Sabtu, 1 Februari 2020

NOOR AMIN AHMAD, PEMIKIR MUDA YANG KINI JADI AHLI PARLIMEN

Tags

NOOR AMIN AHMAD, PEMIKIR MUDA YANG KINI JADI AHLI PARLIMEN

SATU ketika dahulu, wajahnya sering muncul di televisyen dalam program bual bicara yang disiarkan di Saluran Satu RTM, Astro Awani dan Bernama TV. Sebagai komentator sosial, politik dan ekonomi, beliau seorang petah berbicara dalam mengulas isu-isu semasa. Seorang pemikir, penyelidik dan mantan pemimpin gerakan mahasiswa. Beliau juga seorang penulis buku dan penterjemah dan sering mengikuti persidangan antarabangsa sama ada di Malaysia atau di luar negara. Kini beliau adalah Ahli Parlimen P2 Kangar dan menjadi satu-satunya Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) di Perlis. Noor Amin Ahmad adalah seorang tokoh intektual muda yang kini turut terjun dalam bidang politik bagi memperjuangkan idealismenya demi kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat.


NOOR AMIN AHMAD lahir di Kangar, Perlis pada tahun 1982. Pemegang Diploma Perhutanan dan Ijazah Sarjana Muda Perhutanan dari Universiti Putra Malaysia (UPM). Semasa di Universiti, beliau adalah seorang pemimpin gerakan mahasiswa.Beliau pernah bekerja di sektor awam, swasta, badan bukan kerajaan,Seorang pemikir, penyelidik, penulis dan penterjemah buku,komentator politik dan ekonomi serta isu semasa. Kini beliau adalah Ahli Dewan Rakyat bagi kawasan Parlimen P2 Kangar. Beliau mencipta sejarah baru apabila  menjadi satu-satunya wakil PH yang memenangi salah satu dari tiga kerusi Parlimen di Perlis. Beliau dilantik menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Belanjawan. Selain itu, beliau juga dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa Pemandu  Jaringan Ahli Parlimen Muda Bank Dunia. Memiliki pelbagai pengalaman dan jaringan di dalam dan luar negeri. Beliau seorang tokoh pemimpin muda yang tidak asing lagi di negara ini.


Wartawan kanan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemubual beliau di sebuah restoran di Api-Api Centre dalam kunjungannya ke Kota Kinabalu, baru-baru ini. Ikuti petikan temubual bersama beliau:

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang YB? Lahir di mana? Anak ke berapa dalam keluarga?
YB NOOR AMIN AHMAD: Saya lahir di Kangar pada 20 Februari 1982. Saya anak ketiga dari enam adik beradik. Apabila kakak meninggal sewaktu saya berumur lima tahun, sejak itu saya jadi anak kedua.

UB: Pendidikan awal?
AMIN: Saya bersekolah rendah di SRK  Sri Indera Kangar dari darjah satu hingga enam dan kemudian di SMK Derma Kangar dari tingkatan satu hingga lima.

UB: Selepas itu?
AMIN: Selepas itu, saya melanjutkan pelajaran  di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun 2000 hingga 2003 dan berjaya  memperolehi diploma perhutanan. Kemudian, pada tahun 2003 hingga 2006,saya meneruskan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Perhutanan, juga di Universiti Putra Malaysia (UPM).

UB: Di mana YB bekerja selepas tamat universiti?
AMIN: Saya bertugas sebagai Pembantu Penyelidik di Universiti Putra Malaysia pada tahun 2006 hingga 2007. Kemudian, saya bekerja di Malaysia Think Tank London (MTTL)  nama lama IDEAS  sebelum ia didaftarkan di Malaysia. Sebelum ini ia didaftarkan sebagai sebuah syarikat bukan berasas keuntungan di UK dan selepas pengasasnya memindahkan operasi ke Malaysia pada 2009, pertubuhan ini berganti nama kepada IDEAS atau Institute For Democracy and Economic Affairs (IDEAS).Saya bertugas di sana pada tahun 2007 hingga 2008.

UB: Selepas IDEAS, dimana YB berkhidmat?

AMIN: Kemudian pada tahun 2008, saya menjadi Penyelaras projek dengan Merdeka Center untuk penyelidikan Islam dan Demokrasi di Malaysia. Penyelidikan ini diadakan di seluruh negara. Selepas itu, pada, awal 2010, bulan Februari, saya bekerja sebagai Pegawai Komunikasi kepada Dato Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim. Bagaimanpun, walaupun kontrak dilanjutkan tetapi saya memilih untuk berkhidmat semula di Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) sebagai Pengurus Projek dan Operasi. Antara projek besar yang dijalankan ialah menjadi pemerhati Pilihanraya Umum ke-13. Saya juga menjadi Kordinator Perkaderan dan Latihan Pemerhati Pilihan Raya Umum Malaysia untuk melatih pemerhati pilihan raya di seluruh negara.

UB: Bagaimana pula YB terlibat dalam politik sehingga bertanding dalam pilihan raya?
AMIN: Tiga hari menjelang  penamaan calon PRU-13, seingat saya hari Rabu, hampir tengah malam, saya dihubungi oleh YB Azmin (Dato Sri) untuk memaklumkan keputusan parti untuk meletakkan saya bertanding di DUN Kuala Perlis. Saya diminta bertanding menggantikan calon yang sepatutnya bertanding kerana beliau diserang stroke. Saya kalah dalam pilihanraya itu tetapi berjaya  mengurangkan majoriti yang diperolehi BN dimana pada pilihanraya umum ke-12, mereka memperolehi peratusan dengan majoriti paling tinggi di Perlis.

UB: Apa yang YB buat selepas tewas PRU-13?
AMIN: Walaupun tewas pada PRU13, tetapi dari masa  ke semasa, saya sering balik ke DUN Kuala Perlis untuk menjalankan beberapa program untuk masyarakat di sana. Selain itu, saya juga mengambil peluang  mengikuti  banyak program latihan di luar negara, seperti di Amerika Syarikat, Hong Kong, Jerman, India ,Kemboja, Indonesia, Filipina dan pelbagai negara lain.

Selepas kalah PRU13, saya juga mendaftarkan sebuah pertubuhan Institute for Leadership and Development Studies(LEAD)  untuk memperbanyak lagi program pendidikan politik ekonomi dasar awam dan kajian yang berkaitan. Namun sebagai pertubuhan baru, dengan sumber kewangan yang terhad, hanya beberapa program yang kami dapat laksanakan.
UB: Kegiatan lain?
AMIN: Sejak 2007 saya sering menulis di pelbagai media dan dijemput  juga dalam pelbagai program bual bicara di Astro Awani 501, Saluran 1 RTM dan Bernama Tvuntuk berkongsi berbagai pandangan dalam persoalan politik, ekonomi  dan isu semasa khususnya yang melibatkan anak muda.

UB: Khabarnya YB juga menulis dan menterjemah buku?
AMIN: Saya menulis tiga buah buku. Antara buku yang saya tulis ialah  Pemanasan Global dan Perubahan Iklim (2011), Ekonomi Pasaran Sosial: Alternatif untuk Malaysia? (2010) dan Kelestarian : Manusia, Alam Sekitar dan Pembangunan. Selain saya saya juga menulis isu-isu berkaitan politik, ekonomi dan alam sekitar di pelbagai media cetak dan atas talian sejak 2008. Saya juga menterjemah lebih sepuluh buah buku, antaranya  What is Seen and What is Not Seen oleh Frederic Bastiat (2012), Economic in One Lesson oleh Henry Hazlott (2013).

UB: Bagaimana pula YB terlibat dalam Diwan Reformasi?
AMIN: Pada awal 2014, saya diminta oleh Dato Seri Anwar Ibrahim untuk membantu menguruskan Diwan Reformasi, sebuah pusat latihan dan penyelidikan untuk mengembangkan idea reformasi. Antara program utama ialah mengadakan siri Kuliah Anwar Ibrahim, pelbagai siri program termasuk penganjuran Syarahan Anti Keganasan, tentang masyarakat madani, tentang kepentingan hidup bersama dalam realiti pelbagai kaum, budaya, agama dan kepercayaan.

UB: Ketika itu, masih terlibat dalam parti?
AMIN: Saya dilantik oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad untuk menjadi Ketua Biro Latihan AMK Pusat. Ini membolehkan saya bergerak di seluruh negara.Selain itu, saya juga dllantik oleh YB Nurul Izzah Anwar, Pengarah pillihanraya Keadilan Pusat sebagai Pengarah Pilihanraya Keadilan Negeri Perlis.

UB: Sejak bila YB menyertai PKR?
AMIN: Sebenarnya, walaupun terlibat dalam gerakan reformasi sejak awal, saya hanya menyertai parti Keadilan pada tahun 2011. Ini kerana semasa zaman mahasiswa, saya percaya, sebagai orang yang bercakap tentang kebebasan berpolitik di Universiti, saya mahu tunjukkkan contoh bahawa mahasiswa yang berminat politik tidak semestinya aktif dalam parti politik.

UB: Oh ya. Berbalik kepada Diwan Reformasi? Apa yang terjadi selepas Dato Seri Anwar dipenjara?
AMIN:  Apabila Dato Seri Anwar Ibrahim dipenjara pada tahun 2015, saya melepaskan jawatan di Diwan dan  kembali fokus kepada kegiatan LEAD, membina banyak jaringan, melatih ratusan aktivis muda dan mahasiswa dalam dasar dasar awam dan program ini masih diteruskan sampai sekarang.

UB: YB dikatakan mencipta sejarah baru di Parlimen Kangar? Boleh ceritakan sedikit?

AMIN: Dalam PRU ke-14, saya dimaklumkan oleh parti untuk bertanding Parlimen Kangar. Dalam PRU yang bersejarah pada tahun 2018 , itulah pertama kali dalam sejarah Parlimen Kangar, ia  tidak lagi dimenangi Barisan Nasional. Selain itu, tiga DUN dalam Parlimen Kangar iaitu DUN Kuala Perlis, Indera Kayangan dan Sena juga dimenangi Pakatan Harapan.

UB: Selepas menang, di mana YB bermastautin? Masih di KL?
AMIN: Saya membuat satu keputusan untuk bermastautin di Kangar. Ibu bapa bu bapa saya masih ada dan seorang adik OKU masih  tinggal di Kangar. Saya memilih tinggal  bersama ibu bapa.

UB: Sejak jadi wakil rakyat, mungkin jadual harian  berubah. Apa komen?
AMIN: Memang jadual agak padat, bermula awal pagi hingga malam. Sidang Parlimen bermula  dari Isnin hingga Khamis selama 68 hari dalam setahun. Hari Jumaat atau Sabtu pagi balik ke kangar dan Ahad balik semula ke ibu negara.Biasanya hari Jumaat, saya  hadiri taklimat, ambil kesempatan menghantar surat ke kementerian atau pihak berkenaan, yang boleh membantu urusan dan masalah di kawasan. Selain itu mengadakan perjumpaan dengan pelbagai pihak.
Selain waktu sidang Dewan Rakyat, sebagai Ahli Parlimen, saya  sering dihantar ke luar negara bagi mewakili Parlimen Malaysia untuk menghadiri pelbagai persidangan , urusan diplomatik atau misi khas pencarian fakta dalam pelbagai isu seperti pergolakan di Kashmir, Myanmar, dan sebagainya. Adakalanya ada undangan dari luar negara  yang terpaksa ditolak kerana bertindih dengan program lain.
Selain itu, Malaysia juga menganggotai  AIPA (Asean Inter-Parliamentary Assembly, Commonwealth Parliamentary Association (CPA) dan International Parliamentary Union (IPU). Selain itu, saya juga menghadiri Asian Parliamentary for Human Right, Anti Korupsi, Young Parliamentary Network di bawah World Bank. Saya juga dilantik Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai  Belanjawan.

UB: Apa yang YB lakukan pada masa lapang? Ada masa lapang?
AMIN: Masa lapang sangat sangat terhad. Namun,kita kena sedia masa untuk bersenam, masa untuk jaga makan dan sediakan masa untuk keluarga. Masa sangat terhad, biasanya baca buku sebelum tidur.

UB: Kalau boleh tahu, apa buku mutakhir yang dibaca? Mengenai apa?
AMIN: Saya banyak baca buku mengenai perlembagaan. Buku terkini saya baca ialah  Good Economy For Hard Times ditulis pasangan suami isteri pemenang hadiah Novel, Abhijit Banerjee dan Esther Duflo, kedua-duanya profesor di MIT.

UB: Apa komen ibu bapa selepas melihat YB menyertai bidang politik?
AMIN: Ayah dan emak saya aktif dalam  politik di peringkat Cawangan dan Bahagian di Perlis. Ayah saya pernah jadi AJK Bahagian UMNO di bawah pimpina Dato Seri Radzi Sheikh Ahmad (kini Tan Sri). Ketika kecil, ibubapa saya pernah bawa saya ikut mesyuarat. Pernah satu ketika ayah saya  Ahmad Abdullah pernah mendapat hadiah daripada DBP sebanyak 50 buah buku. Saya tidak pasti apa hadiah yang dimenanginya. Tapi antara buku yang dimenanginya ialah buku mengenai pemecatan Tun Salleh Abas. Ketika itu, saya masih kecil sekitar darjah lima atau enam. Minat saya membaca buku muncul ketika itu. Ibu saya, Tengku Hamidah Mas Abdullah Akhir juga aktif dalam politik di peringkat cawangan. Saya bersyukur kerana saya lahir dalam keluarga yang ada kesedaran politik.

UB: Sejak darjah lima sudah minat baca buku? Apa komen bapa melihat YB membaca buku politik?
AMIN: Ayah tak kata apa -apa bila melihat saya membaca buku. Tapi buku ini sangat berkesan. Ketika reformasi, saya baca balik buku Tun Salleh Abas itu.

UB: Apa cita-cita YB ketika kecil?
AMIN: Saya rasa saya tak pernah ada cita-cita tertentu. Saya aktif dan mahu menjadi ahli sukan. Saya aktif sukan bolasepak. Saya pernah menjadi juara Remaja Catur Perlis. Saya juga aktif permainan ragbi dan  juara bawah 11 dan bawah 18 tahun.

UB: Apa pesan ibu yang selalu jadi pedoman?
AMIN: Kalau buat kerja politik, jaga hubungan dengan manusia, jangan terpisah dengan TuhanMu.

UB: Boleh cerita mengenai ayah?
AMIN: Ayah saya seorang yang berdisiplin, seorang yang teliti.Beliau seorang yang berpengalaman. Seorang pesara kerajaan, pernah bekerja di beberapa jabatan. Jawatan terakhirnya   sebagai ketua kerana di Mahkamah Tinggi Perlis. Ayah saya  sering membantu pentadbiran pejabat . Jika ada orang di kawasan Parlimen yang ada urusan, mereka terlebih dahulu merisik ayah saya.Mereka yang sebaya dengan ayah saya, mungkin mereka selesa jumpa ayah saya dahulu.

UB: Siapa idola YB?
AMIN: Dari aspek pemikiran, saya memiliki kesamaan dengan  Anwar Ibrahim.

UB: Terima kasih YB kerana sudi meluangkan masa  untuk wawancara ruangan Sembang Sabtu Utusan Borneo.
AMIN: Terima kasih kembali.