Thursday, October 10, 2019

ABANG RAZAK, ANTARA PELIT DAN SIWAKA DALAM ADAT PERKAHWINAN IRANUN

ABANG RAZAK, ANTARA PELIT DAN SIWAKA DALAM ADAT PERKAHWINAN IRANUN

Kami agak terlambat tiba di majlis perkahwinan itu. Kedua pengantin masih berada di pelamin sementara saudara mara jauh dan dekat mengambil peluang untuk mengambil gambar kenangan.

Majlis kahwin itu diadakan pada hari keempat Syawal. Pengantin perempuan adalah anak kepada sepupu saya di kampung Tamau. Kehadiran ke majlis itu adalah satu kemestian, meskipun tidaklah sampai ke tahap wajib.

Sebagai pengerusi persatuan keluarga, Abang sepupu saya, Razak sibuk mengagih-agihkan duit sebagai adat `karamai-ramaian’.

Karamai-ramaian adalah duit yang diberi oleh oleh ahli-ahli keluarga kedua-dua belah pihak yang berada dalam majlis itu.Jumlahnya tidaklah banyak sangat. Setiap seorang memperolehi kira-kira RM1.00. Tapi kerana sudah menjadi `adat’ kami menerima pemberian beliau.

Abang Razak memberitahu bahawa dalam masyarakat Iranun, terdapat beberapa strata sosial seperti golongan datu dan syarif, golongan dumatu, orang biasa dan sebagainya.

Menurutnya, masyarakat Iranun adalah golongan yang memegang teguh adat perkahwinan sejak turun temurun meskipun bentuknya berubah mengikut perubahan zaman.

Pada zaman dahulu satu pikul dinilai dengan satu ekor kerbau atau wang. Tapi sekarang satu pikul bersamaan dengan wang RM10.00. Sepatutnya jika mengikut perubahan nikai semasa, jumlahnya mungkin lebih besar kerana seekor kerbau berharga kira-kira RM1,000 atau lebih.

Selain adat karamai-ramaian itu, terdapat adat yang dinamakan pelit, siwaka, benga’, getas sa rirai, baranja dapur, sayat sa rending dan lima kasinantan.

Apa yang dinamakan pelit? Menjawab  pertanyaan saya, Abang Razak memberitahu pelit -biasanya dua pikul- diberikan kepada ibu pengantin perempuan dan boleh diberi kepada adik beradik ibu pengantin perempuan.

Siwaka-satu pikul jumlahnya diterima oleh nenek pengantin dan boleh diberi kepada adik beradik nenek pengantin.

Satu pikul siwaka dinilai dengan wang dan diberikan kepada nenek perempuan sebelah emaknya.

Dalam masyarakat Iranun, adat pelit dan siwaka ini tetap dipertahankan hingga sekarang supaya ikatan kekeluargaan di kalangan keluarga tetap terpelihara dan sanak saudara tidak kehilangan susur galur keluarga mereka.

Selain itu ada adat yang dpanggil benga’. Benga’ diberikan kepada pemegang adat atau diberikan kepada datu-datu yang membuncangkan adat.

Sementara sayat sa rending, jumlahnya satu pikul’ diterima oleh tukang dandan atau mak andam atau pengurus pengantin perempuan.

Ada lagi satu adat, dinamakan getas sa rirai, Adat-adat yang dibincangkan itu diputuskan. Adat getas sa rirai itu berjumlah satu pikul diberikan kepada datu-datu atau jurucakap yang memutuskan segala adat itu.

Bagi golongan tukang masak, mereka juga berhak menerima bayaran adat yang dinamakan baranja dapur atau belanja dapur. Jumlahnya  satu pikul diberikan dan diagihkan kepada tukang masak.Belanja dapur adalah duit yang diberikan pihak lelaki kepada pihak perempuan untuk keperluan dapur.

Adat lima kasinantan pula berjumlah setengah pikul diberikan kepada sepupu pertama nenek pengantin, kata Abang Razak. Beliau bersungguh-sungguh untuk mempertahankan adat istiadat perkahwinan Iranun agar tidak luput di telan zaman.

Beliau agak teruja menceritakan kepada kami mengenai keperluan untuk generasi milenial mempertahankan adat resam yang diamalkan sejak turun-temurun sementara saya mendengarnya sambil makan `siager’, sejenis resepi lauk Iranun yang antara bahan asasnya ikan yu, kelapa, kunyit, lada,bawang dan sebagainya. Sungguh menyelerakan sementara keluarga pengantin masih sibuk mengambil gambar.

No comments: