Jumaat, 1 Mei 2020

DPBS DAN FMM INTAI PELUANG EKONOMI DI BALIKPAPAN

Tags

DPBS DAN FMM INTAI PELUANG EKONOMI DI BALIKPAPAN

Penerbangan dari Tarakan ke Balikpapan mengambil masa kira-kira sejam. Ia tidak menjadi masalah bagi rombongan 24 usahawan dan ahli perniagaan dari Sabah untuk meneruskan perjalanan ke Kalimantan Timur (Kaltim) selepas tiga hari berada di Kalimantan Utara (Kaltara). Rombongan Dewan Perniagaan Bumiputera Sabah (DPBS) dan Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) berada di Indonesia untuk menjayakan “Business Matching” pada 17 hingga 22 Februari lepas.

Program itu difasilitasi oleh Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Kota Kinabalu untuk meningkatkan hubungan ekonomi antara negeri Sabah dan Indonesia dalam bidang perdagangan, pelaburan dan pelancongan.

“Business Matching diadakan sebagai langkah awal untuk menjalin hubungan antara usahawan dan peniaga di kedua wilayah yang berdekatan secara geografi. Banyak peluang yang boleh diperolehi dalam meningkatkan pertumbuhan ekonomi yang pasti menguntungkan kedua-dua pihak,” kata Konsul Fungsi Ekonomi II KJRI Kota Kinabalu, Sartono Hendrarso.

Sebaik tiba di Bandar Udara Sepinggan, rombongan terus dibawa berkunjung ke Dekranasda (Dewan Kerajinan Nasional Daerah) Balikpapan. Dekranasda adalah organisasi yang menghimpunkan dan memayungi produk kraftangan dan kelompok industri kecil sederhana (IKS) atau dikenali sebagai usaha kecil menengah (UKM) di Indonesia.

Banyak barangan menarik yang dipamerkan dan dijual di sana. Tetapi lebih ramai yang tertarik batik corak Balikpapan. Batik Balikpapan memiliki ciri khas yang tersendiri, berbeza dengan batik cirebon, batik lasem, batik solo atau batik pekalongan. Batik Balikpapan, seperti batik Kalimantan yang lain, tidak terlepas dari budaya setempat yang berkaitan dengan alam, flora dan fauna hingga kehidupan masyarakatnya.

Kemudian rombongan bergerak menuju ke Cafe Salakilo. Kek Salakilo, pertama dan satu-satunya di Indonesia, diperkenalkan oleh Riswahyuni, puteri Balikpapan sendiri. Citarasa kek yang pernah memenangi pelbagai anugerah. Tapi apa itu Salakilo?

Kek salakilo dibuat dari buah salak.Mungkin semua orang mengenal buah salak atau salacca edulis. Buah salak adalah buah-buahan tropika yang  memiliki rasa yang manis.Kek salakilo adalah paduan rasa yang lembut kek yang legit dengan cincangan buah salak segar yang menimbulkan rasa manis dan segar di dalamnya. Ada perisa original, coklat, keju dan almond, berkhasiat untuk kesihatan, mencegah barah, melancarkan peredran darah, baik untuk pencernaan dan membantu proses diet.

Riswahyuni mendapat bekalan buah salak dari petani buah salak di Kilometer 21. Melalui usahanya, petani-petani Salak dapat meningkatkan taraf hidup mereka dengan memanfaatkan keseluruhan buah salak, yang diolah dari buah hingga kulitnya, dan dijadikan pelbagai produk berasaskan salak.

Selepas itu, delegasi check in di Hotel Novotel dan seterusnya  pada sebelah malam, menghadiri jamuan makan yang dihoskan KJRI Kota Kinabalu di Dandito Resto, yang terkenal dengan sos kepiting atau ketam.

Hari kedua di Balikpapan yang terkenal sebagai kota minyak dan gas, diisi dengan program Business Matching yang mempertemukan DPBS dan FMM dengan Kamar Dagang dan Industri (KADIN) dan Himpunan Pengusaha Muda Indonesia (HIPMI) di Balikpapan. Kehadiran ahli perniagaan dari seluruh Kalimantan Timur amat memberangsangkan.

Rancangan pemindahan ibu negeri atau IKN (Ibu Kota Negara) dari Jakarta ke Kalimantan Timur menarik perhatian ahli perniagaan dan usahawan dari Sabah untuk meneroka potensi kerjasama dalam bidang ekonomi dan perdagangan.

Sebagai sebuah negeri yang terletak berdekatan dalam satu pulau yang sama, usahawan dan peniaga dari Sabah berasa  betapa pentingnya mengambil peluang ekonomi jika tidak mahu ketinggalan.

“Sudah ada beberapa pengusaha yang ingin melabur di Balikpapan dan sekitarnya.Pasaran dan perdagangannya sudah ada,mungkin volumenya belum besar.Kita akan berusaha terus untuk meningkatkannya,” kata Sartono.

Ketua Kadin Kaltim Dayang Donna Awang Faroek menyambut baik kunjungan usahawan dan peniaga dari Sabah untuk mengadakan kegiatan`B to B’ di Balikpapan.

Tetapi beliau memberitahu, peluang investasi atau pelaburan bukan hanya di Balikpapan tetapi di seluruh Kalimantan Timur.

“Kaltim kan luas.Peluang investasi bukan hanya di Balikpapan saja,” katanya sambil mengajak pelabur juga untuk ke Samarinda dan kota-kota lain. Ekonomi tidak hanya di Balikpapan tetapi kota kota lain supaya pembangunan merata.

“Investasi untuk pembangunan ibu kota negara sangat diharapkan dari mereka yang berkecimpung dalam bidang infrastruktur,” katanya sambil menambah pembangunan perlu dipercepatkan untuk menunjang pembangunan ibu kota negara Indonesia di Penajam.

Peluang ini perlu dimanfaatkan untuk mencari peluang baru dan mencari rakan niaga untuk melabur dalam pelbagai sektor ekonomi dan perdagangan di Balikpapan, kata Ketua Delegasi FMM, James Ha.”Sebagaimana yang kita sedia maklum, Ibu Kota Indonesia akan berpindah ke Kalimantan Timur.Kita tidak mahu ketinggalan”, katanya

“Kita mengharapkan agar pertemuan ini bukan hanya setakat di sini tapi kita harap ia dapat menjalin kerjasama ekonomi yang lebih mantap,” kata Ketua Delegasi DPBS, Haji Mohammad Ampuan Buntar.

Beliau berkata, program `business matching’ yang diatur oleh KJRI KK itu adalah amat baik dan membantu usahawan dan peniaga dari Sabah untuk mencari peluang  niaga di Kaltim.

Sementara itu,  Staf Ahli  Walikota Balipapan Bidang Perekonomian dan Pembangunan Sumber Daya Manusia, Haji Jumali berkata dengan adanya program seperti ini, ia memberi jalan dan memudahkan investor untuk mengadakan kolaborasi dengan rakan mereka di Balikpapan.

Balikpapan dilengkapi dengan berbagai infrastruktur untuk mendukung kegiatan bisnes, katanya dan mengalu-alukan kedatangan delegasi dari Sabah.

Ketua Kadin Balikpapan H Yaser Arafat pula menjelaskan mengenai peranan dan fungsi  Kadin Balikpapan dalam membangun ekonomi balikpapan, supaya sihat, kuat dan berkesinambungan. Selain itu, beliau juga menjawab pertanyaan yang dikemukakan peserta berkaitan dengan prospek ekonomi dan perdagangan kalimantan.

Pertemuan B to B ini amat baik untuk mencari ruang dan peluang bertukar pengalaman, kata salah seorang delegasi FMM, Azhari Osman. Beliau menyifatkan Kalimantan memiliki potensi yang sangat besar dan menyediakan iklim pelaburan yang baik untuk usahawan dan peniaga dari Sabah.

Sesungguhnya, program `business matching’ usahawan dan peniaga dari Sabah ke Tarakan dan Balikpapan baru-baru mampu menjalin kerjasama ekonomi dalam pelbagai sektor perdagangan, pelaburan dan pelancongan antara Sabah dan Kalimantan, Indonesia.