Thursday, October 10, 2019

MEMIMPIN BUKAN SATU KEMULIAAN, TETAPI TANGGUNGJAWAB:WAN SUKAIRI

MEMIMPIN BUKAN SATU KEMULIAAN, TETAPI TANGGUNGJAWAB:WAN SUKAIRI

KEHADIRAN Exco Kerajaan Negeri Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah di Kota Kinabalu minggu lepas bertujuan untuk menyantuni anak-anak Terengganu di perantauan. Dalam kunjungan singkat itu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Terengganu sempat mengadakan beberapa program di Sandakan, Kota Kinabalu dan WP Labuan.

Orangnya sederhana. Selalu senyum, periang dan mudah didekati. Butir bicaranya menunjukkan ketokohannya sebagai salah seorang pemimpin di Terengganu. Beliau pernah menjadi Pengarah Penerangan Negeri Terengganu dan kini menyandang jawayan Yang Di Pertua PAS Kuala Terengganu. Beliau kini adalah Ahli Dewan Undangan Negeri N15 Wakaf Mempelam.

Wan Sukairi Wan Abdullah dilahirkan dilahirkan di Dungun tetapi dibesarkan di Kuala Terengganu. Anak ketiga dari enam bersaudara. Ayahnya bernama Wan Abdullah Wan Long manakala ibunya Mariam Endot. Beliau menerima pendidikan awal di SK Tengku Bariah di Kuala Terengganu sebelum melanjutkan pendidikan menengah di Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin Kuala Terengganu. Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran di Madrasah An Nahdah di Kedah, sempat bersekolah di Mesir sebelum melanjutkan pelajaran di Universiti Sultan Syarif Kasim Pekanbaru Riau. Kini beliau masih kuliah di peringkat sarjana di Universiti Kebangsaan Malaysia, di celah-celah kesibukannya sebagai wakil rakyat. Beliau mendirikan rumah tangga dengan Dr Fadzilah Ismail,, seorang doktor perubatan.


Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemubual Exco Kerajaan Terengganu,  YB Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah selepas menghadiri  Majlis Sambutan Aidil Fitri Anak Terengganu di Dewan Serbaguna Wisma BTC Inanam, Kota Kinabalu. Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Terengganu menceritakan serba sedikit pengalamannya sebelum mencebur bidang politik sehingga rutin harian sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Wakaf Mempelam dan juga Exco Kerajaan Terenggan. Ikuti petikan temubual bersama beliau:

UTUSAN BORNEO: Boleh beritahu sedikit mengenai latar belakang ustaz?
WSA: Saya dilahirkan di Dungun Terengganu tapi dibesarkan di Kuala Terengganu. Saya anak ketiga dari enam adik beradik. Saya mendapat pendidikan awal di SK Tengku Bariyah Kuala Terengganu kemudian melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu. Selepas itu, saya melanjutkaan pelajaran di Madarah An Nahdah di Kedah, sempat bersekolah di Mesir sebelum melanjutkan di Pekan Baru Riau dan kini masih melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

UB: Bagaimana mulanya YB Ustaz tertarik dengan dunia politik?
WSA: Mula tertarik dengan politik sejak di bangku sekolah. Saya terkesan dengan ceramah-ceramah  yang disampaikan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

UB: Sejak bila aktif dalam parti?
WSA: Sejak remaja lagi saya aktif dalam parti. Bermula dari bawah. Kemudian saya diamanahkan sebagai Yang Di Pertua PAS Kawasan Kuala Terengganu dan Penolong Setiausaha PAS Terengganu.

UB: Dimana YB Ustaz bertanding dalam pilihanraya lalu?
WSA: Saya bertanding dalam PRU ke-14 di DUN N15 Wakaf Mempelam . Alhamdulillah, saya memperoleh majoriti  sebanya 7378 undi, iaitu majoriti yang terbesar di kawasan DUN Terengganu
Kawasan Wakaf Mempelam adalah kawasan tradisi PAS. Dimenangi PAS sejak 8 penggal lepas. Wakil rakyatnya sebelum itu Haji Mohd  Abdul Wahid Endut, yang juga Mantan Ahli Parlimen Terengganu.

UB: Selepas PRU- ke 14, apa jawatan yang diamanahkan kepada YB Ustaz?
WSA: Sebaik Kerajaan PAS memerintah, saya dilantik sebagai Exco Kerajaan Terengganu pada 19 Mei 2018.

UB: Apakah rutin harian berubah selepas jadi wakil rakyat? Biasanya jam berapa keluar dari rumah?
WSA: Saya keluar rumah awal pagi lagi untuk ke pejabat tapi tak tentu habis kerja jam berapa. Itu memang perkara biasa kerana sebagai wakil rakyatm kita perlu sentiasa menyantuni rakyat.

UB: Bercerita mengenai tokoh atau idola. Siapa tokoh yang menjadi idola atau role model YB Ustaz?
WSA: Idola saya  dalam politik ialah Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

UB: Pernah terfikir untuk menjadi wakil rakyat sebelum ini?

WSA: Sebelum ini tak pernah terfikir jadi wakil rakyat.  
UB: Bagaimana YB Ustaz membahagikan waktu antara tugas sebagai wakil rakyat dan sebagai Exco Kerajaan Terengganu?

WSA: Kita memiiki jadual kerja yang tersusun. Sejak dipilih sebagai exco, tugas-tugas sebagai wakil rakyat tetap dapat dijalankan degan baik. Kita mempunyai pegawai yang dilantik di peringkat DUN, ada pegawai di pejabat Exco, ada pegawai pegawai tertentu yang dilantik di pelbagai peringkat . Mereka ini banyak membantu saya melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat dan Exco.

UB: Sebagai salah seorang anggota pentadbiran Kerajaan Terengganu,Mungkin Ustaz boleh ceritakan serba sedikit pencapaian setahun Kerajaan Terengganu?
WSA: Selama setahun pentadbiran Kerajaan Terengganu,kita berjaya melaksanakan perkara-perkara yang dijanjikan dalam manifesto.
Antaranya ialah setiap rakyat 21 tahun ke atas mendapat lot tanah atau rumah. Sebanyak 1,744 unit rumah RMM dibina pada tahun 2019. Selain itu, bermula Jun 2019,  caj wad kelas 3 percuma di semua hospital. Kemudahan ini untuk golongan miskin dan berpendapatan rendah.  Kerajaan Terengganu juga memberikan RM300 untuk pemuda pemudi mendapatkan lesen motosikal dimana RM7 juta dibelanjakan untuk membolehkan 25,000 belia mendapatkan lesen.

Kerajaan Terengganu juga menyediakan Tabung Pinjaman Usahawan dimana RM15 juta diperuntukkan kepada Tabung Usahawan Sejahtera (TUGAS). Selian itu, Kerajaan juga memberikan Kad Sejahtera bernilai RM500 setahun untuk setiap keluarga berpendapatan rendah. Seramau 20,000 penerima senarai E-Kasih layak menerima Kad Sejahtera ini.

Kita juga memberi bekalan air percuma 20 meter padu kepada golongan miskini dan berpendapatan rendah, dimana sebanyak 8592 keluarga menikmati kemudahan ini sehingga September 2018.

Kerajaan juga membuka Pusat Nurseri di Jabatan Kerajaan di Wisma Darul Iman dan Majlis  Perbandaran Dungun. Selain itu, Kerajaan juga menambah Sekolah Menengah Agama di setiap parlimen dan sekolah rendah agama di setiap Dun. Kita sudah menubuhkan Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) di Dungun, Marang, Kuala Nerus,Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Besut.

UB: Teruskan YB. Mungkin ini ada manfaat untuk maklumat anak-anak Terengganu.
WSA: Kerajaan Terengganu juga mengecualikan cukai pintu rumah kediaman dimana kerajaan menanggung kos tunggakan cukai pintu kira-kira RM44 juta.

Untuk Tabung Biasiswa Pelajar Cemerlang, Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak 6.5 juta.
Satu lagi yang tidak kurang pentingnya  ialah kita mengadakan Karnival Perkahwinan Kali pertama secara percuma dimana 190 pasangan di lapan kawasan parlimen menikmati kemudahan ini.
Kerajaan Terengganu juga mengembalikkan tanah yang dirampas. Seramai 171 penduduk dari Bukit Keluang DUN Kota Putera dan DUN Kuala Besut yang dirampas tanahnya, diberikan tanah ganti. Ini antara  12 manifesto yang dijanjikan berjaya dilaksanakan dalam tempoh setahun pendtdbiran kerajaan baru.








UB: Sejak dilantik sebagai Exco, sudah berapa kali datang ke Sabah?

WSA: Ini kali ketiga saya datang ke Sabah sejak menjadi Exco.
UB: Apa antara tujuan lawatan ini?
WSA: Lawatan kali ini lebih kepada menyantuni rakyat Terengganu di Sabah, Labuan, berjumpa dengan anak-anak Terengganu di perantauan. Dalam program ini kita memberikan kefahaman kepada rakyat Terengganu di perantauan. Kita menggalakkan meeka untuk mendaftar sebagai pemilih di Terengganu agar mereka dapat menikmati pelbagai kemudahan dan bantuan yang disediakan oleh kerajaan kepada rakyat Terengganu.

UB: Apa pandangan YB Ustaz terhadap peranan pemimpin?
WSA:Menjadi pemimpin bukan satu kemuliaan tapi satu tanggungjawab.

UB: Apa pesan orang tua yang Ustaz  selalu ingat
WSA: Orang tua berpesan agar sentiasa berlaku adil, sentiasa beri perhatian, minta bantuan Allah dalam menjalankan tugas.

UB: Terima kasih YB Ustaz kerana sudi ditemuramah untuk Utusan Borneo
WSA: Terima kasih kembali



No comments: