Selasa, 31 Disember 2019

Sekadar catatan penghujung tahun 2019

Tags
Sesuatu yang pasti terjadi, dan tak mungkin dapat dihindari,ialah perjalanan waktu. Daun kalendar 2019 gugur lalu berganti  dengan yang baru,  dan esok, dekad baru lahir dengan pelbagai kemungkinan baru, yang mungkin lebih mencabar, lebih berbahaya tetapi juga membuka pelbagai potensi dan harapan baru,yang lebih cerah dan tentu lebih ceria.

Namun bagi penulis Riau, Taufik Ikram Jamil, dengan nada yang lebih optmis menyatakan bahawa

"kami tak menunggu 2020
sebab kami telah menciptakannya
dari kata-kata yang tak akan
pernah menjadi puisi
menjadi pantun apatah lagi
gurindam dan seloka hanya sekejap
sekadar membasahi kisah
di tahun yang tak akan menyerah

kami tak menunggu 2020
sebab kami di depan segala tahun

Taufik Ikram Jamil
Grup WhatsApp  Ruang Sastra.

Jika diimbas semula, memang  banyak hal yang berlaku. Antara yang mungkin penting untuk dicatat ialah apabila UMNO dan PAS memeterai piagam politik pada November. BN pula menang besar dalam pilihan raya kecil Tanjung Piai, PRK Cameron Highland dan DUN Semenyih.

Beberapa peristiwa politik juga agak menarik iaitu PPBM dilancarkan di Sabah, PKR bergolak, DSAI menghadapi dakwaan baru, Azmin pula terpalit skandal seks dengan kemunculan video , Rafizi umumkan bersara dari politik dan sebagainya.

Utusan Malaysia, yang memiliki sejarah panjang 80 tahun, terpaksa menghentikan penerbitannya pada 9 Oktober 2109. Akhbar berbahasa Melayu itu mula diterbitkan pada 1939 dalam tulisan jawi.

Nasib industri buku berkualiti juga terancam apabila Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM) dikatakan bakal mengecilkan operasinya. ITBM adalah penerbit buku berwibawa dan banyak mengangkat karya penulis tempatan ke persada antarabangsa.

Selain itu, antara tokoh yang pergi mendahului kita pada tahun 2019 ialah Presiden ke3 Indonesia, Prof BJ Habibie, tokoh sejarahwan negara, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Khim, ulama Datuk Abu Hassan Din Alhafiz dan ulama terkenal Indonesia, Muhamad Arifin Ilham dan ramai lagi.

Kelmarin pula, saya menerima khabar yang agak mengejutkan bahawa seorang sahabat, rakan kami, mantan wartawan Kompas dan mantan anggota DPR RI Dapil Riau sudah berpulang ke rahmatullah. Ketika diklarifikasi, beliau yang dikhabarkan meninggal itu sedang minum kopi di Batam dan mnurutnya dalam seharian itu, mereka satu keluarga sibuk menjawab masalah itu. Kebetulan orang yang meninggal itu sama hampir sama namanya dengan beliau, bahkan ada kaitan keluarga.

"Kate orang tue; itu pertande panjang umur, krn banyak yg mengingat'. Orang Riau dan Kepri mengenal bang Ion itu saya.Bedanya saudara saya panggilannya Bang Yon, sementara saya Bang Ion", katanya. Medsos cepat menyebarnya, katanya. Moga panjang umur dan murah rezeki kepada Bang Ion dan salam takziah kepada keluarga Bang Yon.

Ketika menulis catatan ini, saya sedang menunggu giliran untuk mandi. Membersihkan diri. Ya.Kita harus membersihkan diri dari segala kesumat, dendam, kebencian, iri, cemburu,dengki, kelalaian, kemalasan, kecuaian,
Salam hormat dan Selamat Tahun Baru 2020.

Isnin, 23 Disember 2019

DATUK BUNG MOKTAR RADIN, TIDAK PERNAH TERFIKIR JADI WAKIL RAKYAT

Tags
DATUK BUNG MOKTAR RADIN, TIDAK PERNAH TERFIKIR JADI WAKIL RAKYAT

SUARANYA tetap lantang ketika berucap di Dewan Rakyat dari dahulu hingga sekarang. Bahkan tidak jarang juga kenyataan sering menimbulkan kontroversi. Tetapi sejak menjadi Ahli Parlimen Kinabatangan sejak tahun 1999, Datuk Bung Moktar Radin terus memperjuangkan aspirasi rakyat di kawasannya. Namun di sebalik kelantangannya, beliau seorang pemimpin yang baik hati.

Datuk Bung Moktar Radin dilahirkan di Kampung Bilit, Sukau Kinabatangan pada 15 September 1960Anak ketujuh daripada 13 adik beradik ini berkelulusan Sarjana (MA)  dalam bidang sains politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Bung mendapat pendidikan awal di SRK Kampung Bilit sebelum melanjutkan pelajaran menengah di SMK Sandakan. Namun selepas SPM, beliau terus bergiat dalam politik. Namun beliau terus berusaha meningkatkan pelajaran melalui pendidikan jarak jauh sebelum kuliah sepenuh masa di UKM dan mendapat sarjana Sains Politik  (Analisis Polisi dan Keselamatan).

Sebelum menjadi ahli Parlimen, beliau pernah berkhidmat di Bahagian Hal Ehwal Khas Sandakan (1987-1991) Pegawai Luar Bandar Mara Sandakan (1991-1992) dan Setiausaha Politik Kementerian Kewangan Sabah (1994-1999).


Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemubual Datuk Bung Moktar Radin di pejabatnya di Kota Kinabalu untuk berkongsi pengalamannya ketika bersekolah dan ketika mula menceburkan diri dalam politik.Ikuti petikan temubual seperti berikut:

UTUSAN BORNEO (UB): Boleh berikan sedikit latar belakang Datuk? Di mana datuk dilahirkan?
DATUK BUNG MOKTAR RADIN (BUNG) : Saya dilahirkan di Kampung Bilit Kinabatangan pada 15 September 1960. Saya anak ketujuh daripada 13 orang adik beradik.Ayah saya bernama Radin Yatim dan ibu saya bernama Rashidah Jikrun. Saya bersekolah rendah di SRK Kampung Bilit kemudian melanjutkan pelajaran di SMK Sandakan.

UB: Jauh juga tu Datuk. Masa itu, apa pengangkutan utama ke Sandakan? Cuba ceritakan bagaimana perjalanan dari Kinabatangan ke Sandakan ketika itu?
BUNG: Perjalanan ke Sandakan dari Kampung Bilit masa itu mengambil masa kira-kira 10 jam , naik kapal nelayan. Pukul 6.00 pagi berangkat, boleh sampai kira-kira jam 4.00 petang di Sandakan. Kalau ombak besar, terpaksa tidur di Terusan atau di Mumiang. Itupun kapal hanya ada tiga kali seminggu. Kapal hanya muat kira-kira 15 orang sekali jalan. Biasanya orang kampung pergi kr bandar untuk membeli barang-barang keperluan.

UB: Bila datuk mula menceburkan diri dalam politik?Bagaimana Datuk terlibat dalam politik?
BUNG: Ketika berada di bangku sekolah menengah, saya sudah terlibat dalam politik. Ketika itu, saya bergiat dalam Pemuda Usno.
Pada tahun 1975, apabila kerajaan Berjaya mengambil alih kuasa, tiga orang  saya yang bekerja dengan kerajaan, diberhentikan kerja.  Saya bertanya apakah politik memang begitu, apabila bertukar kerajaan, kakitangan kerajaan boleh dibuang sesuka hati? Saya mahu tahu. Mungkin kerana kurang berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh wakil rakyat ketika itu, menyebabkan saya masuk politik.

UB: Datuk sudah aktif dalam politik ketika itu. Apa jawatan datuk dalam parti?
BUNG; Selepas itu, saya dilantik sebagai Setiausaha Pergerakan Pemuda USNO. Kemudian saya dilantik sebagai Ketua Pemuda UMNO Sukau,kini Kinabatangan (1991-1995) Exco Pemuda USNO Pusat (1980-1991), dan pernah menjadi Setiausaha USNO Bahagian Sukau.


UB: Selain itu, datuk juga khabarnya aktif dalam gerakan belia. Boleh ceritakan?
BUNG: Saya juga aktif dalam gerakan belia, sama ada di peringkat negeri dan peringkat nasional, malah saya juga terlibat dalam program Belia Asia. Penglibatan dalam belia inilah yang banyak membantu saya dalam dunia politik, menjadikan saya berani bercakap, tidak kekok berhadapan dengan orang lain, berketrampilan, memimpin organisasi dan sebagainya.

UB: Bila datuk mula bertanding dalam pilihanraya?
BUNG: Saya mula bertanding pada 1994, di kawasan Kuamut. Masa itu, saya hanya kalah kira-kira 700 undi daripada Datuk Joseph Siting Saang.

UB: Bagaimana suasana berkempen masa itu?
BUNG: Keadaan masa itu memang sengsara. Jalan raya susah dilalui. Waktu berkempen memang agak sukar, apalagi kerana kami tidak kekurangan dana kempen. Itupun saya hanya kalah kira-kira 700 undi sahaja.

UB: Apa pengajaran yang datuk perolehi dari pengalaman pertama bertanding  itu?
BUNG: Pengalaman itu memberi banyak pengajaran kepada saya mengenai apa itu politik, bahawa dalam politik pun ada permainan politik dan sebagainya.


UB: Selepas BN memegang tampuk pemerintahan, apa jawatan yang datuk pegang?
BUNG: Selepas BN memerintah, saya menjadi Setiausaha Politik di Kementerian Kewangan pada 1994.  Ketika itu saya adalah Ketua Penerangan Pemuda UMNO Sabah (1991-1995)Kemudian pada 1996, saya terpilih menjadi Ketua Bahagian UMNO Kinabatangan dan jawatan itu saya pegang hingga sekarang.

UB: Sejak bila datuk jadi Ahli Parlimen Kinabatangan?
BUNG: Saya terpilih sebagai Ahli Parlimen sejak tahun 1999.

UB: Mungkin datuk boleh ceritakan sedikit  pengalaman dalam politik?
BUNG: Pengalaman dalam politik memang banyak. Kalau dahulu, apabila masuk kampung, jalan tidak boleh dilalui, jalan terputus, terpaksa guna cara lain untuk sampai bertemu rakyat.Pernah juga berhadapan dengan masalah banjir di Ulu Kinabatangan, banyak kampung yang terjejas, bantuan tidak dapat disampaikan dan memang tidak ada lagi jalan perhubungan yang lain.  Keadaan Kinabatangan pada masa itu memang jauh ketinggalan. Kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik dan sebagainya masih kurang. Tidak banyak pembangunan pada masa itu.

Apabila BN memerintah, Kawasan parlimen Kinabatangan yang besar sedikit daripada negeri Pahang mulai disirami kemajuan. Sekarang sudah ada hospital besar, kemudahan jalan raya yang menghubungkan kampung-kampung di luar bandar sudah ada. Mungkin hanya ada sekitar 20 peratus saja yang belum menikmati kemudahan. Jika dibandingkan dengan tahun 90-an, terlalu jauh peningkatan. Cuma tergendala sedikit apabila BN Kalah.



UB: Datuk tetap bertahan dalam UMNO?
BUNG: Walaupun UMNO kalah, saya dan rakan rakan masih bertahan. Kesetiaan perlu ada dalam perjuangan.UMNO adalah sebuah parti untuk memperjuangkan bangsa, agama dan negara. Sekarang makin banyak kepincangan berlaku. Kerajaan yang diperintah oleh PH tidak perjuangkan aspirasi rakyat.Manifesto mereka tidak dilaksanakan, tinggal janji yang tidak ditunaikan. Sementara kos sara hidup makin meningkat, ini yang jadi tekanan dan bebanan kepada rakyat. Kita akan terus utamakan perjuangan kepada rakyat.

UB: Kalau boleh tahu, apa hobi datuk kalau ada masa lapang?
BUNG: Saya suka beriadah, kadang main golf dan sebagainya. Selain itu, saya juga suka memasak asam pedas, masak kicap dan sebagainya. Dalam satu minggu, satu kali saya mesti memasak.

UB: Oh ya. Sejujurnya,apakah datuk pernah terfikir menjadi wakil rakyat sebelum ini?
BUNG: Sebenarnya, saya tidak pernah terfikir menjadi wakil rakyat. Meskipun saya pernah sembilan kali menjadi wakil calon kepada tujuh orang YB. Tapi saya tidak fikir bahawa satu masa nanti saya jadi wakil rakyat.
Sebab itu, saya nasihatkan pemimpin muda, jangan fikir jadi calon.Kalau memang anda ada rezeki, ia pasti datang. Rezeki kita Allah yang menentukannya. Cuma saya juga ingatkan mereka, kalau sudah jadi YB, buatlah kerja jaga rakyat.


UB: Ada pesan atau nasihat tertentu daripada orang tua yang masih datuk ingat sampai sekarang?

BUNG: Ada pesan emak saya. Beliau berpesan, jangan sekali kali kita menganiaya orang, jangan naik atas air mata orang lain. Biarlah kita susah tapi jangan aniaya orang.

UB: Apa cabaran antara menjadi Ahli Parlimen Kerajaan dan menjadi Ahli Parlimen Pembangkang?
BUNG: Memang banyak cabaran. Kami di pihak pembangkang, memang kami tiada peruntukan, tidak macam dulu. Tapi kita guna pelbagai mekanisme untuk memenuhi aspirasi rakyat. Walaupun sekarang, kita tidak dapat bagi projek tetapi rakyat faham.

UB: Mungkin ada sedikit kesukaran ketika menjadi MP pembangkang berbanding ketika berada dalam kerajaan? Komen Datuk?
BUNG: Saya memang sudah biasa jadi pembangkang. Dari dahulu pun sudah jadi pembangkang. Ketika itu belum un saya jadi jadi YB. Menjadi pembangkang bukan suatu yang baru. Sembilan tahun dalam era  Berjaya dan sembilan tahun dalam era kerajaan PBS.Kalau dikira, 18 tahun jadi pembangkang, tak ada masalah.

UB:Selalu turun menemui rakyat di kawasan?
BUNG: Asalkan asal peluang, saya sering turun jumpa rakyat.Kalau ada program parti, saya pastikan dapat hadir. Politik sekarang bukan lagi macam dulu. Zaman dulu, ada  wakil rakyat turun lima tahun sekali. Sekarang, wakil rakyat perlu turun lebih kerap berjumpa rakyat.

UB: Terima kasih datuk kerana sudi memberi ruang kepada kami untuk sesi temuramah ini.
BUNG: Terima kasih kembali.

PERTEMUAN DENGAN PAK SANEM, BUPATI YANG BAIK HATI

Tags
PERTEMUAN DENGAN PAK SANEM, BUPATI YANG BAIK HATI

SEKIRANYA ada yang bertanya, apa antara pengalaman paling manis sepanjang kunjungan ke pulau Belitung, jawapannya ialah pertemuan dengan Bupati Belitung, Bapak H Sahani Salleh.

Beliau bermurah hati mengadakan majlis makan malam bagi mengalu-alukan kunjungan kami, peserta program Kembara Sastera Ikatan Penulis Sabah (IPS)  ke pulau yang terkenal dengan nama Laskar Pelangi itu.

Selepas tiba di Bandara Hanandjoeddin, kami terus dibawa melawat Danau Kaolin, sebuah tempat dengan air tasik yang membiru. Selepas itu, kami ke Rumah Adat Melayu Belitung sebelum dijamu makan tengahari oleh Dinas Kebudayaan dan Pariwisata Propinsi Bangka Belitung di Pondok Kelapa. Selepas itu kami melanjutkan kunjungan ke Wisata Aik Rusa Berehun Desa Terong, kemudian melihat keindahan pantai Tanjung Kelayang dan selepas itu, ke Tanjung Tinggi, lokasi syuting Laskar Pelangi.

Selepas mendaftar masuk di Havana Mutiara, sempat bersiram mandi sekejap sebelum bergegas ke Restoran Rumah Pandan (Pandan House Restaurant).

Majlis hanya bermula selepas ketibaan Pak Sanem, nama panggilan yang popular di kalangan masyarakat Belitung kepada Bupati yang terpilih sekali lagi memimpin Belitong 2018-2023.

Acara malam itu dimulakan dengan tarian bagi menyambut tetamu. Antara yang hadir dalam majlis itu ialah Kepala Dinas Pendidikan Belitung, Pak Junaidi, Pak Imanuddin Siregar, yang mewakili KJRI Kota Kinabalu, Ketua Satu IPS, Abd Naddin Shaiddin, Ketua Dua IPS, Awang Abdul Muizz Awang Marusin, Ramli Jusoh, tokoh penulis Sabah bersama 17 lagi anggota rombongan penulis dari Sabah, Labuan dan Semenanjung Malaysia yang menyertai rombongan itu.


Antara yang turut serta dalam rombongan ialah Abdul Rahman Haji Halib, mantan Ketua Sektor Akademik Jabatan Pendidikan Pahang, Cikgu Sahar Misron, mantan Pengetua dan Ketua Dua Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan (Perwila), Haji Dzulkarnain HM, penulis Nostalgia Padang,  Cikgu Norawi Haji Kata, pemenang Hadiah Sastera Sabah (HSS) dan ramai lagi.

Selepas tarian, setiap tetamu dipersilakan untuk memakan sekapur sirih sebagai tanda penghormatan kepada tetamu. Kemudian disusuli ucapan oleh Pak Sanem. Beliau memberitahu mengenai keterikatan Belitung dengan pulau Borneo dari segi sejarah.

Hubungan Belitung dengan Borneo sangat dekat, katanya. Beliau sendiri memberitahu, bahawa nenek moyangnya Tok Letang, berasal dari angkatan Iranun yang pernah membantu Sultan mahmud III di Riau dan kemudian berlayar ke Belitong.

Tok Letang seorang pahlawan yang menjadi legenda zaman bahari. Beliau berkata, dari segi bahasa, ada beberapa nama tempat di Belitong, yang sudah tidak diketahui ertinya di kalangan masyarakat, setelah ditelusuri ternyata memiliki makna.

Beliau juga menceritakan kunjungannya ke kampung Rampayan Laut Kota Belud, ketika menjadi tamu kepada mantan Speaker Dewan Rakyat Malaysia, Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia dalam satu majlis yang turut dihadiri oleh mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi beberapa tahun yang lalu.

Pak Sanem menggesa hubungan baik antara dunia Melayu perlu diperkukuhkan lagi. Sambil itu, beliau mengundang peserta untuk hadir dalam satu pertemuan yang dianjurkan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) yang dijangka diadakan pada bulan Mac 2020.

Pak Bupati juga menyatakan rasa gembira menerima kunjungan penulis dalam Program Kembara Sastera IPS dan berharap rombongan meluangkan masa untuk melawat tempat-tempat menarik di sekitar Belitong.

Dalam ucapan balasnya, Ketua Satu IPS, Abd Naddin Haji Shaiddin menyampaikan ucapan terima kasih atas kesudian pak Bupati untuk menerima kunjungan penulis dari Sabah itu.

Selain itu, Abd Naddin juga menyampaikan penghargaan atas dukungan pak Bupati khususnya Pemerintah Daerah Belitung dalam bentuk penginapan dan transportasi, yang sudah pasti membantu melancarkan lagi program itu.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan program Kembara Sastera IPS 3-7 Disember itu.

Sambutan yang luar biasa dan begitu baik itu tetap terpahat dalam hati sebagai satu kenangan manis di Belitong.Pengalaman yang diperolehi itu pasti akan dituangkan oleh penulis penulis dalam karya mereka mengenai keindahan dan keramahan orang Belitung.


Turut diadakan ialah majlis penyampaian cenderamata. Pak Sahani sempat mengalungkan selempang kepada Abd Naddin sebagai anggota kehormat masyarakat Belitong.


Beliau juga sempat membacakan beberapa sajak Norawi Haji Kata selepas menerima buku Kumpulan Puisi Akta Batin daripada penulis yang pernah memenangi Hadiah Sastera Sabah itu. Selain itum H Dzulkarnain HM juga menyampaikan beberapa buku karyanya sebagai cenderamata kepada pak Bupati.



Waktu bergerak dengan begitu cepat. Kami meninggalkan Restoran Rumah Pandan itu sambil menikmati betapa indahnya kenangan. (Gambar ihsan Hussein Mohammad)


KEMBARA SASTERA IPS KUNJUNGI LASKAR PELANGI

Tags
KEMBARA SASTERA IPS KUNJUNGI LASKAR PELANGI


Seramai 20 penulis yang menyertai Kembara Sastera Ikatan Penulis Sabah (IPS) Ke Belitong, Indonesia sempat berkunjung ke replika SD Muhamadiyah di Gantung, Belitung Timur. Replika SD Muhammadiyah itu digunakan sebagai salah satu lokasi syuting untuk filem Laskar Pelangi yang diangkat dari Novel karya penulis Andrea Hirata.


Rombongan itu teruja dengan pengalaman berkunjung ke  sekolah itu, meskipun cuma replika-dan mereka mengingat bagaimana kegigihan sepuluh anak pulau Belitong bersekolah yang dididik oleh seorang guru berdedikasi Ibu Muslimah Hafsari.

Lebih mengujakan lagi ialah ketika berkunjung ke Museum Kata. Rombongan Kembara Sastera IPS sempat mendengar sendiri pengalaman yang disampaikan oleh Ibu Muslimah Hafsari yang sudi hadir ke Museum Kata untuk bertemu penulis-penulis dari Sabah.

Kunjungan ke SD Muhammadiyah, Museum Kata dan Tanjung Tinggi, salah satu lokasi syuting Laskar Pelangi adalah antara tempat yang dikunjungi penulis  Sabah sepanjang kunjungan mereka ke pulau Belitong, sebuah pulau yang terletak di Propinsi Bangka Belitung. Kedudukan pulau itu sendiri terletak di antara pulau Jawa, Sumatera dan Kalimantan.

CATATAN HARI PERTAMA KEMBARA SASTERA IPS DI BELITONG 3 DISEMBER 2019

Tags
CATATAN HARI PERTAMA DI BELITONG

KAMI baru saja melintasi Satam Square  ketika hujan petang membasahi Tanjung Pandan. Sejak tiba di Pulau Belitong, Negeri Laskar Pelangi kira-kira jam 9.40 pagi, 3 Disember, rombongan penulis yang menyertai Kembara Sastera Ikatan Penulis Sabah (IPS) terus  dibawa berkunjung ke tempat-tempat menarik seperti Danau Kaolin, kemudian Rumah Budaya Tradisional Melayu, singgah ke Desa Wisata Kreatif Terong, kemudian ke Tanjung Kelayang, terus ke Tanjung Tinggi sebelum check in di Hotel Havana Mutiara.

Kembara panjang yang bermula kira-kira jam 4.00 petang 2 Disember, dimana semua peserta berkumpul di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu sebelum menaiki Royal Brunei kira-kira jam 7.30 malam. Transit sebentar di Bandar Seri Begawan kemudian menaiki pesawat Royal Brunei ke Jakarta kira-kira jam 12.30 tengah malam dan tiba di Terminal  3 Bandara Soekarno Hatta kira-kira jam 1.50 pagi waktu Indonesia Barat (WIB).

Selepas itu menaiki skytrain atau karalayang ke Terminal 1 kira-kira jam 5.00 pagi WIB iaitu sebaik karalayang itu memulakan operasinya pada hari itu. Kami terus check in dengan pesawat Lion Air yang akan berlepas jam 8.50 pagi dari Jakarta dan tiba kira-kira satu jam kemudian di Tanjung Pandan.

Seperti yang dimaklumkan oleh Pak Agus Pahlevi, sahabat IPS di Tanjung Pandan, kunjungan kami ke Belitong pada 3 hingga 5 Disember itu, sudah disusun atur dengan baik. Alhamdulillah, program Kembara Sastera IPS kali ini mendapat bantuan dan dukungan  dari Gubernur Bangka Belitong, Bupati Belitong, Komunitas Janggut dan banyak lagi.


Sebaik mendarat, kami sempat bergambar sebelum memasuki ruangan ketibaan sambil menunggu bagasi.Pak Mawel Biliton sudah menunggu ketibaan kami di Bandara Hanandjoeddin. Pak Mawel adalah pemandu wisata yang akan mengiringi perjalanan kami sepanjang berada di Belitong. Pengetahuannya luas kerana beliau juga sebelum ini pernah bekerja dalam bidang media.

Pemerintah Daerah Belitung menyediakan satu unit bas besar dan satu unit Hiace atas ihsan Bupati H Sahani Salleh. Beliau juga membantu menyediakan penginapan di Hotel Havana Mutiara.


Kemudian kami meluncur ke Danau Kaolin, sebuah tempat yang menjadi destinasi wisata yang terletak kira-kira 6 kilometer dari pusat kota. Kawasan itu adalah tempat melombong pasir kaolin yang bermutu tinggi. Airnya membiru menjadikan pemandangan amat cantik.

Rombongan kami sempat membeli cincin meteor, yang kewujudannya sampai sekarang masih belum dapat diijelaskan oleh kalangan saintis.

Dari bekas lombong itu, diperolehi batu satam, yang kemudian dijadikan batu cincin yang cantik. Tetapi penggemar cincinlah yang dapat menjelaskan keistimewaan batu satam ini, khususnya bagi mereka yang pernah ke Belitong, kerana batu satam ini hanya terdapat di Belitong.

Mungkin ada yang menyebut nama pulau ini dengan sebutan Belitong, ada pula yang menyebutnya Belitung. Pada zaman penjajahan pulau ini di sebut Billiton.

Ramai tokoh nasional Indonesia yang lahir di Belitong. Antaranya seorang tokoh terkenal Dr Yusril Ihza Mahendra, mantan Menteri Kehakiman, seorang peguam terkenal. Selain itu, Basuki Tjahya Purnama (BTP) atau lebih dikenal dengan nama Ahok, tokoh yang pernah menjadi Gubernur Jakarta.

Namun yang membuat Belitong dikenali sebagai Bumi Laskar Pelangi, adalah seorang penulis bernama Andrea Hirata, yang menghasilkan buku novel Laskar Pelangi. Karya ini kemudian difilemkan dan dijadikan sinetron, dan dianggap sebuah karya dari Indonesia yang paling banyak diterjemahkan ke banyak bahasa di dunia.

Melalui Laskar Pelangi, pelancong-pelancong dari berbagai negara di dunia berkunjung ke Belitong. Nama Belitong yang memang memiliki kekayaan alam semulajadi dengan pantai-pantai yang cantik , alam semulajadi yang indah dengan cepat menjadi terkenal.

Kecantikan Pantai Kelayang , yang terletak di daerah Sijuk sendiri, memiliki kecantikan yang luar biasa. Tanjung Tinggi yang menjadi lokasi syuting Laskar Pelangi tak kalah menarik.

Hari pertama kami di Belitong juga memberikan pengalaman berkunjung ke Desa Wisata Kreatif Terong dan disana kami sempat mendengar seorang tokoh gambus memetik gambusnya.

Banyak catatan yang ditulis sepanjang perjalanan ini. Tetapi ini hanyalah catatan pendahuluan kerana ketika tiba di Satam Square, hari sudah petang dan kami perlu check in sebelum memenuhi undangan makan malam oleh Pak Bupati, Bapak H Sahani Salleh yang lebih dikenali sebagai Pak Sanem pada malam harinya.

Mari ke Belitong, Let’s go to Belitung, kata Pak Hussein sambil mengarahkan kami meletakkan tangan di di dada, sebelum beliau menekan punat kameranya. Klik! Klik!