Ahad, 10 Mac 2019

Jangan kalah kira oleh kira-kira

Tags
Jangan kalah kira oleh kira-kira

Yang banyak kira-kira, menjadi kura-kura. Barangkali itulah kata-lata yang tepat untuk menggambarkan situasi yang alami sekarang. Banyak berkira-kira sehingga sesuatu langkah yang perlu dibuat, keputusan yang patut diambil, lambat dilaksanakan.

Seperti  kura-kura. Lambat kerana mungkin banyak berkira-kira.Meskipun dalam cerita rakyat, kita temui kisah bagaimana kura-kura dapat mengalahkan sang kancil yang begitu pintar, dalam satu perlumbaan yang sengit. Kancil yang kudratnya lebih cepat tangkas, tertidur di tengah jalan ketika perlumbaan itu, sehingga dapat dikalahkan oleh kura-kura yang meskipun berjalan lambat, tetapi tetap bergerak juga ke garis penamat walaupun perlahan.

Dalam ungkapan Melayu, memang ada dinyatakan bahawa “Berkira patut, berkira-kira bantut”. Ini saya kutip dari buku  Ungkapan Tradisional Melayu Riau yang dikarang oleh Pak Tenas Effendy.

“Berkira-kira pada tempatnya, berkira-kira pada patutnya”. Lihat bagaimana kearifan dan kebijaksanaan orang tua tua  kita dahulu.

Berhitung, kata orang bijaksana, mesti oada hadnya, sementara berhitung-hitung pada takatnya. Had dan takat, sebenarnya hampir sama maksudnya.Kedua-duanya merujuk kepada batas. Semua ada hadnya, ada takatnya, ada batasnya.

“Yang patut dipatutkan, yang tua dituakan”. Jika kita mengikuti petua dan nasihat orang-orang tua kita, rasanya tidak banyak masalah yang kita hadapi dalam kehidupan kita sehari-hari.

Dalam soal patut yang dipatutkan, dalam soal yang tua, dituakan, kita perlu meletakkan “ yang berbangsa dibangsakan, yang berbahasa dibahasakan”,

“Yang baik cepat-cepatkan, yang buruk lambat-lambatkan”. Apabila kita terfikir untuk berbuat sesuatu kebaikan, maka lakukanlah segera.Jangan lagi bertangguh. Bersegeralah buat kebaikan, sebab mungkin jika kita tunda-tunda, mungkin kita tidak lagi berpeluang untuk melakukannya pada masa depan.
Yang baik cepat-cepatkan, yang buruk lambat-lambatkan.

Satu lagi petua pak Tenas dalam buku yang dikarangnya itu ialah cakap berhingga-hingga, kasih berkira-kira. Kerana sekali selera diturut, seumur hidup merana perut. Yang sedikit pada-padakan, yang banyak lebih-lebihkan. Berbuat baik berpada-pada, berbuat jahat jangan sekal.Kalau makan berhingga-hingga, kalau hilang cari mencari.

Kalau terbakar kayu, pastilah rumput tertumpang layu. Kalau terbakar ladang, pastilah terbakar belalang, kalau terbakar tunggul terbakarlah pula cendawannya.

Semua pastilah ada risikonya. Janganlah pula kalah kira, oleh kira-kira. Yang banyak kira-kira menjadi kura-kura.Makan mulakanlah sekarang. Bersegeralah berbuat kebaikan.

PERTEMUAN DI KUALA TUNGKAL, MENELUSURI SEJARAH LAMA

Tags
PERTEMUAN DI KUALA TUNGKAL, MENELUSURI SEJARAH LAMA

Perjalanan ke Kuala Tungkal memakan masa hampir tiga jam dari Kota Jambi. Selepas bersarapan,kami berangkat dari Tempoa Inn, Lorong pasar Hongkong Jelutong, kira-kira jam 9.00 pagi menaiki kereta yang dipandu Pak Abdi Nur, seorang seniman kraftangan yang mahir membuat topi dan gelang. Kebetulan beliau lahir  di Kuala Tungkal dan tahu pula misi tujuan kunjungan kami iaitu berkunjung dan menjalin silaturrahim dengan tokoh-tokoh masyarakat suku Melayu Timur. Menurut Pak Abdi, ketika kecilnya beliau membesar dan hidup dalam lingkungan suku Melayu Timur yang kami cari itu.


Ada apa dengan suku Melayu Timur dan apa kaitannya dengan kunjungan kami ke Kuala Tungkal itu? Sebenarnya tujuan kami ke Kuala Tungkal adalah melanjutkan misi menjejaki sakibaki keturunan angkatan perang Tempasuk yang pernah membantu Sultan Mahmud Riayat Shah mengusir Belanda dari Tanjung Pinang pada Mei 1787. Menurut Tuhfat Al Nafis karangan Raja Ali Haji, sebahagian dari angkatan perang itu tidak pulang ke Tempasuk atau ke Mindanao, sebaliknya bersetia dengan Sultan Mahmud III yang kemudian memindahkan pusat kerajaan Riau ke Lingga. Mereka kemudian berpindah ke Reteh, Sabak, Enok dan Kuala Tungkal dan kawasan-kawasan pesisir Riau dan Jambi.

Menurut Prof James Warren, angkatan Iranun itu kemudian membaur dengan masyarakat tempatan, dan generasi ketiga dan keempat dan seterusnya menjadi orang Lingga, yang kemudian terbukti kurang tepat. Menurut beberapa catatan sejarah dan sumber  yang lain, keturunan mujahidin Iranun  penentang belanda itu, setelah beberapa generasi  kemudian dikenali sebagai suku Melayu Timur.

Apa yang membezakan mereka dengan masyarakat Melayu yang lain? Suku Melayu Timur masih memiliki senjata pusaka bernama Kampilan, sundang,panabas, keris dan sebagainya. Selain itu, mereka masih memiliki adat istiadat seperti makan di kelong, mandi laut, dan sebagainya. Beberapa kata-kata Iranun seperti Pamanai (bendera kecil), Busau (pelahap), Tonong (gimbaran), Gapus (peluk), Atah (Antah), Wata  (anak), apu (nenek atau atuk), baie (puteri), degan (banjir) dan sebagainya.

Itulah antara beberapa kesan yang kami temui ketika berkunjung ke Pulau Kijang dan Kuala Patang Parang, Tembilahan, Indragiri Hilir.
Berdasarkan penuturan dan cerita orang di sana, masih terdapat komuniti Melayu Timur yang tersebar di beberapa buah kampung atau desa di Kuala Tungkal dan Muara Sabak, di Kabupaten Tanjung Jabung Barat dan Tanjung Jabung Timur dalam Propinsi atau Wilayah Jambi.

Itulah antara yang memotivasi dan mendorong kami untuk meneruskan misi Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Iranun (BKI) sabah, yang telahpun dimulai sejak 2010. Sepanjang tempoh itu, kami sudah berkunjung ke Tanjung Pinang, PekanBaru, Tembilahan Inderagiri Hilir di Sumtera, Bangka dan Pulau Belitong , Toli-toli Sulawesi Utara dan kali ini ke Kuala Tungkal dan Muara Sabak.

Pemandu kami, Pak Abdi Nur, mengenali seorang tokoh Melayu Timur, A Bakir di Lorong Anggrek, Kuala Tungkal, anak  Panglima Omar dan penempatan melayu Timur di Kuala Tungkal.


Perjalanan memang agak jauh. Tetapi pak Abdi Nur memang agak luar biasa orangnya. Selain bekerja sebagai seniman gelang, yang membawanya berkeliling Indonesia untuk memberikan latihan kemahiran, beliau juga, menurut pengakuannnya sendiri, bisa menghidupkan, kalau istilah orang Jambi, `burung yang mati.’ Itulah antara yang menjadi hiburan kami di sepanjang jalan itu untuk mengorek rahsia dan petua menghidupkan burung yang mati. Beliau juga menambahkan bahawa selain itu, beliau juga ada ilmu `mematikan burung’.

Tetapi yang menarik ialah mengenai topi dan gelang yang dibuatnya. Menurut pak Abdi, topi dan gelang itu sesuai untuk kesihatan dan anti mikroba. Gelang itu dibuat dari pokok resam yang tumbuh di pinggir-pinggir jalan dan itu boleh dimanfaatkan.

Selepas tiga jam dalam perjalanan, akhirnya kami tiba di Kuala Tungkal, sebuah daerah pelabuhan,ibu kota Kabupaten Tanjung Jabung Barat, tidak lama selepas Jumaat. Kami  mencari masjid tetapi kerana masih bermusafir, kami meneruskan perjalanan sehinggalah tiba di sebuah restoran berdekatan dengan pelabuhan.

Kami makan berlaukkan ikan tilapia dan ikan senangin. Sayang sekali, ikan sembilang tak ada sebab di laut, kuat ombaknya.







Selepas itu, kami berkeliling Kota Kuala Tungkal, yang sebelum ke Lorong Anggrek, untuk bersilaturrahim dengan Pak A Baqir. Kami bersyukur kerana kebetulan beliau berada di rumah.



Pak A Baqir mulanya agak terkejut menerima kunjungan kami. Beliau bertanya tujuan kedatangan kami, jauh-jauh dari Sabah, Malaysia. Selepas menjelaskan dan menerangkan misi kami untuk bersilaturrahim dengan suku Melayu Timur kerana memiliki hubungan sejarah dan  budaya yang kuat, Pak Baqir rasa teruja. Beliau memberitahu bahawa nenek moyangnya berasal dari sebelah Timur iaitu Mindanao.


Kemudian beliau memperlihatkan senjata-senjata pusaka yang dimilikinya dari arwah moyangnya iaitu kampilan, Sundang, Keris, tombak dan sebagainya. Sesuatu yang jarang dilakukannya. Tetapi beliau memperlihatkan kepada kami dan bercerita susur galur keturunan yang masih diingatnya.


 Beliau kelihatan masih tangkas dan seorang yang disegani. Beliau menunjukkan cara bermain senjata, cara memegang kampilan dan sebagainya.


Yang DiPertua Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Iranun (BKI), Haji Masrin Haji Hassin menjelaskan mengenai Kampilan, iaitu sejenis senjata yang dimiliki oleh masyarakat Iranun dan keturunannya. Salah satu menjadi alasan  yang menunjukkan hubungan darah keturunan antara Iranun dan Melayu Timur itu adalah kerana adanya Kampilan, selain pelbagai jenis peralatan, dan adat istiadat yang masih diamalkan di kalangan melayu Timur. Cikgu Ismail Sidik, Setiausaha BKI mengakui beberapa adat seperti mandi di laut dan makan di kelong masih diamalkan di kalangan keluarganya di Kota Belud, persis sama dengan amalan sebahagian masyarakat Melayu Timur.

Pertemuan itu memang sangat bermakna. Apatah lagi, mungkin inilah kali pertama kunjungan orang Iranun ke Kuala Tungkal dan Muara Sabak untuk menelusuri jejak sejarah yang ditinggalkan nenek moyang  lebih 232 tahun yang lalu.


Banyak yang perlu dicatat kerana kisahnya yang mahu diceritakan masih jauh dari sempurna.Bak teka silangkata,Masih banyak petak-petak yang perlu diisi bagi menjawab persoalan-persoalan sejarah. Namun waktu agak cemburu kerana kami perlu berpatah balik ke kota Jambi sebab esoknya kami perlu meneruskan misi ke Muara Sabak. Pertemuan itu agak singkat, tapi apa boleh  buat kami terpaksa berangkat.Selepas bertukar  nombor telefon dan mengambil gambar kenangan, kami pun  pulang diselubungi kegembiraan sekaligus keharuan bertemu saudara sebangsa selepas beratus tahun terpisah.


CERITA PERJALANAN KE JAMBI, MENJEJAKI JEJAK SEJARAH DUA ABAD

Tags
CERITA PERJALANAN KE JAMBI, MENJEJAKI JEJAK SEJARAH DUA ABAD

SELEPAS tiga kali bertukar pesawat, akhirnya kami tiba di Bandar Udara Sultan Thaha Syaifuddin Jambi. Letaknya di Paalmerah, lapangan terbang baru yang boleh menampung kira-kira 1.6 juta penumpang setiap tahun ini diberi nama sempena nama sultan Jambi yang terakhir.

Hari sudah petang. Jam 5.25 waktu tempatan. Perjalanan itu memang menguja. Berangkat dari Kota Kinabalu kira-kira jam 8.00 pagi dengan pesawat Malindo Air, kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA 1)  jam 10.35 pagi. Kemudian kami bergegas ke pintu C untuk meneruskan penerbangan ke Jakarta  pada jam 11.25 pagi.

Setibanya di Terminal 2  Bandara Internasional Soekarno Hatta Jakarta jam 1.35 petang (kira-kira jam 12.35 tengahari waktu Jakarta) kami terus menaiki Kalayang (sky train) ke Terminal 1 untuk menunggu penerbangan dengan Pesawat JT 608 Lion Air tujuan Jambi yang berangkat jam 4.10 minit dari Jakarta.

Walaupun bercampur dengan rungutan penumpang yang kesal kerana dasar baru syarikat penerbangan yang mengenakan caj untuk bagasi, kami sendiri terpaksa membayar caj 270,000 IDR (kira-kira RM78.27) namun penerbangan kira-kira satu jam dari Jakarta ke Jambi terasa sekejap.




Setibanya di Bandara Sultan Thaha, kami terus memesan teksi ke Tempoa Inn, sebuah tempat penginapan yang dicadangkan seorang rakan penulis di Jambi. Tempoa Inn adalah tempat yang biasanya menjadi lokasi pertemuan untuk seniman berdiskusi, mengadakan program atau sekadar untuk mengopi. Ada gerai-gerai makanan dan minuman, kata Ramayani Riance.

Di sana ada juga ada Tempoa Art @ Gallery  milik Pak Harkopolo Lie. Di sana juga ada musium bioskop (muzium wayang). “Kawan-kawan Seniman suka kumpul di sana,” kata Ramayani.

Dengan kata-kata pengantar itulah, kami meminta teksi yang dipandu Bang Denny, di sana orang melayu suka disapa dengan abang, kami Tempoa Inn, No 21, Lorong Pasar Hongkong Jelutong.
Setelah membayar kira-kira Rp47,000 sebagai bayaran tambang teksi, kami terus kaunter dan di sana sudah menunggu Yusi Anggraini, staff Tempoa yang dihubungi lebih awal untuk tempahan.

Kami terus membayar Rp350,000 (RM102) untuk bayaran hotel satu malam termasuk satu extra bed dan sarapan pagi.


Hotelnya agak besar dan menyediakan banyak kemudahan. Ada pameran fotografi hasil karya jurufoto di Jambi, selain karya-karya lukisan karya rakan-rakan pelukis di Jambi.

Soalnya untuk apa kami ke Kota Jambi, ibu kota propinsi atau wilayah Jambi? Apa yang menarik di sana? Untuk apa rombongan Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Iranun (BKI) Sabah diketuai oleh Yang Dipertuanya, Haji Masrin Haji Hassin dan Cikgu Ismail Sidik sebagai Setiausaha Agung dan saya sendiri sebagai Ketua Penerangan BKI yang juga wartawan Utusan Borneo perlu ke Jambi?

Pertanyaan itu juga ditanyakan oleh beberapa rakan mengenai tujuan sebenar kami ke Jambi?

Sebenarnya tujuan utama kami ke Kuala Tungkal di Kabupaten Tanjung Jabung Barat  dan Muara Sabak, yang terletak di Kabupaten Tanjung Jabung Timur untuk menjejaki jejak sejarah hubungan antara  Tempasuk yang terletak di Borneo dan Mindanao yang terletak di Selatan Filipina dengan Sultan Mahmud Shah III, Sultan Riau Johor yang berpusat di Tanjung Pinang pada 1787.

Selepas menikmati kopi, saya sempat berkenalan dengan Pak Sakti Alam Watir,, seorang wartawan budaya, seorang seniman dan jurufoto yang terkenal di Jambi. Kebetulan Pak Harkopo, pemilik hotel, ketika itu berada di Jambi. Saya sempat bertanya berapa jarak antara Jambi dan Kuala Tungkal dan berapa ongkos yang diperlukan untuk ke sana?

Pak Harkopolo menyarankan agar kami naik kereta sewa saja ke sana. Harganya kira-kira Rp500,000 (RM145.00 ) sehari. Berbanding jika kami terpaksa ikut menumpang dengan tambang Rp100,000 (RM28.00) hingga Rp120,000 (RM34.80) seorang dari Jambi ke Kuala Tungkal. Itu baru satu hala. Kami bertiga terpaksa membayar Rp 360,000 atau (RM104.38) atau Rp1.2 juta (RM348) pulang balik dari Jambi ke Kuala Tungkal.
Kebetulan Pak Abdi Nur, seorang seniman gelang, bersedia untuk menghantar kami dengan keretanya ke Kuala Tungkal. Beliau sendiri berasal dari Kuala Tungkal, dan tahu pula subjek yang menjadi tujuan kami, iaitu suku Melayu Timur
“Saya pernah tinggal berjiran dengan mereka,” kata Pak Abdi. Esok paginya, kami sepakat untuk memulakan perjalanan untuk misi sejarah dan budaya ke Kuala Tungkal (Siri 1)

YB ARUNARNSIN MAHU RAKYAT TURUT MENIKMATI PEMBANGUNAN

Tags
YB ARUNARNSIN MAHU RAKYAT TURUT MENIKMATI PEMBANGUNAN


KITA mahu rakyat turut merasai kemajuan dan pembangunan yang kita laksanakan. Tidak guna kerajaan kita kaya tetapi rakyatnya miskin. Kita mahu meningkatkan prasarana dan rakyat turut sama menikmatinya.  Tidak guna jalan raya kita cantik tetapi masyarakat kita basikal pun tidak mampu beli. Kita mahu ekonomi rakyat dapat dibangunkan. Tidak guna kita ada bangunan tinggi atau hotel yang mewah tetapi rakyat kita tidak berkemampuan dan hanya mampu memandangnya.Kita mahu pembangunan yang holistik di mana  rakyat dapat merasakan apa yang kita bangunkan untuk mereka, kata Pembantu Menteri Belia dan Sukan, YB Arunarnsin Taib yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri N41 Gum-Gum.
Sejak memenangi PRU-14 lepas, beliau terus komited untuk berkhidmat sebagai wakil rakyat dan membela nasib rakyat yang diwakilinya. Beliau memberitahu, pelan cadangan Pembangunan Semula Gum-Gum sudahpun dikemukakan kepada kerajaan dan apabila pelan itu  dilaksanakan  sepenuhnya kelak, ia akan memberi banyak manfaat kepada rakyat.

YB ARUNARNSIN TAIB dilahirkan pada 19 Januari 1966 di Kampung Dagat, Lahad Datu . Beliau mendapat pendidikan  awal di SRK Dagat. Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran menengah di SM St Mary Sandakan pada tahun 1980 hingga 1982 sebelum melanjutkan pelajaran di SMK Sandakan pada 1983 hingga 1984. Selepas itu, beliau menceburi pelbagai bidang pekerjaan,antara pekerja kilang papan,konduktor bas, pernah menjadi pemandu, kerani akaun, peniaga jualan langsung dan banyak pekerjaan lain yang membolehkannya merasai pahit maung dalam kehidupan.
 Sebagai seorang yang bermula dari bawah, beliau pernah menjadi Setiausaha Kerja UMNO. Dalam PRU-14 yang lalu, Arunarnsin Taib yang bertanding atas tiket Warisan memenangi kerusi N41 Gum-Gum dengan majoriti 598 undi. Beliau memperolehi 4,710 undi mengalahkan Datuk Juslie Ajirol (BN-UMNO) yang memperolehi 4,112 undi, Dahil Masdik (Harapan Rakyat) mendapat 252 undi, Joilin Bugung (PKS) mendapat 81 undi manakala Jamaludin Lamba  (PPRS) mendapat 63 undi.Selepas memenangi kerusi itu, Arunarnsin dilantik sebagai Pembantu Menteri Belia dan Sukan dalam pembentukan Kabinet Negeri Sabah. Beliau mendirikan rumahtangga dengan Laminah Lokman dan dikurniakan tiga cahayamata.

Wartawan kanan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemubual YB ARUNARNSIN TAIB di pejabatnya di Tingkat 7, Blok Wisma MUIS pada Khamis lepas sebelum beliau bertolak balik ke Sandakan. Ikuti petikan temubual bersama beliau yang menceritakan serba sedikit pengalamannya sejak kecil hingga menjadi wakil rakyat seperi berikut ini.

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang YB?
YB ARUNARNSIN TAIB: Saya dilahirkan di Kampung Dagat Lahad Datu pada 19 Januari 1966. Saya anak ke 10 daripada 14 adik beradik, tujuh lelaki tujuh perempuan. Ayah saya  Taib bin Singgi adalah Ketua Kampung, Kampung Tidung Segama sewaktu zaman USNO, Berjaya dan PBS manakala ibu  Sarakia Salim, seorang suri rumah.

UB: Di mana YB menerima pendidikan awal?
YB: Saya bersekolah di SRK Dagat di Estet Tumanggung, Saya terpaksa tumpang di tempat orang lain untuk bersekolah. Apabila abang saya bekerja di kem balak, saya ikut tinggal di tempatnya di kem balak.
Sekolah kami adalah sebuah sekolah yang didirikan di kem balak untuk anak-anak pekerja pekerja kem balak. Apabila kem balak itu berpindah ke tempat lain, sekolah juga ikut berpndah. Itulah uniknya. Saya bersekolah di SRK Dagat dari darjah satu hingga darjah enam.

UB: Selepas darjah enam, di mana YB menyambung pelajaran menengah?
YB: Selepas berjaya mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan darjah enam,saya dihantar oleh Yayasan Sabah untuk belajar di sebuah sekolah menengah di Kedah. Tapi saya tidak lama berada di sana. Saya tidak tahan berada jauh dari keluarga. Akhirnya saya balik ke Sabah dan bersekolah dalam tingkatan satu khas yang dikhaskan untuk pelajar pelajar terbaik di SMK Kuhara Tawau. Sekolah di Tawau pun tidak lama, Akhirnya saya balik ke Sandakan dan bersekolah di SM St Mary Sandakan dari tahun 1980-1982, dari tingkatan satu hingga tiga.

UB: Naik apa ke sekolah?
YB:  Saya berjalan kaki dari Kampung BDC ke sekolah St Mary Sandakan, yang letaknya kira-kira 1 kilometer dari rumah. Berjalan kaki hari-hari satu kilometer pergi sekolah dan satu kilometer dari sekolah balik ke rumah.

UB: Lepas itu dimana  YB menyambung persekolahan?
YB: Saya belajar tingkatan empat hingga tingkatan lima di SMK Sandakan dari tahun 1983 hingga 1984. Selepas tamat SPM, saya mencari kerja. Orang tua tak mampu sekolahkan kita kerana anak yang ramai. Walau bagaimanapun sambil bekerja saya belajar LCCI  di Kinabalu Commercial College.

UB: Apa kerja YB selepas tamat persekolahan?
YB: Banyak kerja yang saya pernah buat. Saya pernah kerja kilang papan, konduktor bas. Tiga tahun lebih kurang, arwah bapa meninggal iaitu tahun 1990. Saya balik Sandakan. Kemudian saya bekerja denganSapura Holding, untuk pasang telefon awam.  Saya berhenti tahun 1990 terkena VSS. Kemudian saya sewa bas, memandu bas sendiri. Saya pernah buat gerai goreng pisang. Saya jual cucur labu, kuih cempedak. Orang rumah buat nasi kuning saya yang pergi jual.


Tahun 1992, saya bekerja di SIP jadi pemandu.Selepas enam hingga tujuh bulan kemudian, saya kembali bekerja sebagai kerani akaun. Saya bekerja agak lama di sini iaitu selama tujuh tahun.

UB: Lepas itu, apa kerja YB?
YB: Kemudian saya kerja buat jualan langsung. Selain itu, saya pernah juga kerja tarik buah kelapa sawit. Saya pernah tangkap udang galah pakai bubu.Saya merambat, saya ke laut jadi nelayan.Hampir semua jenis kerja saya pernah lalui.

UB: Boleh ceritakan keadaan kampung masa itu?
YB: Keadaan kampung ketika itu masih berada dalam keadaan yang daif. Ramai kanak-kanak tidak dapat bersekolah kerana sekolah berada di tempat yang jauh. Saya mungkin satu satunya dari kampung pada masa itu yang pergi ke sekolah. Memang saya kuat tekad.Arwah nenek dulu tidak suruh pergi sekolah.maklumlah anak kesayangan. Tapi saya mahu juga ke sekolah. Sebenarnya jarak sekolah dengan kampung kami agak jauh iaitu empat hingga lima jam ikut jalan sungai. Sekolah masa itu bukan sekolah yang berada di bangunan yang tetap. Bila habis kontrak, sekolah pun ikut pindah. Satu kawasan habis potong , pindah tempat lain.

UB: Apa cita-cita YB masa kecil dulu?
YB: Saya bercita-cita kalau saya besar saya mahu naik kapal terbang.  Pada tahun 1980, cita-cita saya untuk naik kapal terbang tercapai. Saya naik kapal terbang kecil ke Sandakan.Kapal terbang itu hanya boleh memuatkan sembilan penumpang. Waktu naik kapal terbang itu, saya rasa bangga, apa lagi masa itu pakai uniform sekolah iaitu satu-satunya pakaian terbaik yang saya miliki.

UB: Bagaimana YB terlibat dalam politik?
YB: Ceritanya begini. Pada tahun 2000, Dati Salzo  Asa minta tolong buat program komputer Saya jadi Setiasaha Kerja Pemuda Umno
Saya pernah bekerja di bawah Haji Salzo Asa, Mokran Ingkat, SuhaimiHaji Nasir dan Rizan bin Aziz Saya jadi setiusaha kerja kepada empat ketua pemuda. Kerja saya lebih banyak di War Room. Pada PRU13, kami pernah terima anugerah bilik gerakan yang terbaik. Pada tahun 2004, saya dilantik sebagai Pegawai Perhubungan Parlimen kepada Datuk Juslie Ajirol.

UB: Selepas keluar UMNO mengapa pilih Warisan?

YB:  Saya tertarik  dengan matlamat perjuangan Warisan. Saya nampak parti ini adalah sebuah parti yang benar-benar memperjuangkan  hak rakyat negeri Sabah.  Lagi pula, Warisan mengamalkan sistem parti yang teratur, mempunyai cawangan dan bahagian. Ketika menyertai parti Warisan, itu yang pertama kali saya tanya Datuk Seri (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) Apakah  Warisan mempunyai bahagian dan cawangan, dengan adanya cawangan dan bahagian, kita akan dapat memberikan khidmat terbaik kepada rakyat. Sebelum itu, saya pernah juga mendapat tawaran daripada parti-parti lain tapi saya melihat Warisan benar-benar berjuang untuk membela dan memperjuangkan nasib rakyat.

UB: Oh ya, boleh YB ceritakan sedikit mengenai perancangan YB terhadap Gum-Gum.
YB: Kita sudah merangka pelan cadangan pembangunan semula Gum-Gum. Kita berharap dapat menaiktaraf kemudahan dan mengadakan pelbagai projek pembangunan untuk kepentingan rakyat dan masa depan mereka.

UB: Apa antara isi pelan cadangan pembangunan semula Gum-Gum?
YB: Kita mahu menaiktaraf pasar Tamu Gum-Gum  sebagai sebuah pekan yang memiliki bangunan kedai serta pasar untuk peniaga kecil dan sederhana.,.Kita juga mahu menjadikan Gum Gum sebuah pekan yang menarik orang ramai dan pelancong asing.  Apabila kemudahan dan fasiliti dapat dinaiktaraf, ini sudah tentu mampu menjana peluang ekonomi yang lebih baik kepada masyarakat, membuka lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan kepada masyarakat khususnya di Gum-Gum.

Selain itu juga kita mahu golongan belia diberi lebih banyak ruang dan peluang untuk menjalankan perniagaan agar mereka mampu meningkatkan ekonomi masing-masing. Kita juga menggalakkan agar belia di setiap kampung dapat menubuhkan kelab belia masing-masing.  Sebagai contoh, jika ada 30 kampung,ada 30 kelab, Ini akan memudahkan kita untuk menyalurkan pelbagai kemudahan untuk pembangunan belia.

UB: Apa hasrat YB dalam merancang pembangunan di Gum-Gum?
YB: Kita mahu rakyat turut merasai kemajuan dan pembangunan yang kita laksanakan. Tidak guna kerajaan kita kaya tetapi rakyatnya miskin. Kita mahu meningkatkan prasarana dan rakyat turut sama menikmatinya.  Tidak guna jalan raya kita cantik tetapi masyarakat kita basikal pun tidak mampu beli. Kita mahu ekonomi rakyat dapat dibangunkan. Tidak guna kita ada bangunan tinggi atau hotel yang mewah tetapi rakyat kita tidak berkemampuan dan hanya mampu memandangnya.Kita mahu pembangunan yang holistik di mana  rakyat dapat merasakan apa yang kita bangunkan untuk mereka. Kita mahu pembangunan turut dirasakan oleh rakyat.

UB: Oh ya, bagaimana YB mengagihkan masa antara tugas sebagai ADUN Gum-Gum dan Pembantu Menteri?
YB: Setiap minggu saya balik ke Sandakan, menghadiri pelbagai program dan bertemu rakyat. Jika ada program di kawasan, saya pastikan dapat hadir untuk bersama mereka



UB: Mungkin ada nasihat orang yang masih YB ingat?
YB: Ayah saya nasihatkan saya agar berhenti kerja apabila masuk waktu solat.

UB: Apa harapan YB?
YB:Saya sentiasa berdoa kepada Allah, agar saya diberikan rezeki dan kekuatan untuk membantu rakyat, membela nasib mereka. Saya berdoam  kalau ada kelebihan rezeki, saya mampu membantu orang lain.

LT COL SAIFUL, DULU PEGAWAI MEMERINTAH, KINI PROFESOR

Tags
LT COL SAIFUL, DULU PEGAWAI MEMERINTAH, KINI PROFESOR

HADIR dan mengalir. Kemana kita pergi, kehadiran kita mesti dirasai. Segala ilmu yang kita ada hendaklah dikongsi bersama dan akan terus mengalir sampai bila-bila, kata Dekan Fakulti Keselamatan Kolej Universiti North Borneo (NBUC), Lt Col Prof Dr Anwar Md Ali (B). Bagi mantan Pegawai Memerintah di 6 RAMD, Lt Col Saiful Anwar memang kaya dengan pelbagai pengalaman dalam bidang keselamatan dan  pertahanan.  Bagi  Pengarah Pusat Keselamatan Global dan Urus Tadbir NBUC ini, ilmu yang dimiliki hendaklah memberi banyak manfaat kepada orang lain.

LT COL PROF DR SAIFUL ANWAR MD ALI (B), dilahirkan di Kroh, Perak pada 9 September 1964. Beliau mendapat pendidikan awal di SRJK (I) Lenggong Perak dari Darjah Satu hingga Darjah Enam (1971-1976). Kemudian beliau melanjutkan pelajaran menengah di di SM Dato Ahmad di Lenggong dari tingkatan satu hingga tiga (1977-1979) dan kemudian  menyambung persekolahan dalam tingkatan empat hingga lima di SM King Edward VII Taiping (1980-1981).
Selepas tamat SPM, beliau berkhidmat sebagai guru  di Institut Harapan, sebuah sekolah swasta  di  Taiping pada  1982-1983, . Kemudian beliau diterima memasuki Sekolah Pegawai Kadet Port Dickson Negeri Sembilan sebagai Pegawai Kadet selama setahun pada 1984.Kemudian beliau dilantik sebagai Leftenan Muda di 23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Rasah Seremban pada 1985. Pada tahun 1986, beliau ditugaskan di Kem Sri Kinabatangan, Sandakan. Selepas itu, pada 1989-1991, beliau ditugaskan sebagai Pegawai Latihan di Pusat Latihan Askar Wataniah.

Beliau berpeluang melanjutkan pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk Diploma Pasca Siswazah dalam Pengajian  Strategi dan Keselamatan (1994-1995), Diploma  Lanjutan Pengajian Strategik dan Keselamatan dari UKM (1996-1997) , Diploma Pasca Siswazah dalam bidang Strategi dan Pertahanan dari Universiti Malaya (UM) (1999-2000). Beliau juga memperolehi Diploma di Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) (1999-2000) dan kemudian melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana (MA) dalam pengajian Polisi dan Analisis Keselamatan dari UKM (2000-2001. Pada tahun 2004 hingga 2006, beliau ditugaskan sebagai Pegawai Memerintah di 6 RAMD, Kem Kepala Batas, Alor Star Kedah.  Selepas itu, beliau dilantik sebagai Juru Arah di Maktab Turus Angkatan Tentera dari  2006 hingga 2007. Selepas itu, beliau ditawarkan berkhidmat Pensyarah Kanan di UiTM Sarawak dari tahun 2008 hingga 2016. Pada 2015, beliau meneruskan pengajian di peringkat Doktor Falsafah  (PhD) dalam Pengurusan Sumber dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) (2015-2018).Ketika berkhidmat sebagai pegawai tentera, Lt Col Saiful pernah menjalani latihan di Jepun, Australia, Filipina dan  Indonesia.
Kini beliau dilantik sebagai Pengarah Pusat Keselamatan Global dan Urustadbir dan Dekan Fakulti Keselamatan dan Urustadbir di North Borneo University College (NBUC).
Dalam perkhidmatan sukareka, beliau adalah  ahli Pemadam Seumur Hidup , Ahli Seumur hidup PVATM, Kelab Pegawai Rejimen Askar Melayu Diraja (KPRAMD) dan Ahli Seumur Hidup Perdasama.
Atas Jasa baktinya beliau  dikurnia Kesatria Angkatan Tentera (KAT) 2004, Ahli  Mahkota Kedah (AMK) 2006 dan Pingat Jasa Malaysia (PJM) 2014.
Wartawan Kanan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemuramah Lt Kol Prof Dr Saiful Anwar Md Ali (B) di pejabatnya di Jalan Sulaman Kota Kinabalu untuk berkongsi pengalaman beliau sejak berkhidmat dalam tentera hingga kini menjadi tenaga akademik dan Dekan Fakulti Keselamatan dan Urustadbir di NBUC. Ikuti petikan wawancara bersama beliau.

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang tuan?
LT COL SAIFUL ANWAR MD ALI (B): Saya dilahirkan di Kroh Perak pada 9 September 1964. Saya adalah anak ketiga daripada lima adik beradik. Ayah saya . Mohd Ali Ahmad, guru besar di Lenggong.Ibu Saya Umi Kalsom Mat Yasin, seorang surirumah. Saya  mendapat pendidikan awal di SRJK (1) Lenggong Perak dari Darjah Satu hingga enam (1971-1976), kemudian saya melanjutkan pelajaran menengah di  SM Dato Ahmad Lenggong dari Tingkatan satu hingga tiga (1977-1979) dan kemudian ke SM King Edward VII Taiping dari tingkatan empat hingga lima (1980-1981).
UB: Selepas tamat SPM, ke mana destinasi tuan?
LT COL SAIFUL: Selepas tamat SPM, saya pernah menjadi seorang guru  di Institut Harapan Taiping, sebuah sekolah swasta  pada 1982-1983.
UB: Kem
UB: Selepas itu, Kemudian saya memasuki  Sekolah Pegawai  Kadet di  Port Dickson  dan ditauliah sebaga pegawai kadet pada 1985
Kemudian saya berkhidmat sebgai Leftenan muda  Kor Rejimen Askar Melayu Diraja, 23 RAMD Kem Rasah Seremban.
Pada 1985 hingga 1986 saya bertugas di Sandakan iaitu di Kem Sri Kinabatangan
Tahun 89-91 Pusat Latihan Askar Wataniah tem;at latihan untuk melaih askar wataniahn daripada orang kampung sa;ai kepada orang

Ktika melayih di sekolah wataniah tu kesedaran timbul. Ramai pegawa kerajaan yang punya  kelauakan akademik yang tinggi

Dari situ timbul minat untuk teruskan pengajian
1996 mula belajar ambildiploma

Beliau melanjutkan pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia untuk  Post Graduate Diploma in Strategic & Security (1994-1995), Diploma Lanjutan Pengajian Strategik dan Keselamatan di UKM (1996-1997)

1997-1998 di 21 Melayu

dan Post Graduate Diploma Pasca Siswazaha in Strategy & Defence Studies dari Universiti Malaya (UM) 1999-2000).Seterusnya beliau mengikuti Diploma di Maktab Turus Angkatan Tentera (1999-2000), Sarjana dalam Pengajan Polisi dan Analisis Keselamatan dari UKM (2000-2001)


2001-2004 ndi Kemeterian Pertahanan

dan PhD dalam Pengurusan Sumber dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)O2015-2018
23 RAMD Kem Rasah Seremban da

UB: Bolehkah tuan ceritakan bagaimana mulanya berminat dalam perkhidmatan tentera?
LT COL SAIFUL: Masa kecil dulu, selalu nampak askar jaga sempadan. Kami tinggal di Ulu Perak, masa tu kawasan hitam. Hari hari nampak pergerakan tentera masuk sempadan. Itulah yanng menumbuhkan minat agar saya memasuki bidang ketenteraan

5 gos Pegawa emerintah Let Col
Juruarah Maktab  tyrys Angkatan Tentea
Kurss dalam luar nrhara lebih 50 buah negaea
Selepas itu saya pernah menjadi pegawai tentera di 23 RAMD, PLAW, ATMA, 21 RAMD, 4 RAMD dan Infrantri Directorate pada 1985-2003. Pada 2004 hingga 2006, Saya dilantik sebagai Pegawai Memerintah di 6 Askar Melayu Diraja. Pada 2007, saya menjadi Directing Staff di MTAT (2007).


Selepas itu, ditawakan  saya menjadi penyarah kanan di Universiti Teknologi MARA Sarawak pada 2008 hingga Februari 2016.

2015 beajar PHd di Pengurusan sumber di Universiti pertahanan nasioa malaysa
Berhubung dengan meingkakan kesejahteraan rakyat elalui niliaa0nilai tentera
Kesejahteraan
2016 tamat kontrak

Konsuktan mengendalikan program diploma UM pahan
2019

Anuerah dr falsafa
Profesor penuh 15 jan

Ckiya cita duli nak jadi cikgu
 Kini saya dilantik sebagai Dekan Fakulti di North Borneo University College bermula 2018.



duties and responsibilities
Past Appointment : Senior Lecturer UiTM Sarawak

Teaching and facilitating ADS 504 Malaysian Economy and ADS654 Policy Analysis for Bachelor of Administrative Science (Hons) degree program. Also teaching ADS607 Managing Change, ADS514 Public Policy and ADS510 International Relations, Human Resource Management, Total Quality Management and E-Government for degree program.

Supervising and facilitating thesis for Master’s Program and research projects for Bachelor of Administrative Science (Hons) Degree Program in the following codes:

ADS 511 Research Methodology and Data Analysis
ADS 555 Applied Research Project

Appointed as Advisor for Diploma Public Admin from 2010 to 2012 and Bachelor of Administrative Science (Hons) Degree Program since January 2012 to July 2014.

Saya pernah menulis buku An Overview On Strategy and Security Matters, 2006, pernah menulis di Utusan Borneo, Majalah Perajurit, Pernah membentanf kertas kerja di Regional Academic Conference Malaysia (2009), 2nd INternational Conferene=ce on Public Policies and Social Sciences (ICoPS) 2011, Konfrensi Antarabangsa Islam Borneo Ke-7 (KAIB 2014) Malaysia, dan banyak lagi.

UB: Apa motto atau tagline tuan?
LT COL SAIFUL:Hadir dan mengalir…Kemana kita pergi kehadiran kita mesti dirasai.Segala ilmu yang kita ada hendaklah dikongsi bersama dan akan terus mengalir sampai bila-bila.

UB: Siapa yang paling banyak mempengaruhi hidup tuan?
LT COL SAIFUL: Saya kira arwah bapa yang banyak mempengaruhi hidup saya. Darah yang mengalir sebagai pendidik mengalir dalam tubuh saya hingga kini.

UB: Apa pesanan arwah bapa yang masih dingati hingga kini?
LT COL SAIFUL: Pesanan arwah bapa, banyak. Antaranya apa saja yang kita lakukan kita mestilah bertanggungjawab dan jangan lari dari tanggungjawab. Segala yang kita lakukan mestilah ikhlas.Kehidupan kita sebenarnya ada kesinambungan dengan hari kemudian nanti.

UB: Dari seorang pegawai tentera, kini memilih kerjaya dalam bidang akademik. Mungkin ramai yang ingin tahu mengapa tuan beralih kerjaya?
LT COL SAIFUL: Semata-mata kerana ingin menyumbang, berbakti dan berkongsi ilmu kepada masyarakat dengan lebih luas lagi. Setelah 25 tahun bersama ATM, segala pengalaman yang ada diguna pakai untuk berbakti kepada masyarakat melalui jihad pendidikan.

UB: Apa kesan tuan ketika mula-mula sampai ke Sabah berbanding sekarang?
LT COL SAIFUL: Saya mula sampai di Sabah pada tahun 1986, menjalankan operasi di Pulau Jambongan dan Tambisan, keluar masuk selama hampir empat tahun. Semasa berkhidmat sebagai pegawai muda, tahun 2005, saya mengepalai batalion 6 RAMD beroperasi  dari Kudat hingga Lahad Datu. Hubungan dengan masyarakat di pulau-pulau itu kekal hingga kini.
Masa mula sampai, Sabah masih ketinggalan dari segi pembangunan namun kini Sabah sudah banyak membangun hasil kemajuan yang dikecapi. Pembangunan terus rancak dan Kota Kinabalu kini menjadi kota metropolitan yang boleh dibanggakan.

UB: Sebenarnya apa yang menarik di Sabah?
LT COL SAIFUL: Masyarakat yang pelbagai etnik, mudah mesra, sentiasa terbuka namun berhati-hati. Tidak janggal bergaul dengan masyarakat.Pemandangan yang indah, tempat pelancongan yang menarik dan masih banyak lagi yang belum diterokai. Menyediakan peluang yang besar dalam apa jua bidang.

UB: Mungkin tuan boleh jelaskan sedikit, kerana kebetulan tuan kini bertugas di North Borneo Univercity College, (NBUC), apa peluang yang boleh diambil oleh anak watan Sabah dalam pendidikan?
LT COL SAIFUL: Antaranya bidang keselamatan dan urustadbir. Peluang bekerja dalam bidang penguatkuasaan di semua sektor khususnya keselamatan dan pertahanan. Bidang-bidang lain seperti pengurusan, akauntan, undang-undang, pelancongan juga sedia ada untuk disertai. 

MOHD LAN: TIDAK PERNAH KATA TIDAK

Tags

MOHD LAN: TIDAK PERNAH KATA TIDAK

ORANGNYA sederhana saja,Masih muda meskipun  begitu, beliau pernah diamanahkan memikul pelbagai tugas dan diberi tanggungjawab penting. Beliau pernah berkhidmat di beberapa buah bank tempatan dan luar negara. Beliau adalah Pengurus pertama Kuwait Finance Berhad di Kota Kinabalu, Pengurus SME Bank di Kepayan dan kini menjadi Pengarah Negeri  bagi Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) Negeri Sabah. Namun di sebalik kejayaan yang dicapainya kini, beliau pernah mengalami masa-masa sukar dalam kehidupannya, atau kalau menurut istilah Mohd Lan sendiri, beliau pernah hidup sesusah-susahnya bagi ukuran orang kampung. Namun beliau tidak pernah mengalah dan putus asa. Mohd Lan tidak pernah mengatakan tidak, `Never Say No’ dalam menjalankan kerja-kerjanya. Beliau mencipta kejayaan bermula dari bawah.

MOHD LAN MUSLIM dilahirkan di Tanjung Pagar Sipitang pada 17 Mac 1976. Anak kelapan daripada 13 adik beradik ini mendapat pendidikan awal di SRK  Padas Damit, kemudian SRK Lok Kawi hingga darjah enam. Selepas itu beliau pernah bersekolah di SMK Kinarut sebelum melanjutkan pelajaran di SMK Gadung Beaufort. Selepas lulus SPM, beliau kemudian masuk berkhidmat dalam bidang perbankan dan menapak setapak demi setapak hingga dilantik menjadi  pengurus bank. Jawatan terakhirnya sebelum meninggalkan perkhidmatan bank ialah Pengurus Kawasan.  Kini beliau adalah  Pengarah Negeri bagi Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) Negeri Sabah. Mohd Lan berkelulusan dari Barkeley Int  University CA US dan memperolehi Bachelor of Business Administration. Selain itu beliau juga memiliki kelayakan daripada Federation of Investment Managers Malaysia (FIMM) dan Malaysian Insurance Association (MIA). Beliau mendirikan rumah tangga dengan Rostianah Taip dan dikurniakan empat  cahaya mata. Beliau juga bergiat dalam politik dan kini menjawat jawatan Timbalan Ketua Cabang PKR Putatan.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN sempat bersembang dengan MOHD LAN MUSLIM di salah sebuah hotel terkemuka di ibu negeri sambil menghimbau kisah suka duka dalam kehidupan masa kecilnya. Ikuti petikan temubual bersama Mohd Lan:


UTUSAN BORNEO: Bolehkah saudara ceritakan sedikit latar belakang saudara?
MOHD LAN MUSLIM: Saya dilahirkan di Tanjung Pagar Sipitang pada 17 Mac 1976. Mengikut cerita orang tua saya, saya sebenarnya dilahirkan di tengah jalan dalam perjalanan dari Sipitang ke Hospital Beaufort. Sebab itu mereka memberikan nama Mohd Lan, lan adalah kependekan jalan. Itulah kisahnya saya mendapat nama Mohd Lan.

UB: Anak ke berapa dalam keluarga?
MOHD LAN: Saya anak ke-8 daripada 13 orang adik beradik. Ayah saya bernama Muslim Chu Kong, ini menunjukkan saya masi ada keturunan tionghua dari keluarga Ong Kai. Ibu saya bernama Lauyah binti Burut, dari suku Melayu Berunai. Saya dibesarkan di Sipitang. Ayah saya pernah jadi mandor, pernah jadi kontraktor juga dan satu masa dulu pernah berkecimpung dalam politik di zaman USNO dan Berjaya.

Meski begitu, saya boleh katakan, saya dari keluarga yang susah, sangat susah. Ini berlaku apabila arwah beliau saya beristeri baru. Itu menyebabkan beliau seolah-olah lupa keluarga, dan kami hidup dipelihara sepenuhnya oleh ibu.

Itu sebabnya saya bersekolah sana sini. Pernah bersekolah di SRK Padas Damit ketika darjah satu. Lepas itu balik ke ke KK dan bersekolah di SRK Kem Lok Kawi. Kemudian saya bersekolah menengah di SMK Kinarut dalam tingkatan satu  tapi tidak lama. Saya pindah ke SMK Gadong kerana keluarga takut saya terpengaruh dengan gejala tidak sihat jika hidup berdekatan bandar. Saya bersekolah di SMK Gadong, 1991.

UB: Berapa bekal ke sekolah?
MOHD LAN: Ketika sekolah rendah, bekal ke sekolah 20 sen. Masa itu adalah bekalan susu percuma, jadi duit 20 sen itu boleh digunakan untuk beli kuih ataau nasi lemak. Saya bernasib baik kerana kadang-kadang bawa bekal. Ketika di sekolah menengah, bekal saya RM1.00 satu hari dari tingkatan satu hingga tiga. Waktu itu tinggal di Padas Damit bersama kakak
Saya ke sekolah menumpang lori. Saya naik lori ke SMK Gadong, kira-kira 30 minit dari rumah. Tambang 50 sen. Masa itu jalan raya masih gravel. Kalau sampai rumah, rambut jadi kuning kerana habuk. Kalau nasib tidak baik, terpaksa jalan kaki pulang, kalau dari sekolah jam 2.00 petang,  sampai di rumah kira-kira-kira jam 7.00 malam.

Sampai di rumah, saya terpaksa membasuh baju lagi di  sungai hitam, kerana airnya hitam, Kita selalu basuh baju kerana kita punya hanya
satu baju. Baju putih yang kita cuci jadi kuning. Terus terang, hidup saya dulu susah.Banyak pekerjaan yang saya lakukan.Saya jemur pakaian, saya angkat air dari perigi.

UB: Bagaimana keadaan di kampung masa itu?
MOHD LAN: Keadaan di kampung masa itu masih sangat ketinggalan. Masih belum ada bekalan elektrik. Hanya ada hanya lampu pam. Hari hari pasang lampung pam..Lepas itu, saya belajar guna lampu pelita. Dengan lampu pelita saya belajar. Saya harus bangun awal supaya tidak ketinggalan lori.  

Kemudian ketika tingkatan tiga, saya tinggal di asrama SMK Gadong yang baru siap. Ini atas usaha dan saranan ibu angkat saya. Saya tinggal di asrama dari tingkatan tiga hingga lima. Di asrama kita dapat belajar hidup teratur
SMK Gadong masa itu baru siap. Masa itu Dato Mahadzir Khalid jadi pengetua SMK  Gadong manakala  Datuk Kamarlin Haji Ombi, Penolong HEM.

UB: Mungkin ada pengalman tertentu sewaktu tinggal di asrama?
MOHD LAN: Ketika tinggal di asrama saya selalu dapat kirman wang pos ,30 ringgit dari abang saya. Abang saya Ali Jainie waktu itu masih bekerja di Safoda, kalau tak silap saya. Beliau sering mengirim wang pos kepada saya. Jika dapat kiriman wang, masa itu dapatlah makan maggi.Itu sudak dikatakan hebat. Masa itu saya  jarang dapat balik rumah di Lok Kawi. Untuk ke pekan beaufort pun, tambangnya RM5.00. itu sebah saya jarang dapat ke bandar. Untuk dapat turun kk, bukan senang.

Hidup saya boleh dikatakan kompleks. Ketika berada dalam tingkatan dua dan tiga, saya tinggal bersama ibu angkat. Ibu angkat saya,  saya panggil si Uchu, dia yang paling banyak berkorban, paling banyak bantu saya. Dia anggap saya macam anak.
Ketika tinggal bersama beliau, jika ada masa terluangSaya suka bantu ibu angkat toreh getah, Saya sudah pandai potong getah ketika tingkatan dua hingga tiga. Kemudian pungut getah sekrap . Satu karung RM20.00

UB: Pengalaman yang menarik. Teruskan
MOHD LN: Ketika sampai tingkatan  lima , saya mahu cepat cepat habis sekolah untuk keluar cari kerja. Lepas SPM, Saya berhijrah ke Labuan, ikut abang saya, Mohd Jaimie , masa itu bertugas sebagaii cikgu di Patau-Patau. Sambil tunggu keputusan SPM, saya cari kerja. Kerja pertama saya jadi Penjaga Stor kedai alat ganti bot-bot dengan gaji RM400 sebulan.

UB; Kemudian?
MOHD LAN: Selepas SPM keluar, Cikgu Kamarlin mencari saya di rumah, bertanya kenapa saya tidak ambil keputusan SPM. Beliau suruh saya pergi ke sekolah ambil keputusan. Saya ingat saya tidak memperolehi keputusan yang baik Itulah sebabnya saya lambat ambil slip keputusan. Masa itu, saya mendapat keputusan SPM pangkat dua.

Kemudian, saya dapat tawaran guru pelatih, Pada masa yang sama ,saya dapat tawaran kerja sebagai pegawai  kredit di Bank Bumiputera. Saya pilih kerja di bank.
Gaji lebih sedikit dari guru sandaran masa itu. Kadar  gaji di bank masa itu lumayan untuk ukuran masa itu.RM1,100

UB: Bila mula bekerja di Bank?
MOHD LAN: Pada 4 Disember 1994, saya melaporkan diri ke bank Bumiputera. Tarikhnya tetap saya ingat . Hari pertama melapor dir, saya terlambat. Itu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
Ketika kerja di bank, antara yang banyak mempengaruhi hidup saya ialah Maureen Yap. .Beliau seorang yang prihatin. Dia selalu bertanya , apakah sudah makan atau belum. Bahkan pernah bagi duit untuk makan.Beliau seorang yang penuh perhatian.
Bos besar saya  ialah Phan Lai Kun.

Ketika bekerja, saya bekerja bersungguh-sungguh, Ketika kerja di bank, saya jarang jarang melihat matahari terbenam. Hari hari kerja sampai malam.Saya tidak pernah mengatakan tidak ketka disuruh menyiapkan atau melaksanakan sesuatu. Never Say No. Jika tidak tahu, saya selalu bertanya caranya kepada rakan-rakan lain. Kalau ditanya gaji, gaji masa itu nampak besar.

UB: Boleh ceritakan pengalaman kerjaya di bank
MOHD LAN: Saya mula bekerja sebagai Pegawai Bank di Bank Bumiputera . Kemudian saya bekerja sebagai Pegawai Bank di Bumiputera Commerce Berhad pada 1997. Kemudian saya dilantik sebagai Ketua Jabatan Kredit di CIMB Bank  Berhad  pada 2005. Mungkin kerana prestasi yang dinilai baik, saya dilantik sebagai Pengurus Kawasan bagi Kuwait Finance House (M) Berhad pada 2011. Pada 2015, saya dilantik sebagai Pengurus Kanan di SME Bank Berhad . Kemudian pada 2016, saya dlantik sebagai Pengarah Negeri dan Ketua Program di Agenda Peneraju Bumiputera (Teraju).

UB: Selain kerja di bank, apa kegiatan lain yang tuan laksanakan?
MOHD LAN: Saya adalah Presiden Persatuan Perantau, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Rumah Anak Yatim As Sakinah dan Timbalan Pengerusi Majlis Tindakan Kraftangan Negeri Sabah.

UB: Siapa yang paling banyak mempengaruhi kehidupan tuan?
MOHD LAN: Empat orang yang paling banyak mempengaruhi saya. Empat orang itu ialah ibu saya, mama angkat saya, kakak saya Kak Zaiton dan Abang saya, Mohd Ali Jainie.

UB: Apa sukan yang tuan minati?

MOHD LAN: Bolasepak dan olahraga. Saya ikut bermain bola di padang SK Padas Damit, Posisi saya goalkeeper. Di sekolah saya dipanggil Gary Linekar, walaupun saya main penjaga gol dan bukan striker.
Selain itu, saya aktif bola tampar dan olahraga. Bahkan saya pernah jadi wakil sekolah ke sukan MSSM, acara 100 meter, 200 meter dan 400 meter.

UB: Bagaimana tuan mendeskripsikan kehidupan tuan?
MOHD LAN:Saya pernah mengalami hidup yang susah. Susah yang sesusahnya. Saya tidak menyangka boleh sampai pada tahap begini. Alhamdulillah. Saya bersyukur kepada Allah SWT yang sentiasa menjanjikan rezeki bagi yang berusaha. Saya bermula dari bawah dan terus koimted dalam kerjaya.

UB:Motto tuan?
MOHD LAN: Dalam pekerjaan  saya tidak pernah mengatakan tidak boleh. Selalu ada jalan untuk mengatasi sesuatu persoalan. Saya tidak mahu kecewakan orang lain. Itu sebabnya saya katakan, never say no. Tidak pernah katakan tidak.