Friday, January 31, 2020

MENGENALI `URANG BELITONG’ DI RUMAH ADAT BELITUNG

MENGENALI `URANG BELITONG’ DI RUMAH ADAT BELITUNG

Kalau berkunjung ke Belitung, tidak sah rasanya kalau kita tidak  ke Rumah Adat Belitung. Di rumah adat itu, kita dapat menyaksikan pelbagai bahan pameran budaya masyarakat Melayu Belitung atau Urang Belitong.

Jadi sebaik mendarat di Bandara Hanandjoeddin, Tanjung Pandan, Rombongan 20 penulis yang menyertai Kembara Sastera Ikatan Penulis Sabah (IPS)  memilih melawat Rumah Adat Belitung terlebih dahulu.  Selepas singgah sebentar di Danau Kaolin, Pak Mawel, pemandu pelancongan kami  terus membawa kami ke Rumah Adat Belitung yang terletak bersebelahan Kantor Bupati Belitung di Jalan Ahmad Yani.

Seperti kebiasaan ketika memasuki rumah, kami membuka kasut terlebih dahulu sebelum menaiki tangga. Jumlah anak tangganya tidak begitu banyak. Ada yang sempat melihat teras rumah, yang biasanya digunakan untuk duduk bersantai.

Rumah Adat Belitung itu berbentuk rumah panggung, sebahagian besar dibuat daripada kayu belian  dan terletak di atas tanah seluas kita-kira 500 persegi.

Terdapat sembilan tiang utama yang menopang rumah itu.Rumah itu sendiri terbahagi kepada ruang utama, ruang pembatas yang disebut loss dan dapur.

Di ruang utama, kami melihat pelbagai peralatan rumah khas Belitung seperti almari berisi baju adat pengantin Belitung kancing lima di bahagian kiri. Di ruang kanan, ada kamar pengantin sementara ada foto foto Belitung Tempoe Dulu.

Lantainya ditutupi tikar yang menjadi salah satu ciri khas orang Belitong. Biasanya ruang utama digunakan untuk acara keluarga atau digunakan untuk mengaji.Di situlah kami mendengar kata-kata Pak Ismail Mihad, Setiausaha Lembaga Adat Melayu Belitung bersama  penasihat LAM Pak Achmad Hamzah mengenai budaya Melayu Belitung.

Beliau memberitahu usaha-usaha yang dilakukan untuk memelihara dan melestarikan budaya dan adat Melayu Belitung. Katanya, budaya dan adat Melayu Belitung haruslah sentiasa dijaga dan dilestarikan..

Dari ruang utama, kami memasuki ruang yang disebut urang Belitong sebagai loss , iaitu ruang yang terletak di antara ruang utama dan dapur. Sementara, ruang dapur, yang menjadi tempat aktiviti memasak  lazimnya diletakkan di bahagian belakang.

Rumah Adat Belitung yang menjadi kebanggaan masyarakat Melayu di bumi laskar pelangi itu dibina pada tahun 2004 dan dirasmikan pada 2009  oleh Bupati Belitung ketika itu, Darmansyah Hussain.

Dibuka bermula jam 7.30 pagi hingga 1.50 petang, Rumah Adat Belitung yang terletak kira-kira 20 minit dari lapagan terbang, sering menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negeri.

Jumlahnya tidak menentu, kata Muhammmad Arief Akbar, Salah seorang staff Sekretariat LAM.

Dalam kunjungan itu juga, Rombongan Kembara IPS didampingi oleh Pak Haryadi dari Dinas Kebudayaan dan Pariwisita Propinsi Babel dan Pak Imanuddin Siregar dari Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Kota Kinabalu.

Walaupun singkat, kunjungan ke Rumah Adat Belitung itu memperlihatkan bahawa Urang Belitong adalah sebahagian dari rumpun melayu yang sudah tentu memiliki adat istadat dalam kehidupan mereka.

Di Belitung, ada sebuah tradisi yang masih kekal sampai sekarang iaitu tradisi makan bedulang, yang menjadi simbol kedekatan keluarga. Nasi bedulang dihidangkan di atas talam yang ditutup dengan tudung saji. Di dalamnya terdapat enam piring berisi pelbagai jenis lauk manakala di tengahnya terdapat mangkuk berisi makanan berkuah.

Satu set nasi bedulang disediakan untuk empat orang. Meskipun makanan di dalam tudung saji itu mungkin berbeza antara satu tempat ke satu tempat lain, namun intinya tetap memperlihatkan budaya dan alam masyarakat belitung.

Bagaimana pula ciri bahasa ‘Urang Belitong’. Bahasa yang digunakan `urang belitong’  tergolong dalam bahasa melayu yang disebut bahasa melayu Belitung. Ciri khas bahasa Melayunya ialah tidak menggunakan huruf h pada kata-kata tertentu seperti jauh menjadi jao, hujan menjadi ujan. Terdapat juga  penggunaan e pepet pada akhir kata iaitu apa menjadi ape, putih menjadi pute dan sebagainya. Ada lagi satu ciri lain iaitu penggunaan kosa kata yang berasal dari penggabungan dua kata atau lebih seperti hendak ke mana menjadi `nakmane’

Tidak banyak yang dapat dicatat dalam kunjungan singkat itu. Walaupun bahan-bahan mengenai belitung boleh didapati cukup dengan bertanya kepada profesor google tetapi tidaklah sama dengan berkunjung sendiri ke sana.

Sebelum meninggalkan Rumah Adat Belitung, kami sempat merakamkan gambar dan bertukar nombor handphone , berharap dapat lagi berkunjung ke sana.

No comments: