Sabtu, 13 Jun 2020

GENERASI MUDA PERLU BANYAK ILMU DAN JATI DIRI: RAZAK HAJI RAKUNMAN

Tags

GENERASI MUDA PERLU BANYAK ILMU DAN JATI DIRI: RAZAK HAJI RAKUNMAN

SAYA anak kampung, katanya merendah diri. Namun bakatnya dalam kepimpinan terserlah apabila terpilih sebagai Presiden Persatuan Graduan Iranun Sabah (PAGISA). Beliau juga adalah Presiden Persatuan Mantan Pelajar Tajaan Yayasan Sabah (MAYA).Jauh sebelum itu, beliau juga pernah menjadi Presiden Persatuan Pelajar Malaysia sewaktu beliau menuntut di SIUC, Amerika Syarikat. Sebagai anak kampung, kini beliau balik kampung untuk berbakti kepada masyarakat. Beliau adalah Presiden Bekas Pelajar SK Tamau Kota Belud (Beta) dan Pengerusi KRT Kampung Tamau, Kota Belud sambil terus  berbakti kepada masyarakat.



RAZAK HAJI RAKUNMAN dilahirkan di kampung Tamau Kota Belud  pada 15 Februari 1964. Beliau mendapat pendidikan awal di SRK Tamau (1971-1975) dan kemudian menuntut di Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib (SMART) Kuantan Pahang (1976-1980), Maktab Adabi Pahang (1981-1982). Selepas lulus STPM,beliau bertugas  di BBMB  (Bank Bumiputera Malaysia Berhad) (1 Feb-15 Mac 1983), Jabatan  Perkhidmatan Perubatan Sabah !983-1986). Kemudian beliau melanjutkan pelajaran dalam bidang Perhutanan di  Southern Illinois University at Carbondale (SIUC) Amerika Syarikat (1986-1990) . Selepas itu, beliau bertugas di CDC Sembulan  (Julai 1990-Mac 1991).Beliau ditawarkan sebagai sebagai  Penolong Pengarah Jabatan Perhutanan Sabah di Sandakan mulai 1 April 1990 hingga Julai 1998.Di Jabatan Perhutanan Sabah,  beliau ditempatkan di ibu pejabat Perhutanan di Sandakan, Darmakot Forest Reserve bersama GTZ Germany dan kemudianditugaskan sebagai Pegawai Perhutanan Daerah Tambunan, Sook dan Keningau dan yang terakhir di Pusat Penyelidikan Perhutanan Sepilok.

Wartawan kanan UTUSAN BORNEO, ABD NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang mewawancara Razak Haji Rakunman melalui aplikasi whatsApp mengenai pengalaman ketika zaman persekolahan, kerjaya seterusnya penglibatannya dalam NGO. Ikuti petikan wawancara bersama beliau:



UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang tuan? Tarikh dan tempat lahir? Anak ke berapa dalam keluarga?

RAZAK HAJI RAKUNMAN: Saya anak kampung. Lahir di kampung Tamau pada 15 Feb 1964. Saya Anak kedua dari 6 orang adik beradik dari sebuah keluarga petani. Ayah saya Haji Rakunman Mantar manakala ibu saya Hajah Maimunah@ Tiarmin Rashid.

UB: Dimana tuan mendapat pendidikan awal? Tahun berapa?
RAZAK:  Saya masuk darjah 1 di SRK Tamau pada Januari 1971 sehingga  tamat darjah enam pada tahun 1975.

UB: Masih ingat nama-nama guru di SRK Tamau ketika tuan belajar di sana?
RAZAK: Guru besar masa itu Mohd Yusof. Antara guru-guru yang mengajar ialah Cikgu Datu Moksan Alang, Cikgu Akrin Agap, Cikgu Ujud Haji Ali @ Haji Hanafiah,, Cikgu Ady Mulong, Cikgu Saripah Saribatin, Cikgu Maslin Jari, Cikgu Perang,, Ustaz Hassan dan Ustaz Abd Aziz Rezab.

UB: Dimana tuan mendapat pendidikan menengah?
RAZAK: Pada awalnya saya masuk tingkatan satu di SMK Tuan Gusi pada Januari 1976. Alhamdulillah Yayasan Sabah menberi tajaan biasiswa belajar di Malaya. Jadi, pada Februari 1976, saya masuk Sekolah  Menengah  Abdul Rahman Talib @ SMART Kuantan sehingga peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 1980. Namun kelulusan kurang baik. Kemudian saya menyambung pelajaran dalam tingkatan 6 di Maktab Adabi Pahang Kuantan  pada tahun 1981 hingga 1982.



UB: Siapa siapa rakan sekolah dari Sabah sewaktu belajar di SMART?
RAZAK: Ramai. Antara senior saya ialah Prof Datuk Sharif Omang, Datuk Abu Bakar Abbas, Prof Joseph Kayung, Waily Harim. Manakala rakan seangkatan ialah sembilan orang seperti Mohd Tan Bacho, Pengetua SMK Sandakan,Surijana Palatui @ Rusdy, Yusof Hassan, Palatui dan lain-lain.  Junior saya pula ialah Datuk Isnin Aliasnih, kini ADUN Klias, Damit Palawan,anak Iranun dari Menggatal,kerja di Kastam PoltumanSuria, kerja di Suruhanjaya Koperasi dan ramai lagi.


Sementara di Maktab Adabi, antara rakan senior saya ialah Japiril Suhaimin, Tukimin Tulus, Maime Galimun dan lain-lain. Rakan seangkatan, Datuk Dr Mohd Kassim Haji Ibrahim,Arbi Alip, Paulin Pinsu, Abd Muda Ajak.

UB: Apa perasaan tuan ketika kali pertama berjauhan dengan keluarga?
RAZAK:  Perasaan.., memang seronok. Bila saya ke Kuantan satu bandar yang punya bermacam kemudahan  berbanding dengan kampung masa itu yang tidak punya apa apa, memang seronok.  Belajar berlampukan letrik, makanan tersedia pagi hingga ke malam, tidur atas katil bertilam yang saya belum rasai sebelumnya, saya dapat sesuaikan diri dan  tidak terlalu rindu kampung. Namun masa suasana raya, semua pelajar balik ke kampung masing  masing.  Di sinilah perasaan berjauhan dirasai.

UB: Bagaimana tuan berhubung dengan keluarga? Berapa kali balik Sabah dalam setahun?
RAZAK:  Alhamdulillah arwah ayah boleh menulis jawi. Beliau selalu kirim surat pada saya.  Beliau banyak bercerita soal pelajaran dan semangat. Oleh kerana saya tidak pandai baca jawi, apa lagi cara beliau eja ikut bahasa pasar maka lama saya dapat faham. Syukur dengan surat  surat beliau tersebut akhirnya saya boleh membaca jawi hingga kini. Balik ke Sabah, setahun sekali iaitu setiap cuti panjang penggal ketiga.



UB: Mungkin ada pengalaman pahit manis sepanjang bersekolah di Semenanjung?
RAZAK:  Kalau kisah pahit dan manis.  Memang banyak. Antara kenangan pahit ialah terpaksa beli pisau kerana ancaman pelajar lain. Tiada  saudara, jadi saya terpaksa pertahankan diri . Selain itu, tuan pengetua paksa mengaku masih  merokok kerana kononnya  kawan kawan yang ditangkap kata begitu. Saya dirotan  di depan kelas semasa 16 Mei 1980 oleh Pengetua. Akhirnya kes ditarik balik kerana salah lapor oleh guru disiplin...banyak kenangan sebenarnya. Antara kenangan manis pula, saya pernah menjadi wakil Sekolah dalam bidang sukan. Kami pernah menjadi juara ragbi Pahang bawah 19 tahun pada 1982 dan pernah menjadi wakil kuiz. Satu lagi kenangan manis apabila  bertemu kawan kawan  dari Sabah semasa perkampungan Yayasan Sabah, lawatan ke ibu negara Kuala Lumpur, Tugu Negara. Muzium Negara,Masjid Negara dan lain-lain. Di  Pulau  Pinang, kami melawat Bukit Bendera, taman luar  dan lain-lain. Saya juga  dapat undangan berhari raya di rumah keluarga angkat.

UB: Siapa yang paling banyak memberikan galakan dalam pelajaran?
RAZAK: Arwah ayah dan guru guru serta rakan rakan sekelas. Masih berhubung dengan mereka lagi Walau pun terpisah lama.


UB: Selepas tamat sekolah dimana tuan bekerja?
RAZAK: Selepas tamat STPM  dengan  sijil penuh, saya kerja tidak terus ke universiti. Kemiskinan keluarga memaksa saya kerja. Ada adik adik empat orang yang masih bersekolah dan abang tua masih belajar di luar negara. Arwah ayah makin kurang pendapatannya. Saya mula kerja di BBMB  (Bank Bumiputera Malaysia Berhad)  pada 1 Feb  hingga 15 Mac1983 sebagai kerani akaun. Pada Mac 1983, saya  dapat tawaran kerani dari JKM  dan ditempatkan di Jabatan Perkhidmatan Perubatan Sabah. Bila STPM keluar dan lulus sijil penuh, maka saya berpeluang menjawat jawatan Pegawai Kerja B11 mulai November 1983 sehingga Januari  1986.


UB: Bila tuan berangkat ke Amerika untuk melanjutkan pelajaran?
RAZAK: Pada 4 Januari , saya dapat cuti tanpa gaji  untuk melanjutkan pelajaran ke Southern Illinois University at Carbondale (SIUC) Amerika Syarikat.

UB: Apa pengalaman ketika belajar di Amerika?
RAZAK: Banyak pengalaman yang ditempuhi. Dari SRK sehingga ke SMK, saya 0 English, bila sampai di Amerika banyak guna tangan untuk berhubung. Pengalaman yang besar ialah apabila terpilih menjadi Presiden Persatuan Pelajar Malaysia di universiti. Walau tidak `cun’ english, boleh berhubung dengan baik dengan persatuan lain bagi melakukan aktiviti bersama. Salah satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan, ketika baru sampai, ialah alat pemanas rumah rosak ketika pagi sedangkan di luar rumah bersuhu beku. Habis semua selimut tebal saya pakai termasuk selimut kawan serumah  arwah Dr Pg Abu Bakrin Pg Omar orang Benoni (moga roh arwah bersama-sama dengan orang yang beriman). Sejuknya bukan kepalang. Dan pengalaman bekerja sebagai tukang sapu di Universiti  hampir 3 tahun, tentu pengalaman yang sukar dicari.

UB: Masa itu, siapa siapa pelajar Sabah di SIU?
RAZAK: Antara senior saya Datuk Seri Panglima Dr Hasbollah Mohd Taha, Datuk Jame Alip, Arwah Matlin Jadi, Gafar Madin dan lain-lain. Rakan seangkatan pula ialah Datuk Mohd Daud Tampokong, Ellen Ampau, Mohd Noor Ahmad dan lain-lain.
UB: Selepas pulang ke Sabah, dimana tuan bekerja?
RAZAK:  Selepas balik dari USA pada Jun 1990, saya tidak melaporkan diri untuk bertugas(cuti tanpa gaji dari JKM). Kebetulan mood PRU saya ikut kempen parti AKAR pro BN tapi pembangkang di Sabah. Selepas kempen saya bertugas di CDC mulai Julai 1990 kalau tidak silap. 1 April 1991 saya ditawarkan Penolong Pengarah Jabatan Perhutanan Sabah di Sandakan.

UB: Boleh ceritakan pengalaman kerjaya sehingga menamatkan perkhidmatan dalam kerajaan?
RAZAK: Di Jabatan Perhutanan Sabah,  banyak tempat saya ditempatkan. Pada mulanya di ibu pejabat Perhutanan di Sandakan.  Saya juga ditempatkan di Darmakot Forest Reserve bersama GTZ Germany. Saya ditugaskan sebagai Pegawai Perhutanan Daerah Tambunan, Sook dan Keningau. Yang terakhir di Pusat Penyelidikan Perhutanan Sepilok. Oleh kerana mempertahankan prinsip bersama sama rakan rakan lain yang mempertahankan bekas Pengarah Tuan Haji Ag Tengah Ag Amin saya berhenti dari kerajaan secara notis 24 jam pada Julai 1998(harap tidak silap)

UB: Apa kegiatan tuan selepas bersara dari kerajaan? Apa NGO yang tuan pimpin?
RAZAK:  Saya tidak bersara. Selepas berhenti kerja, saya ikut politik pembangkang PBS sehingga dipecat kerana ikut bertanding. Kini saya AJK Bahagian UMNO Kota Belud.
Dalam kegiatan NGO, saya ialah  Presiden Persatuan Mantan Pelajar Tajaan Yayasan Sabah(MAYA), Presiden  Persatuan Graduan Iranun Sabah(PAGISA), Presiden Bekas Pelajar SK TAMAU Kota Belud(BETA) dan Pengerusi KRT Kampung Tamau  Kota Belud.






UB: Apa cita cita tuan ketika masih kanak kanak?
RAZAK: Masa kanak kanak tidak timbul cita cita.  Masa sekolah menengah baru ada angan angan mahu jadi doktor melihat sukarnya bila ke hospital waktu itu.

UB: Apa pesan tuan kepada generasi muda?
RAZAK:  Generasi muda kini memang banyak cabaran berbanding kami dulu.  Dulu TV tiada kini ada ditangan dengan telefon pintar.  Perhubungan dulu amat sukar kerana prasarana tidak banyak. Kini hanya dijari dan skrin boleh melihat dunia. Oleh itu generasi muda kini kena banyak ilmu dan jati diri kena perlu teguh bagi menghadapi dunia serba moden ini. Berpegang sentiasa pada ajaran Agama, insya Allah tidak akan terjebak pada perkara yang salah dan merugikan.


UB: Terima kasih kerana sudi diwawancara untuk ruangan Sembang Sabtu, Utusan Borneo.
RAZAK:Terima kasih atas temubual ini. Doa moga saudara terus berjaya dalam karier saudara.  Amin