Saturday, May 30, 2020

DATU RAIMAN DATU KAUMAN, SUKA HIDUP BERSEDERHANA

DATU RAIMAN DATU KAUMAN, SUKA HIDUP BERSEDERHANA

BERSEDERHANA dalam hal tertentu, adalah prinsip adalah hidup Datu Raiman Haji Datu Kauman, mantan Pensyarah Cemerlang Institut Pendidikan Guru (IPG) Kent Tuaran. Sebagai seorang guru yang berpengalaman, pernah mengajar di sebuah sekolah terpencil, nun jauh di Pitas, sebuah daerah di utara Sabah,meniti langkah tangga demi tangga hingga akhirnya berjaya menjadi Pensyarah Cemerlang Pendidikan Awal Kanak-Kanak (Pra Sekolah) DG54 (2013/2018) sebelum bersara kira-kira dua tahun lalu.

DATU RAIMAN HAJI DATU KAUMAN dilahirkan di Kampung Kota Peladok, Kota Belud pada 20 November 1958. Anak kedua dari enam adik beradik ini mendapat pendidikan awal di SRK Timbang Dayang, Kota Belud dari darjah satu hingga enam, kemudian bersekolah menengah di SMK Pekan Kota Belud dari Tingkatan Satu hingga Lima. Kemudian beliau memasuki Maktab Perguruan Kent Tuaran pada tahun 1978-1980.Kemudian beliau ditempatkan di SRK Liu Pita dari tahun 1981 hingga 1985. Selepas itu, beliau bertukar ke SK Tandek, Kota Marudu dari tahun 1985 hingga 1989 kemudian dipindahkan  ke SK Teringai Darat dari tahun 1988/1989 sebagai Guru Besar, bertukar semula ke SK Tandek 1989/1993 sebagai  Penolong kanan HEM) dan kemudian bertukar ke SK Mangin, Kota Marudu  dari tahun 1993/1994 sebagai Guru Besar. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran di Universiti Putra Malaysia (UPM) hingga lulus Sarjana Sains Pentadbiran Pendidikan dari Universiti Putra Malaysia. Beliau sempat bertugas di SMK Taman Medan Petaling Jaya  dari tahun 1997-1999. Selepas itu  balik ke Sabah dan bertugas di SMK Tansau, Penampang  Tahun 2000. Dari SMK Tansau, beliau bertukar ke SMK Taman Tun Fuad, Kota Kinabalu (2000/2001).kemudian beliau menjadi pensyarah di IPG Kent dari tahun 2001 hingga bersara pada 2018.Beliau mendirikan rumah tangga dengan Baijura Normie Yundang dan dikurniakan cahaya mata iaitu Datu Mohd Jur Amizan, Datu Mohd Jur Awizan dan datu Muhammad Nur Anizam.



Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemuramah beliau melalui aplikasi whatsApp mengenai pengalaman beliau ketika bersekolah rendah hingga pengalaman pahit manis dalam kerjaya dalam bidang perguruan.Ikuti petikan temuramah berkenaan:



UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang datu?
DATU RAIMAN HAJI DATU KAUMAN: Saya lahir di Kg Kota Peladok, Kota Belud pada 20 November 1958.  Saya anak kedua daripada 6 orang adik beradik. Arwah ayah saya, Haji Datu Kauman Haji Datu Bendari pernah menjadi Wakil Ketua Anak Negeri dan Imam Kariah di Kampung Kota Peladok manakala ibu saya, Hajah Bai Saira binti Datu Anggol, seorang suri rumah.

UB: Di mana Datu mendapat pendidikan awal?
DATU RAIMAN: Saya mendapat pendidikan awal SRK. Timbang Dayang, Kota Belud. Darjah 1 hingga Darjah 6.

UB: Berapa jauh sekolah dari rumah? Naik apa ke sekolah?
DATU RAIMAN: Jarak rumah dengan sekolah kira-kira lima kilometer. Saya ke sekolah dengan berjalan kaki.

UB:  Jauh juga tu
DATU RAIMAN: Ya jalan kaki...boleh tahan juga jauhnya..

UB: Jam berapa bertolak dari rumah?
DATU RAIMAN: Dulu-dulu tiada jam, main agak-agak saja, Yang penting kami bergerak dari rumah awal pagu dan biasanya kami sampai sebelum loceng bunyi. Saya pun tidak ingat pukul berapa masuk kelas waktu itu.

UB: Jalan berseorangan atau berkumpulan? Siapa rakan rakan?
DATU RAIMAN: Kami berjalan kaki beramai-ramai. Saya ikut kakak saya. Bairah Lagi pun bila sudah kami menyeberang , ramai kawan kami dari Kampung Payas-Payas

UB: Menyeberang pakai rakit?
DATU RAIMAN: Ada jambatan gantung tapi kalau jambatan gantung rosak terpaksa pakai rakit juga.

UB: Masih ingat nama nama cikgu yang pernah mengajar Datu?
DATU RAIMAN: Antaranya Cikgu Ismail Datu Sidek, Cikgu Besar Bantah, (Cikgu Atoh Lahap, -mengajar Subjek Bahasa Inggeris), Cikgu Mansu, Cikgu Sinteh Japil, Cikgu Abd Majid (Guru Besar), Cikgu Soud Sipuk (Guru Besar juga ni) Yang lain saya lupa nama.
UB: Berapa bekal ke sekolah masa itu?
DATU RAIMAN: Waktu dengan kakak, kami bawa juga bekal (makanan) dari rumah. Bapa saya belikan saya tempat simpan air jadi saya bawa air dari rumah. Kalau duit tidak menentulah jumlahnya  tapi dulu kuih pisang tu murah saja. 5 sen pun boleh beli dan cukup sudah.
UB: Selepas tamat sekolah rendah, dimana Datu melanjutkan pelajaran?
DATU RAIMAN: Saya melanjutkan pelajaran di SMK Kota Belud ,yang  terletak berdekatan pekan.

UB: Siapa rakan rakan sekolah masa itu?
DATU RAIMAN: Rakan sekelas saya semasa Form Three antaranya; Abd Bakrin Mohd Yusof Suhaimi Hj Salleh, Sablan Naib, Dr Saijan, Abd Bakrin Yusof, Zainuddin Timbul, Dulsaif Zaman, Ramlan Mengah


UB:  Bapa kerja apa?  Siapa yang paling banyak bagi galakan dan dorongan? Masih ingat petua atau nasihat beliau yang paling berkesan di hati?
DATU RAIMAN: Bapa saya pernah bekerja di JKR Kota Belud tapi mcm tidak lama. Beliau sepenuh masa bekerja sebagai petani dan nelayan. Bapa saya tidak pernah bersekolah tapi beliaulah guru pertama saya ,mengenal ABC di rumah. Arwah begitu menitikberatkan pendidikan sebab itu dia ambil peduli pencapaian saya semasa di sekolah, begitu juga dengan arwah ibu saya. Nasihat beliau, suruh saya belajar sungguh-sungguh dan paling penting akhlak kena jaga.

UB: Sekolah di SMK Kota Belud sampai tingkatan berapa? Lepas tu sekolah dimana?
DATU RAIMAN: Saya bersekolah di SMK Kota Belud, dari Bridge Class hingga Form Five. Saya gagal MCE. Saya cuma lulus GCE sahaja. Selepas itu saya mengikuti kursus perguruan di Maktab Perguruan Kent, Tuaran selama 3 tahun (1978/1980).

UB: Ketika berkursus di Maktab, siapa antara  rakan guru pelatih dari Kota Belud? Masih ingat?
DATU RAIMAN:Antaranya Abd Bakrin Yusof, Cikgu Ridih Tangoh, Cikgu Rudah Sawang, Cikgu Akoh Satun, Cikgu Sigam Sawal.
UB:  Lepas dari maktab, dimana Datu ditempatkan? Bagaimaa jalan perhubungan masa itu?
DATU RAIMAN: Sekolah pertama saya SRK Liu, PitasSemasa itu tiada perhubungan melalui jalan darat ke SRK Liu. Saya naik bot dari Pekan Kudat masuk Kuala Malubang dan ikut sungai hingga ke Kampung Liu. Jika tiada bot ke Malubang/Liu, saya ikut bot ke kampung Telaga dan berjalan kaki ke Kg Liu lebih kurang 3 jam perjalanan dari Kampung Telaga.SRK Liu lepas itu tukar nama SK Liu tiada R sudah.
UB: Apa masyarakat di sana? Berapa lama bertugas di sana?
DATU RAIMAN: Kebanyakan penduduk di sana terdiri suku kaum Rungus. Saya bertugas di sana dari tahun 1981 hingga 1985.

UB: Selepas itu, pindah ke mana?
DATU RAIMAN:  Dari SRK Liu, Pitas saya bertukar ke SK Tandek, Kota Marudu dari tahun 1985 hingga 1989.
UB: Pindah ke mana selepas itu?
DATU RAIMAN: Saya  bertukar ke SK Teringai Darat dari tahun 1988/1989 sebagai Guru Besar, bertukar semula ke SK Tandek 1989/1993 sebagai  Penolong kanan HEM) dan kemudian bertukar ke
SK Mangin, Kota Marudu  dari tahun 1993/1994 sebagai Guru Besar.

UB:  Khabarnya datu belajar sendiri untuk lulus SPM dan STPM?
DATU RAIMAN: Semasa tahun pertama di Maktab Kent, saya ambil  SPM calon persendirian (1978). Selepas menjadi guru, saya ambil STPM calon persendirian sebanyak beberapa kali hingga lulus penuh 1987.

UB:  Bagaimana pula ceritanya datu pindah jadi pensyarah?
DATU RAIMAN: Pada Tahun 1994 Saya dapat Biasiswa Separuh Gaji melanjutkan pelajaran di Universiti Pertanian Malaysia. Selepas tamat ijazah sarjana muda, saya terus mengikuti secara separuh masa hingga lulus Sarjana Sains Pentadbiran Pendidikan dari Universiti Putra Malaysia.

UB: Maknanya lulus selepas ijazah sarjana muda (BA) Datu terus kuliah ijazah MA?
DATU RAIMAN: Tidak. Selepas tamat degree saya bertugas di SMK Taman Medan Petaling Jaya. Pada masa yang sama saya ambil Master (part time tanpa biasiswa). Saya bertugas di situ 1997 hingga 1999. Selepas itu baru saya memohon pindah balik ke Sabah dan bertugas di SMK Tansau, Penampang  Tahun 2000. Dari SMK Tansau saya bertukar ke SMK Taman Tun Fuad, Kota Kinabalu (2000/2001). Selepas itu barulah saya memohon jadi pensyarah (2001 hingga bersara)


Punch Out Terakhir sebagai penjawat awam pada 19 November 2018

UB: Mungkin ada pengalaman pahit manis yang boleh dikongsikan sewaktu bertugas sebagai guru?
DATU RAIMAN: Pada saya antara yang paling manis untuk dikenang sebagai guru ialah melihat kejayaan anak-anak murid sama ada dalam bidang pendidikan, kerjaya atau kehidupan mereka. Dan tentunya mendidik anak bangsa agar menjadi insan yang seimbang itu menjadi matlamat utama seorang guru.Pengalaman pahit pun ada juga tetapi kurang sesuai untuk dikongsikan di sini kerana ia berkait rapat dengan sistem, perkhidmatan dan pentadbiran.


UB: Sewaktu kecil dulu, apa cita cita datu?
DATU RAIMAN: Sewaktu kecil dulu cita-cita saya hanya belajar sampai yang termampu khususnya masuk universiti, tidak pula terfikir tentang kerjaya.

UB: Apa prinsip datu dalam kehidupan?
DATU RAIMAN: Prinsip saya Bersederhana Dalam Hal-hal Tertentu.
UB: Pernahkah datu terlibat dalam mana mana jenis sukan?
DATU RAIMAN: Saya pernah mewakili Pasukan Bola Sepak Maktab Kent ke kejohanan Pestarama di Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim, Johor Baharu. Selain itu, saya juga pernah mewakili Pasukan Sepak Takraw Negeri Sabah ke PSKPPM di Ipoh pada tahun 1981

UB: Bila datu bersara? Apa jawatan terakhir sebelum bersara?

DATU RAIMAN: Saya bersara wajib pada 20 November 2018.Pensyarah Cemerlang Pendidikan Awal kanak-kanak (Prasekolah) DG54 ( 2013/2018)


Bersama pelatih Kent dan pensyarah JPIP majlis persaraan anjuran Pelatih Pendidikan khas.



Bersama Pengarah… Pensyarah Jabatan Pengajian Ilmu Pendidikan  bersama pengarah dan timbalan pengarah


Motif yang ada pada baju batik ini hasil karya arwah bapa saya




UB:  Mungkin boleh juga diiberitahu jika ada pingat atau anugerah sepanjang perkhidmatan?
DATU RAIMAN: Anugerah perkhidmatan Cemerlang 1992, 2001, 2006. Pingat kebesaran Negeri Sabah - Ahli Darjah Kinabalu (ADK) 2012.

UB: Selain sebagai seorang guru, datu juga banyak menulis mengenai masyarakat iranun, bagaimana timbul minat datu terhadap budaya ?
DATU RAIMAN: Saya membesar dengan persekitaran yang kuat berpegang pada budaya. Arwah ayah banyak mempengaruhi persekitaran saya. Semasa "ebpligis" di tengah sawah dia selalu mendendangkan lagu-algu syair, bermaulud, berzanji, berunsai, dan secara tidak langsung menyerap dalam jiwa saya. Arwah ibu saya pula suka berunsai. Apabila ada majlis berunsai, saya dibawa bersama ke majlis itu.


UB:  Datu pernah tulis ' untuk apa aku berdagang". Saya pernah baca dulu ketika buat carian di internet, entah di tesis atau dalam penulisan datu , saya tidak ingat. Saya tertarik dengan kata kata Datu. Boleh ulas sedikit?
DATU RAIMAN: Sewaktu ambil degree, saya berpaksikan kepada prinsip "Untuk Apa Saya Datang". Dengan itu saya lebih fokus utk belajar bersungguh-sungguh selepas saya korbankan jawatan Guru Besar, kemudian tinggalkan anak isteri di kampung berkelana pula di Semenanjung, maka tidak berbaloi jika saya tamat sekadar lulus biasa sahaja. Apabila saya maklumkan kepada bapa saya yang saya mahu sambung selepas tamat degree, arwah dengan sepenuh hati merestui niat saya itu, lalu saya pun terfikir "Untuk Apa saya Berdagang". Ibu bapa, anak isteri sudah berkorban untuk saya, jadinya saya perlu membalas jasa baik keluarga saya dengan memastikan saya boleh habiskan pengajian saya tidak sampai 2 tahun (4 semester walaupun pengajian dalam bentuk part time sahaja).

UB: Mungkin ada lagi yang perlu ditambah?
DATU RAIMAN: Saya terjumpa sebuah sajak saya bertajuk Mambai. Mungkin boleh disertakan.

MAMBAI)
( Khas untuk sahabat ketika  susah dan senang, anda kalian tetap ku kenang)
Tiga dekad tujuh musim sepuluh purnama,
Mambai  itu didakap anak-anak prasekolah,   
Mambai  itu dibaca anak-anak sekolah rendah
Mambai itu ditelaah anak-anak sekolah menengah
Mambai itu dirujuk anak-anak bergelar mahasiswa
baik yang tinggal di ceruk desa di Kudat, Pitas, Kota Marudu nun di utara
Hatta  yang tinggal di pinggir kota, Penampang, Tuaran, Kota Kinabalu jua di kota metropolitan  Petaling Jaya

maka kenallah mereka apa itu a b c
maka mahirlah mereka membilang one two three
maka lancarlah lidah mereka  membunyikan alif baa ta saa
ramai  yang berjaya memahat nama di puncak menara

Mambai ditatang dan disanjung
jadi rujukan dan panduan para pengunjung
tempatnya pun istimewa,  singgahsananya  di atas para,
kerana pantang larang semenjak dahulu kala,
wadah warisan manusia berbudaya
Mambai tak boleh dilangkah
Mambai perlu dijaga
Jika mambai dibiar dilangkah disimpan merata
dipercayai ini akan membawa  padah
tiada keberkatan dalam beribadah

Para ilmuan pun mengiktiraf
mambai itu  adalah kitab
petunjuk jalan menuju kiblat
agar hidup sempurna dunia akhirat.

Tatkala mentari di ufuk senja
Nasib mambai jua turut berubah
Mambai dijaruk terperosok di balik pintu
kulit yang dulu putih bersih gebu, kini diselimuti debu
usah akan dibaca,
sedang menyentuhnya  pun hati terkunci berat sungguh
meskipun setiap  aksara yang terpahat pada setiap lembar muka surat, masih jelas,
sedang ilmu kalamnya  pun masih bernas
mambai sebenarnya masih mampu menggalas
kerana mambai tidak pernah culas
dalam memikul amanah di hujung nafas

Kini mambai tersadai berselerak di atas lantai,
gagal menahan amukan badai digital,
anak-anak pula memalingkan muka, mambai dilupa
generasi kini lebih kenal teknolgi tanpa jiwa
Mambai sendirian menunggu malam yang menjemputnya pulang
Mambai pergi memahat kenangan

Datu Raiman Datu kauman
Kg. Kota Peladok,
Kota Belud

UB: Terima kasih banyak Datu.
DATU RAIMAN: Terima kasih kembali

No comments: