Isnin, 20 Julai 2020

BSLS PUSAT KECEMERLANGAN SENI KEBANGGAAN SABAH

Tags

BSLS PUSAT KECEMERLANGAN SENI KEBANGGAAN SABAH
Oleh ABD NADDIN HAJI SHAIDDIN

Balai Seni Lukis Sabah (BSLS) dibuka hampir setiap hari mulai jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang kecuali cuti umum. Tetapi tidak ramai yang tahu bahawa terdapat lebih 3,000 koleksi karya seni berupa lukisan, arca, ukiran dan sebagainya di BSLS. Sebanyak 1,600 adalah koleksi Gred A iaitu karya yang bermutu tinggi.
Sebahagiannya dipamerkan untuk orang ramai khususnya pengkarya dan peminat seni di BSLS.
Nilainya mencecah RM10 juta tetapi yang lebih penting dalam karya-karya pelukis tempatan itu ialah khazanah pemikiran,gambaran mengenai kehidupan,keindahan alam, tafsiran terhadap sesuatu peristiwa, imaginasi masa depan dan sebagainya.
Malah sesebuah negara dianggap maju dan mementingkan peradaban manusia jika ia memiliki khazanah seni. Pengunjung atau pelancong dari jauh dan dekat, terutamanya peminat seni, sudah pasti mahu diajak berkunjung ke BSLS, yang menempatkan galeri seni terbesar di negeri ini.

Bangunan berbentuk wakid yang didirikan di atas 1.7 hektar tanah, kira-kira 10 minit dari pusat kota,ibuka dengan rasminya pada 9 November 2013 oleh Ketua Menteri Sabah ketika itu, Datuk Seri Musa Haji Aman.
Pembinaan bangunan BSLS siap sepenuhnya pada 2012. Sebelum ini, BSLS terletak bersebelahan bangunan muzium Sabah. Diasaskan oleh Datuk Mohd Yaman Haji Ahmad Mus pada 1984, BSLS adalah kebanggaan seniman dan pelukis dan mampu menjadi salah satu ikon di ibu negeri.

“Dalam era kehidupan global yang pesat membangun, saya berharap kita mengambil masa sejenak untuk menghargai dan menikmati keindahan yang terdapat di sekeliling kita melalui karya-karya kreatif para artis,” kata Puan Jennifer P Linggi, pengurus dan kurator BSLS sebelum dilantik sebagai Timbalan Pengurus Besar Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS).

Tugas Kurator BSLS kini digalas oleh Puan Eva Baggai. Ketika berkunjung ke BSLS, Eva memberitahu, terdapat lebih 30 aktiviti yang dadakan BSLS setahun. Selain pameran, turut diadakan ialah seminar, pertandingan, bengkel seni dan sebagainya.
BSLS adalah perintis bangunan hijau pertama di Sabah. Motif yang terdapat dalam seni bina BSLS adalah gabungan motif tradisi Dusun, Murut, Bajau, Iranun dan Rungus. Sebagai bangunan mesra alam, BSLS diharapkan menjadi pusat seni kreatif yang boleh dinikmati semua orang.
Antara misi BSLS ialah mempromosi seni visual etnik, menggalak dan membangun  kreativiti Seni Artisik, meningkatkan kepekaan dan apresiasi seni dan meningkatkan nilai ekonomi seni. Matlamatnya ialah menjadikan sabah Pusat Kecemerlangan Seni Visual Etnik di Malaysia menjelang 2020.
Kini kita sudah pun berada dalam pertengahan tahun 2020 dan BSLS sudah berusia lapan tahun sejak ia dibina.
“Minat pelukis Sabah dalam menghasilkan karya tidak lentur walaupun berhadapan wabak COVID-19”, kata Eva.
Buktinya penyertaan yang diterima dalam Pameran Karya PKP lebih 400 penyertaan. Padahal biasanya yang diterima kira-kira 150 karya saja.
Ini menunjukkan bahawa pelukis dan seniman terus berkarya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini memasuki era Perintah Kawasan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Pameran Karya PKP  bermula pada 1 Julai hingga 31 Oktober terbuka kepada orang ramai. Masuk percuma hingga 31 Julai. Tetapi untuk pekerja Barisan Hadapan (frontliners) , masuk percuma hingga Disember 2020 sebagai bentuk penghargaan terhadap pengorbanan dan jasa mereka sepanjang tempoh PKP dan kini PKPP yang dilaksanakan untuk memutuskan rantaian COVID-19.
“Selepas Pameran Karya PKP, BSLS akan mengadakan Karya Pilihan Tahunan Negeri Sabah. Tahun ini adalah yang ke-35 tahun. Program ini adalah program terbesar BSLS dan diadakan sempena Hari Jadi TYT,” kata Eva lagi.


Bangunan BSLS terawat dengan rapi dan bersih. Jawatankuasa Pemasaran dan Korporat LKNS diketuai Ahli Lembaga Pengarah, Hiew Vun Lip memuji tahap penjagaan bangunan LKNS oleh pihak pentadbiran.  Beliau mencadangkan agar lebih banyak aktiviti berkaitan diadakan supaya BSLS sentiasa hidup dan mampu menarik pengunjung untuk melihat karya seni anak tempatan.
Jika ingin menilai sejauhmana ketinggian peradaban negara- negara maju di dunia, tanya di mana galeri seni atau balai seninya. Di Sabah, kalau anda ingin ke sana,  ambil teksi atau grab, dan beritahu tempatnya, di Jalan Penampang, Batu 2, ada bangunan berbentuk wakid, cantik reka bentuknya dan mungkin satu-satunya di dunia.