Friday, May 1, 2020

MISI KUNJUNGAN NIAGA KE TARAKAN, KALTARA BERJAYA

MISI KUNJUNGAN NIAGA KE TARAKAN, KALTARA BERJAYA

Oleh ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN

BUMI PAGUNTAKA, nama lain bagi Tarakan, sebuah kota paling terkemuka di Kalimantan Utara (Kaltara), menerima kunjungan seramai 24 usahawan dan ahli perniagaan dari Sabah, Malaysia pada 17 hingga 19  Februari lepas.

Rombongan yang sedang dalam misi niaga ke Kalimantan Utara dan Kalimantan Timur itu dianggotai oleh usahawan dan ahli perniagaan dari Dewan Perniagaan Bumiputera Sabah (DPBS) dan Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) Sabah.

Delegasi DPBS diketuai oleh Haji Muhamad Awang Buntar manakala delegasi FMM Sabah diketuai oleh James Ha.

Kunjungan mereka ke Kalimantan Utara dan Kalimantan Timur difasilitasi  oleh Konsulat Jenderal Republik Indonesia Kota Kinabalu (KJRI) diketuai oleh Konsul Fungsi Ekonomi, Ibu Rima Diah Pramudyawati

“Program itu diadakan bagi membuka peluang niaga antara usahawan Malaysia dan pengusaha Indonesia melalui busines matching yang diadakan,” kata Rima

Menurut beliau, usahawan dan ahli perniagaan yang turut serta dalam kunjungan itu adalah mereka yang bergiat dalam bidang makanan, letrik, plastik, perabot, pembinaan, buah-buaha,nsos, kicap mee dan sebagainya dan ingin mencari peluang bisnes di Kalimantan.

“KJRI memfasilitasi mereka untuk mencari ruang niaga  di Indonesia. Tarakan menjadi sasaran pertama di awal 2020 untuk bertukar informasi bisnes untuk bersama sama membangunkan potensi ekonomi yang ada di kalimantan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Delegasi DPBS Sabah, Haji Muhamad Awang Buntar berkata, peluang bisnes di Kalimantan kini terbuka luas selepas ibu kota Indonesia dipindahkan ke Kalimantan Timur.

“Kita berharap kerajaan dan syarikat-syarikat penerbangan mempertimbangkan semula agar membuka laluan penerbangan terus dari Kota Kinabalu ke Balikpapan.

Beliau berkata, kunjungan itu juga diadakan bagi menyahut seruan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Shafie Haji Apdal dan sebagai langkah susulan atas lawatan Ketua Menteri Ke Kalimantan Timur pada September 2019.

“Banyak peluang terbuka dan boleh diambil oleh usahawan tempatan khususnya dari Sabah,” katanya.

Menurutnya, lokasi Tarakan terletak berdekatan dengan Sabah juga memberikan banyak kelebihan kepada usahawan kedua wilayah. Selain itu, Malaysia dan Indonesia adalah dua negara serumpun yang sudah tentu memiliki banyak kesamaan.

Peluang ini haruslah dimanfaatkan dan kendala seperti pengangkutan perlu diatasi segera, katanya.

Sepanjang berada di Tarakan, rombongan melawat ke perusahaan makanan laut ketam terbesar di Tarakan iaitu PT Mustika, selain berkunjung dan meninjau Pelabuhan Malandung Tarakan. Rombongan juga mengadakan program business Matching dengan Kamar Dagang Indonesia (KADIN) Kadin dan Hipmi yang dihadiri oleh Walikota Tarakan, Dr Khairul dan usahawan dan ahli perniagaan di Tarakan.
Selepas itu, rombongan juga berkesempatan melawat PT IDEC  kilang papan lapis atau plywood terbesar di Kalimantan Utara. Mereka juga dibawa melawat Rumah Adat Tidung.

Sementara itu, Ketua Delegasi FMM Sabah, James Ha berkata tujuan kunjungan ke Tarakan dan Balikpapan ialah untuk menjalin hubungan dan mencari peluang ekonomi dan perniagaan di Indonesia.

“Sebagaimana yang kita sedia maklum, Ibu Kota Indonesia akan berpindah ke Kalimantan Timur. Kita tidak mahu ketinggalan. Peluang ini perlu dimanfaatkan untuk mencari peluang baru dan mencari rakan niaga untuk melabur dalam pelbagai sektor. Sebelum ini, kebanyakan misi dagang kita lebih diarahkan kepada China, padahal banyak juga peluang yang terdapat di kawasan BIMP-EAGA,” katanya

Melalui kunjungan ini, FMM memberi peluang kepada ahlinya untuk meneroka atau mencari peluang dan mengambil bahagian dalam pembangunan di pulau Borneo, ia berpotensi memiliki pasaran terbesar di Asia Tenggara.

Beliau menyifatkan  misi kunjungan kali ini berjaya mencapai matlamatnya. Katanya
`Business matching’ yang diadakan membuka ruang kepada ahli FMM melalui saluran yang betul untuk melabur dan berniaga di Kalimantan.

Selain itu, misi kunjungan kali ini adalah untuk menyokong dan menyusuli langkah dan usaha yang dirintis oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Shafie Haji Apdal untuk menjalin kerjasama dengan Indonesia.

Walikota Tarakan, Dr Khairul mengalu-alukan kunjungan usahawan dan ahli perniagaan Malaysia khususnya dari Sabah yang mencari peluang niaga dan kerjasama dengan kalangan peniaga di Tarakan.

Beliau berharap agar kerjasama yang dijalin antara kedua pihak itu agar segera direalisasikan.

Program kunjungan usahawan dan ahli perniagaan dari DPBS dan FMM Sabah itu membuka banyak ruang dan peluang untuk kedua pihak untuk menjalin dan mengukuhkan kerjasama khususnya dalam mengembangkan Wilayah Kawasan Pertumbuhan Asean Timur BIMP-EAGA.

No comments: