Ahad, 21 Jun 2020

BRIG JEN DATUK HAJI ABD GHANI RASHID, SELALU MENJADI YANG PERTAMA

Tags
BRIG JEN DATUK HAJI  ABD GHANI RASHID, SELALU MENJADI YANG PERTAMA


SIAPA sangka ketika kecilnya beliau pernah berjualan kuih keliling kampung. Selepas kuihnya habis terjual, beliau bersiap pula untuk ke sekolah. Beliau memang seorang yang tekun dan gigih. Bukan itu saja, beliau pernah mengikut ayahnya menoreh getah.Kedinginan subuh tidak menghalangnya untuk berbakti dan membantu orang tua  bagi menambahkan lagi sumber pendapatan keluarga.



Sejarah mencatatkan beliau  dilantik sebagai Mayor Bandaraya Kota Kinabalu yang pertama. Sebelum itu, beliau pernah bertugas sebagai Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Majlis Perbandaran Tawau dan kemudian beliau dilantik sebagai Presiden Majlis Perbandaran Kota Kinabalu (MPKK) . Pada 2 Februari 2000, Kota Kinabalu diisytiharkan sebagai bandaraya dan beliau dilantik sebagai Datuk Bandar yang pertama.

Banyak pengalaman dan kisah menarik yang dilalui sepanjang 32 tahun berkhidmat dalam perkhidmatan awam. Beliau memasuki perkhidmatan awam negeri pada tahun 1972 sebaik lulus dari Universiti Malaya. Beliau adalah Pegawai Kerajaan Negeri yang pertama dipinjamkan berkhidmat dengan kerajaan pusat dan dilantik sebagai Pengarah RTM Sabah pada tahun 1975-1977, Pada tahun 1981, beliau adalah orang yang bertanggungjawab menubuhkan Ko-Nelayan. Beliau juga adalah orang Sabah pertama dilantik sebagai Pegawai Memerintah 507 Askar Wataniah.


Brig Jen Datuk Haji Abd Ghani Haji Abdul Rashid J.P mendapat pendidikan awal di Government Primary School (GPS) Melanta Sandakan pada 1952. Kemudian berpindah ke GPS Benoni Papar pada 1953 sebelum bertukar ke GPS Pengalat Besar pada 1956. Seterusnya beliau melanjutkan pendidikan menengah di GJSS Jesselton (kemudian dikenali Sabah College) pada 1962 hingga 1969. Selepas itu, beliau memasuki Universiti Malaya pada tahun 1970 dan lulus BA dengan kepujian dalam bidang sosiologi dan antropologi pada 1972.

Beliau memasuki perkhidmatan awam negeri sebaik menamatkan pengajian di universiti pada tahun 1972 sebagai Penolong Pegawai Perhubungan Sabah (KL). Setahun kemudian beliau dilantik sebagai Pegawai Penyelidik di Pusat Pembangunan Masyarakat (CDC)  dan pada tahun yang sama beliau dilantik sebagai Penolong Pengarah Bahagian Latihan dan Kerjaya di Jabatan Ketua Menteri. Kemudian beliau dilantik sebagai Setiausaha Dewan Undangan Negeri Sabah (1973) dan selepas itu dilantik sebagai Setiausaha Sulit Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Sabah, Tun Mohd Fuad Stephens (1973-1975).
Datuk Ghani kemudian dilantik sebagai  Pengarah RTM  Sabah (1975-1977), Pengurus Besar Ko Nelayan (1977-1983), Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (1983-1985), Pengurus Besar Lembaga Sukan dan Kebudayaan Sabah (LSKS)  (1986), Presiden Majlis Perbandaran Tawau (1986-1991), Pengarah Pejabat Perhubungan Negeri-Persekutuan  (1991-1993), Setiausaha Tetap Kementerian  Kerajaan Tempatan dan Perumahan (1993-1997), Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Infrastruktur  (1997-2000), Presiden MPKK (2000) dan Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (2000-2005). Kini beliau dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah.

Beliau pernah mendapat Anugerah Tokoh Pemadam Kebangsaan (1985), Tokoh Sukan Peringkat Kebangsaan (2002), Tokoh Sukan Peringkat Negeri Sabah (2004), Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Daerah Papar (2012) dan Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sabah (2013).

Wartawan kanan Utusan Borneo, ABD NADDIN HAJI SHAIDDIN ditemani penyelidik MALIK AG RASIN berpeluang mewawancara beliau di pejabatnya di Tingkat 2 Wisma MUIS mengenai beberapa cebisan pengalaman hidup yang pernah dilaluinya, Ikuti petikan wawancara bersama beliau:




UTUSAN BORNEO: Di mana datuk mendapat pendidikan awal?
DATUK HAJI ABD GHANI (DHAG): Saya mula mendapat pendidikan awal di Melanta Sandakan. Kemudian saya memasuki GPS Benoni dari tahun 1954 hingga 1956. Di Benoni, saya menumpang rumah makcik kerana kami tinggal agak jauh di Kampung Beringis, masa itu ada orang kampung memanggil tempat itu tempat jin beranak.

UB: Mungkin ada pengalaman menarik ketika bersekolah di Benoni? Naik apa ke sekolah?
DHAG: Saya ke sekolah berjalan kaki sahaja. Sebelum ke sekolah, saya menjual kuih, macam-macam jenis kuih. Jual kuih kira-kira 100 biji sehari keliling kampung. Selepas habis terjual, saya dapat upah lima sen, satu jumlah yang besar masa itu. Saya bersekolah di GPS Benoni dari darjah tiga hingga lima.

UB: Di mana datuk bersekolah selepas itu?
DHAG: Ketika darjah lima dan darjah enam , saya bersekolah di Pengalat. Dari Melinsung, saya  berjalan kaki ke Pengalat Besar. Berjalan kaki  itu hal yang biasa bagi saya. Dari rumah berangkat pukul enam pagi, pukul tujuh sudah sampai di sekolah. Begitulah setiap hari.

UB: Masih ingat siapa rakan yang sama sama berjalan kaki dari Melinsung ke Pengalat?
DHAG: Saya dan abang saya Mohd Ali, Jumatli Adam dan adiknya Farizo Adam.

UB: Berapa orang yang lulus darjah enam masa itu?
DHAG: Seingat saya, hanya dua orang saja yang lulus. Saya dan seorang pelajar perempuan, kalau tak silap namanya Azuwan.

UB: Sebaik lulus darjah enam, di mana datuk bersekolah selepas itu?
DHAG: Saya bersekolah Prep 1 di GJSS Jesselton.  Dulu namanya Jesselton sebelum ditukar namanya kepada Kota Kinabalu pada 1967. Sekolah itu kemudiannya dikenali sebagai Sabah College. Masa itu, semua pelajar dari sekolah melayu perlu memasuki kelas Prep 1 dan Prep 2. Kalau pelajar dari sekolah mission, lulus darjah enam mereka terus ke form one. Masa itu, kebanyakan pelajar memilih untuk memasuki Kent College untuk menjadi guru.

UB: Siapa rakan-rakan seangkatan dengan datuk di Sabah College?
DHAG: Antaranya Salleh Tiasi, Datuk Jamdin Buyong, Osman Gurda, Datuk Yunus, Datuk Rashid Bolong, Datuk Aslie Awang Hashim adik beradik dan lain-lain.

UB: Selepas Sabah College, di mana Datuk melanjutkan pelajaran?
DHAG: Selepas tamat Form 6, saya bekerja sebagai penterjemah di Jabatan Ketua Menteri selama satu tahun. Sebenarnya, saya menerima tawaran Colombo Plan untuk melanjutkan pelajaran di luar negeri tapi tak jadi. Kemudian saya melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya sebelum sah jawatan. Kalau pelantikan saya ke jawatan itu sudah sah, bererti saya lebih awal lagi memasuki perkhidmatan awam.

UB: Universiti Malaya dianggap sebagai sebuah universiti yang berprestij. Masa itu, berapa ramai pelajar dari Sabah yang menuntut di sana?
DHAG: Antaranya Datuk Yahya Lampong, Datuk Matiasin Surai, Tan Sri Simon Sipaun, Datuk Wahid Peter Andu, dan Mely Lubasah.

UB: Selepas tamat pengajian di universiti, di mana Datuk bekerja?
DHAG: Sebaik tamat universiti, saya memasuki perkhidmatan awam pada tahun 1972 sebagai Penolong Pegawai Perhubungan Sabah (KL). Setahun kemudian saya dilantik sebagai Pegawai Penyelidik di Pusat Pembangunan Masyarakat (CDC) . Masa itu YB Datuk Paul Wong menjadi Pengerusi CDC  dan kira-kira pada  tahun yang sama, saya dilantik sebagai Penolong Pengarah Bahagian Latihan dan Kerjaya di Jabatan Ketua Menteri.

Selepas itu, saya dilantik sebagai Setiausaha Dewan Undangan Negeri Sabah (1973) dan kemudian dilantik sebagai Setiausaha Sulit Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Sabah, Tun Mohd Fuad Stephens (1973-1975).

Saya adalah pegawai kerajaan negeri yang pertama dipinjamkan ke perkhidmatan persekutuan. Mulanya saya dilantik Penolong Pengarah RTM pada 1975 sebelum dinaikkan pangkat sebagai Pengarah RTM Sabah hingga 1977.
Kemudian saya dilantik sebagai Pengurus Besar Ko Nelayan (1977-1983),


UB: Boleh ceritakan pengalaman ketika bertugas di Ko -Nelayan?
DHAG: Saya boleh katakan bahawa sayalah yang memulakan Ko-Nelayan. Saya bikin kertas kerja sendiri tanpa bantuan konsultan, tetapi seperti Koras dan Kojasa, yang ada konsultan. Di Ko Nelayan, saya yang buat sendiri, bermula dari kosong. Untuk membuat konsep, perancangan, program dan sebagainya, saya membuat kajian perbandingan di Thailand, Filipina , Indonesia dan Taiwan, iaitu negara-negara yang lebih maju dalam perikanan.  Saya mahu Sabah dihormati. Dulu Sabah dipandang rendah.Saya ingin membuktikan bahawa anak tempatan juga boleh berjaya. Di Semenanjung sudah ada Maju Ikan, tetapi saya tidak mahu dianggap mencontohi konsep mereka.

Kerajaan Negeri pada masa itu memberikan peruntukan yang besar untuk membangunkan Ko-Nelayan. Golongan nelayan kita masih di takuk lama. Masih nelayan kecil-kecilan yang menangkap ikan secara tradisi. Jadi kita ingin menerokai perikanan laut dalam. Kita belajar dari negara lain seperti Taiwan, Thailand dan Indonesia lebih maju pada masa itu. Di Filipina dan Indonesia kita belajar penternakan ikan.

Saya sempat menghadiri seminar antarabangsa seperti Cooperative Development di Taiwan tahun 1979, Fishery Seminar on Brackish Water Culture , SEFDEC Filipina, Seminar perikanan di Denmark, United Kingdom, Perancis dan Sepanyol, itu antaranya.

UB: Mungkin ada peristiwa yang tidak dapat dilupakan ketika berada di Ko-Nelayan?
DHAG: Kami beli sebanyak 21 kapal nelayan laut dalam  dari Bahrain. Kapal sudah beli tetapi tiada yang dapat bawa. Saya ke sana sini, ke Sri Langka, Sepanyol untuk cari kru, kelasi. Akhirnya dapat dari Thailand.
Nelayan kita masa itu masih di takuk lama. Jika kita tidak melakukan perubahan dalam cara menangkap, kita tidak akan maju. Kita perlu meneroka kaedah penangkapan ikan yang lebih moden.  Sebab itu, kita tubuhkan Sekolah Perikanan Labuan (Labuan Fisheries School) untuk melatih pelajar teknologi perikanan. Sekolah itu adalah sekolah perikanan pertama di Malaysia, belum ada yang lain pada masa itu.

UB: Selepas itu, dimana Datuk ditugaskan?
DHAG: Kemudian saya ditugaskan sebagai Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (1983-1985). Selepas itu, saya dilantik Pengurus Besar Lembaga Sukan dan Kebudayaan Sabah (LSKS)  (1986), Pada tahun 1986, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ahmad BahromTitingan meminta saya membantu mentadbir MPT. Masa itu, MPT masih menghadapi masalah hutang. Pendapatan hanya sekitar RM300,000 manakala hutang kira-kira RM15 juta.  Saya dilantik Presiden Majlis Perbandaran Tawau (1986-1991). Ketika inilah MPT membina Pasar Besar Tawau  dan merupakan pasar terbesar di Malaysia dengan kos RM30 juta.

Bagaimanapun, timbul pula pertikaian dengan salah seorang pembantu menteri masa itu.  saya kemudian dipindahkan di Pejabat Perhubungan Negeri Persekutuan (1991-1993) sebagai Pengarah. Saya diberikan satu setiausaha, satu meja, satu telefon, satu pemandu. Saya bertugas di sana selama tiga tahun sehingga kerajaan bertukar.

Pada tahun 1994, saya sempat mengikut latihan di Central Officials Training Institute  (COTI) di Seoul Korea selama tiga bulan, dan  menghadiri World Health Congress Kuala Lumpur manakala pada 1995 saya juga mengikuti Program on Investment Appraisal and Management selama tiga bulan di Universiti Harvard.

UB: Selain itu, dimana negara-negara yang Datuk pernah kunjungi untuk menghadiri seminar antarabangsa?
DHAG: Antaranya Broadcasting Exchange Program Japan & Korea pada tahun 1978, Finance for Non Financial Manager (Universiti Michigan Business School) pada 1996, International/Water Supply Association 22nd World Congress & Exhibition, Buenos Aires,  Argentina ada tahun 1998, Swedish-Asian Forum on the Future of Asian Urban Environment, Stockholm  Sweden pada tahun 2000 dan seminar-seminar antarabangsa yang lain di Kuala Lumpur.

UB: Selepas bertugas sebagai Pengarah Perhubungan Negeri Persekutuan, di mana Datuk ditempatkan?
DHAG: Setiausaha Tetap Kementerian  Kerajaan Tempatan dan Perumahan (1994-1997), Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Infrastruktur  (1997-2000), Presiden MPKK selama 16 hari  (2000) dan Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (2000-2005).



UB: Apa cita-cita Datuk ketika kecil?
DHAG: Saya bercita-cita  menjadi DO (Pegawai Daerah) kerana saya fikir dengan menjadi DO,  saya ada kuasa, saya boleh membantu ramai orang, masyarakat luar bandar yang masih ketinggalan dari segi kemajuan. Selain itu, saya ingin menjadi imam. Imam dalam pengertian saya adalah pendahulu, pengasas, memulakan sesuatu dan sebagainya. Saya suka jadi pelopor.

UB: Sejak kecil sudah ada perasaan ingin membantu?
DHAG: Ya. Sejak kecil lagi saya terdedah dengan kesedaran nasionalisme. Sejak awal lagi saya sudah sering ikut  Allahyarham Tun Mustapha berkempen di Papar, Pengalat, Kawang dan sebagainya. Saya melihat keadaan masyarakat pada masa itu. Situasi begitu mengkehendaki, bukan saya mahu. Saya pernah juga ikut bapa saya ketika Suruhanjaya Cobbold. Dari situ saya dapat merasakan masyarakat kita mahu lepas dari cengkaman penjajah.

UB: Siapa idola Datuk?
DHAG: Idola saya Sukarno. Saya suka mendengarnya berpidato, karismanya dan sebagainya.

UB: Khabarnya, ketika kecil Datuk pernah ikut menoreh getah?

DHAG: Saya pernah juga ikut menoreh getah. Bangun pagi-pagi menolong ayah. Pada tahun 1953, harga getah pernah mencecah $3.50 sekati. Harga tertinggi ketika itu. Ramai penoreh mendapat pendapatan lumayan. Ramai dapat beli peti ais. Tapi kerana belum ada bekalan elektrik, akhirnya peti ais jadi almari pakaian.

UB: Bagaimana pula Datuk berminat memelihara kuda?
DHAG: Dari kecil lagi saya memang minat berkuda. Ada keluarga saya yang pernah bekerja dengan orang putih sebagai joki. Mungkin dari sana minat saya timbul. Banyak manfaatnya. Malah sayalah yang pertama memperkenalkan skuad berkuda di Rejimen Askar Wataniah. Malah saya pernah menganjurkan sukan berkuda endurance Cabaran Berkuda Merdeka sejauh 160 kilometer yang mesti ditamatkan dalam tempoh 24 jam. Ini tercatat sebagai dalam Malaysia Book of Record 2002.



UB: Bila Datuk bersara dari perkhidmatan awam?
DHAG: Saya bersara pada 17 Oktober 2003 selepas berkhidmat selama 32 tahun dalam perkhidmatan awam. Kemudian khidmat saya disambung selama 15 bulan hingga 2 Feb 2005.

UB: Mungkin ada pengalaman manis sepanjang bertugas dalam perkhidmatan awam?
DHAG: Saya pernah mengurus lawatan Presiden Filipina , Ferdinand Marcos ke Labuan. Saya juga pernah mengurus lawatan Presiden Suharto ke Tawau.

UB: Terima kasih banyak kerana sudi diwawancara. Saya yakin masih banyak perkara, masih banyak pengalaman yang boleh dikongsikan untuk pembaca Utusan Borneo tetapi masa dan ruang agak terhad. Kesediaan Datuk untuk diwawancara amatlah kami hargai. Terima kasih

DHAG: Terima kasih kembali.


Sabtu, 13 Jun 2020

GENERASI MUDA PERLU BANYAK ILMU DAN JATI DIRI: RAZAK HAJI RAKUNMAN

Tags
GENERASI MUDA PERLU BANYAK ILMU DAN JATI DIRI: RAZAK HAJI RAKUNMAN

SAYA anak kampung, katanya merendah diri. Namun bakatnya dalam kepimpinan terserlah apabila terpilih sebagai Presiden Persatuan Graduan Iranun Sabah (PAGISA). Beliau juga adalah Presiden Persatuan Mantan Pelajar Tajaan Yayasan Sabah (MAYA).Jauh sebelum itu, beliau juga pernah menjadi Presiden Persatuan Pelajar Malaysia sewaktu beliau menuntut di SIUC, Amerika Syarikat. Sebagai anak kampung, kini beliau balik kampung untuk berbakti kepada masyarakat. Beliau adalah Presiden Bekas Pelajar SK Tamau Kota Belud (Beta) dan Pengerusi KRT Kampung Tamau, Kota Belud sambil terus  berbakti kepada masyarakat.



RAZAK HAJI RAKUNMAN dilahirkan di kampung Tamau Kota Belud  pada 15 Februari 1964. Beliau mendapat pendidikan awal di SRK Tamau (1971-1975) dan kemudian menuntut di Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib (SMART) Kuantan Pahang (1976-1980), Maktab Adabi Pahang (1981-1982). Selepas lulus STPM,beliau bertugas  di BBMB  (Bank Bumiputera Malaysia Berhad) (1 Feb-15 Mac 1983), Jabatan  Perkhidmatan Perubatan Sabah !983-1986). Kemudian beliau melanjutkan pelajaran dalam bidang Perhutanan di  Southern Illinois University at Carbondale (SIUC) Amerika Syarikat (1986-1990) . Selepas itu, beliau bertugas di CDC Sembulan  (Julai 1990-Mac 1991).Beliau ditawarkan sebagai sebagai  Penolong Pengarah Jabatan Perhutanan Sabah di Sandakan mulai 1 April 1990 hingga Julai 1998.Di Jabatan Perhutanan Sabah,  beliau ditempatkan di ibu pejabat Perhutanan di Sandakan, Darmakot Forest Reserve bersama GTZ Germany dan kemudianditugaskan sebagai Pegawai Perhutanan Daerah Tambunan, Sook dan Keningau dan yang terakhir di Pusat Penyelidikan Perhutanan Sepilok.

Wartawan kanan UTUSAN BORNEO, ABD NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang mewawancara Razak Haji Rakunman melalui aplikasi whatsApp mengenai pengalaman ketika zaman persekolahan, kerjaya seterusnya penglibatannya dalam NGO. Ikuti petikan wawancara bersama beliau:



UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang tuan? Tarikh dan tempat lahir? Anak ke berapa dalam keluarga?

RAZAK HAJI RAKUNMAN: Saya anak kampung. Lahir di kampung Tamau pada 15 Feb 1964. Saya Anak kedua dari 6 orang adik beradik dari sebuah keluarga petani. Ayah saya Haji Rakunman Mantar manakala ibu saya Hajah Maimunah@ Tiarmin Rashid.

UB: Dimana tuan mendapat pendidikan awal? Tahun berapa?
RAZAK:  Saya masuk darjah 1 di SRK Tamau pada Januari 1971 sehingga  tamat darjah enam pada tahun 1975.

UB: Masih ingat nama-nama guru di SRK Tamau ketika tuan belajar di sana?
RAZAK: Guru besar masa itu Mohd Yusof. Antara guru-guru yang mengajar ialah Cikgu Datu Moksan Alang, Cikgu Akrin Agap, Cikgu Ujud Haji Ali @ Haji Hanafiah,, Cikgu Ady Mulong, Cikgu Saripah Saribatin, Cikgu Maslin Jari, Cikgu Perang,, Ustaz Hassan dan Ustaz Abd Aziz Rezab.

UB: Dimana tuan mendapat pendidikan menengah?
RAZAK: Pada awalnya saya masuk tingkatan satu di SMK Tuan Gusi pada Januari 1976. Alhamdulillah Yayasan Sabah menberi tajaan biasiswa belajar di Malaya. Jadi, pada Februari 1976, saya masuk Sekolah  Menengah  Abdul Rahman Talib @ SMART Kuantan sehingga peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 1980. Namun kelulusan kurang baik. Kemudian saya menyambung pelajaran dalam tingkatan 6 di Maktab Adabi Pahang Kuantan  pada tahun 1981 hingga 1982.



UB: Siapa siapa rakan sekolah dari Sabah sewaktu belajar di SMART?
RAZAK: Ramai. Antara senior saya ialah Prof Datuk Sharif Omang, Datuk Abu Bakar Abbas, Prof Joseph Kayung, Waily Harim. Manakala rakan seangkatan ialah sembilan orang seperti Mohd Tan Bacho, Pengetua SMK Sandakan,Surijana Palatui @ Rusdy, Yusof Hassan, Palatui dan lain-lain.  Junior saya pula ialah Datuk Isnin Aliasnih, kini ADUN Klias, Damit Palawan,anak Iranun dari Menggatal,kerja di Kastam PoltumanSuria, kerja di Suruhanjaya Koperasi dan ramai lagi.


Sementara di Maktab Adabi, antara rakan senior saya ialah Japiril Suhaimin, Tukimin Tulus, Maime Galimun dan lain-lain. Rakan seangkatan, Datuk Dr Mohd Kassim Haji Ibrahim,Arbi Alip, Paulin Pinsu, Abd Muda Ajak.

UB: Apa perasaan tuan ketika kali pertama berjauhan dengan keluarga?
RAZAK:  Perasaan.., memang seronok. Bila saya ke Kuantan satu bandar yang punya bermacam kemudahan  berbanding dengan kampung masa itu yang tidak punya apa apa, memang seronok.  Belajar berlampukan letrik, makanan tersedia pagi hingga ke malam, tidur atas katil bertilam yang saya belum rasai sebelumnya, saya dapat sesuaikan diri dan  tidak terlalu rindu kampung. Namun masa suasana raya, semua pelajar balik ke kampung masing  masing.  Di sinilah perasaan berjauhan dirasai.

UB: Bagaimana tuan berhubung dengan keluarga? Berapa kali balik Sabah dalam setahun?
RAZAK:  Alhamdulillah arwah ayah boleh menulis jawi. Beliau selalu kirim surat pada saya.  Beliau banyak bercerita soal pelajaran dan semangat. Oleh kerana saya tidak pandai baca jawi, apa lagi cara beliau eja ikut bahasa pasar maka lama saya dapat faham. Syukur dengan surat  surat beliau tersebut akhirnya saya boleh membaca jawi hingga kini. Balik ke Sabah, setahun sekali iaitu setiap cuti panjang penggal ketiga.



UB: Mungkin ada pengalaman pahit manis sepanjang bersekolah di Semenanjung?
RAZAK:  Kalau kisah pahit dan manis.  Memang banyak. Antara kenangan pahit ialah terpaksa beli pisau kerana ancaman pelajar lain. Tiada  saudara, jadi saya terpaksa pertahankan diri . Selain itu, tuan pengetua paksa mengaku masih  merokok kerana kononnya  kawan kawan yang ditangkap kata begitu. Saya dirotan  di depan kelas semasa 16 Mei 1980 oleh Pengetua. Akhirnya kes ditarik balik kerana salah lapor oleh guru disiplin...banyak kenangan sebenarnya. Antara kenangan manis pula, saya pernah menjadi wakil Sekolah dalam bidang sukan. Kami pernah menjadi juara ragbi Pahang bawah 19 tahun pada 1982 dan pernah menjadi wakil kuiz. Satu lagi kenangan manis apabila  bertemu kawan kawan  dari Sabah semasa perkampungan Yayasan Sabah, lawatan ke ibu negara Kuala Lumpur, Tugu Negara. Muzium Negara,Masjid Negara dan lain-lain. Di  Pulau  Pinang, kami melawat Bukit Bendera, taman luar  dan lain-lain. Saya juga  dapat undangan berhari raya di rumah keluarga angkat.

UB: Siapa yang paling banyak memberikan galakan dalam pelajaran?
RAZAK: Arwah ayah dan guru guru serta rakan rakan sekelas. Masih berhubung dengan mereka lagi Walau pun terpisah lama.


UB: Selepas tamat sekolah dimana tuan bekerja?
RAZAK: Selepas tamat STPM  dengan  sijil penuh, saya kerja tidak terus ke universiti. Kemiskinan keluarga memaksa saya kerja. Ada adik adik empat orang yang masih bersekolah dan abang tua masih belajar di luar negara. Arwah ayah makin kurang pendapatannya. Saya mula kerja di BBMB  (Bank Bumiputera Malaysia Berhad)  pada 1 Feb  hingga 15 Mac1983 sebagai kerani akaun. Pada Mac 1983, saya  dapat tawaran kerani dari JKM  dan ditempatkan di Jabatan Perkhidmatan Perubatan Sabah. Bila STPM keluar dan lulus sijil penuh, maka saya berpeluang menjawat jawatan Pegawai Kerja B11 mulai November 1983 sehingga Januari  1986.


UB: Bila tuan berangkat ke Amerika untuk melanjutkan pelajaran?
RAZAK: Pada 4 Januari , saya dapat cuti tanpa gaji  untuk melanjutkan pelajaran ke Southern Illinois University at Carbondale (SIUC) Amerika Syarikat.

UB: Apa pengalaman ketika belajar di Amerika?
RAZAK: Banyak pengalaman yang ditempuhi. Dari SRK sehingga ke SMK, saya 0 English, bila sampai di Amerika banyak guna tangan untuk berhubung. Pengalaman yang besar ialah apabila terpilih menjadi Presiden Persatuan Pelajar Malaysia di universiti. Walau tidak `cun’ english, boleh berhubung dengan baik dengan persatuan lain bagi melakukan aktiviti bersama. Salah satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan, ketika baru sampai, ialah alat pemanas rumah rosak ketika pagi sedangkan di luar rumah bersuhu beku. Habis semua selimut tebal saya pakai termasuk selimut kawan serumah  arwah Dr Pg Abu Bakrin Pg Omar orang Benoni (moga roh arwah bersama-sama dengan orang yang beriman). Sejuknya bukan kepalang. Dan pengalaman bekerja sebagai tukang sapu di Universiti  hampir 3 tahun, tentu pengalaman yang sukar dicari.

UB: Masa itu, siapa siapa pelajar Sabah di SIU?
RAZAK: Antara senior saya Datuk Seri Panglima Dr Hasbollah Mohd Taha, Datuk Jame Alip, Arwah Matlin Jadi, Gafar Madin dan lain-lain. Rakan seangkatan pula ialah Datuk Mohd Daud Tampokong, Ellen Ampau, Mohd Noor Ahmad dan lain-lain.
UB: Selepas pulang ke Sabah, dimana tuan bekerja?
RAZAK:  Selepas balik dari USA pada Jun 1990, saya tidak melaporkan diri untuk bertugas(cuti tanpa gaji dari JKM). Kebetulan mood PRU saya ikut kempen parti AKAR pro BN tapi pembangkang di Sabah. Selepas kempen saya bertugas di CDC mulai Julai 1990 kalau tidak silap. 1 April 1991 saya ditawarkan Penolong Pengarah Jabatan Perhutanan Sabah di Sandakan.

UB: Boleh ceritakan pengalaman kerjaya sehingga menamatkan perkhidmatan dalam kerajaan?
RAZAK: Di Jabatan Perhutanan Sabah,  banyak tempat saya ditempatkan. Pada mulanya di ibu pejabat Perhutanan di Sandakan.  Saya juga ditempatkan di Darmakot Forest Reserve bersama GTZ Germany. Saya ditugaskan sebagai Pegawai Perhutanan Daerah Tambunan, Sook dan Keningau. Yang terakhir di Pusat Penyelidikan Perhutanan Sepilok. Oleh kerana mempertahankan prinsip bersama sama rakan rakan lain yang mempertahankan bekas Pengarah Tuan Haji Ag Tengah Ag Amin saya berhenti dari kerajaan secara notis 24 jam pada Julai 1998(harap tidak silap)

UB: Apa kegiatan tuan selepas bersara dari kerajaan? Apa NGO yang tuan pimpin?
RAZAK:  Saya tidak bersara. Selepas berhenti kerja, saya ikut politik pembangkang PBS sehingga dipecat kerana ikut bertanding. Kini saya AJK Bahagian UMNO Kota Belud.
Dalam kegiatan NGO, saya ialah  Presiden Persatuan Mantan Pelajar Tajaan Yayasan Sabah(MAYA), Presiden  Persatuan Graduan Iranun Sabah(PAGISA), Presiden Bekas Pelajar SK TAMAU Kota Belud(BETA) dan Pengerusi KRT Kampung Tamau  Kota Belud.






UB: Apa cita cita tuan ketika masih kanak kanak?
RAZAK: Masa kanak kanak tidak timbul cita cita.  Masa sekolah menengah baru ada angan angan mahu jadi doktor melihat sukarnya bila ke hospital waktu itu.

UB: Apa pesan tuan kepada generasi muda?
RAZAK:  Generasi muda kini memang banyak cabaran berbanding kami dulu.  Dulu TV tiada kini ada ditangan dengan telefon pintar.  Perhubungan dulu amat sukar kerana prasarana tidak banyak. Kini hanya dijari dan skrin boleh melihat dunia. Oleh itu generasi muda kini kena banyak ilmu dan jati diri kena perlu teguh bagi menghadapi dunia serba moden ini. Berpegang sentiasa pada ajaran Agama, insya Allah tidak akan terjebak pada perkara yang salah dan merugikan.


UB: Terima kasih kerana sudi diwawancara untuk ruangan Sembang Sabtu, Utusan Borneo.
RAZAK:Terima kasih atas temubual ini. Doa moga saudara terus berjaya dalam karier saudara.  Amin

Sabtu, 6 Jun 2020

YUSUF SURYANEGARA SENTIASA INGAT PESAN ORANG TUA

Tags
YUSUF SURYANEGARA SENTIASA INGAT PESAN ORANG TUA
-dulu bercita-cita menjadi penulis fiksyen, kini menjadi seorang diplomat

“HIDUP secara jujur dan berusaha menjadi orang baik, kerana dengan menjadi orang jujur dan baik maka hidup menjadi tenteram”. Ke manapun beliau pergi, pesan dan nasihat orang tuanya sentiasa diingati dan jadi panduan bagi dirinya. Sebagai diplomat, beliau pernah ditugaskan di Chicago Amerika Syarikat, Jeddah Arab Saudi, Doha Qatar sebelum ditugaskan sebagai konsul di Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Kota Kinabalu mulai Februari 2019. “Waktu muda saya bercita-cita menjadi seorang penulis fiksyen,Namun ternyata saya menyadari saya tidak memiliki bakat menulis,” katanya . Saya tidak pernah menyangka menjadi seorang diplomat, katanya kepada Utusan Borneo.



YUSUF SURYANEGARA dilahirkan di Purwokerto,  sebuah kota kecil di Jawa Tengah pada 7 April 1966.  Beliau adalah anak bungsu dari 3 bersaudara. Beliau mendapat pendidikan awal hingga peringkat universiti di kota kelahirannya. Selepas lulus di Universitas Jenderal Soedirman Purwokerto  bulan Jun tahun 1991,beliau memulakan karier diplomatik pada tahun 1992.

Sebelum ini, beliau pernah  ditugaskan di Konsulat Jenderal Republik Indonesia di Chicago, USA sampai tahun 2001. Selanjutnya ditugaskan di  Konsulat  Jenderal RI di Jeddah Saudi Arabia pada tahun 2004-2008, dan kemudian ditugaskan di Kedutaan Besar RI di Doha Qatar pada tahun 2012-2016 dan kini ditugaskan di Konsulat Jenderal Republik Indonesia Kota Kinabalu sejak 1 Februari 2019.Beliau mendirikan rumahtangga dengan Iswanti dan dikurniakan dua cahayamata iaitu Iliana Rahmahani Suryanegara dan Evelyn Damayanti Suryanegara.






BERSAMA KELUARGA…Yusuf bersama isteri dan anak tercinta

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang mewawancara Pak Yusuf Suryanegara melalui aplikasi whatsApp di Kota Kinabalu. Ikuti petikan wawancara berkaitan pengalaman beliau bertugas di luar negara, pengalaman ketika mula bertugas di Kota Kinabalu dan sebagainya.



UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latarbelakang bapak? Tempat dan tanggal lahir? Anak ke berapa dalam keluarga?

YUSUF SURYANEGARA: Saya lahir di sebuah kota kecil di Jawa Tengah yang bernama Purwokerto pada tanggal 7 April 1966. Saya anak bungsu dari 3 bersaudara. Ayah saya, Hadjid Zuhdi  dan ibu saya, Sri Sugiyarti adalah  seorang guru.

UB: Dimana bapak mendapat pendidikan awal? Pendidikan menengah?
PAK YUSUF: Saya menyelesaikan pendidikan dari sekolah dasar sampai dengan universiti di kota Purwokerto.

UB: Selepas itu dimana  bapak melanjutkan kuliah?
PAK YUSUFSaya menempuh perkuliahan di Universitas  Jenderal Soedirman Purwokerto dan lulus pada bulan Jun tahun 1991.

UB: Sejak bila bapak memasuki perkhidmatan diplomatik?
PAK YUSUF:Saya mulai berkhidmat dalam perkhidmatan diplomatik pada tahun 1992.

UB: Dimana bapak ditugaskan buat kali pertama?
PAK YUSUF: Penugasan kali pertama ialah pada awal tahun 1997  di Konsulat Jenderal RI di Chicago, USA sampai tahun 2001. Selanjutnya saya ditugaskan di  Konsulat  Jenderal RI di Jeddah Saudi Arabia pada tahun 2004-2008, dan ditugaskan di Kedutaan Besar RI di Doha Qatar pada tahun 2012-2016 dan sekarang ditugaskan di Konsulat Jenderal Republik Indonesia Kota Kinabalu sejak 1 Februari 2019 sampai sekarang.


BERSAMA MENLU…Foto bersama Menteri Luar Indonesia, Ibu Retno Marsudi di Kementerian luar negeri



BERSAMA RAKAN SEJAWAT…Rapat kordinasi kekonsuleran di Abu Dhabi



BERSAMA SAHABAT…Bersama sahabat di Kementerian Luar Negeri

UB: Boleh ceritakan pengalaman menarik ketika bertugas di Chicago?

PAK YUSUF:  Hal menarik yang saya alami saat bertugas di Chicago, Illinois adalah ketika pada tahun 1998 lndonesia mengalami krisis moneter sehingga harus me lay off 50% local staff dan mengurangi jumlah diplomat yang bertugas, sehingga tugas-tugas yang dilaksanakan harus merangkap sebagai petugas protokol, petugas pengamanan dan urusan administrasi.

UB: Penugasan di Kota Kinabalu kali yang ke berapa dalam karier bapak sebagai diplomat?
PAK YUSUF: Penempatan di KJRI Kota Kinabalu adalah penempatan yang ke 4.

UB: Apa pandangan bapak terhadap Sabah?
PAK YUSUF: Sabah sebuah negeri yang sangat indah, perekonomian khususnya sektor eko pelancongannya  (ecotourism) cukup maju dan masyarakatnya sangat ramah.


UB: Mungkin perkara yang menarik sepanjang bertugas di Sabah?
PAK YUSUF: Hal menarik selama bertugas di Sabah adalah jumlah masyarakat lndonesia yang cukup banyak, iaitu sekitar 163,000 orang yang harus dilayani dengan baik,  yang memerlukan pembaharuan pasport serta dokumen keimigrasian dan kekonsuleran lainnya.
Selain itu, para pejabat (pegawai) di Sabah juga sangat kooperatif baik dalam upaya memajukan hubungan kedua dua negara, maupun dalam penyelesaian urusan ketenagakerjaan, keimigrasian dan kekonsuleran



BERSAMA PEGUAM NEGERI….Bersama Peguam Besar Negeri Sabah,Datuk Hajah Zaleha Rose Datuk Haji Pandin dan Konsul Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Kota Kinabalu, Krishna Djelani.

UB: Ada kendala atau masalah dari segi bahasa?
PAK YUSUF: Tidak ada masalah dari segi bahasa kerana bahasa lndonesia dan bahasa Melayu adalah sama dan serumpun.

UB: Apa hobi bapak di masa terluang?
PAK YUSUF: Waktu luang saya suka memancing dan memelihara ikan hias di rumah.

UB: Siapa yang paling berpengaruh dalam hidup bapak?
PAK YUSUF: Orang yang paling berpengaruh dalam hidup saya adalah lbu dan ayah saya yang selalu menasihatkan agar hidup secara jujur dan berusaha menjadi orang baik, kerana dengan menjadi orang jujur dan baik maka hidup menjadi tenteram.

UB: Apa cita-cita bapak sewaktu kecil? Pernah terfikir jadi seorang diplomat?
PAK YUSUF: Waktu muda saya bercita cita menjadi seorang penulis cerita fiksi, namun ternyata saya menyadari saya tidak memiliki bakat menulis.

UB: Apa prinsip hidup bapak?
PAK YUSUF: Prinsip hidup saya adalah jujur dan berusaha menjadi orang yang lebih baik.

UB: Mungkin ada pengalaman pahit manis sepanjang bertugas di luar negeri?
PAK YUSUF: Antara pengalaman manis selama bertugas di luar negeri. Ketika Di Chicago, saya pernah mempersiapkan kunjungan Presiden Gus Dur ke Ozark College, sewaktu di Jeddah pula, saya pernah mempersiapkan kunjungan  Presiden Susilo Bambang Yudhoyono melaksanakan ibadah Umrah, pernah mendampingi Bapak BJ Habibie mengerjakan Umrah dan mempersiapkan kunjungan Ibu Megawati  menunaikan ibadah Umrah. dan sewaktu di Kedutaan Besar RI di Doha, saya mempersiapkan Kunjungan Kenegaraan Presiden Joko Widodo ke Qatar.


DI QATAR…Ketika menyambut ketibaan Presiden Jokowi dalam kunjungannya ke Doha, Qatar


Pengalaman sedihnya sewaktu saya bertugas di Kedutaan Besar RI di Doha, pada saat ayah dan ibu saya wafat, namun saya tidak dapat kembali ke lndonesia kerana sedang bertugas.

UB: Ayah dan ibu meninggal sakit apa? Berapa umur ?
PAK YUSUF: Ayah dan ibu meninggal kerana berumur. Ayah meninggal berumur 88 tahun dan ibu meninggal berumur 84 tahun

UB:  Siapa tokoh tokoh nasional dari Purwokerto pak?
PAK YUSUF: Antaranya  Jenderal Soedirman tokoh pejuang Kemerdekaan lndonesia. Itulah sebabnya menjadi nama universiti di Purwokerto.

 UB: Oh ya? Siapa idola bapak ya?
PAK YUSUF: Gus Dur.... beliau bisa mempersatukan dari berbagai golongan dan agama

UB:  Apa makanan kegemaran bapak?
PAK YUSUF: Saya penggemar sayur lodeh dan sambal terasi.

UB:  Terima kasih banyak pak. Moga bermanfaat.
PAK YUSUF:  Terima kasih atas budi baik Bapak. Semoga Allah Ta'ala memberkahi Bapak 

TERSIAR DI SURATKHABAR UTUSAN BORNEO SABAH MALAYSIA 06 JUN 2020