Saturday, March 9, 2019

PERTEMUAN DI KUALA TUNGKAL, MENELUSURI SEJARAH LAMA

PERTEMUAN DI KUALA TUNGKAL, MENELUSURI SEJARAH LAMA

Perjalanan ke Kuala Tungkal memakan masa hampir tiga jam dari Kota Jambi. Selepas bersarapan,kami berangkat dari Tempoa Inn, Lorong pasar Hongkong Jelutong, kira-kira jam 9.00 pagi menaiki kereta yang dipandu Pak Abdi Nur, seorang seniman kraftangan yang mahir membuat topi dan gelang. Kebetulan beliau lahir  di Kuala Tungkal dan tahu pula misi tujuan kunjungan kami iaitu berkunjung dan menjalin silaturrahim dengan tokoh-tokoh masyarakat suku Melayu Timur. Menurut Pak Abdi, ketika kecilnya beliau membesar dan hidup dalam lingkungan suku Melayu Timur yang kami cari itu.


Ada apa dengan suku Melayu Timur dan apa kaitannya dengan kunjungan kami ke Kuala Tungkal itu? Sebenarnya tujuan kami ke Kuala Tungkal adalah melanjutkan misi menjejaki sakibaki keturunan angkatan perang Tempasuk yang pernah membantu Sultan Mahmud Riayat Shah mengusir Belanda dari Tanjung Pinang pada Mei 1787. Menurut Tuhfat Al Nafis karangan Raja Ali Haji, sebahagian dari angkatan perang itu tidak pulang ke Tempasuk atau ke Mindanao, sebaliknya bersetia dengan Sultan Mahmud III yang kemudian memindahkan pusat kerajaan Riau ke Lingga. Mereka kemudian berpindah ke Reteh, Sabak, Enok dan Kuala Tungkal dan kawasan-kawasan pesisir Riau dan Jambi.

Menurut Prof James Warren, angkatan Iranun itu kemudian membaur dengan masyarakat tempatan, dan generasi ketiga dan keempat dan seterusnya menjadi orang Lingga, yang kemudian terbukti kurang tepat. Menurut beberapa catatan sejarah dan sumber  yang lain, keturunan mujahidin Iranun  penentang belanda itu, setelah beberapa generasi  kemudian dikenali sebagai suku Melayu Timur.

Apa yang membezakan mereka dengan masyarakat Melayu yang lain? Suku Melayu Timur masih memiliki senjata pusaka bernama Kampilan, sundang,panabas, keris dan sebagainya. Selain itu, mereka masih memiliki adat istiadat seperti makan di kelong, mandi laut, dan sebagainya. Beberapa kata-kata Iranun seperti Pamanai (bendera kecil), Busau (pelahap), Tonong (gimbaran), Gapus (peluk), Atah (Antah), Wata  (anak), apu (nenek atau atuk), baie (puteri), degan (banjir) dan sebagainya.

Itulah antara beberapa kesan yang kami temui ketika berkunjung ke Pulau Kijang dan Kuala Patang Parang, Tembilahan, Indragiri Hilir.
Berdasarkan penuturan dan cerita orang di sana, masih terdapat komuniti Melayu Timur yang tersebar di beberapa buah kampung atau desa di Kuala Tungkal dan Muara Sabak, di Kabupaten Tanjung Jabung Barat dan Tanjung Jabung Timur dalam Propinsi atau Wilayah Jambi.

Itulah antara yang memotivasi dan mendorong kami untuk meneruskan misi Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Iranun (BKI) sabah, yang telahpun dimulai sejak 2010. Sepanjang tempoh itu, kami sudah berkunjung ke Tanjung Pinang, PekanBaru, Tembilahan Inderagiri Hilir di Sumtera, Bangka dan Pulau Belitong , Toli-toli Sulawesi Utara dan kali ini ke Kuala Tungkal dan Muara Sabak.

Pemandu kami, Pak Abdi Nur, mengenali seorang tokoh Melayu Timur, A Bakir di Lorong Anggrek, Kuala Tungkal, anak  Panglima Omar dan penempatan melayu Timur di Kuala Tungkal.


Perjalanan memang agak jauh. Tetapi pak Abdi Nur memang agak luar biasa orangnya. Selain bekerja sebagai seniman gelang, yang membawanya berkeliling Indonesia untuk memberikan latihan kemahiran, beliau juga, menurut pengakuannnya sendiri, bisa menghidupkan, kalau istilah orang Jambi, `burung yang mati.’ Itulah antara yang menjadi hiburan kami di sepanjang jalan itu untuk mengorek rahsia dan petua menghidupkan burung yang mati. Beliau juga menambahkan bahawa selain itu, beliau juga ada ilmu `mematikan burung’.

Tetapi yang menarik ialah mengenai topi dan gelang yang dibuatnya. Menurut pak Abdi, topi dan gelang itu sesuai untuk kesihatan dan anti mikroba. Gelang itu dibuat dari pokok resam yang tumbuh di pinggir-pinggir jalan dan itu boleh dimanfaatkan.

Selepas tiga jam dalam perjalanan, akhirnya kami tiba di Kuala Tungkal, sebuah daerah pelabuhan,ibu kota Kabupaten Tanjung Jabung Barat, tidak lama selepas Jumaat. Kami  mencari masjid tetapi kerana masih bermusafir, kami meneruskan perjalanan sehinggalah tiba di sebuah restoran berdekatan dengan pelabuhan.

Kami makan berlaukkan ikan tilapia dan ikan senangin. Sayang sekali, ikan sembilang tak ada sebab di laut, kuat ombaknya.







Selepas itu, kami berkeliling Kota Kuala Tungkal, yang sebelum ke Lorong Anggrek, untuk bersilaturrahim dengan Pak A Baqir. Kami bersyukur kerana kebetulan beliau berada di rumah.



Pak A Baqir mulanya agak terkejut menerima kunjungan kami. Beliau bertanya tujuan kedatangan kami, jauh-jauh dari Sabah, Malaysia. Selepas menjelaskan dan menerangkan misi kami untuk bersilaturrahim dengan suku Melayu Timur kerana memiliki hubungan sejarah dan  budaya yang kuat, Pak Baqir rasa teruja. Beliau memberitahu bahawa nenek moyangnya berasal dari sebelah Timur iaitu Mindanao.


Kemudian beliau memperlihatkan senjata-senjata pusaka yang dimilikinya dari arwah moyangnya iaitu kampilan, Sundang, Keris, tombak dan sebagainya. Sesuatu yang jarang dilakukannya. Tetapi beliau memperlihatkan kepada kami dan bercerita susur galur keturunan yang masih diingatnya.


 Beliau kelihatan masih tangkas dan seorang yang disegani. Beliau menunjukkan cara bermain senjata, cara memegang kampilan dan sebagainya.


Yang DiPertua Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Iranun (BKI), Haji Masrin Haji Hassin menjelaskan mengenai Kampilan, iaitu sejenis senjata yang dimiliki oleh masyarakat Iranun dan keturunannya. Salah satu menjadi alasan  yang menunjukkan hubungan darah keturunan antara Iranun dan Melayu Timur itu adalah kerana adanya Kampilan, selain pelbagai jenis peralatan, dan adat istiadat yang masih diamalkan di kalangan melayu Timur. Cikgu Ismail Sidik, Setiausaha BKI mengakui beberapa adat seperti mandi di laut dan makan di kelong masih diamalkan di kalangan keluarganya di Kota Belud, persis sama dengan amalan sebahagian masyarakat Melayu Timur.

Pertemuan itu memang sangat bermakna. Apatah lagi, mungkin inilah kali pertama kunjungan orang Iranun ke Kuala Tungkal dan Muara Sabak untuk menelusuri jejak sejarah yang ditinggalkan nenek moyang  lebih 232 tahun yang lalu.


Banyak yang perlu dicatat kerana kisahnya yang mahu diceritakan masih jauh dari sempurna.Bak teka silangkata,Masih banyak petak-petak yang perlu diisi bagi menjawab persoalan-persoalan sejarah. Namun waktu agak cemburu kerana kami perlu berpatah balik ke kota Jambi sebab esoknya kami perlu meneruskan misi ke Muara Sabak. Pertemuan itu agak singkat, tapi apa boleh  buat kami terpaksa berangkat.Selepas bertukar  nombor telefon dan mengambil gambar kenangan, kami pun  pulang diselubungi kegembiraan sekaligus keharuan bertemu saudara sebangsa selepas beratus tahun terpisah.


No comments: