Monday, December 30, 2019

Sekadar catatan penghujung tahun 2019

Sesuatu yang pasti terjadi, dan tak mungkin dapat dihindari,ialah perjalanan waktu. Daun kalendar 2019 gugur lalu berganti  dengan yang baru,  dan esok, dekad baru lahir dengan pelbagai kemungkinan baru, yang mungkin lebih mencabar, lebih berbahaya tetapi juga membuka pelbagai potensi dan harapan baru,yang lebih cerah dan tentu lebih ceria.

Namun bagi penulis Riau, Taufik Ikram Jamil, dengan nada yang lebih optmis menyatakan bahawa

"kami tak menunggu 2020
sebab kami telah menciptakannya
dari kata-kata yang tak akan
pernah menjadi puisi
menjadi pantun apatah lagi
gurindam dan seloka hanya sekejap
sekadar membasahi kisah
di tahun yang tak akan menyerah

kami tak menunggu 2020
sebab kami di depan segala tahun

Taufik Ikram Jamil
Grup WhatsApp  Ruang Sastra.

Jika diimbas semula, memang  banyak hal yang berlaku. Antara yang mungkin penting untuk dicatat ialah apabila UMNO dan PAS memeterai piagam politik pada November. BN pula menang besar dalam pilihan raya kecil Tanjung Piai, PRK Cameron Highland dan DUN Semenyih.

Beberapa peristiwa politik juga agak menarik iaitu PPBM dilancarkan di Sabah, PKR bergolak, DSAI menghadapi dakwaan baru, Azmin pula terpalit skandal seks dengan kemunculan video , Rafizi umumkan bersara dari politik dan sebagainya.

Utusan Malaysia, yang memiliki sejarah panjang 80 tahun, terpaksa menghentikan penerbitannya pada 9 Oktober 2109. Akhbar berbahasa Melayu itu mula diterbitkan pada 1939 dalam tulisan jawi.

Nasib industri buku berkualiti juga terancam apabila Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM) dikatakan bakal mengecilkan operasinya. ITBM adalah penerbit buku berwibawa dan banyak mengangkat karya penulis tempatan ke persada antarabangsa.

Selain itu, antara tokoh yang pergi mendahului kita pada tahun 2019 ialah Presiden ke3 Indonesia, Prof BJ Habibie, tokoh sejarahwan negara, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Khim, ulama Datuk Abu Hassan Din Alhafiz dan ulama terkenal Indonesia, Muhamad Arifin Ilham dan ramai lagi.

Kelmarin pula, saya menerima khabar yang agak mengejutkan bahawa seorang sahabat, rakan kami, mantan wartawan Kompas dan mantan anggota DPR RI Dapil Riau sudah berpulang ke rahmatullah. Ketika diklarifikasi, beliau yang dikhabarkan meninggal itu sedang minum kopi di Batam dan mnurutnya dalam seharian itu, mereka satu keluarga sibuk menjawab masalah itu. Kebetulan orang yang meninggal itu sama hampir sama namanya dengan beliau, bahkan ada kaitan keluarga.

"Kate orang tue; itu pertande panjang umur, krn banyak yg mengingat'. Orang Riau dan Kepri mengenal bang Ion itu saya.Bedanya saudara saya panggilannya Bang Yon, sementara saya Bang Ion", katanya. Medsos cepat menyebarnya, katanya. Moga panjang umur dan murah rezeki kepada Bang Ion dan salam takziah kepada keluarga Bang Yon.

Ketika menulis catatan ini, saya sedang menunggu giliran untuk mandi. Membersihkan diri. Ya.Kita harus membersihkan diri dari segala kesumat, dendam, kebencian, iri, cemburu,dengki, kelalaian, kemalasan, kecuaian,
Salam hormat dan Selamat Tahun Baru 2020.

No comments: