Tuesday, January 7, 2020

SETEMU SERATI, BEDINAKAN KITI-sekitar Majlis Pertemuan Keluarga Besar Abdullah & Siti Zaharah

SETEMU SERATI,  BEDINAKAN KITI
-sekitar Majlis Pertemuan Keluarga Besar Abdullah & Siti Zaharah

Oleh ABD NADDIN HAJI SHAIDDIN

MESKIPUN sudah lama diimpikan tetapi hanya pada 29 Disember lepas, Majlis Pertemuan Hari Keluarga Besar Abdullah@ Langki & Siti Zaharah dapat diadakan di 3H Sunset Beach Kampung Nanamun Kota Belud.

Buat julung-julung kalinya, Keluarga Besar Abdullah @ Langki & Siti Zaharah berjaya mengadakan pertemuan dan menghimpunkan beberapa generasi keturunan keluarga berkenaan.

Sigara  Haji Madrafie, Dulikab Mambong, Datu Jafrin Datu Anggol,Win Sanip dan beberapa orang yang lain mungkin lebih mengerti betapa sukarnya mencari dan meneliti susur galur keluarga, merangkai kisah,merunut  silsilah keluarga yang bermula dari keluarga Siti Zaharah dan Abdullah.

Dari suami pertama, Abdullah @ Langki, Siti Zaharah dikurniakan tujuh orang anak iaitu Embo’ Na’ @ Etu, Embo’ Ansal, Embo Dusi, Embo’ Pela’, Embo’ Suliah, Embo’ Undu, Embo’ Abak dan dengan suami kedua bernama Ingku, mereka dikurniakan seorang anak bernama Embo’ Rabun.

Generasi keluarga Siti Zaharah ini tersebar di beberapa buah kampung di Kota Belud seperti Kampung Jawi-Jawi, Labuan, Wakap, Taun Gusi, Rudang, Timbang Dayang, Peladok, Kulambai, Kuala Abai,Sembirai, Peladok, Rampayan dan beberapa buah kampung lain.



Siti Zaharah binti Datu Sa Pualas (ada di kalangan keluarga menyebutnya Datu Pulasah) adalah adik beradik kepada Datu Duraup atau Abdul Raup atau Madraup. Adik beradiknya yang lain adalah isteri kepada Radia Moda sa Bacolod, Datu Sa Tugaya, isteri kepada Datu Mamalintang dan isteri kepada Datu Sa Waton.

Bagaimanapun susur galur ini masih boleh diperbaiki lagi (atau diperdebatkan) kerana tempoh masa yang panjang kira-kira 200 hingga 300 tahun dahulu.

Misalnya mengenai nama suami pertama Siti Zaharah. Ada yang mengatakan namanya  Abdullah @ Langki. Namun ada juga yang mengatakan namanya Angkig.  Seorang pengkaji tarsilah, Haji Asmad Rudin memberitahu, beliau sempat bertanya kepada Sulih bin Dusi, Suod bin Bilong iaitu anak kepada Embo Abak, Ma’ Jinur dan Imam Ramli sewaktu mereka hidup,mengenai nama Abdullah, dan mereka memberitahu namanya Dullah @ Angkig.

“Sayangnya saya tidak mencatat masa, tarikh dan tempat ketika saya bertanya kepada mereka. Sepatutnya saya merekodkan masa,, tarikh dan tempat supaya catatan itu boleh jadi rujukan di kemudian hari,” kata Haji Asmad. Jika kita membuat penyelidikan mengenai susur galur atau silsilah keluarga, seboleh-bolehnya kita perlu mencatat nama yang dirujuk, umurnya, masa dan tempat ketika interviu itu dilakukan, supaya satu masa nanti, silsilah itu menjadi sah kerana ada nama perawinya, katanya kepada Utusan Borneo.



Pengerusi JK Induk Program Majlis Pertemuan Keluarga itu, Dzulikap @ Dulikab Mambong menyampaikan penghargaan dan terima kasih kepada semua ahli keluarga yang hadir menjayakan majlis itu. Beliau melahirkan rasa terharu dan gembira dengan kehadiran yang begitu ramai. Selain itu, rakaman penghargaan juga diucapkan kepada semua yang bertungkus lumus dari awal bagi menjayakan program itu iaitu  AJK Induk, AJK Pelaksana program bersama AJK kecil mereka, yang mungkin tidak dapat disebutkan nama mereka satu persatu.

Lebih 1,000 orang menghadiri majlis itu, dari beberapa kampung di Kota Belud, Kota Kinabalu dan beberapa daerah lain. Mereka mudah dikenali dengan warna baju yang mereka pakai.
Bagi memudahkan ahli keluarga Abdullah dan Siti Zaharah kenal mengenali antara satu sama lain, penganjur meminta agar ahli keluarga berpakaian mengikut warna yang dipersetujui.

Warna-warna yang disepakati untuk lapan generasi itu ialah Merah untuk generasi Embo Undu, Generasi Embo Suliah (Pink), Putih untuk generasi Embo Abak, Generasi Embo Pelak memakai warna Ungu, Generasi Embo Nak memakai warna Biru, generasi Embo Dusi memakain warna Hijau, Warna Oren untuk generasi Embo Ansal dan warna hitam untuk generasi Embo Rabun.











“Tetapi sekarang yang paling penting ialah tali silaturahim antara keluarga ini perlu diperkukuhkan dan dieratkan lagi. Kita yang dahulu tidak tahu kaitan keluarga kini menjadi tahu bahawa sebenarnya kita bersaudara, satu nenek moyang lagi,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Usukan, Datuk Japlin Haji Akim yang dijemput untuk merasmikan majlis pertemuan keluarga. Beliau sendiri adalah salah seorang generasi keturunan Abdullah dan Siti Zaharah.


“Jika dihitung jumlah keluarga kita,” kata Japlin, jumlahnya lebih ramai daripada yang sempat hadir dalam majlis ini.Mungkin  lebih satu pertiga penduduk Kota Belud memiliki kaitan keluarga dengan kita, katanya.

Beliau megucapkan tahniah kepada semua yang hadir dalam majlis itu yang dimeriahkan dengan pelbagai acara seperti cabutan tiket bertuah, penceritaan salasilah dan dan sebagainya.



Perwakilan Keluarga Datu Duraup  yang diketuai  Razak Haji Rakunman mengucapkan tahniah atas penganjuran majlis pertemuan keluarga itu. Program ini sangat bermanfaat dan sesuai dengan slogan “setemu serati, sekilo,bedinakan kiti”

Bedinakan, dalam bahasa Bajau sama di Kota Belud membawa makna bersaudara. Bertemu dan berkenalan, sesungguhnya mengukuhkan dan mengeratkan lagi semangat persaudaraan.

5 comments:

Unknown said...

terbaik untuk semua

abd naddin said...

Terima kasih. Silaturrahim adalah salah satu perkara yang selalu indah dan berharga

Unknown said...

Diharap majlis ini akan dibuat lagi untuk kali keseterusnya agar generasi baru tahu susurgalur dan keturunan mereka.

abd naddin said...

dan jangan lupa juga aspek dokumentasi seperti rakaman video, foto dan sebagainya.
saya yakin jika diadakan lagi pasti akan lebih baik lagi

Unknown said...

Alhamdulillah bersyukur terhadap Allah SubhanawataAllah kerana dgn izinnya Majlis Pertemuan Keluarga Embo Abdullah & Ct Zaharah berjaya d anjurkan dlm suasana mariah atas sambutan sdra2 yg begitu ramai hadir.Bagi pihak penganjur
Saya mengucapkkan ribuan terima kasih atas kehadiran sdra/sdri.

Memang banyak kelemaan berlaku dari aspek sambutan dan keperluan majlis seperti rakaman vedio,foto dan sebagai
.
Kelemaan dan kekurangan akan menjadi panduan dan memperbaiki kesilapan d masa akan datang..InsyaAllah.