Jumaat, 1 Mei 2020

KECANTIKAN SATU KEPERLUAN, KATA PENGASAS NUVIS, ANI MOHD RIDZUAN

Tags

KECANTIKAN SATU KEPERLUAN, KATA PENGASAS NUVIS, ANI MOHD RIDZUAN
SEJAK ditubuhkan kira-kira 23 tahun yang lalu, Institut Kecantikan Nuvis Sabah(IKNS) melahirkan lebih 2,000 pelatih, majoritinya dari golongan miskin tegar atau B40 seperti ibu tunggal, belia, lepasan sekolah, siswazah menganggur dan mereka yang mendaftar di bawah program e-kasih.
“Bidang kecantikan adalah salah satu keperluan hidup selain makanan dan pakaian,” kata Ani Mohd Ridzuan, pengasas IKNS. Kecantikan adalah anugerah Tuhan yang amat besar. Semua orang mahu dilihat cantik kerana sudah menjadi lumrah dunia, manusia lebih tertarik kepada kecantikan. Mempercantikkan diri adalah naluri semesta. Setiap tahun pasaran industri kecantikan negara semakin meningkat, kerana bidang kecantikan adalah satu keperluan.
Ani Mohd Ridzuan lahir di Kota Kinabalu pada 9 Jun 1972. Anak pertama daripada empat adik beradik daripada pasangan Mohd Ridzuan Chua dan Saonah Mat Said. Ani mendapat pendidikan awal  dalam darjah satu hingga darjah enam pada 1979 hingga 1984 di SRK Tanjung Aru Kota Kinabalu kemudian melanjutkan pelajaran di KK High School pada 1985 hingga 1989. Pada 1990, beliau memasuki Universiti Teknologi Mara (UiTM)  hingga lulus Diploma dalam bidang Sains Kesetiausahaan. Ani mula bekerja di Labuan Development Authority (LDA) pada 1993. Kemudian beliau bekerja di Saham Sabah Berhad pada 1994 hingga 1996. Beliau mengambil keputusan untuk menceburi bidang keusahawanan dan menubuhkan Institut Kecantikan Nuvis Sabah (IKNS).
Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemubual ANI MOHD RIDZUAN di pejabatnya di Unit 6, Tingkat 7, Blok H, Aeropod Commercial Square, di Jalan Kepayan di sini baru-baru ini. Ikuti petikan temubual bersama beliau mengenai IKNS dan potensi dalam industri kecantikan dan sebagainya.
UTUSAN BORNEO: Bolehkah puan ceritakan sedikit mengenai Institut Kecantikan Nuvis Sabah?
ANI MOHD RIDZUAN: Institut Kecantikan Nuvis Sabah (IKNS) atau lebih dikenali sebagai Nuvis ditubuhkan pada 24 Disember 1996. Sejak ditubuhkan kira-kira 23 tahun lalu, kami memperolehi pentauliahan daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) pada 2002 hingga kini. Di Nuvis kami mengajar kemahiran, memberikan latihan dan bimbingan sehinggalah mereka tamat latihan dan memperolehi pekerjaan dan membuka bidang keusahawanan masing-masing.
Kami  menyediakan tenaga pengajar yang mesra, berpengalaman dan mahir dalam bidang kecantikan disamping korikulum pembelajaran yang standard yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Pembangunan Kemahiran. Selain itu,NUVIS juga menyediakan prasarana, kemudahan, peralatan yang moden dan terkini agar pelajar dapat belajar dengan lebih kompeten sesuai dengan perubahan teknologi yang pesat
Sebuah institusi pengajian yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia, kami juga  menyediakan kursus pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) untuk pelajar, sesuai dengan standard pekerjaan yang diiktiraf, dengan penekanan kepada komponen praktikal, kemahiran psikomotor dan pendedahan kepada latihan di industri.
UB: Apa bidang atau kursus di IKNS  yang mendapat pentauliahan dari JPK?
ANI: Antaranya bidang hairdressing (dandanan rambut), estetik, make up artistry (solekan), barber (tukang gunting), refleksologi dan fotografi yang menawarkan persijilan kemahiran Malaysia untuk tahap dua dan tiga.
UB: Setakat ini, berapa jumlah orang yang sudah mendapat latihan di Nuvis sejak ditubuhkan?
ANI: Nuvis berjaya melahirkan lebih 2,000 pelatih, kebanyakannya  dari golongan miskin tegar atau B40 seperti ibu tunggal, belia, lepasan sekolah dan siswazah menganggur.
UB: Selepas tamat latihan di Nuvis, dimana mereka bekerja?
ANI: Pelatih-pelatih keluaran Nuvis bekerja di beberapa tempat. Ada yang bekerja di Semenanjung seperti di Johor, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur. Malah ada juga yang bekerja  di luar negara , di Australia seperti di Sydney dan Melbourne, ada yang bekerja di Indonesia, di Jepun dan sebagainya. Paling membanggakan kerana ramai yang menjadi usahawan dan berjaya membuka premis perniagaan masing-masing.
UB: Mungkin puan boleh sebutkan antara usahawan Nuvis yang berjaya?
ANI: Antaranya seperti Mary Jim dari Sweep Academy, Azu Beauty Academy, D Pretty Academy dan ramai lagi yang membuka premis atau menjadi mobilepreneur. Nuvis juga adalah master franchisor untuk francaisinya iaitu Nuvis Sabah Hair and Beauty Salon di Semporna, Keningau, Kota Marudu dan Beaufort.
UB: Mungkin puan boleh ulas sedikit mengenai perkembangan industri kecantikan di negara ini?
ANI: Menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi & Kepenggunaan, Industri Kecantikan di Malaysia berkembang maju selari dengan perkembangan  di peringkat global. Secara amnya, pihak industri menjalankan peranan sebagai penyedia produk dan perkhidmatan secara profesional. Rakyat Malaysia juga sentiasa berhati-hati dalam pembelian produk kecantikan dan memperolehi perkhidmatan. Menurut data yang ada, secara amnya, syarikat dan rakyat Malaysia berbelanja kira-kira RM1.6 bilion setahun bagi tujuan rawatan dan produk kecantikan.
UB: Bagaimana pula dengan usahawan kosmetik kita? Boleh komen sikit?
ANI: Di Sabah, kita memiliki banyak usahawan kosmetik yang mampu mengeluarkan produk kecantikan tempatan serta mampu milik. Namun kita masih memerlukan tenaga-tenaga mahir yang bertauliah untuk menggunakan seterusnya memasarkan produk-produk ini.
Kita sangat menghargai dan memuji usaha berterusan dari pihak JPK untuk memartabatkan persijilan kemahiran untuk menjadikan kursus pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) sebagai pilihan dalam pendidikan negara. Ini telah meningkatkan kesedaran yang sangat tinggi  khususnya di kalangan belia dimana kini ramai yang sudah tahu kepentingan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) sebagai salah satu yang perlu dimiliki untuk memperbaiki kualiti hidup demi mengejar cita-cita mereka.
UB: Apakah ini mendapat penekanan di Nuvis?
ANI:  Di Nuvis, kita sering menekankan kepada pelatih mengenai hala tuju, atau laluan kerjaya yang perlu mereka ketahui dalam bidang TVET ini. Tidak dinafikan bahawa bidang kecantikan ini adalah salah satu keperluan dalam hidup selain makanan dan pakaian. Namun persoalannya, adakah dengan sekadar menjadi terapis, tukang gunting, juru urut, mak andam maka kerjaya  mereka setakat itu sahaja? Ternyata tidak. Dengan memiliki SKM, mereka boleh menjadi tenaga pengajar di mana-mana agensi kerajaan atau pusat latihan yang juga menawarkan SKM. Malah JPA juga telah menyenaraikan beberapa bidang kemahiran yang dijadikan kriteria memohon pekerjaan dalam sektor kerajaan, antaranya pegawai latihan vokasional, juru foto dan make up artistry. Malah baru-baru ini, kami dimaklumkan bahawa MQA akan berkolaborasi JPK untuk menawarkan persijilan ini ke peringkat universiti.
Cuba bayangkan jika ada di antara belia kita yang mungkin  tercicir persekolahan tapi masih ada peluang untuk ke peringkat yang lebih tinggi. Selain itu mereka ini juga boleh didaftarkan dalam direktori pakar industri negara dimana masa ini mereka akan bersama-sama membangunkan industri TVET ini dengan lebih profesional. Nuvis juga  komited menyahut seruan kerajaan untuk melahirkan modal insan yang berkemahiran tinggi.
UB: Menarik sekali. Teruskan.
ANI: Bidang kecantikan dan kosmetik ini tidak dapat lari dari arus pembangunan teknologi yang semakin pesat dalam era IR4.0.Mesin rawatan semaakin canggih malah pengeluaran produk juga semakin pelbagai dimana banyak rawatan perkhidmatan baharu yang berinovasi tercipta dari kesedaran dan permintaan yang tinggi di seluruh dunia.Penggunaan teknologi digital juga menaikkan lagi bidang kecantikan hingga mendapat sambutan yang memuaskan termasuk perkhidmatan serta produk tempatan kita. Boleh dikatakan bahawa Industri kecantikan di Malaysia kini berkembang maju selari dengan perkembangan global.
UB: Penerangan mengenai kepentingan SKM itu agak menarik. Bagaimana belia dapat memilikinya. Mungkin boleh dijelaskan?
ANI: Untuk memiliki SKM selain daripada peserta masuk kelas dan belajar secara sepenuh masa. Peserta juga boleh mengikuti program melalui konsep Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) perantisan dan kerja sambil belajar.
Tetapi paling baik adalah melalui kaedah PPT iaitu Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu dimana JPK boleh mentauliahkan berdasarkan kelayakan dan pengalaman. Ada dua cara dalam PPT iaitu melalui pembangunan potfolio selama dua bulan ataupun amali selama 1 hari sudah melayakkan mereka dianugerahkan SKM jika terampil. Selain jangka daripada program jangka panjang, SKM ini  dan program jangka pendek ini menarik minat belia menceburkan diri dalam dunia TVET, program kemahiran keusahawanan atau asas keusahawanan adalah satu program ataupun modul yang wajib diterapkan dalam silibus pembelajaran agar mereka bersedia untuk keluar sebagai usahawan. Kerajaan juga sangat memartabatkan TVET, dalam belanjawan baru-baru ini TVET  adalah satu prioriti dalam membentuk modal insan berkemahiran
UB: Bagaimana sambutan belia terhadap kursus yang dianjurkan oleh NUVIS?
ANI: Nuvis kini mempunyai lebih 1,500 orang yang berminat  untuk mengikuti kursus kursus kemahiran daari seluruh pelusuk Sabah. Data ini kami perolehi dari pendaftaran melalui online di laman web kami NuvisSabah.Com. Ramai belia dari seluruh Sabah yang berlumba lumba bertanya mengenai kursus yang dijalankan.
Selain itu, kami juga menawarkan kursus yang memberi servis yang menjadi trend masa kini contohnya Sulam Bedak dan Eyelash Extension.
UB: Tentu banyak peluang yang boleh diperolehi melalui kursus yang dijalankan di Nuvis?
ANI: Banyak sekali. Malah ada pelatih Ekasih yang belum pun sebulan habis berkursus, sudah mendapat tempahan bernilai RM600 dan masih sibuk untuk memenuhi permintaan sempena cuti sekolah.
Selain melahirkan tenaga mahir,Nuvis juga menggalakkan lepasan pelatih untuk menjadi seorang usahawan sama ada usahawan perkhidmatan mahupun usahawan produk kecantikan dan kosmetik.
Kursus Jangka pendek ini mampu membangkitkan semangat mereka untuk melihat peluang dan ruang bagi mereka menaik taraf pendidikan ke peringkat persijilan yang lebih tinggi.
UB: Oh ya. Mungkin ada juga yang ingin tahu mengenai BEE atau Borneo Entrepreneurship Ecosystem yang puan asaskan. Boleh berikan maklumat ringkas?
ANI: BEE dilancarkan pada 28 Februari 2019  oleh YB Azhar Datuk Haji Matussin Pembantu Menteri Kementerian Perdagangan & Industri Sabah dengan kerjasama dari pelbagai pihak.Bee berfungsi sebagai way forward kepada usahawan yang sentiasa mencari peluang dan ruang dalam mengembangkan perniagaan mereka.
Objektif BEE  adalah sebagai platform kepada usahawan kita khususnya usahawan Nano dan Mikro yang sentiasa mencari peluang dan ruang dalam mengembangkan perniagaan mereka dan menyediakan mekanisme  untuk menguasai dunia teknologi, cemerlang dalam menghadapi persaingan yang sihat dan mampu berkolaborasi dengan pelbagai pihak untuk mencapai kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan sosial
UB: Apa harapan terhadap belia di Sabah?
ANI: Saya berharap belia berani keluar dari zon selesa untuk menerokai bidang-bidang keusahawanan  yang sangat banyak . Saya yakin golongan belia di Sabah mampu menceburi pelbagai bidang termasuk industri kecantikan yang menawarkan peluang yang luas.
UB: Terima kasih banyak atas masa dan ruang yang diberikan untuk ruangan sesi sembang sabtu ini.
ANI: Terima kasih banyak.Semoga lebih banyak belia Sabah menceburi bidang kecantikan.