Jumaat, 11 Oktober 2019

LARUT DALAM PERISTIWA SEJARAH PERSIDANGAN ASIA AFRIKA DI GEDUNG MERDEKA

Tags

LARUT DALAM PERISTIWA SEJARAH PERSIDANGAN ASIA AFRIKA DI GEDUNG MERDEKA

Dari Cihampelas, kami bergerak ke Jalan Asia Afrika No 65. Pagi itu adalah hari kedua kami berada di Bandung. Selain melawat tempat tempat pelancongan menarik di Bandung seperti Lembang, rombongan pengusaha  dari Tenom Sabah juga mengambil peluang untuk berkunjung ke Gedung Merdeka, yang kini menempatkan Museum Persidangan Asia Afrika.


Persidangan Asia Afrika diadakan di Bandung pada 18-24 April 1955.  Itulah kali pertama negara-negara Asia dan Afrika mengadakan pertemuan paling besar. Sebanyak 25 negara Asia dan Afrika diundang untuk mwnghadiri persidangan itu tetapi hanya 24 yang hadir.  Antara negara yang hadir pada ketika itu ialah Afghanistan, Burma, Kemboja, Sri Lanka, Republik Rakyat China, Mesir,Ethiopia, Gold Coast, India, Indonesia, Iran, Iraq, Jepun, Jordan, Laos, Lubnan, Liberia, Libya, Nepal, Pakistan, Filipina, Arab Saudi, Sudan, Syria, Thailand, Turki, Vietnam Utara, Vietnam Selatan dan Yaman.

Pertemuan itu dirasmikan oleh Presiden Soekarno. Hasil dari persidangan yang diketuai oleh Perdana Menteri Indonesia,Ali Sastroamidjojo, sebuah deklarasi dikenali Dasa Sila Bandung dikeluarkan.  Persidangan Asia Afrika  diadakan ketika sebahagian besar negara-negara di Asia dan Afrika masih dijajah sehingga menimbulkan perasaan senasib dan sepenanggungan di kalangan mereka.

Sebaik tiba di Gedung Merdeka, rombongan diberikan taklimat oleh pegawai muzium dan kerana kebanyakan pesertanya adalah ahli Dewan Perniagaan Tionghua Tenom,Kapitan Wong Tet Yun,  menawarkan diri sebagai penterjemah. Turut serta dalam rombongan itu ialah Pegawai Daerah Tenom, Sungkim Rumangun, Penolong Pegawai Daerah Kemabong, Djamiludin dan PPM Kemabong, Burnley Balang dan pegawai pengiring dari Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Kota Kinabalu, Konsul Muda nSartono Hendrarso dan staff Ekonomi KJRI.

Saya membayangkan ketika itu, 18 April 1955, hari Isnin, warga kota Bandung berbaris sepanjang jalan Asia Afrika untuk menyambut dan menyaksikan kedatangan tamu tamu penting dari berbagai negara.

Delegasi dari berbagai negara berjalan meninggalkan Hotel Homann dan Hotel Preanger, sekitar jam 8.30 pagi waktu setempat, untuk menuju Gedung Merdeka menghadiri majlis perasmian  dengan memakai pakaian kebangsaan masing-masing, yang beraneka corak dan warna. Mereka disambut oleh oleh segenap warga dengan tepuk tangan meriah dan sorak sorai yang bergempita. Perjalanan anggota delegasi itu kemudian dikenali sebagai The Bandung Walks atau langkah bersejarah.

Tidak lama kemudian, kira-kira jam 9.00 pagi, rombongan Presiden dan Naib Presiden Indonesia, Soekarno dan Mohammad Hatta tiba di Gedung Merdeka dan disambut dengan pekikan `Merdeka’.
Kini, selepas 64 tahun kemudian, seolah-olah masih terdengar Pidato Bung Karno yang berjudu “Let a New Asia and New Afrca be born (Mari Kita Lahirkan Asia Baru dan Afrika Baru).
Soekarno dalam pidatonya yang terkenal itu berkata, walaupun brrasal dari bangsa yang berlainan latar belakang sosial, budaya, agama, sistem politik, bahkan warna kulit berbeza-beza tetapi kita mampu bersatu, dipersatukan oleh pengalaman pahit akibat kolonialisme, oleh keinginan yang sama dalam usaha mempertahankan dan memperkukuhkan prrdamaian dunia.
:“Saya berharap konferensi ini akan menegaskan kenyataan, bahwa kita, pemimpin-pemimpin Asia dan Afrika, mengerti bahwa Asia dan Afrika hanya dapat menjadi sejahtera, apabila mereka bersatu, dan bahkan keamanan seluruh dunia tanpa persatuan Asia Afrika tidak akan terjamin. Saya harap konferensi ini akan memberikan pedoman kepada umat manusia, akan menunjukkan kepada umat manusia jalan yang harus ditempuhnya untuk mencapai keselamatan dan perdamaian. Saya berharap, bahwa akan menjadi kenyataan, bahwa Asia dan Afrika telah lahir kembali. Ya, lebih dari itu, bahwa Asia Baru dan Afrika Baru telah lahir!
Ketika rombongan diberikan taklimat mengenai gambar-gambar yang dipamerkan, saya sengaja menjauh untuk membaca lebih cermat mengenai bahan-bahan yang dipamerkan, gambar gambar dan sebagainya.
Kami juga diberikan peluang untuk menyaksikan tayangan dokumentari mengenai Sidang Asia Afrika 1955 itu.
Saya melihat antara hadirin yang datang, Dr Burhanuddin Al Helmi hadir sebagai pemerhati dari Tanah Melayu. Manakala Filipina menghantar 11 perwakilan antaranya Diodado Macapagal, Carlos P Romulo,Raul Manglapus, dan Domacao Alonto, salah seorang perwakilan dari Mindanao.

Berada di Gedung Merdeka, saya dapat merasakan perasaan dan semangat rakyat Asia dan Afrika membela rakyat dan ngaranya yang baru lepas dari belenggu penjajahan.

Antara yang baru merdeka ialah Indonesia ( 17 Ogos 1945), Filipina (14 Julai 1946), Pakistan (14 Og0s 1947), India (15 Ogos 1947), Burma (4 Januari 1948), Sri Lanka (4 Februari 1948) dan  Republik Rakyat China (1 Oktober1949). Namun ketika itu masih ramai yang belum merdeka seperti Algeria, Tunisia, Magrhribu, Congo dan banyak lagi.

Persidangan yaang diadakan selama seminggu itu menghasilkan sebuah deklarasi yang dikenali sebagai Dasasila Bandung iaitu satu deklarasi  berisi prinsip-prinsip dasar dalam usaha memajukan perdamaian dan kerja sama dunia. Antara isi dasa sila Bandung ialah Menghormati hak-hak asasi manusia dan menghormati tujuan-tujuan dan prinsip-prinsip dalam Piagam PBB.,Menghormati kedaulatan dan keutuhan wilayah semua negara.,Mengakui persamaan darjat semua ras serta persamaan darjat semua negara besar dan kecil serta tidak campur tangan di dalam urusan dalam negeri negara lain.
Kemudian kami dibawa ke ruang persidangan di mana delegasi dari 24 negara Asia Afrika bersidang untuk menentukan sikap mereka terhadap pola dunia masa itu. Saya rasa sangat beruntung kerana dapat melawat muzium Asia Afrika itu.
Sebelum ini, antara pemimpin-pemimpin yang pernah melawat muzium itu ialah Setiausaha Agung PBB, Boutros Boutros Ghali (1992) dan Kofi Annan (2005), Perdana Menteri China Li Peng (1990), Presiden Hu Jintao (2005)  Presiden Xi  JinPing (2015), Perdana Menteri India Manmohan Singh (2005), Junichiro Koizumi (2005) Perdana Menteri Tunisia Mohammad Ghannouci  (2005) dan ramai lagi.
Kerana masa yang suntuk, akhirnya kami meninggalkan Gedung Merdeka, sebuah muzium penuh sejarah di Kota Bandung sebelum meneruskan perjalanan pulang kembali ke  Jakarta.