Khamis, 4 April 2019

Sekadar kenangan di Teluk Majelis

Tags
MEMANG berat rasa hati untuk melangkah pulang. Apatah lagi kami baru saja bersua muka. Sebelum ini kami hanya pernah mendengar nama Desa Teluk Majelis, sebagai sebuah kampung yang majoriti penduduknya dari kalangan suku Melayu Timur. Akhirnya kami dapat juga menjejakkan kaki di desa yang terletak di Kecamatan Kuala Jambi, Tanjung Jabung Timur, Propinsi Jambi.

Selain Teluk Majelis, orang Melayu Timur juga menetap di Kecamatan Mendahara, Nipah Panjang dan sebagainya. Namun kami tidak sempat berkunjung ke kampung-kampung yang lain seperti Majelis Hidayah,Nipah Panjang, Nibung Putih, Muara Sabak, ,Rane kerana keterbatasan waktu.

Meskipun begitu, layanan mesra dan ramah, masyarakat Kampung Teluk Majelis terutama  Lembaga Adat Melayu (Lam) Jambi yang menyambut kami dengan sambutan yang luar biasa dan menerima kami dengan rasa persaudaraan yang akrab, membuat kami terharu dan tak putus-putusnya mensyukuri rahmat Allah yang mempertemukan kami.

“Ini hanyalah sebuah jalan pembuka. Semoga selepas ini, ramai orang Iranun dari Sabah Malaysia dan juga dari Mindanao Filipina akan berkunjung pula ke Jambi. Kami berharap juga saudara saudara dari suku Melayu Timur dapat pula ke Sabah untuk silaturrahim,” kata saya kepada pak Said Abdullah. Beliau berkisah mengenai keberanian dan kehebatan nenek moyang suku Melayu Timur yang hingga kini sangat disegani.

Saya bercerita mengenai beberapa catatan sejarah yang menunjukkan adanya hubungan kekeluargaan dan kekerabatan antara Iranun dan Melayu Timur. Nenek moyang orang Melayu Timur tidak lain adalah pahlawan dan mujahidin Iranun dari Tempasuk yang pernah membantu Sultan Mahmud III hingga berjaya mengalahkan tentera Belanda di Tanjung Pinang sehingga mereka terusir  ke Singapura. Peristiwa itu berlaku oada Mei 1787. Kemudian kerana khuatir serangan balas, akhirnya Sultan Mahmud Riayat Shah memindahkan pusat kerajaannya ke Lingga. Sebahagian dari 30 hingga 40 kapal yang membawa angkatan Iranun itu tidak pulang sebaliknya ikut ke Lingga seterusnya ke Reteh. Di Reteh juga, lebih 60 tahun kemudian, berlaku perang Reteh yang dipimpin Panglima Besar Sulong, anak pemimpin Iranun bernama Tok Lukus dengan puteri Sultan Yahya Raja Siak bernama  Raja Maimunah. Setelah perang itu, menurut cerita lisan,, ada yang pindah ke tempat-tempat lain, antaranya ke Kuala Tungkal dan Muara Sabak.

Pak Said memberitahu mengenai beberapa perkataan nenek moyang yang masih tertinggal dalam bahasa Melayu Timur, yang kini menjadi sebuah dialek Melayu yang menunjukkan beberapa ciri khasnya.

Masih ramai lagi yang menyimpan kampilan atau sejenis senjata kebanggaan Iranun.Bahkan seorang lagi orang Melayu Timur, pakcik Jamaluddin sempat melukis gambar Kampilan itu ditunjukkan kepada kami.

Banyak juga kisah-kisah kepahlawanan MelayuTimur sejak berzaman dikisahkan oleh cucu cicit mereka. Jika diturutkan masa sehari dua hari itu tidaklah mencukupi. Tapi harus pulang kerana sudah membuat beberapa temujanji dengan toko Melayu Timur di Kota Jambi.

Sebelum pulang, warga Desa Teluk Majelis mengambil kesempatan untuk merakamkan gambar kenangan bersama Haji Masrin Haji Hassin, Yang Di Pertua Persatuan Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Iranun (BKI) Sabah, dan Cikgu Ismail Sidik, Setiausaha Agung BKI.

 Turut serta dalam majlis itu ialah Seketaris Umum Lembaga Adat Melayu Jambi (LAM) Tanjung Jabung Timur,Bapak Ahmad Suwandi, Camat Kuala Jambi, Bapak Taufik  Kurniawan, Pak Amiruddin Kaharudin, Kepala Kepala Dinas Pariwisata, Budaya, Kepemudaan dan Olahraga dan Kepala Desa Teluk Majelis, Bapak Sukardi, Hadir juga Ibu Ice Kurniaty yang banyak membantu melancarkan perjalanan kami.

Sungguh luar biasa sambutan yang diberikan kepada kami. Terima kasih banyak kepada semuanya.Di sepanjang perjalanan pulang itu, kami terkenangkan upacara yang dimulakan dengan tari sekapur sirih, dan kemudian terinai, sebuah tarian yang memadukan seni tari dan muzik kulintangan.

Majoriti penduduk di Desa Teluk Majelis atau umumnya di Kecamatan Kuala Jambi Tanjung Jabung Timur hidup dari hasil pertanian. Antara tanaman pertanian yang terdapat di sana termasuklah kopi, getah, kelapa hibrida (hybrid Coconut) Pinang (areca nut),Lada, Kelapa Dalam (Coconut) kelapa sawit, kemiri (candlenut) dan koko.
Kelapa mendominasi dengan keluasanan 7,287 hektar manakala di  tempat kedua ialah pinang seluas 777 hektar diiikuti kopi hanya 396 hektar.

Tanaman pinang yang luas itu juga amat menarik. Kami tidak pernah melihat tanaman pinang seluas itu selain di daerah Tanjung Jabung. Di seluruh Tanjung Jabung Timur terdapat seluas 8,952 hektar dengan produksi sebanyak 2,931 tan setahun.

Mengikut penuturan penduduk, pinang itu banyak dijual  sebagai bahan kosmetik dan dieksport keluar negeri.
Desa itu agak terpencil. Di kiri kanan jalan, kelihatan banyak tanaman seperti kelapa, pinang, kopi, kelapa sawit dan sebagainya. Keadaan jalan rayanya ada diantaranya  masih belum beraspal. Tetapi warga kampung hidup tenang dan tidak perlu terburu-buru seperti warga kota. Mujur saya sempat membeli kad telekomsel yang memudahkan komunikasi. Saya teringat betapa sukarnya mencari tempat yang ada wifi sepanjang perjalanan dari Kuala Tungkal ke Kota Jambi sehari sebelumnya. Dari petang hinggalah sampai malam di Kota Jambi, kami gagal menemui `wi fi’.
Tetapi saya agak terkejut juga, dalam perjalanan kami dari Teluk Majlis ke Muara Sabak, tiba-tiba saya melihat sebuah kedai wifi, yang terletak di pinggir jalan. Nama kedai itu `Toko Nadin’, hampir sama dengan nama saya.Seakan tak percaya.

Perjalanan pulang dari Muara Sabak ke Kota Jambi mengambil masa kira-kira tiga jam.

“Sekarang lagi di Jambi ye?” tiba tiba ada whatsapp masuk. Pengirimnya Pak Agus Rama,salah seorang tokoh Melayu Timur di Jambi berasal dari Sungai Lokan. Saya mengajaknya bertemu di Tempoa Inn, menikmati kopi di sana. Dari cerita Pak Agus ini, banyak lagi kisah mengenai orang Melayu Timur yang kami dapatkan sebagai ole ole untuk pembaca.


SEKAPUR SIRIH DI TELUK MAJELIS, JADI INGATAN SEPANJANG JALAN

Tags




 SEKAPUR SIRIH DI TELUK MAJELIS, JADI INGATAN SEPANJANG JALAN

Dari Kampung Laut, kami melanjutkan perjalanan ke Teluk Majelis. Perjalanan ini meskipun jauh tetapi amat menguja. Sebenarnya sejak mula kami merancang ekspedisi mencari jejak sejarah Iranun di Sumatera, nama Teluk Majelis sudah melekat lama dalam minda meskipun kami belum pernah sampai ke sana.

Bayangkan dari Kota Kinabalu Sabah, Malaysia kami terpaksa berganti tiga  pesawat untuk sampai ke Kota Jambi. Dari Kota Jambi ke Tanjung Jabung Timur memakan masa tiga hingga empat jam.Kemudian kami meneruskan lagi perjalanan ke Kampung Laut, ibu kota kecamatan Kuala Jambi sebelum melanjutkan lagi perjalanan ke Desa Teluk Majelis. Teluk Majelis adalah salah sebuah desa yang dihuni masyarakat Melayu Timur di Kecamatan Kuala Jambi, Kabupaten Tanjung Jabung Timur, Provinsi Jambi.

Namun sesampainya di sana, segala penat lelah hilang serta merta. Melihat warga desa yang berbaris menyambut kami, terasa seperti berada di tempat sendiri. Wajah-wajah mereka sama ceria dan gembira.


Selepas tari sekapur sirih, gadis gadis penari itu  mempersilakan Haji Masrin Haji Hassin, Yang Di Pertua Persatuan Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Iranun (BKI) Sabah, dan Cikgu Ismail Sidik, Setiausaha Agung BKI untuk mencicipi sekapur sirih sebagai tanda sambutan. Turut serta dalam majlis itu ialah Seketaris Umum Lembaga Adat Melayu Jambi (LAM) Tanjung Jabung Timur,Bapak Ahmad Suwandi, Camat Kuala Jambi, Bapak Ahmad Kurniawan dan Kepala Desa Teluk Majelis, Bapak Sukardi dan kepala adat yang lain.

Kemudian kami dipersilakan ke Sanggar Kreasi Anak Desa Teluk Majelis. Sekali lagi, acara dimulakan dengan terinai atau tari inai, sebuah tarian tradisi, yang memadukan antara seni tari dan seni muzik kulintangan.




Saya kagum dengan kebolehan generasi muda yang terus melestarikan budaya mereka. Selepas persembahan tarian oleh pemuda dan pemudi, majlis diteruskan dengan ucapan ringkas.

Yang Di Pertua BKI, Haji Masrin Haji Hassin menyatakan rasa terharu kerana diberikan sambutan yang luar biasa dan mesra oleh warga desa. Beliau menceritakan sedikit riwayat perjalanan mencari keberadaan generasi Iranun, salah satu suku bangsa yang dominan pada abad ke 17 hingga ke-18. Mereka adalah pelayar pelayar  dan penjelajah laut Nusantara yang disegani. Bahkan pernah digelar Lord of Eastern Sea oleh sejarahwan seperti Prof James Warren dan sebagainya.


Pernah satu ketika Sultan Mahmud Riayat Shah III Sultan Riau Johor pernah meminta bantuan Raja Tempasuk untuk membantu mengusir Belanda dari Tanjung Pinang. Angkatan Iranun yang dianggarkan kira 30 kapal penjajab berjaya mengalahkan Belanda dari Tanjung Pinang pada Mei 1787. Selepas mengalahkan Belanda, sebahagian mereka berangkat pulang, sebahagian lagi menetap di Pulau Bintan di bawah kuasa Sultan Mahmud III. Mereka menjadi petani atau penanam padi pertama di Pulau Bintan, menurut catatan Belanda. Khuatir serangan balas Belanda, Sultan Mahmud III memindahkan pusat kerajaannya ke Lingga, dan angkatan Iranun yang tersisa itu juga ikut berpindah, antaranya ke Reteh, Enok , Kuala Tungkal dan Sabak. Mereka mendiami pesisir Riau dan Jambi, Malah salah seorang tokohnya, Panglima Besar Sulong, atau Tengku Sulong pernah berperang dengan Belanda dalam Perang Reteh.

Apa yang menjadi persoalan dan tanda tanya, ialah kemana sudah generasi atau keturunan dari angkatan Iranun yang tidak pulang ke Tempasuk dan Mindanao itu? Selepas menjalankan beberapa ekspedisi ke Tanjung Pinang, Pekan Baru, Bangka Belitong, Toli-toli , akhirnya keturunan Iranun ditemukan dalam di Riau, Indragiri Hilir, Kuala Tungkal dan Muara sabak di Jambi. Menurut beberapa buku, mereka kini dikenali sebagai suku Melayu Timur.

Masih banyak elemen dan persamaan antara Melayu Timur dan Iranun meskipun terpisah kira-kira 232 tahun yang lampau. Masih terdapat banyak senjata kampilan, panabas, keris, tombak tinggalan pusaka nenek moyang, masih terdapat amalan makan di kelong dan mandi laut, masih terdapat cerita mengenai `tonong’’, bahkan terdapat sejumlah kosa kata yang masih digunakan dalam bahasa Melayu Timur misalnya degan (banjir), busau (pelahap), apok (atuk atau nenek), wata’ (anak) baie (puteri), pingkak, manuk (ayam) dan banyak lagi yang dibisikkan kepada saya oleh Pak Said Muhammad, wakil Ketua Lam Tanjung Jabung Timur.

Walaupun dalam perancangan awal, kami bercadang untk singgah di Nipah Panjang dan Kampung Mendahara, tetapi waktu terasa agak cemburu. Kami harus pulang semula ke Kota Jambi kerana masih banyak tokoh-tokoh Melayu Timur yang perlu dikunjungi untuk silaturrahmi.


Akhirnya dengan berat hati kami bersalam-salaman kerana harus segera pulang. Sebelum itu, sempat juga ada sesi foto bersama. Saya fikir, inilah pertama kami mereka mendapat kunjungan dari orang Iranun di Sabah, yang sesungguhnya punya pertalian sejarah, budaya bahkan punya ikatan darah yang meski terpisah lama tetap terasa.






Kami sangat  berterima kasih kepada Pak Bupati, H Romi Hariyanto SE yang mewakilkan Staf Ahli Bidang Kemasyarakatan dan Sumber Daya Manusia, Drs Enizwar  SE, Lembaga Adat Melayu Jambi (LAM) diketuai Pak Kaharuddin dan Pak Ahmad Suwandi, juga kepada Ibu Ice Kurniaty, Pak Said Muhammad dan anakandanya Ustazah Dian Mustikasari, Pak Busu Awik, kepada Pak Amiruddin Kepala Dinas Pariwisata, Budaya, Kepemudaan dan Olahraga, Pasukan SatpolPP-Damkar dan semua i yang tak dapat disebutkan namanya satu persatu, yang berbaik hati menyambut kami ke Teluk Majelis.

Sungguhpun kami terpaksa pulang, kami berharap ini bukan perjalanan yang terakhir.


MERUNGKAI SIMPUL SEJARAH DI KAMPUNG LAUT, DI KECAMATAN KUALA JAMBI

Tags
MERUNGKAI SIMPUL SEJARAH DI KAMPUNG LAUT, DI KECAMATAN KUALA JAMBI

Kami sama sekali tidak menyangka akan diberikan sambutan serupa itu. Setibanya di Kampung Laut, kami disambut oleh pengurus Lembaga Adat Melayu dan tokoh-tokoh masyarakat yang menunggu sejak awal lagi. Selepas bersalaman kami dipersilakan memasuki aula kecamatan Kuala Jambi.

Rupanya ada majlis sambutan yang didakan khusus untuk menyambut ketibaan kami. Ada kain pemidang berbunyi “Selamat Datang Pengurus Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Iranun Sabah, Malaysia dan Wartawan “Utusan Borneo” Sabah di Bumi Sepucuk Nipah Serumpun Nibung.

Sekretaris Umum LAM,Ahmad Suwandi SH,MH mempengerusikan majlis itu. Beliau mempersilakan Camat, Taufiq Kurniawan,  memberikan ucapan seterusnya memberi taklimat mengenai Kecamatan Kuala Jambi, iaitu salah satu dari 11 kecamatan di Kabupaten Tanjung Jabung Timur.

Antara kecamatan yang terdapat di Kabupaten Tanjung Jabung Timur ialah Mendahara dengan ibukota kecamatannya Mendahara Ilir, Mendahara Ulu Permatang Rahim), Geragai (Pandan Jaya), Dendang (Rantau Indah), Muara Sabak Barat ( Nibung Putih), Muara Sabak Timur (Muara Sabak Ilir), Rantau Rasau (Bandar Jaya), Berbak (Simpang), Nipah Panjang (Nipah Panjang II), Sadu (Sungai Lokan) dan Kuala Jambi dengan ibu kota kecamatannya Kampung Laut.

Luas wilayah Kabupaten Tanjung Jabung Timur ialah 5,445 kilometer persegi dengan wilayah terluas berada di Kecamatan Sadu dengan luas 1,821.2 kilometer atau sebesar 33.45 peratus diikuti Kecamatan Mendahara sebesar 911.15 kilometer.

Beliau memberikan taklimat khusus mengenai kemajuan dan pembangunan yang dicapai di Kecamatan Kuala Jambi sambil memberikan informasi kepada kami mengenai Kecamatan Kuala Jambi. Terdapat beberapa desa di Kecamatan Kuala Jambi iaitu Kampung Laut, Tanjung Solok, Desa Manunggal Makmur, Desa Majelis Hidayah, Desa Kuala Lagan dan Desa Teluk Majelis.

Selepas itu, Pengerusi Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Iranun (BKI) Haji Masrin Haji Hassin menyampaikan ucapan terima kasih atas sambutan yang diberikan itu. Sungguh luar biasa. Beliau memberitahu tujuan kunjungan budaya ke Tanjung Jabung Timur adalah untuk menjalinkan hubungan silaturrahim dengan suku Melayu Timur, salah satu suku dari serumpun nibung di Tanjung Jabung Timur itu.Jika ditelusuri ada hubungan sejarah yang kuat antara suku Melayu Timur di Kuala Tungkal dan Muara Sabak di Jambi dan Reteh, Kuala Enok di Indragiri Hilir di Riau dengan suku bangsa Iranun wilayah Borneo khususnya Tempasuk dan Mindanao pada zaman bahari.
Hubungan sejarah dan budaya, persaudaraan antara Iranun dan Melayu Timur boleh dirunut dari silsilah dan beberapa bukti penemuan peralatan senjata zaman bahari seperti Kampilan, Panabas, keris, bangkau atau tombak dan sebagainya. Masih banyak adat resam yang masih diamalkan dan kosa kata Iranun yang masih banyak dituturkan oleh orang Melayu Timur sungguhpun mereka terpisah lebih 232 tahun yang lampau. Pejuang dan mujahidin Iranun yang tidak pulang ke Borneo dan Mindanao selepas mereka mengusir Belanda dari Tanjung Pinang pada Mei 1787, mengaku taat setia kepada Sultan Mahmud III, yang kemudian memberikan penempatan kepada mereka. Akhirnya setelah berasimilasi  sejak ratusan tahun, akhirnya lahirnya suku yang kini dikenali sebagai suku Melayu Timur.

Semoga dengan kunjungan itu, kembali mengukuhkan lagi hubungan silaturrahim antara Iranun dan Melayu Timur dan seterusnya membantu mempererat hubungan antara Malaysia dan Indonesia.

Haji Masrin juga menerangkan mengenai misi penelitian sejarah yang dimulakan sejak 2010 lagi. Hasil daripada bantuan pemimpin Iranun Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia dan sokongan yang diberikan oleh Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) di Kota Kinabalu, Persatuan Bahasa dan Kebudaayaan Iranun (BKI) sudah membuat kunjungan dan kajian budaya di Tanjung Pinang, Pulau Bintan,Pulau Penyengat, PekanBaru, Tembilahan Indragiri Hilir, Lingga, Toli Toli di Sulawesi Tengah, Pulau Bangka dan Pulau Belitong.

Beliau menjelaskan betapa akrabnya persaudaraan dan persahabatan orang-orang dahulu dalam membela dan memperjuangkan nasib mereka bersama-sama menentang kolonialisme di Nusantara.

Selepas itu ada sesi soal jawab. Antara yang menyampaikan pertanyaan ialah Pak Said Muhammad Wakil Tetua Lam dan Busu Awik. Pak Busu menanyakan mengenai apakah terdapat perbezaan antara Melayu Timur, Melayu Jambi dan Melayu Palembang.



Orang-orang yang hidup di kepulauan Melayu pada asasnya memiliki budaya yang hampir sama, tetapi masing -masing ada ciri-ciri khasnya. Ada budaya dan sejarah yang melatari kehidupan mereka. Mereka semua adalah bangsa Melayu. Namun tidak dapat dimungkiri bahawa suku Melayu Timur memiliki ciri khas tersendiri kerana mereka adalah keturunan dari generasi pejuang, angkatan perang penentang belanda selain mereka juga adalah penjelajah laut yang secara tradisiya ‘mengayau’ dari kota ke kota, pulau ke pulau di Nusantara.

Sejarah pejuangan mereka banyak dicatatkan dalam dokumen-dokumen Inggeris dan Belanda, juga dari dokumen Sepanyol dan Arab. Prof James Warren menulis mengenai Iranun ini. Begitu juga Raja Ali Haji dalam kitabnya Tuhfat Al Nafis sangat berjasa dalam mencatatkan sejarah perjuangan bangsa pada abad lampau.
“Kami berharap kunjungan budaya ini akan dapat memberikan impak positif dalam menjalin hubungan silaturrahim antara Iranun dan Melayu Timur, antara rakyat kedua negara, antara Malaysia dan Indonesia malah sekaligus juga dengan Mindanao,” katanya.

Pertemuan itu berlangsung mesra. Orang ramai tidak berganjak dari tempat duduk masing-masing walaupun masanya agak singkat dan terhad. Antara tokoh-tokoh masyarakat yang hadir termasuklah Kapolsek Ipda Mulyono SH dan Babinsa Serka Rohwandi.







Selepas ini kita ke mana? Saya bertanya Pak Amir, Kepala Bidang Budaya di Dinas Pariwisata, Budaya dan Olahraga.

“Kita ke Desa Teluk Majelis kerana orang ramai sedang menunggu di sana,” katanya dan kami segera bergegas lagi ke Desa Teluk Majelis. Sungguh, ini satu perjalanan yang biarpun agak jauh tetapi penuh makna. Laut Cina Selatan yang begitu luas terasa dekat kerana rasa persaudaraan yang begitu erat.

Kerana Kampilan di Muara Sabak

Tags
Kerana Kampilan di Muara Sabak
-Catatan Hari Ketiga Kunjungan Budaya ke Jambi

MEMANG benar masih banyak lagi pokok nipah dan nibung yang boleh di lihat di kiri kanan jalan sepanjang perjalanan kami ke Muara Sabak,Kabupaten Tanjung Jabung Timur, yang terletak di Propinsi Jambi, Pulau Sumatera. Mungkin itulah sebabnya  nipah dan nibung dipilih sebagai semboyan dalam Lambang Daerah Kabupaten Tanjung Jabung Timur ialah Sepucuk Nipah Serumpun Nibung.

Jika sepucuk nipah melambangkan pemerintah, lembaga adat atau legislatif yang sentiasa melayan dan melindungi masyarakat,serumpun  nibung pula  melambangkan bahawa di Tanjung Jabung Timur itu terdiri dari berbagai etnik atau suku yang tetap bersatu dalam membangun daerah itu.

Dalam serumpun nibung, yang terdapat di Tanjung Jabung Timur itu, ada sebuah etnik yang dikenali sebagai suku Melayu Timur. Salah satu senjata kebanggaan suku Melayu Timur ialah senjata kampilan, yang diabadikan dalam lambang daerah Tanjung Jabung Timur.  Senjata Kampilan melambangkan sifat-sifat patriotik, keperwiraan dan kepahlawanan masyarakat dalam menegakkan kebenaran.

Senjata kampilan itulah yang seolah-olah memanggil manggil kami untuk segera ke Muara Sabak. Sebenarnya selain Kuala Tungkal, destinasi utama kunjungan kami ke Jambi adalah Muara Sabak.

Ada apa dengan kampilan? Kampilan ada senjata pusaka suku Melayu Timur yang diwarisi sejak turun temurun. Kampilan inilah yang menjadi petunjuk atau tanda adanya hubungan darah, sejarah dan budaya antara Melayu Timur  dengan suku Iranun di Sabah dan Mindanao kerana sepanjang yang diketahui tidak ada suku lain yang menggunakan kampilan melainkan suku Iranun. Kampilan yang terdapat di Riau dan Jambi adalah salah satu senjata yang digunakan oleh angkatan perang Tempasuk yang datang membantu Sultan Mahmud III untuk  mngusir Belanda dari Tanjung Pinang pada Mei 1787. Seperti yang tercatat dalam Tuhfat Al Nafis karya Raja Ali Haji dan seperti yang dinyatakan Prof James Warren, sebahagian dari angkatan perang Iranun itu tidak pulang ke Borneo sebaliknya menjadi rakyat Sultan Mahmud dan kemudian mereka ikut pindah ke Lingga seterusnya ke Reteh dan kemudian tersebak ke  Enok, Ayer Itam, Sabak dan Kuala Tungkal yang kini terletak di Jambi.  Selepas beberapa generasi, hasil kahwin campur dengan masyarakat setempat maka lahirlah  suku yang kemudian dikenali sebagai suku Melayu Timur.

Menurut informasi yang kami perolehi, suku Melayu Timur banyak terdapat di Tanjung Jabung Timur antaranya di Kampung Laut, Kampung Mendahara, Kampung Teluk Majelis, Nipah Panjang dan sebagainya.

Selepas beberapa waktu,akhirnya kami mengambil keputusan untuk mengadakan kunjungan silaturrahim dengan suku Melayu Timur di Muara Sabak dan Jambi. Dalam menjalankan misi penelusuran sejarah ini kami mendapat bantuan yang tidak terhingga daripada Tan Sri Datuk Seri Panglima Pandikar Amin Haji Mulia dan Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Kota Kinabalu. Melalui surat keterangan daripada KJRI KK itulah kami berkirim surat kepada Bupati dan Lembaga Adat Melayu di Tanjung Jabung Timur.

Kini selepas kunjungan ke Kuala Tungkal yang terletak di Tanjung Jabung Barat, pada hari ketiga kami ke Jambi, kami berangkat ke Muara Sabak kira-kira jam 8.00 pagi.

Kami sengaja bertolak lebih awal kerana pagi itu kami perlu singgah ke rumah Hajah Maimunah, yang mahu bertemu. Beliau agak teruja  selepas mendengar khabar bahawa kami berada di Jambi untuk kunjungan silaturahim dengan suku Melayu Timur.

Emak saya orang Melayu Timur, kata Ferryanto kepada Pak Abdi Nur, pemandu kami. Ferryanto adalah calon legislatif di daerah pemilihan muara jambi ketika itu kehairanan mengapa Pak Abdi tak muncul-muncul, lalu menelefon. Selepas mengetahui kunjungan kami, beliau mengundang ke rumah untuk bertemu ibunya, Emak Busu.



Kebetulan Emak Busu,84 berasal dari Muara Sabak. Ketika kami bercerita mengenai kunjungan kami ke Jambi, beliau merasa sebak dan menangis. Kami juga rasa terharu namun terpaksa meminta diri untuk meneruskan perjalanan.

Ibu Ice Kurniaty bertanya melalui whatsapp, apakah kami sudah berangkat dari Jambi. Saya beritahu kami sudah berada di Lubuk Penyengat.
“Muara Jambi ya? Lewat Jambatan Batanghari 2 kan?”. Saya mengiyakan sambil terus menghantar wahtsapp jika ternampak nama-nama kampung.

“Dano Lamo. Kami sudah sampai ke Dano Lamo”
“Okey, kata Ibu Ice. Sekitar satu jam lagi”. Ibu Ice ialah bendahara Lembaga Adat Melayu Jambi Kabupaten Tanjung Jabung Timur. Beliau diperkenalkan kepada saya melalui Dian Mustikasari Said, kenalan Melayu Timur dari Teluk Majlis. Ibu Ice  banyak membantu kami. Surat-surat ke Tanjung Jabung Timur dialamatkan melalui emelnya sebelum diteruskan ke pihak-pihak berkaitan seperti LAM, Pemda dan sebagainya.

Sepanjang perjalanan itu, kami melaporkan mengenai lokasi kerana diberitahu bahawa ada kereta yang akan mengiringi supaya tidak sesat.

“Saya nunggu di simpang Lampu Merah. Mobil Ford warna Hitam, “ kata  pak Amirudin Kaharudin, pegawai dari Dinas Pariwisata.

Selepas itu kami terus dibawa ke Rumah Dinas Bupati. Sebaik tiba di sana kami disambut oleh Sekretaris Umum LAM, Ahmad Suwandi SH,MH dan Staf Ahli Bidang Kemasyarakatan dan Sumber Daya Manusia, Drs Enizwar yang mewakili Bupati, H Romi Hariyanto SE yang ketika sedang ada tugas dinas.



Kemudian kami diperkenalkan dengan Pak H Kaharuddin, Ketua Lembaga Adat Melayu (LAM) Tanjung Jabung Timur sebelum dijamu dengan jamuan makan tengahari. Turut hadir bersama ialah Herlizanti Arman, Wakil sekretaris dan Ny Maria Suwandi sebagai  Seksi Pemberdayaan Perempuan.

Perjalanan ini, satu peristiwa yang tidak dapat dilupakan sepanjat hayat. Kami diberikan sambutan yang begitu luar biasa. Begitu tiba di Muara Sabak, kami terasa seperti berada di kampung sendiri.Keramahan dan kebaikan mereka menjadi kenangan manis buat kami.


Selesai makan tengahari, kami ke Masjid Agung Nur Addarojat dan kemudian bergambar di rumah Balai Adat, yang sedang dibaik pulih.

Kunjungan terpaksa dipercepat kerana kami sedang ditunggu di Kuala Jambi dan Kampung Teluk Majelis.

“Kalau nampak lambang Kampilan itu, kita berhenti sebentar kerana kami ingin berfoto di sana” saya memberitahu pak Amiruddin yang memandu kami ke destinasi seterusnya.