Saturday, March 9, 2019

CERITA PERJALANAN KE JAMBI, MENJEJAKI JEJAK SEJARAH DUA ABAD

CERITA PERJALANAN KE JAMBI, MENJEJAKI JEJAK SEJARAH DUA ABAD

SELEPAS tiga kali bertukar pesawat, akhirnya kami tiba di Bandar Udara Sultan Thaha Syaifuddin Jambi. Letaknya di Paalmerah, lapangan terbang baru yang boleh menampung kira-kira 1.6 juta penumpang setiap tahun ini diberi nama sempena nama sultan Jambi yang terakhir.

Hari sudah petang. Jam 5.25 waktu tempatan. Perjalanan itu memang menguja. Berangkat dari Kota Kinabalu kira-kira jam 8.00 pagi dengan pesawat Malindo Air, kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA 1)  jam 10.35 pagi. Kemudian kami bergegas ke pintu C untuk meneruskan penerbangan ke Jakarta  pada jam 11.25 pagi.

Setibanya di Terminal 2  Bandara Internasional Soekarno Hatta Jakarta jam 1.35 petang (kira-kira jam 12.35 tengahari waktu Jakarta) kami terus menaiki Kalayang (sky train) ke Terminal 1 untuk menunggu penerbangan dengan Pesawat JT 608 Lion Air tujuan Jambi yang berangkat jam 4.10 minit dari Jakarta.

Walaupun bercampur dengan rungutan penumpang yang kesal kerana dasar baru syarikat penerbangan yang mengenakan caj untuk bagasi, kami sendiri terpaksa membayar caj 270,000 IDR (kira-kira RM78.27) namun penerbangan kira-kira satu jam dari Jakarta ke Jambi terasa sekejap.




Setibanya di Bandara Sultan Thaha, kami terus memesan teksi ke Tempoa Inn, sebuah tempat penginapan yang dicadangkan seorang rakan penulis di Jambi. Tempoa Inn adalah tempat yang biasanya menjadi lokasi pertemuan untuk seniman berdiskusi, mengadakan program atau sekadar untuk mengopi. Ada gerai-gerai makanan dan minuman, kata Ramayani Riance.

Di sana ada juga ada Tempoa Art @ Gallery  milik Pak Harkopolo Lie. Di sana juga ada musium bioskop (muzium wayang). “Kawan-kawan Seniman suka kumpul di sana,” kata Ramayani.

Dengan kata-kata pengantar itulah, kami meminta teksi yang dipandu Bang Denny, di sana orang melayu suka disapa dengan abang, kami Tempoa Inn, No 21, Lorong Pasar Hongkong Jelutong.
Setelah membayar kira-kira Rp47,000 sebagai bayaran tambang teksi, kami terus kaunter dan di sana sudah menunggu Yusi Anggraini, staff Tempoa yang dihubungi lebih awal untuk tempahan.

Kami terus membayar Rp350,000 (RM102) untuk bayaran hotel satu malam termasuk satu extra bed dan sarapan pagi.


Hotelnya agak besar dan menyediakan banyak kemudahan. Ada pameran fotografi hasil karya jurufoto di Jambi, selain karya-karya lukisan karya rakan-rakan pelukis di Jambi.

Soalnya untuk apa kami ke Kota Jambi, ibu kota propinsi atau wilayah Jambi? Apa yang menarik di sana? Untuk apa rombongan Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Iranun (BKI) Sabah diketuai oleh Yang Dipertuanya, Haji Masrin Haji Hassin dan Cikgu Ismail Sidik sebagai Setiausaha Agung dan saya sendiri sebagai Ketua Penerangan BKI yang juga wartawan Utusan Borneo perlu ke Jambi?

Pertanyaan itu juga ditanyakan oleh beberapa rakan mengenai tujuan sebenar kami ke Jambi?

Sebenarnya tujuan utama kami ke Kuala Tungkal di Kabupaten Tanjung Jabung Barat  dan Muara Sabak, yang terletak di Kabupaten Tanjung Jabung Timur untuk menjejaki jejak sejarah hubungan antara  Tempasuk yang terletak di Borneo dan Mindanao yang terletak di Selatan Filipina dengan Sultan Mahmud Shah III, Sultan Riau Johor yang berpusat di Tanjung Pinang pada 1787.

Selepas menikmati kopi, saya sempat berkenalan dengan Pak Sakti Alam Watir,, seorang wartawan budaya, seorang seniman dan jurufoto yang terkenal di Jambi. Kebetulan Pak Harkopo, pemilik hotel, ketika itu berada di Jambi. Saya sempat bertanya berapa jarak antara Jambi dan Kuala Tungkal dan berapa ongkos yang diperlukan untuk ke sana?

Pak Harkopolo menyarankan agar kami naik kereta sewa saja ke sana. Harganya kira-kira Rp500,000 (RM145.00 ) sehari. Berbanding jika kami terpaksa ikut menumpang dengan tambang Rp100,000 (RM28.00) hingga Rp120,000 (RM34.80) seorang dari Jambi ke Kuala Tungkal. Itu baru satu hala. Kami bertiga terpaksa membayar Rp 360,000 atau (RM104.38) atau Rp1.2 juta (RM348) pulang balik dari Jambi ke Kuala Tungkal.
Kebetulan Pak Abdi Nur, seorang seniman gelang, bersedia untuk menghantar kami dengan keretanya ke Kuala Tungkal. Beliau sendiri berasal dari Kuala Tungkal, dan tahu pula subjek yang menjadi tujuan kami, iaitu suku Melayu Timur
“Saya pernah tinggal berjiran dengan mereka,” kata Pak Abdi. Esok paginya, kami sepakat untuk memulakan perjalanan untuk misi sejarah dan budaya ke Kuala Tungkal (Siri 1)

1 comment:

monica said...

Terima kasih tentang artikel nya , semoga bermanfaat, kunjungi my blog makanan wisata