Friday, May 8, 2020

SAHAR MISRON, KASIH LABUAN BUKAN SEDIKIT

SAHAR MISRON, KASIH LABUAN BUKAN SEDIKIT
PULAU LABUAN tidak berbukit, ada bukit di batu arang, kasih sayang bukan sedikit, dari dahulu sampai sekarang. Mungkin itulah pantun yang paling tepat bagi menggambarkan pertalian, ingatan, keterikatan antara mantan Pengetua SMK Pantai IB World, Cikgu Sahar Misron dengan pulau Labuan. Selepas 38 tahun dua hari berkhidmat dalam dunia pendidikan -16 tahun daripadanya dihabiskan di WP Labuan, sehingga beliau bersara pada Mei 2019.

Cikgu Sahar bin Misron dilahirkan pada 3 Mei 1959 di Kampung Sungai Lurus,  Senggarang,  Batu Pahat. Johor. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Senggarang,  Batu Pahat,  Johor dan  kemudian melanjutkan pengajian menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Senggarang sehingga Tingkatan Lima.  Selepas itu, beliau memasuki Tingkatan EnamTingkatan Enam di Sekolah Dato' Bentara Luar, Batu Pahat,  Johor dan Sekolah Dato' Seri Amar Diraja Muar,  Johor. Pada tahun 1979, beliau memasuki Maktab Perguruan Raja Melewar, Seremban. Kemudian beliau mengikuti pengajian luar kampus dan lulus ijazah BA dengan kepujian di Universiti Sains Malaysia pada 1991. Pada tahun 1997 hingga 1998 beliau melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana di University of Bristol, United Kingdom dalam bidang Pengurusan dan Pengajaran Bahasa.



Sepanjang perkhidmatannya, Cikgu Sahar pernah bertugas sebagai guru di tiga sekolah jenis kebangsaan Cina di Pahang selama enam tahun,  di Pusat Perkembangan Kurikulum,  Kementerian Pendidikan Malaysia di Pesiaran Duta,  Kuala Lumpur selama 13 tahun,  di dua sekolah menengah di Kuala Lumpur selama 3 tahun,  di tiga sekolah menengah di Labuan sebagai guru setahun dan sebagai Pengetua selama 13 tahun serta 2 tahun di Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.
Beliau pernah menjadi Ketua Dua Persatuan Penulis W. P Labuan (PERWILA) dari tahun 2005 hingga 2019, Pengerusi PBSM WP Labuan (2015-2019), Pengerusi Pasukan Kebajikan kanak-Kanak WP Labuan 2018-2020, Setiausaha KOPELL Bhd dari tahun 2008-2019 dan banyak lagi.
Wartawan kanan UTUSAN BORNEO, ABD NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemuramah Cikgu Sahar Misron melalui aplikasi whatsApp dan emel. Ikuti petikan temuramah berkenaan:
UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang cikgu? Lahir dimana? Anak ke berapa dalam keluarga?

CIKGU SAHAR MISRON: Saya dilahirkan kembar di Kampung Sungai Lurus,  Senggarang,  Batu Pahat. Johor pada 3 Mei 1959. Saudara kembar saya,  lelaki Muhammad Sudirman meninggal dunia tiga hari selepas dilahirkan.  Saya anak keempat daripada enam orang adik-beradik. Berkahwin dengan Samsiah binti Taib pada 15 April 1984, dikurniakan lima orang anak,  dua lelaki dan tiga perempuan serta empat orang cucu. Anak sulung lelaki bertugas di Kedutaan Malaysia di Riyadh,  Arab Saudi,  anak kedua juga lelaki yang bertugas di TLDM Kuantan, Pahang, manakala tiga anak perempuan menetap di Kuala Lumpur.


UB: Dimana cikgu mendapat pendidikan awal? Seterusnya dimana cikgu bersekolah menengah?

SM: Saya mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Senggarang,  Batu Pahat,  Johor dan melanjutkan pengajian menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Senggarang sehingga Tingkatan Lima.  Melanjutkan pengajian Tingkatan Enam di Sekolah Dato' Bentara Luar, Batu Pahat,  Johor dan Sekolah Dato' Seri Amar Diraja Muar,  Johor.

UB: Selepas sekolah menengah dimana cikgu melanjutkan pengajian?
SM: Saya melanjutkan pengajian di Maktab Perguruan Raja Melewar,  Seremban,  Negeri Sembilan pada Tahun 1979. Semasa berkhidmat sebagai guru,  saya mengikuti Pengajian Ijazah Pertama secara Luar Kampus di Universiti Sains Malaysia,  Pulau Pinang dalam Major Geografi,  dan Minor Kesusasteraan, lulus BA. Hons Kepujian 1991. Pada Tahun 1997 melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana di University of Bristol,  United Kingdom dalam bidang Pengurusan dan Pengajaran Bahasa, lulus 1998.
UB: Berapa tahun berkhidmat dalam pendidikan?
SM:  Saya berkhidmat selama 38 Tahun 2 hari dalam pendidikan iaitu,  sebagai guru di tiga sekolah jenis kebangsaan Cina di Pahang selama enam tahun,  di Pusat Perkembangan Kurikulum,  Kementerian Pendidikan Malaysia di Pesiaran Duta,  Kuala Lumpur selama 13 tahun,  di dua sekolah menengah di Kuala Lumpur selama 3 tahun,  di tiga sekolah menengah di Labuan sebagai guru setahun dan sebagai Pengetua selama 13 tahun serta 2 tahun di Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan.
UB: Dimana penempatan cikgu yang pertama?
SM: Perkhidmatan pertama saya sebagai guru di SJKC Kemayan,  Pahang pada 1 Januari 1981. Pengalaman manis di sekolah itu,  mengajar dan mendidik anak-anak di kawasan pedalaman yang serba kekurangan ketika itu.  Antaranya, membawa murid dan melatih badminton ke peringkat daerah Temerloh dan Peringkat Negeri Pahang. Paling manis ialah melatih dan membawa murid bukan Melayu ke Pertandingan Syarahan Peringkat Kebangsaan iaitu Piala Perdana Menteri Malaysia di Kuala Lumpur.
UB: Mungkin ada pengalaman mencabar?
SM: Pengalaman mencabar,  ketika di Kemayan ialah bermotosikal di celah pokok-pokok getah,  mencari air ketika musim kemarau. Kawasan pedalaman ini hanya menerima bekalan elektrik kendalian swasta untuk selama 16 jam sehari,  itu pun selalu terputus bekalan tanpa mengira waktu.
UB: Selepas itu cikgu ditugaskan dimana?
SM: Tiga tahun di SJKC Kemayan,  Pahang,  saya mohon bertukar ke ke SJKC Maran,  Pahang,  setahun di sana,  seterusnya mohon bertukar ke SJKC Chung Ching,  Kuantan,  Pahang,  pada 1985 dan bertugas selama dua tahun di sana.
Semasa di Pahang Darul Makmur saya berjinak-jinak dengan penulisan puisi yang telah saya gilap sejak di alam persekolahan lagi dan di maktab perguruan. Guru puisi pertama saya ketika itu,  ialah Ami Masra (Aminuddin Mansur,  sekarang Dr). Beliau yang dulu pada tahun lapan puluhan kerap membedah puisi saya sebelum dihantar ke penerbitan. Beliau begitu tekun membimbing saya melalui pos.  Apa yang lucunya,  kami tidak pernah bertemu muka, hanya berhubung melalui surat,   hinggalah ketika majlis perkahwinan anak perempuan saya baru kami bertemu muka. Beliau juga mendorong saya menjadi ahli Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP).  Puisi dan cerpen saya dihantar ke akhbar dan radio,  kebanyakannya tersiar di Akhbar Watan,  Warta Perdana,  Utusan Melayu,  Warta Tebrau,  di radio, saya menghantar karya ke Radio Malaysia Kuantan,  dan Radio Malaysia Kuala Terengganu,  penerbitnya ketika itu Wan Thuawibah Ghazali.  Seronok hujung bulan dapat bayaran, lumayan juga menulis di akhbar dan radio.
Saya juga menerima bimbingan Lim Swee Tin (sekarang Prof. Dr).  Beliau tidak jemu menyiarkan karya puisi saya hampir setiap minggu, di Akhbar Watan.  Saya anggap beliau sebagai guru/sifu puisi saya.  Kami masih berhubungan ketika saya di Labuan hingga kini.
UB: Dimana cikgu ditugaskan ketika bekerja di Kuala Lumpur?
SM: Ketika di Kuala Lumpur, saya bertugas di Pusat Perkembangan Kurikulum,  Kementerian Pendidikan di Pesiaran Duta,  Kuala Lumpur,  dari Tahun 1987, sebagai Pegawai Kurikulum (sekarang dikenali sebagai Bahagian Pembangunan Kurikulum), di Unit Latihan dan Sebaran (Pusat Sumber),  Penolong Pengarah Kurikulum dan Ketua Unit Dasar,  di Unit Dasar serta Penolong Pengarah Unit Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu.  Saya terlibat langsung dalam penggubalan dan penyediaan serta pemilihan teks Komponen Sastera dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Menengah dan Teks Kesusasteraan Melayu Tingkatan 4 dan Tingkatan 5.
Setelah mengikuti Kursus Kelayakan Kepengetuaan Kebangsaan (NPQH)  kohort 1 di Institut Aminuddin Baki,  Sri Layang,  Genting Highlands, Pahang  saya ditempatkan sebagai Penolong Kanan Tadbiran dan Kurikulum di SMK Setapak Indah,  Kuala Lumpur pada Tahun 2001 sehingga berpindah ke W. P Labuan pada akhir Tahun 2003
UB: Apa kenangan manis di Kuala Lumpur?
SM: Di Kuala Lumpur,  kenangan manis ialah ketika menjadi salah seorang peserta dalam Program RATIB 1000 SYAIR (Baca Puisi Berterusan 24 Jam 52 Minit) di Rumah GAPENA yang dicatat dalam Malaysia Book of Records.
Satu lagi kenangan manis ialah ketika menjadi Juru acara Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada Tahun 1991, dan Juruacara Majlis Jubli Perak Pusat Perkembangan Kurikulum,  Kementerian Pendidikan Malaysia pada Tahun 1995.
 UB: Tahun berapa cikgu mula menjejakkan kaki di WP Labuan?
SM:  Saya mula menjejakkan kaki di Wilayah Persekutuan Labuan pada akhir Tahun 2003. Saya ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Pantai dan mengajar mata pelajaran Geografi dan Bahasa Melayu. Sebelas bulan sahaja di sekolah itu,  sebelum diarahkan bertugas di Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Labuan,  sebagai Ketua Unit Perkhidmatan dan seterusnya Ketua Sektor Pengurusan Perkhidmatan Pelajaran.
Dua tahun di sana,  saya diarahkan menjadi Pengetua di Sekolah Menengah Kebangsaan Lajau,  Labuan.  Setelah berkhidmat selama lima tahun empat belas hari di sekolah itu,  pertengahan Tahun 2011, saya diarahkan bertukar ke Sekolah Sukan Negeri : Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara. Sempat   berkhidmat selama enam bulan,  saya diminta kembali menjadi Pengetua di SMK Lajau,  "bagai sirih pulang ke gagang" Tiga bulan sahaja di sekolah tersebut,  rezeki di Pulau Labuan masih berpanjangan,  saya dianugerahi Pengetua Cemerlang dan berpindah ke SMK Pantai,  Labuan,  iaitu sekolah pertama saya berkhidmat di Labuan.

 Alhamdulillah saya sempat menerajui SMK Pantai, W. P,  Labuan selama tujuh tahun, sehingga bersara wajib 60 tahun pada 3 Mei 2019.
UB: Mungkin ada pengalaman pahit manis di WP Labuan?
SM: Kenangan paling manis ialah ketika membawa sekolah ini bersama-sama seluruh warganya menghadapi cabaran besar sehingga sekolah diberi pengiktirafan sebagai sebuah sekolah bertaraf dunia,  iaitu sebagai International Baccalaureate (IB) World School pada 23 Julai 2016, sebanyak 10 sekolah IB World School kerajaan di Malaysia itu ialah, SMK Sg.  Tapang, Kuching,  Sarawak, SMK Sultanah Bahiyah,  Alor Setar,  Kedah , Kolej Melayu Kuala Kangsar,  Perak, Kolej Tuanku Khursiah, Negeri Sembilan,  SMK PANTAI,  W. P LABUAN, SMK Tg Muhammad Faris Petra,  Kota Bahru,  Kelantan, SMK Seri Tualang,  Temerloh,  Pahang, SMK Putrajaya Persint 9(2), Putrajaya, SM Agama Sheikh Abdul Malik,  Kuala Terengganu, Terengganu dan SM Dato'Sheikh Ahmad, Arau,  Perlis.
Alhamdulillah,  kenangan paling manis menjadikan SMK Pantai IB World School untuk tempoh lima tahun, 2016 hingga 2021.

Di sekolah ini juga mencatat peristiwa manis apabila SMK Pantai IB World School,  berjaya menjadi Juara Kejohanan Olahraga dan Sukan MSSWP Labuan, dengan bergaya menumbangkan Sekolah Sukan Negeri: SMK Mutiara,  sebanyak dua kali pada Tahun 2018 dan Tahun 2019.
Manakala kenangan manis ketika enam bulan di SSN SMK Mutiara ialah apabila seorang pelajar kelas pendidikan khas,  Batheria Layunsia,  merangkul dua pingat emas dalam Kejohanan Boling Dunia di Athens,  Greece.(Special Olympic).
Di SMK Lajau,  kenangan paling manis ialah diberi peluang membuka kelas pendidikan khas integriti,  bermula pada Tahun 2009 dengan 11 orang pelajar,  kemudiannya bertambah menjadi 60 pelajar.  Pelbagai kejayaan mereka dalam sukan boling dan bocche di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Pengalaman mencabar pula apabila berhadapan dengan para pelajar yang kurang motivasi,  enggan belajar dan menganggu pelajar lain serta ketika berhadapan dengan ibu bapa yang memenangkan anak,  walaupun anaknya bersalah melanggar disiplin sekolah. Saya dengan penolong kanan serta guru kaunseling dan disiplin,  meredah ke rumah pelajar ponteng dalam program Terjah dan Serbu.
UB: Setahu saya cikgu juga aktif dalam NGO? Apa NGO yang disertai?
SM: Penglibatan saya dalam NGO,  juga mencatat kenangan tersendiri.  Saya bergiat dalam kegiatan pengakap, Pasukan Kebajikan Kanak-kanak W. P Labuan, Persatuan Penulis W. P Labuan (PERWILA), Koperasi Pelajaran Wilayah Persekutuan Labuan,  dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM). Saya menjadi Ahli Jawatankuasa Majlis Pengakap Negeri dari Tahun 2013 hingga 2017. Saya juga diberi kepercayaan menjadi Pengerusi Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak W.P Labuan 2018-2020. Dalam KOPELL Bhd sebagai Setiausaha 2008 - 2019. Manakala dalam PBSM menjadi Pengerusi PBSM Negeri W. P Labuan dari Tahun 2015 hingga 2019.
Saat-saat akhir sebelum meninggalkan Labuan setelah bersara,  saya diberi penghormatan menjadi Tetamu Khas bersiaran langsung dalam Rancangan Bersama Personaliti Pilihan di RTM Labuan pada 29 Jun 2019 bersama-sama DJ Sherly.
UB: Bagaimana pula penglibatan bersama Perwila? Boleh ceritakan sedikit?
SM:  Penglibatan saya dalam Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan (PERWILA) bermula pada Tahun 2004. Saya bersyukur kerana diberi kepercayaan menjadi Ketua 2 PERWILA pada Tahun 2005 sehingga Tahun 2019. Tetap setia dan terus menjadi ahli seumur hidup PERWILA sehingga kini.
Sebagai Ketua 2 PERWILA saya berpeluang berkhidmat bersama-sama dengan tiga orang Ketua 1 PERWILA,  iaitu Pengiran Ali bin Pengiran Jumat,  Tuan Haji Othman bin Mahali dan Prof Dr Harun bin Haji Pudin, bersama-sama barisan ahli jawatankuasa yang bersilih-ganti dua tahun sekali.


Dalam PERWILA, kami bersama-sama membimbing dan memberi sokongan moral terutama kepada penulis-penulis muda di Labuan seperti Norgadis Labuan (Masmah Mohd Ali),  Maharatu Rafidah Mohamad (Dr Rafidah Mohamad), Gabriel Kimjuan,  Sani La Bise, Francis,  Syafuddin,  Lia Maisarah, dan banyak lagi.
Penulis lain di Labuan,  juga menjadi rakan berbincang dan bertukar pandangan seperti Tuan Haji Othman Mahali, Yahya Ahmad Puteh,  Salbiah Ajis, Tuan Haji Suili Bakar, Yang Berbahagi aDatuk Abd Rahman Lamudin,  Puan Hajah Hasnah Sambas, Mohammad Farihi Abd Halim, dan ramai lagi.
UB: Pandangan cikgu mengenai peranan PERWILA dalam memajukan masa depan bahasa dan sastera budaya di Labuan?
SM: Saya berkeyakinan PERWILA berpotensi maju untuk masa depan bahasa,  sastera dan budaya khususnya di Labuan,   dengan gemblengan tenaga penulis veteran dan penulis muda. Para penulis muda di Labuan semakin berani menjangkau pentas serantau dan antarabangsa,  sejauh Indonesia,  Perancis dan Amerika Syarikat. Perkongsian dengan sahabat penulis khususnya dalam wilayah Borneo Kalimantan seperti Sabah dan Sarawak amat baik.
UB: Apa antara program yang pernah dilaksanakan?
SM: Bersama-sama PERWILA,  kami memberanikan diri menjadi penganjur dan tuan rumah kepada Program Dialog Teluk Borneo Kalimantan pada Tahun 2009 dan Pertemuan Penulis Malaysia, Hari Sastera Nasional Malaysia pada Tahun 2017 di Labuan.  Sudah tentu peneraju utamanya GAPENA, dengan sokongan badan penulis terdekat iaitu Sabah seperti BAHASA Sabah dan Ikatan Penulis Sabah (IPS)
Dalam Pertemuan Penulis Malaysia,  Hari Sastera Nasional itu, ada juga pengalaman manis ketika menjadi Moderator Sesi Ceramah Keselamatan oleh Yang Berbahagia ACP Datin Zalena bt Mohd Ariffin, sekarang Pegawai Turus E2B Cawangan Khas,  Bukit Aman, Kuala Lumpur dan ketika menjadi Moderator Perkongsian Yang  Berbahagia Prof Datuk Dr.  Zainal Abidin Borhan,  Ketua 1 GAPENA.

Bersama PERWILA, kami sedaya upaya berusaha menerbitkan beberapa buah antologi bersama seperti Antologi Puisi Sepulau Sekasih Kita, Antologi Puisi PERWILA 30 Tahun,  Antologi Cerpen Peluru Cinta Victoria.  Selain itu, kami mengadakan pelbagai aktiviti sastera dan program sastera seperti bengkel penulisan,  bicara buku,  ceramah dan perkongsian. Apa yang dapat saya kongsikan untuk beberapa antologi puisi dan cerpen terbitan PERWILA ialah saya berpeluang menjadi editor dan penyunting sukarela.
UB: Kenangan manis bersama PERWILA?
SM: Satu kenangan manis bersama-sama PERWILA,  apabila kami berjaya menghimpunkan sekitar 25 penulis Labuan dan keluarga penulis menyertai Program Kembara Sastera PERWILA ke Sabah,  Sarawak dan Brunei Darussalam, selama 4 hari tiga malam pada tahun 2010.
UB: Selepas bersara, bagaimana hubungan cikgu dengan persatuan penulis seperti PERWILA?
SM: PERWILA sudah semacam mendarahdaging dalam diri saya.  Sehingga kini saya mengikuti perkembangan rakan-rakan penulis Labuan, malah saya juga sentiasa mengikuti perkembangan penulisan dan rakan penulis di Sabah dan Sarawak. Seronok kerana saya masih dalam grup whatsApp PERWILA,  dan Kembara Sastera Belitong.
Pengalaman saya dan isteri mengikuti Kembara Sastera ke Belitong, Jakarta dan Brunei Darussalam bersama rakan-rakan penulis dari Sabah,  khususnya Ikatan Penulis Sabah akhir Tahun 2019 pastinya akan kekal dalam ingatan. Terima kasih IPS, khususnya Ketua 1 tentunya.

UB: Terima kasih kerana sudi diwawancara untuk ruangan Sembang Sabtu Utusan Borneo.
SM: Terima kasih kembali. Semoga bermanfaat.



CEMERLANG…Bersama Rakan Pengetua Sabah Menghadiri Persidangan Pengetua Cemerlang



 DIRAIKAN…Diraikan AJK PIBG SMK pantai IBWS sempena Bersara Wajib 60 Tahun 3 Mei 2019



LAWATAN…Lawatan ke SMK Lajau sebelum bersara


 


PERSARAAN…Majlis Pengetua dan Jabatan Pendidikan Labuan meraikan persaraan




DIHARGAI…Cikgu Sahar diraikan warga sekolah pada majlis meraikan persaraannya


Utusan Borneo 09 Mei 2020




2 comments:

SAHAR MISRON said...

Terima kasih Tuan

Sahar bin Misron said...

Kenanganvpaling manis dan terasa dihargai.