Thursday, October 10, 2019

TERINGAT PESAN LUQMANUL HAKIM MENGENAI AYAM DAN KAMBING

TERINGAT PESAN LUQMANUL HAKIM MENGENAI AYAM DAN KAMBING
“Wahai anakku, janganlah ayam itu menjadi lebih arif darimu. Ia bangun dengan  berkokok di waktu sahur , sedangkan engkau masih tidur nyenyak”.
Saya teringat pesan Luqmanul Hakim kepada anaknya ketika membersihkan belakang rumah. Terdapat beberapa tanaman seperti pokok pisang dan bunga-bungaan. Saya beritahu isteri saya akan hasrat memelihara dua tiga ekor anak ayam.
Jika ayam itu membesar, pastilah ia berkokok. Saya berfikir dengan kokok seekor ayam jantan setiap pagi, ia dapat membantu membangunkan kita yang nyenyak tidur.
Janganlah ayam itu menjadi lebih arif darimu. Pesan Luqmanul Hakim itu membuat saya menyimpulkan bahawa ayam yang berkokok lebih baik daripada ayam yang tidak berkokok.
Ah, ayam bertelur sebiji riuh sekampung. Sambil membuang rumput liar, saya turut membuang lalang yang tumbuh dalam fikiran. Tapi pesan Luqmanul Hakim itu sangat tepat bagi kita yang selalu terlambat solat Subuh.
Nama Luqmanul Hakim ini sering disebut dalam al-Quran. Majoriti Ulama berpendapat bahawa Luqmanul Hakim adalah hamba sahaya dari negeri Habsyah. Ada riwayat yang mengatakan beliau bekerja sebagai tukang jahit, ada pula yang mengatakan beliau tukang kayu dan ada pula yang mengatakan beliau seorang pengembala kambing.
Satu ketika, menurut suatu riwayat, beliau berjumpa seseorang.Ketika beliau mengucapkan kata-kata hikmah, lalu orang itu bertanya. “Bukankah anda pengembala kambing? “ Luqmanul Hakim menjawab: “benar, saya pengembala kambing” Bagaimana engkau dapat memiliki hikmah seperti yang engkau katakan ini”. Beliau menjawab,” Dengan berkata yang benar, menunaikan amanah, meninggalkan sesuatu yang tidak ada gunanya dan setia kepada janji”.
Pernah satu masa, majikan beliau menyerahkan seekor kaming kepada Luqmanul Hakim dan berkata “Sembelihlah kambing itu dan berikanlah untukku dua potong daging yang paling baik”. Lalu Luqman memberikan kepada tuannya daging lidah dan daging hati. Kemudian, sekali lagi tuannya menyerahkan seekor kambing lain sambil berkata “sembelihlah kambing ini dan berikanlah untukku dua potong daging yang paling buruk”. Luqman memberikan kepadanya daging lidah dan daging hati.
Lalu tuannya bertanya, mengapa beliau diberikan daging lidah dan daging hati?
Luqmanul Hakim menjelaskan,” Tidak ada sesuatu yang lebih baik daripada kedua-duanya apabila kedua-duanya itu baik dan tidak ada yang lebih buruk dari kedua-duanya apabila kedua-duanya itu buruk”.
Wahai anakku, kata Luqmanul Hakim. Barangsiapa berpendapat bahawa kejahatan itu dapat memadamkan kejahatan, kalau itu benar nyalakanlah dua api, kemudian lihatlah, apakah api yang satu dapat memadamkan api yang lainnya. Yang benar kebaikan itulah  yang dapat memadamkan kejahatan, seperti air yang dapat memadamkan api.
Ya, bukan api yang dapat memadamkan api. Tapi airlah yang dapat memadamkan api.


No comments: