Friday, May 1, 2020

KUNJUNGAN SINGKAT KE SERIA DAN BANDAR SERI BEGAWAN

KUNJUNGAN SINGKAT KE SERIA DAN BANDAR SERI BEGAWAN
-transit dalam perjalanan dari Jakarta ke Kota Kinabalu

Ketika sinar matahari turun ke nusantara pada 7 Disember lepas, kami masih berada di ruang udara pulau Jawa dalam penerbangan menuju Bandar Seri Begawan.Pesawat BI0738 Royal Brunei berangkat dari Bandara Soekarno Hatta jam 6.15 dan tiba di Negara Brunei Darussalam pada jam 9.35 pagi.

Saya sempat mengambil beberapa naskhah suratkhabar sebaik masuk perut Boeing. Sekurang-kurangnya ada sesuatu yang boleh dibaca jika tidak dapat melelapkan mata. Sebenarnya agak lelah juga dan mengantuk tetapi sebelum check in, kami sempat bersarapan.

Halaman depan The Jakarta Post memilih berita mengenai karangan bunga yang dihantar kepada Menteri BUMN Erick Thohir kerana memberhentikan bos Garuda, Ari Ashkara kerana menyeludup Harley-Davidson.

Borneo Bulletin di muka depannya memaparkan gambar Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di Pertuan Negara Brunei Darussalam menyampaikan hadiah kepada johan Qariah Tilawah Al-Quran Belia Peringkat Asia Tenggara kali ke-9, Dayangku Siti Ummi Syazana binti Pengiran Haji Marjuki. Qari dari Filipina, Kamaruddin G Zaidon terpilih sebagai johan Qari. Seramai 164 qari dan qariah mengambi bahagian dalam pertandingan itu sejak diadakan pada 2000. Tahun ini  11 qari dan 11 qariah dari seluruh negara Asean termasuk Timor Leste mengambil bahagian dalam pertandingan itu.

Jadikan Al-Quran cahaya yang menerangi kegelapan, titah Sultan menasihatkan kepada belia agar menjadikan al-Quran sebagai panduan ke arah kebenaran.
Satu lagi berita menarik ialah mengenai seorang penganggur didenda sebanyak BND1.8 juta kerana menyeludup rokok sebanyak 2,192 kartun. Jika gagal membayar denda, pesalah itu boleh dipenjara tiga tahun.

Akhbar Kompas memilih gambar pelari Indonesia Agus Prayogo mengibarkan bendera Merah Putih selepas memenangi acara marathon sukan SEA 2019 yang ketika itu berlangsung di Stadium Olahraga New Clark City, Clark Filipina.

Selepas menikmati hidangan bersama isteri yang duduk di sebelah, saya kurang pasti dimana saatnya terlelap dan hanya tersedar ketika pesawat mendarat.

Kami mengambil masa untuk mengisi borang imigresen sementara yang lain mengambil kesemoatan ke tandas. Penumpang agak ramai, dan kebanyakannya dari India atau Nepal.

Sebaik keluar kami sudah ditunggu oleh wakil dari persatuan Angkatan Sasterawan dan Sasterawani Brunei  (Asterawani). Kami menunggu sebentar Ustaz Firdaus Haji Mohd Noordin yang datang menyambut di sebalik kesibukannya. Sementara itu, kebanyakan AJK Asterawani sedang bercuti di luar negara. Mereka sudah terlebih dahulu meminta maaf kerana tidak dapat bersama hadir meraikan kami

Destinasi seterusnya ialah Seria, sebuah bandar yang terletak di timur laut Brunei. Seria terkenal kerana industri minyak dan gasnya yang mula ditemui pada 1929.

Sebelum meneruskan perjalanan,  kami singgah sarapan di Restoran dan sajian Amanah Haris ‘Dapur Malaysia .Kami tidak menyangka restoran dengan menu Malaysia itu mendapat sambutan di Brunei.

Tidak lama kemudian, kami bertolak ke Seria. Di sana, kami sudah ditunggu oleh Koperasi Perniagaan & Perusahaan Melayu Seria Berhad, sebuah koperasi yang memiliki sejarah panjang dan berjaya. Ditubuhkan pada tahun 1966, Koperasi ini adalah satu satunya milik Melayu yang masih utuh dan menjalankan pelbagai perniagaan seperti hotel minyak dan sebagainya.

Paling menarik ialah pertemuan dengan Haji Bujang Haji Noor, salah seorang pimpinan di koperasi itu, yang juga seorang penulis dan seorang AJK Asterawani. Layanan mereka amat baik sekali. Ada sesi soal jawab. Mereka ingin tahu mengenai Ikatan Penulis Sabah dan demikian pula kami ingin tahu mengenai perjalanan koperasi itu.Selepas sesi ramah tamah dan jamuan makan, kami minta izin untuk bergerak ke Bandar Seri Begawan.bergegas pula ke Bandar Seri Begawan. Kami terus ke Restoran Nasta’een  di kawasan komersial Kiulap.

Alhamdulillah, Rombongan Kembara Sastera IPS diraikan oleh YB Pehin Orang Kaya Putera Maharaja Dato Paduka Awang Haji Ghani Pehin bin Datu Pekerma Dewa Dato Paduka Hj Abd Rahim, Ahli Mesyuarat Negara Brunei Darussalam bersama isterinya Datin Hajah Jaliha binti Haji Bujang.Beliau ditemani YB Pehin Orang Kaya Pendikar Alam Awang Haji Hasrin bin Dato Paduka Haji Sabtu, juga Ahli Mesyuarat Negara Brunei Darussalam.

Turut hadir penulis Sosonjan A Khan, penulis prolifik berasal dari Sabah tetapi  sudah lama bermastautin di Brunei, Dr Hajah Fatmah, Cikgu Rozie, Cikgu Noralifah dan beberapa yang lain.

Makanan yang disajikan amat menyelerakan. Khas untuk IPS, YB Pehin memesan daging burung puyuh. Dalam majlis singkat itu, turut diadakan majlis baca puisi. Beberapa penyair sempat membaca puisi masing-masing. Cikgu Ramli AR, Ketua Dua IPS, Awang Abdul Muizz Awang Marusin sempat membaca puisi, Cikgu Norawi Haji Kata, Cikgu Norawi Haji Kata dengan puisi Sebutir Bintang Yang Gugur.

Kesudian YB Pehin yang lebih mesra dipanggil ayahanda pehin meraikan dan mnyambut kami dalam lawatan singkat ke Brunei amatlah kami hargai. Jadi kenangan sepanjang hayat.

Majlis berakhir sebaik baik Azan Maghrib dan kami berangkat ke Lapangan Terbang Brunei sambil menunggu penerbangan Royal Brunei BI0829 ke Kota Kinabalu yang berangkat jam 12.30 malam.

No comments: