Thursday, April 4, 2019

MERUNGKAI SIMPUL SEJARAH DI KAMPUNG LAUT, DI KECAMATAN KUALA JAMBI

MERUNGKAI SIMPUL SEJARAH DI KAMPUNG LAUT, DI KECAMATAN KUALA JAMBI

Kami sama sekali tidak menyangka akan diberikan sambutan serupa itu. Setibanya di Kampung Laut, kami disambut oleh pengurus Lembaga Adat Melayu dan tokoh-tokoh masyarakat yang menunggu sejak awal lagi. Selepas bersalaman kami dipersilakan memasuki aula kecamatan Kuala Jambi.

Rupanya ada majlis sambutan yang didakan khusus untuk menyambut ketibaan kami. Ada kain pemidang berbunyi “Selamat Datang Pengurus Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Iranun Sabah, Malaysia dan Wartawan “Utusan Borneo” Sabah di Bumi Sepucuk Nipah Serumpun Nibung.

Sekretaris Umum LAM,Ahmad Suwandi SH,MH mempengerusikan majlis itu. Beliau mempersilakan Camat, Taufiq Kurniawan,  memberikan ucapan seterusnya memberi taklimat mengenai Kecamatan Kuala Jambi, iaitu salah satu dari 11 kecamatan di Kabupaten Tanjung Jabung Timur.

Antara kecamatan yang terdapat di Kabupaten Tanjung Jabung Timur ialah Mendahara dengan ibukota kecamatannya Mendahara Ilir, Mendahara Ulu Permatang Rahim), Geragai (Pandan Jaya), Dendang (Rantau Indah), Muara Sabak Barat ( Nibung Putih), Muara Sabak Timur (Muara Sabak Ilir), Rantau Rasau (Bandar Jaya), Berbak (Simpang), Nipah Panjang (Nipah Panjang II), Sadu (Sungai Lokan) dan Kuala Jambi dengan ibu kota kecamatannya Kampung Laut.

Luas wilayah Kabupaten Tanjung Jabung Timur ialah 5,445 kilometer persegi dengan wilayah terluas berada di Kecamatan Sadu dengan luas 1,821.2 kilometer atau sebesar 33.45 peratus diikuti Kecamatan Mendahara sebesar 911.15 kilometer.

Beliau memberikan taklimat khusus mengenai kemajuan dan pembangunan yang dicapai di Kecamatan Kuala Jambi sambil memberikan informasi kepada kami mengenai Kecamatan Kuala Jambi. Terdapat beberapa desa di Kecamatan Kuala Jambi iaitu Kampung Laut, Tanjung Solok, Desa Manunggal Makmur, Desa Majelis Hidayah, Desa Kuala Lagan dan Desa Teluk Majelis.

Selepas itu, Pengerusi Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Iranun (BKI) Haji Masrin Haji Hassin menyampaikan ucapan terima kasih atas sambutan yang diberikan itu. Sungguh luar biasa. Beliau memberitahu tujuan kunjungan budaya ke Tanjung Jabung Timur adalah untuk menjalinkan hubungan silaturrahim dengan suku Melayu Timur, salah satu suku dari serumpun nibung di Tanjung Jabung Timur itu.Jika ditelusuri ada hubungan sejarah yang kuat antara suku Melayu Timur di Kuala Tungkal dan Muara Sabak di Jambi dan Reteh, Kuala Enok di Indragiri Hilir di Riau dengan suku bangsa Iranun wilayah Borneo khususnya Tempasuk dan Mindanao pada zaman bahari.
Hubungan sejarah dan budaya, persaudaraan antara Iranun dan Melayu Timur boleh dirunut dari silsilah dan beberapa bukti penemuan peralatan senjata zaman bahari seperti Kampilan, Panabas, keris, bangkau atau tombak dan sebagainya. Masih banyak adat resam yang masih diamalkan dan kosa kata Iranun yang masih banyak dituturkan oleh orang Melayu Timur sungguhpun mereka terpisah lebih 232 tahun yang lampau. Pejuang dan mujahidin Iranun yang tidak pulang ke Borneo dan Mindanao selepas mereka mengusir Belanda dari Tanjung Pinang pada Mei 1787, mengaku taat setia kepada Sultan Mahmud III, yang kemudian memberikan penempatan kepada mereka. Akhirnya setelah berasimilasi  sejak ratusan tahun, akhirnya lahirnya suku yang kini dikenali sebagai suku Melayu Timur.

Semoga dengan kunjungan itu, kembali mengukuhkan lagi hubungan silaturrahim antara Iranun dan Melayu Timur dan seterusnya membantu mempererat hubungan antara Malaysia dan Indonesia.

Haji Masrin juga menerangkan mengenai misi penelitian sejarah yang dimulakan sejak 2010 lagi. Hasil daripada bantuan pemimpin Iranun Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia dan sokongan yang diberikan oleh Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) di Kota Kinabalu, Persatuan Bahasa dan Kebudaayaan Iranun (BKI) sudah membuat kunjungan dan kajian budaya di Tanjung Pinang, Pulau Bintan,Pulau Penyengat, PekanBaru, Tembilahan Indragiri Hilir, Lingga, Toli Toli di Sulawesi Tengah, Pulau Bangka dan Pulau Belitong.

Beliau menjelaskan betapa akrabnya persaudaraan dan persahabatan orang-orang dahulu dalam membela dan memperjuangkan nasib mereka bersama-sama menentang kolonialisme di Nusantara.

Selepas itu ada sesi soal jawab. Antara yang menyampaikan pertanyaan ialah Pak Said Muhammad Wakil Tetua Lam dan Busu Awik. Pak Busu menanyakan mengenai apakah terdapat perbezaan antara Melayu Timur, Melayu Jambi dan Melayu Palembang.



Orang-orang yang hidup di kepulauan Melayu pada asasnya memiliki budaya yang hampir sama, tetapi masing -masing ada ciri-ciri khasnya. Ada budaya dan sejarah yang melatari kehidupan mereka. Mereka semua adalah bangsa Melayu. Namun tidak dapat dimungkiri bahawa suku Melayu Timur memiliki ciri khas tersendiri kerana mereka adalah keturunan dari generasi pejuang, angkatan perang penentang belanda selain mereka juga adalah penjelajah laut yang secara tradisiya ‘mengayau’ dari kota ke kota, pulau ke pulau di Nusantara.

Sejarah pejuangan mereka banyak dicatatkan dalam dokumen-dokumen Inggeris dan Belanda, juga dari dokumen Sepanyol dan Arab. Prof James Warren menulis mengenai Iranun ini. Begitu juga Raja Ali Haji dalam kitabnya Tuhfat Al Nafis sangat berjasa dalam mencatatkan sejarah perjuangan bangsa pada abad lampau.
“Kami berharap kunjungan budaya ini akan dapat memberikan impak positif dalam menjalin hubungan silaturrahim antara Iranun dan Melayu Timur, antara rakyat kedua negara, antara Malaysia dan Indonesia malah sekaligus juga dengan Mindanao,” katanya.

Pertemuan itu berlangsung mesra. Orang ramai tidak berganjak dari tempat duduk masing-masing walaupun masanya agak singkat dan terhad. Antara tokoh-tokoh masyarakat yang hadir termasuklah Kapolsek Ipda Mulyono SH dan Babinsa Serka Rohwandi.







Selepas ini kita ke mana? Saya bertanya Pak Amir, Kepala Bidang Budaya di Dinas Pariwisata, Budaya dan Olahraga.

“Kita ke Desa Teluk Majelis kerana orang ramai sedang menunggu di sana,” katanya dan kami segera bergegas lagi ke Desa Teluk Majelis. Sungguh, ini satu perjalanan yang biarpun agak jauh tetapi penuh makna. Laut Cina Selatan yang begitu luas terasa dekat kerana rasa persaudaraan yang begitu erat.

No comments: