Jumaat, 11 Oktober 2019

HARI TERAKHIR DI KOTA JAMBI, BERKUNJUNG KE RUMAH ABDULLAH HICH

Tags

HARI TERAKHIR DI KOTA JAMBI, BERKUNJUNG KE RUMAH ABDULLAH HICH

SELEPAS menghirup kopi, kami meninggalkan meja sarapan itu untuk berkeliling Kota Jambi. Hari itu adalah hari terakhir kami di ibu kota provinsi Jambi kerana esoknya kami akan terbang ke Jakarta sebelum pulang Malaysia.
Kami menginap di Tempoa Inn, sebuah hotel yang selesa di belakang pasar Hongkong. Seorang rakan penyair di sana menyarankan agar kami menginap di Tempoa , kerana di sana tempat berkumpulnya ramai seniman dan penulis Jambi. Mereka sering mengadakan kegiatan di Tempoa. Pemilikya Pak Harcopolo Lie, juga seorang pencinta seni.
“Hari ini kita cari rumah pak Abdullah Hich, mantan Bupati Tanjung Jabung Timur. Kami mahu bersilaturrahim dengan beliau,” saya memberitahu Pak Abdi Nur, pemandu kami sepanjang berada di Jambi. Kebetulan beliau tahu lokasi rumah Pak Abdullah. Sebelum itu kami bertiga, Yang DiPertua Bahasa dan Kebudayaan Iranun (BKI) Haji Masrin Haji Hassin, dan Cikgu Ismail Sidik, Setiausaha BKI dan saya sendiri sempat menikmati pelosok  Kota Jambi.
Bagi sesiapa yang belum pernah ke Jambi, kota Jambi yang terbelah oleh sungai Batanghari itu dihubungkan oleh Jambatan Aur Duri. Penduduknya kira-kira 610,854 orang dengan keluasan sekitar 205.38 kilometer persegi.
Menurut catatan sejarah, Kota Jambi didirikan pada 28 Mei 1401. Ia menjadi ibu kota Provinsi Jambi pada 1957. Sungai Batanghari sepanjang 1,700 kilometer adalah sungai terpanjang di Sumatera . (11 km berada di wilayah Kota Jambi.

Sebenarnya misi kami berkunjung ke Jambi adalah menjejaki suku Melayu Timur, yang menurut catatan sejarah adalah berketurunan pejuang Iranun yang dahulunya datang ke Tanjung Pinang untuk membantu Sultan Mahmud Riayat Syah menghalau Belanda dari Riau. Peristiwa itu berlaku pada bulan Mei 1787, menurut beberapa sumber British dan Belanda. Selain itu ia juga tertulis dalam kitab tuhfat al nafis karangan Raja Ali Haji. Selepas peristiwa itu, Sultan Mahmud III memindahkan pusat kerajaannya ke Lingga. Sebahagian orang Iranun dari angkatan Tempasuk itu tidak pulang sebaliknya menetap di Reteh dan kemudian ke Enok, Ayer Itam, Muara Sabak dan Kuala Tungkal.

Itulah sebabnya yang membawa kami ke Kuala Tungkal pada hari pertama di Jambi dan kemudian ke Muara Sabak, terus ke Kampung Laut dan Desa Teluk Majelis. Cuma hasrat kami ke Nipah panjang tak kesampaian kerana masalah waktu dan keadaan jalan raya yang tidak mengizinkan.

Dalam kunjungan ini kami dapat bertemu dengan beberapa tokoh Melayu Timur seperti Pak A Bakir di Kampung Anggrek, anak Panglima Omar di Kuala Tungkal. Kami juga bertemu Mak Busu Hajah Maimunah, ibu kepada Pak Feriyanto di Kota Jambi. Di Muara Sabak, kami sempat bertemu dengan Pak H Kaharudin, Ketua Lembaga Adat Melayu Jambi, dan dengan masyarakat Melayu Timur di Kampung Laut dan Teluk Majelis.

Kami memutuskan untuk tidak bermalam di Muara Sabak, kerana perlu bertemu salah seorang tokoh Melayu Timur iaitu mantan Bupati Tanjung Jabung Timur, pak Abdullah Hich , yang menetap di Kota Jambi.

Sebenarnya ada ramai tokoh Melayu Timur yang terkenal di Kota Jambi. Antaranya ialah Pak Nurdin Hamzah, seorang pedagang terkemuka. Anaknya H Zulkifli Nurdin pernah menjadi Gubernur Jambi pada 1999-2005 dan 2005 hingga 2010.  Zulkifli juga adalah ayah kepada Zumi Zola, yang juga pernah menjadi Gubernur Jambi.

Keluarga ini mendirikan beberapa masjid di kota Jambi. Selain itu, saya juga sempat melihat kompleks pemakaman keluarga Nurdin Hamzah. Beliau sesungguhnya seorang tokoh yang banyak menyumbangkan jasa kepada pembangunan di Jambi.

Sebelum ke rumah Pak Abdullah, kami mencari Pak Samani, seorang wartawan di Kota Jambi yang dikenai sebagai Wak Jenggot. Beliau salah seorang yang mendirikan akhbar Dinamis.
Kemudian selepas menikmati makan tengahari tidak jauh dari kedai Wak Jenggot, kami mengajak beliau ke rumah pak Abdullah Hich.

Pak Drs Abdullah Hich, adalah mantan Bupati Tanjung Jabung Timur. Beliau menjadi bupati selama sepuluh tahun. Ketika zaman pentadbirannya beliau mencipta lambang Tanjung Jabung Timur dan meletakkan kampilan, salah satu senjata Iranun Melayu Timur sebagai lambang kabupaten itu. Selepas melihat gambar Kampilan dalam lambang Tanjung Jabung Timur inilah yang memperkuatkan tekad kami untuk menelusuri jejak sejarah zaman bahari di Kuala Tungkal dan Muara Sabak.

Kunjungan ke rumah Pak Abdullah Hich itu menjadi kenangan istimewa buat kami. Selepas memperkenalkan diri dan menerangkan tujuan kunjungan kami, pak Abdullah yang kelihatan teruja memberitahu kisah-kisah sejarah dan cerita mengenai masyarakat Melayu Timur di Jambi.

Sayang sekali, katanya, kerana kami berkunjung pada ketika beliau sudah tidak lagi menjawat jawatan bupati dan kini bersara. Jika tidak tentulah banyak yang boleh dibuat untuk menelusuri sejarah dan budaya Melayu Timur. Kami juga sempat menyatakan hasrat untuk mengadakan pertemuan atau seminar antarabangsa Iranun Melayu Timur di Jambi pada masa akan datang dan beliau mengalu-alukan jika ada inisiatif untuk mengukuhkan hubungan dua saudara sebangsa dan serumpun itu.

Wak Jenggot sempat mengadakan siaran lintas langsung di Internet. Bagi kami kunjungan silaturrahim ke rumah Pak Abdullah Hich itu adalah satu peristiwa yang sangat bermakna dan bersejarah.