Ahad, 10 Mac 2019

SAYA INGIN TRANSFORMASI PUTATAN, KATA AG HUSAINI

Tags

SAYA INGIN TRANSFORMASI PUTATAN, KATA  AG HUSAINI


“SEJAK  terpilih sebagai wakil rakyat, kehidupan berubah menjadi lebih komited untuk berkhidmat kepada  rakyat yang telah memilih saya,” kata Ahli Parlimen P 173 Putatan, Tuan Awang Husaini bin Sahari. Beliau bertekad untuk mentranformasi Putatan dengan membawa lebih banyak pembangunan demi kesejahteraan rakyat.
Sebelum ini, beliau tidak pernah terfikir untuk menjadi seorang wakil rakyat. Entah bagaimana ketika pulang bercuti ke tanahair pada 2016, beliau diajak untuk menceburkan diri dalam bidang politik. Sebenarnya, cita-cita saya hanya ingin menjadi pensyarah dalam bidang undang-undang, katanya yang ketika sedang menuntut di University of Anglia Ruskin, Cambridge England di peringkat sarjana undang-undang (LLM).. Akhirnya beliau menceburkan diri dalam politik melalui Parti Keadilan Rakyat (PKR). Dalam PRU-14, Awang Husaini memenangi Parlimen P173 Putatan dengan majoriti 2,339  selepas memperolehi undi sebanyak 14,106 mengalahkan Datuk Dr Marcus Mojigoh dari BN UPKO  yang mendapat undi 11,767,Zulzaim Hilmee Abidin dari PAS (2434), Jivol @ Edmund Doudilim dari Parti Harapan Rakyat(1,755) dan Milkusin Abdulah dari Parti Kerjasama Anak Negeri yang mendapat undi 728.

AWANG HUSAINI BIN SAHARI dilahirkan di Kampung Ulu Putatan pada 2 Mac 1967. Beliau adalah anak keenam daripada tujuh adik beradik. Beliau mendapat pendidikan awal di SRK Buit Hill Putatan dari tahun 1973 hingga 1978 sebelum melanjutkan pelajaran di SMK Putatan (1979-1981), SMK Likas (1982-1983) dan Tingkatan Enam di SMJK La Salle. Selepas itu beliau meneruskan pengajian di Universiti Anglia Ruskin di Cambridge England hingga lulus BA Law seterusnya melanjutkan pengajian LLM di universiti yang sama. Beliau pernah menceburi pelbagai bidang pekerjaan sebelum menceburi bidang politik.Ayahnya, Allahyarham    Datuk Haji Awang Sahari Abdul Latif, seorang tokoh  pendakwah dan mantan Pengarah Dakwah Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) manakala ibunya ialah Dayang Zaleha Awang Tengah, seorang suri rumah.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang untuk menemuramah beliau di pejabatnya di Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Putatan. Dalam sesi temuramah, beliau menceritakan bagaimana beliau mula terlibat dalam politik dan impiannya mentransformasi Putatan. Ikuti sesi temuramah bersama beliau:

UB: Boleh ceritakan sedikit latar belakang YB?
AG HUSAINI: Saya orang kampung Ulu. Saya lahir di Kampung Ulu Putatan pada 2 Mac 1967. Saya anak ke enam dari tujuh adik beradik.

UB: Latar belakang pendidikan?
AG HUSAINI: Saya bersekolah rendah di SRK Buit Hill dari tahun 1973 hingga 1978. Selepas itu, saya melanjutkan pelajaran menengah di SMK Putatan dari tahun 1979 hingga 1981.  Kemudian selepas mendapat keputusan yang baik, saya bersekolah di SMK Likas  hingga lulus SPM 1983 dan kemudian melanjutkan pelajaran  tingkatan enam di SMJK La Salle.
UB: Selepas itu dimana YB melanjutkan pengajian?
AG HUSAINI: Saya melanjutkan pengajian di University of Anglia Ruskin hingga lulus BA dan kemudian kembali lagi ke sana 2014 hingga lulus sarjana dalam undang-undang (LLM). Saya sebenarnya menyimpan impian menjadi pensyarah undang-undang tetapi suratan takdir menjadikan saya seorang wakil rakyat, untuk membela kepentingan rakyat.

UB: Pernah terfikir untuk menjadi wakil rakyat sebelum ini?
AG HUSAINI: Tidak pernah. Ketika balik bercuti dari UK pada tahun 2016, ramai yang memberi galakan untuk saya berkecimpung dalam bidang politik. Itu awal mulanya saya terlibat aktif dalam politik.

UB: Apa perubahan yang dialami selepas menjadi wakil rakyat?
AG HUSAINI: Selepas terpilih sebagai wakil rakyat, kehidupan berubah menjadi lebih komited untuk berkhidmat kepada masyarakat, membantu rakyat yang telah memilih saya. Saya dedikasi, sepenuh hati berkhidmat kepada rakyat.

UB: Apa cita-cita YB sebelum ini?
AG HUSAINI: Saya ingin menjadi pensyarah dalam bidang undang-undang. Sebenarnya ketika diajak terlibat aktif  dalam politik, saya masih menuntut di peringkat sarjana LLM di Universiti Anglia Ruskin, Cambridge.

UB: Biasanya jam berapa bertolak dari rumah?
AG HUSAINI: Saya berangkat dari rumah kira-kira jam 8.00 pagi. Balik rumah kira-kira 10.00 malam. Kadang lebih lewat daripada itu.

UB:  Mungkin ada hari tertentu yang dikhaskan untuk bertemu rakyat?
AG HUSAINI: Jika ada sidang Parlimen, saya berada di ibu negara dari Isnin hingga Khamis. Jumaat hingga Ahad saya berada di Putatan. Biasanya subuh Isnin barulah saya terbang ke Kuala Lumpur. Jika tidak ada sidang Parlimen, saya sentiasa berada di kawasan.

UB: Apa  isu-isu yang selalu dibawa ke Parlimen?
AG HUSAINI: Antara isu yang saya suarakan ialah isu pendidikan. Kita terlalu ketinggalan jauh dari segi kemudahan infrastruktur. Misalnya Sekolah Berasrama Penuh (SBP) . Di Semenanjung sudah ada SBP sejak 1956 tetapi di Sabah, kita hanya ada Sekolah Berasrama Penuh tahun 80-an. Sekarang kita mempunyai dua sekolah berasrama penuh iaitu Sekolah Menengah Sains Sabah, Sekolah Menengah Sains Lahad Lahad Datu dan satu lagi Sekolah Menengah Sains Labuan berbanding 68 di seluruh negara. Kita mahu   lebih banyak Sekolah Berasrama Penuh (SBP) didirikan di Sabah, lebih banyak Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) untuk kepentingan anak kita. Kerajaan hari ini tidak sepatutnya menumpukan hanya kepada menaik taraf sekolah SBP  yang sedia ada di Sabah sebaliknya perlu menambah bilangan SBP di negeri Sabah terutamanya di kawasan pedalaman.
 Saya akan terus menyuarakan  dan memperjuangkan hak-hak negeri Sabah di peringkat pusat kerana jelas jurang pembangunan antara Sabah dan Semenanjung sangat jauh. Saya juga mengambil inisiatif untuk membina kerjasama proaktif dan pintar dengan SEDIA dan IDS dalam usaha mengumpul maklumat penting untuk mengangkat suara Sabah ke peringkat Persekutuan khususnya di Dewan Rakyat.

UB: Boleh ceritakan sedikit mengenai misi YB untuk untuk Parlimen Putatan?
AG HUSAINI: Misi saya adalah mahu mentransformasi Putatan, kita mahu Putatan berwajah baru dalam semua aspek.Antara yang kita utamakan ialah pendidikan. Kita akan mewujudkan Pusat Pra Universiti di SMK Putatan bagi menyediakan pembelajaran yang lebih kondusif. Selain itu,saya juga menyuarakan  isu kekurangan sekolah menengah di Putatan. Kini kita mempunyai lima sekolah menengah dan sembilan sekolah rendah.Dilihat dari segi nisbah jumlah sekolah menengah tidak mencukupi dan sekaligus kadar kepadatan di sekolah-sekolah juga tinggi. Justeru itu kita memohon Kementerian Pendidikan untuk mengkaji bagi menambah bilang sekolah menengah di Parlimen Putatan. Setakat ini Parlimen Putatan akan menerima sebuah sekolah menengah iatu SMK Petagas ada 2021 dan cadangan pembinaan SMK Lok Kawi juga sudah dihantar ke Jabatan Pendidikan Negeri Sabah. Ini pun saya fikir belum mencukupi.

UB: Apa lagi cadangan YB selain itu?

AG HUSAINI: Kita juga berharap kerajaan akan meneruskan dasar membina Kolej Komuniti di setiap parlimen iaitu dengan membina Kolej Komuniti Putatan.

UB: Selain pihak kerajaan, bagaimana penglibatan pihak swasta? Boleh komen?

AG HUSAINI: Saya  merakamkan terima kasih kepada Pengurusan One Place Mall memberikan suntikan dana untuk membantu membangunkan dan merancakkan lagi Sektor Pendidikan di Putatan. Bantuan ini khusus kepada golongan yang kurang berkemampuan diberikan dalam bentuk baucer ataupun barangan keperluan.

Saya fikir ini satu respon yang positif terutamanya selepas pelaksanaan Skim Insentif Pendidikan Tinggi Fasa Pertama Hingga ketiga yang dilaksanakan oleh Pusat Khidmat Masyarakat. Kita juga mengalu-alukan sebarang bantuan daripada pihak swasa untuk sama-sama membantu  lebih banyak golongan yang memerlukan.

UB: Banyak permintaan di kalangan penduduk khususnya di Putatan untuk pembinaan sebuah lagi  klinik atau hospital di Putatan. Komen YB?
AG HUSAINI: Demi meningkatkan kesejahteraan rakyat, Kita akan beri keutamaan untuk   membina sebuah lagi Klinik Kesihatan Daerah Putatan pada 2019. Ini bagi menampung lebih banyak pesakit. Klinik yang sedia ada tidak dapat menampung keperluan masyarakat. Ada juga cadangan untuk membina Hospita tetapi ia dilihat tidak sesuai kerana jarak yang dekat dengan Hospital Queen Elizabeth. Pembinaan sebuah klinik adalah cadangan praktikal buat masa ini untuk menampung kepadatan di Klinik yang sedia ada.

UB: Jika tidak silap, pulau Gaya masuk dalam kawasan Parlimen Putatan. Khabarnya YB pernah menyatakan pembinaan sebuah mini klinik di pulau itu. Boleh tolong jelaskan?
AG HUSAINI:  Pulau Gaya memang terletak berhampiran kawasan Bandaraya Kota Kinabalu tetapi ia terletak di kawasan Parlimen Putatan. Kita juga akan bina sebuah klinik kesihatan mini  di Pulau Gaya untuk keperluan masyarakat di pulau itu. Keperluan untuk membina sebuah klinik di kawasan ini sangat perlu bagi memastikan kualiti kesihatan sentiasa dalam keadaan yang memuaskan. Lokasi perkampungan di Pulau Gaya yang terpisah dari daratan menyukarkan dan menjejaskan pergerakan penduduk untuk mendapatkan rawatan. Sudah pasti ia mengundang bahaya kepada penyebaran pelbagai wabak dan penyakit yang akan membahayakan masyarakat Pulau Gaya. Saya membawa cadangan ini ke peringkat Kementerian Kesihatan Malaysia untuk mendapatkan kelulusan.
Saya berharap apa yang disuarakan dapat direalisasikan demi untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat.


UB: Bagaimana mengenai kepentingan belia khususnya dalam bidang sukan?
AG HUSAINI:Kepentingan belia khususnya dalam budang sukan juga tidak kita ketepikan. Kita memiliki banyak bakat.Kita tidak ketandusan dalam bakat sukan. Bahkan banyak atlit negeri lahir di Putatan. Sehubungan itu, Saya membawa perkara ini dalam sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2019 di Dewan Rakyat Alhamdulillah, Pembinaan sebuah stadium bertaraf daerah  bernilai RM8.8 juta sudah diluluskan .Kerja-kerja awalan dijadual bermula tahun 2019.
Dengan pembinaan stadium ini kelak, sudah pasti ia bakal merancakkan lagi industri sukan di daerah Putatan.

UB: Menarik sekali. Apakah ini sebahagian usaha transformasi Putatan?
AG HUSAINI:Ya, Kita akan transform Putatan. Banyak lagi pembangunan seperti Program Perumahan Rakyat (PPR). Di Putatan setakat ini terdapat dua PPR iaitu PPR Taman Keramat dan PPR Sri Serigei.Kita mencadangkan kepada kerajaan untuk membina lebih banyak lagi  PPR di Putatan dengan mengambil kira banyak faktor seperti kedudukan Putatan sebagai daerah penampan kepada bandaraya Kota Kinabalu.

Selain itu, pembinaan Balai Bomba di Putatan juga sangat penting. Sebelum ini, jika ada kebakaran, kita terpaksa bergantung dengan Balai Bomba di Sembulan. Saya juga mencadangkan pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah Putatan dan pembinaan sebuah stesen bas di Putatan.

UB: Mungkin YB boleh ulas mengenai kemudahan infrastruktur seperti jalan raya di Putatan, khususnya jalan-jalan yang perlukan perhatian?

AG HUSAINI: Selain itu, kita juga sudah mengenal pasti jalan jalan kritikal untuk segera diperbaiki oleh pihak yang dipertanggungjawabkan.. Antaranya Jalan Klinik Kesihatan daerah yang perlukan pembesaran jalan dan kawasan letak kereta, pembesaran jalan di hadapan bulatan JKR Putatan untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas,. pemasangan besi penghadang di kawasan pembahagi jalan  berhadapan  Bank Simpanan Nasional (BSN) dan sebagainya. Pemasangan laluan pejalan kaki menuju SMK Putatan dan pembinaan Stesen Perhentian di simpang SMK Putatan. Kita sudah melakukan lawatan kerja yang turut disertai oleh jabatan dan agensi persekutuan, antaranya Pejabat Daerah Putatan, Jabatan Kerja Raya, pejabat Tanah dan Ukur Negeri, Pejabat Khidmat Masyarakat dan sebagainya.


UB: Kalau boleh tanya, apa tekad dan azam YB untuk rakyat?
AG HUSAINI:  Saya mahu memperhambakan diri, berkhidmat sepenuhnya kepada rakyat.

UB: Bila ada masa lapang, apa hobi YB?
AG HUSAINI: Saya suka buat research mengenai pelbagai isu, baik di peringkat tempatan, dalam negeri, nasional dan peringkat antarabangsa.

UB: Terima kasih YB atas waktu yang diberikan.Saya percaya masih banyak perkara yang boleh dibincangkan tetapi waktu dan ruang tidak mengizinkan.
AG HUSAINI: Terima kasih kembali atau peluang yang diberikan untuk sesi temuramah ini.