Utara pada 12 Februari 2016. Mendirikan rumah tangga dengan Ir Rita Tumuntuan dan dikurniakan dua cahayamata.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN sempat mewawancara Gubernur Sulawesi Utara, Olly Dondokambey beberapa ketika sebelum beliau berangkat pulang ke Kota Manado selepas mengadakan kunjungan sehari ke Sabah,pada Jumaat. Ikuti petikan wawancara singkat  bersama Gubernur Olly di Terminal Dua Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

UB: Boleh jelaskan sedikit tujuan kunjungan bapak dan delegasi Sulawesi Utara ke Sabah?

BAPAK OLLY DONDOKAMBEY: Kita ingin menjalin kerjasama ekonomi yang erat terutamanya dalam bidang pelancongan.Kedua-duanya, Sabah dan Sulawesi Utara sudah lama menjalin kerjasama dalam BIMP-EAGA dimana sekretariatnya terletak di Kota Kinabalu dan Manado.

UB: Siapa saja yang dikunjungi dalam Kunjungan Hormat itu?
OD: Sebaik tiba di Kota Kinabalu, kami membuat kunjungan hormat kepada Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew. Pada sebelah petang, kami membuat kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

UB: Siapa yang ikut serta dalam rombongan itu?
OD: Antara yang turut serta dalam kunjungan itu Ketua Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Sulawesi Utara, Andrei Angouw, Anggota DPRD, Rocky Wowor, Sekretaris Provinsi, Edwin Silangen, Staf Khusus Pariwisata, Dino Gobel, Pengurus Besar Tribun Manado, Risdianto Tunando.
Saya sangat berterima kasih kerana Duta Besar Republik Indonesia (KJRI) Pak Rusdi Kirana memberikan perhatian yang sangat besar dan membantu menjayakan pertemuan ini.  Dalam pertemuan itu, juga turut hadir ialah  Konsul Jenderal Republik Indonesia di Kota Kinabalu, Krisna Djelani,Konsul Jenderal Republik Indonesia di  Kuching, Yonny Tri Prayitno Konsul Republik Indonesia di Tawau,Sulistijo  Djati Ismojo,dan kenamaan lain.


UB: Apa agenda yang dibincangkan dalam kunjungan itu?
OD: Antara agenda yang dibincangkan dalam kunjungan itukerjasama dalam bidang pelancongan  termasuk rancangan mengadakan penerbangan terus dari Kota Kinabalu dan Manado.

Dengan adanya penerbangan terus itu, tempoh penerbangan antara Kota Kinabalu dan Manado hanya sekitar dua jam berbanding sekarang yang memakan masa hampir tujuh jam. Seseorang yang mahu ke Sulawesi Utara, perlu terbang dari Kota Kinabalu ke Jakarta yang memakan masa kira-kira tiga jam sebelum melanjutkan penerbangan dari Jakarta ke Manado yang memakan masa kira-kira tiga jam setengah.

Kerjasama dengan negeri Sabah akan menjadi semacam ikon pelancongan yang baru bagi Sulawesi Utara.

UB: Bila penerbangan terus itu akan dimulakan?
OD Saya  berharap dengan adanya perbincangan dan kerjasama, penerbangan antara Kota Kinabalu dan Manado dapat dimulakan tahun depan.

UB:Bagaimana respon daripada Kerajaan Sabah khususnya Ketua Menteri ?
OD: Sambutan dan respon yang diberikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew amat baik sekali.
Beliau gembira dengan kunjungan serta ajakan kerjasama dalam sektor pelancongan antara Sabah dan Sulawesi Utara. Dengan engan adanya penerbangan terus itu kelak akan menarik lebih ramai pelancong dari pelbagai negara ke Sabah dan Manado.

Saya secara peribadi dan atas nama rakyat Sulawesi Utara mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie dan Ibu Menteri, Datuk Christina Liew kerana memberika  respon yang amat baik terhadap perancangan itu.
Kerja sama dengan Sabah ini akan menjadi semacam ikon baru pariwisata bagi Sulut (Sulawesi Utara). Saya harapkan dengan adanya pembicaraan dan kerja sama ini, tahun depan sudah ada penerbangan dari Kinabalu ke Manado.
UB: Apa bentuk kerjasama pelancongan antara Sabah dan Sulawesi Utara?
OD:Sabah dan Sulawesi Utara juga boleh bekerjasama untuk membuat promosi pelancongan untuk menarik lebih ramai pelancong China melawat kedua wilayah. Fakta menunjukkan bahawa jumlah pelancong ke Manado meningkat 1000 peratus sejak beberapa tahun mutakhir ini. Jika penerbangan itu diwujudkan, pelancong dari China boleh singgah ke Sabah dahulu sebelum ke Manado atau sebaliknya dari Manado singgah ke Kota Kinabalu sebelum pulang ke China.
Sejak laluan penerbangan langsung dari Manado ke China pada 2016, kunjungan pelancong ke Sulawesi Utara meningkat hingga 100,000 orang. Sebelum itu, dalam tempoh selama 10 tahun kebelakangan, purata kunjungan pelancong asing ke Sulawesi Utara hanya sekitar 10,000 hingga 15,000 setiap tahun.
UB:Bolehkah Pak Olly memberitahu apa antara kelebihan Sulawesi Utara?
OD: Sulawesi Utara adalah sebuah sebuah wilayah di hujung utara Pulau Sulawesi yang memiliki pelbagai keindahan alam dan penduduk yang ramah. Ia memiliki kekayaan biodiversiti, keunikan budaya hingga seni kuliner. Sulawesi Utara terkenal dengan keramahan penduduknya. Sektor pelancongan di Sulawesi Utara semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Antara kelebihan Sulut (Sulawesi Utara ) ialah lokasi penyelaman, syurga bawah laut yang menarik banyak pelancongan. Bukan hanya di Bunaken, yang begitu terkenal itu malah banyak lagi lokasi penyelaman yang luar biasa di sekitar Sulut.
Pelancong yang suka kuliner, boleh mencuba bubur khas Manado, Tinutuan, nasi kuning, mi cakalang dan sebagainya.
Satu lagi yang menarik ialah burung Maleo, sejenis burung endemik yang hanya boleh dilihat di Sulawesi. Kita boleh melihat bagaimana burung Maleo bertelur dan sebagainya.
UB: Apa harapan pak Olly terhadap sektor pelancongan?
OD: Saya berharap kerjasama antara Sabah dan Sulawesi Utara mampu melonjakkan lagi pembangunan terutamanya dalam sektor pelancongan. Semoga penerbangan terus antara Sabah dan Manado akan dapat dimulakan awal tahun depan. Kita akan bekerjasama dengan syarikat Lion Air, Malindo atau Batik Air untuk menjayakan penerbangan langsung ini.

No comments: