Rabu, 15 April 2020

catatan 14 April 2020-genap empat minggu berkurung di rumah

Tags

Hari ini 14 April, bermakna sudah empat minggu kami terkurung di rumah kerana pelaksanaan Perntah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan pada 18 Mac lepas untuk mencegah COVID-19. Makhluk 19 itu dikatakan berasal dari Wuhan, China. Statistik terkini menunjukkan  sebanyak terdapat 170 kes baru, lima lagi kematian  dan hampir separuh sembuh.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebanyak 202 pesakit Covid-19 sembuh dan dibenarkan pulang menjadikan jumlah kes sembuh kepada 2,478. Jumlah keseluruhan kes di Malaysia ialah 4,987 kes dengan 82 orang meninggal dunia. Seramai 2,427 pesakit Covid-19 masih menjalani rawatan.Seramai 60 daripadanya dirawat  di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 33 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Salah satu kes iaitu pesakit 4,532(kematian ke-78) melibatkan seorang lelaki, tanpa identiti diri yang ditemui mati di Kota Kinabalu pada 6 April. Keputusan ujian sampel Covid-19 yang diambil semasa bedah siasat  didapati positif pada 11 April. Kes ini kini dibawah siasatan polis.

Lelaki itu ditemui mati  di hutan pulau Gaya minggu lepas. Disyaki gantung diri. Enam anggota polis yang mengangkat mayat itu dari lokasi kejadian sudah menjalani pemeriksanaan saringan kesihatan Covid-19 dan dikuarantin selama 14 hari.

Sementara itu hanya dua bot setiap kampung dibenarkan  menjalankan perkhidmatan peengangkutan antara Kota Kinabalu dan Pulau Gaya, Itupun yang berdaftar dengan polis.

Esok , 15 April bermula lagi fasa baru PKP yang berlanjut hingga 28 April. Selama tempoh PKP, pergerakan kami hanya berlegar dari rumah ke Taman Putrajaya membeli barangan keperluan atau ke stesen minyak Petronas untuk membuat transaksi di ATM yang terdapat disana. Kebanyakan kerja menulis berita dan rencana dibuat di rumah. Ke pejabat,  kecuali jika ada perkara yang mendesak,

Hari-hari sepanjang tempoh PKP ini diisi kebanyakan dengan menulis dan membaca majalah dan buku-buku. Untungnya kami dapat juga solat berjemaah bersama-sama, dapat berpuasa Isnin-Khamis,dan makan bersama-sama.. Isteri dan anak-anak mengkhatam Quran.

Jika tidak bermain bersama, anak-anak menjadikan ruangan tamu seperti padang bola, mereka main congkak. Jika tidak sibuk dengan pembelanjaran online, mereka menghabiskan masa dengan buku-buku. Ada sedikit ruang di belakang rumah untuk bertanam sayur. Beberapa hari lalu, turun hujan. Kacang panjang dan timun cina memperlihatkan daunnya yang hijau. Juga labu yang menjalar subur musim kedua selepas berbuah beberapa minggu lalu.

Dapat berkumpul bersama anak-anak ada satu nikmat yang tidak terkira. Gembira melihat mereka menyiapkan kerja rumah yang diberikan guru masing-masing. Selepas berpeluang melihat beberapa filem mengenai bolasepak, mengenai pentingnya pendidikan, filem filem dokumentasi, filem filem terbaik Iran, Indonesia dan sebagainya. Sempat mendengar lagu-lagu puisi, Iwan Fals dan Ebiet G Ade.Sempat juga menonton filem filem P Ramle terutama siri Bujang Lapok, Seniman Bujang Lapok, Pendekar Bujang Lapok, Ali baba Bujang Lapok dan dokumentari mengenai kehidupan P Ramlee, suatu nama besar bukan saja di Malaysia malah meraih penghargaan di Pesta Filem Asia.

Babak mengenai pendekar Bujang Lapok menyanyi Maafkan Kami menarik minat anak-anak terutamanya Fawzan yang sering meyanyikan lagu itu.

Banyak manfaatnya kehadiran Covid-19 ini di kalangan masyarakat Melayu . Pertama mereka  dapat berkumpul bersama sama dan meraikan kebersamaan. Jika anak-anak ke sekolah, tentu suasananya jadi sepi. Peluang berkumpul bersama keluarga perlu disyukuri.

Namun bagaimanakah nasib orang-orang tidak punya pendapatan tetap, bergaji hari, miskin dan melarat, menderita dan sakit, kehabisan makanan , susu dan sebagainya, pastinya merekalah yang paling banyak terkesan akibat Covid-19 inu.

Bagaimana pula anak-anak yang tidak dapat meneruskan pembelajaran di rumah kerana tidak ada talian, atau tidak punya cukup data untuk berbuat demikan?

Memang ada pro dan kontra soal pelanjutan PKP ini hingga 28 April. paling terkesan ialah orang-orang tidak mempunyai pekerjaan dan pendapatan yang tetap,, miskin dan sebagainya. . Saya yakin mereka adalah golongan yang perlu dibantu.

Ya, terima kasih. Saya sengaja menuliskan catatan ini sambil menunggu isteri habis mengaji. Tinggal beberapa lembar lagi, khatam Quran, katanya. Mehran dan Fawzan juga mengaji. Farhan cuba menyiapkan kerja sekolah. Begitulah keadaannya. Selepas meneguk kopi, kaami harus berhenti di sini kerana hari dah jauh malam.