Isnin, 20 Julai 2020

HAJAH ZAITON HAJI AJAMAIN, NAMA YANG SIGNIFIKAN DALAM SASTERA SABAH

Tags

ZAITON AJAMAIN, NAMA YANG SIGNIFIKAN DALAM SASTERA SABAH
DUNIA Sastera dan bahasa di Sabah sejak dekad 1970-an hingga kini, tidak akan sempurna jika kita terlupa menyebut satu nama yang begitu signifikan iaitu Datuk (Dr) Hajah  Zaiton Haji Ajamain. Beliau mulai menulis sejak 1968 dan sejak itu tidak pernah mangkir dalam lingkungan sastera dan sering hadir, apatah lagi selepas beliau bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah sejak 1977 hingga 2002 dan kemudian berkhidmat di DBP Malaysia sejak 2002 hingga bersara 2010.
Datuk (Dr) Hajah Zaiton Haji Ajamain lahir pada 1 Disember 1952 di Kampung Buang Sayang Papar. Beliau mendapat pendidikan rendah di Tamparuli,Papar, Tuaran dan Kota Belud sementara pendidikan menengah ditempuhinya di Papar, Labuan dan Maktab Sabah di Kota Kinabalu. Beliau memiliki ijazah BA Hons English Language/Linguistics daripada University of Newcastle Upon -Tyne England.

Beliau pernah menjadi guru sementara, penterjemah di Jabatan Ketua Menteri (1973) Jurubahasa (Sambilan) di Dewan Undangan Negeri Sabah ketika menjadi Penolong Pegawai Penerangan di Jabatan Penerangan Malaysia sebelum berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka (Cawangan Sabah) dari 22 November 1977 hingga tahun 2002.Zaiton kemudian naik pangkat dan berpindah tugas di Kuala Lumpur pada tahun 2002-2010.Tugas akhirnya di DBP ialah Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan di Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera (1 Disember 2010). Beliau ialah Munsyi Dewan yang berpengalaman. Semasa bertugas di DBP, beliau menjadi Setiausaha Panel Penilai dan Pemilih SEA Write Awards (Malaysia) (2003-2010) Setiausaha Anugerah Sastera MASTERA (tokoh) Hadiah Sastera MASTERA (Buku), Penghargaan Sasterawan Muda Mastera (2003-2010) Hadiah Sastera Perdana Malaysia (2008-2010), Penolong Setiausaha dan Ketua Urus Setia bagi Anugerah Sasterawan Negara (2003-2010), Anugerah Za’aba MABM. Beliau juga pernah ditugaskan sebagai Setiausaha Majlis Bahasa Brunei-Indonesia-Malaysia (MABBIM) Malaysia dan Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu (JKTBM) serta Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) dan Setiausaha MASTERA Malaysia 2003-2010.
Beliau mula menulis pada tahun 1968 apabila puisi pertamanya “Diplomasimu” tersiar dalam majalah Bornean terbitan Sabah College. Puisi pertama tersiar di akhbar ialah Sepasang Bunga Kembang (Daily Express 27 Julai 1970) dengan menggunakan nama Zarni. Antara nama pena yang digunakan ialah Zaiton Aji, Noraiton Aji, Dang Jijah, dan Siti Zakiahtun.Zaiton menggunakan nama sebenar sejak tahun 1970 dan Ajza Lailatul Farhan sejak 1990.

Beliau dianugerahi Tokoh Penyair Islam Sabah 1995 (DBP-MUIS), Anugerah Kehormat Doctor of Letters (Dr) daripada World Congress of Poets yang beribu pejabat di USA (2013), Anugerah Tokoh Mahrajan Persuratan dan Kesenian Islam Nusantara 2015 (Kerajaan Negeri Sabah), Anugerah Budayawan Wanita Cemerlang daripada Kerajaan Negeri Sabah pada 2018.
Zaiton dikurniai Bintang Setia Kinabalu (BSK) pada 1999 dan Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran “Datuk” sempena Hari Jadi Rasmi TYT Negeri Sabah yang ke-62 pada 2015.
Wartawan kanan UTUSAN BORNEO, ABD NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang mewawancara beliau melalui aplikasi WhatsApp dan emel mengenai pengalaman beliau sewaktu zaman persekolahan, dunia penulisan, kerjaya hinggalah beliau bersara  pada tahun 2010.Ikuti petikan wawancara bersama beliau:
UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang Datuk Hajah? Di mana Datuk mendapat pendidikan awal? Boleh ceritakan suasana persekolahan ketika itu?
DATUK (DR) HAJAH ZAITON HAJI AJAMAIN: Bapa seorang guru.Mama suri rumah. Melalui bapa,mama boleh membaca dan menulis. Boleh juga membaca jawi. Setiap petang, mama akan bercerita  atau bersyair. “Syair Siti Zubaidah”  disampaikan oleh mama setiap petang. Ketika itu, bapa jadi Guru Besar di SRK Tamparuli.Mama menjadi guru saya.Kata mama, umur tiga tahun saya sudah mengenal abjad.Darjah satu saya sudah fasih membaca.Sekolah rendah pertama saya di Tamparuli.Ketika itu, rakan sekelas mungkin berumur lebih enam atau tujuh tahun, saya pula lima tahun.Antara kawan sekolah yang saya ingat ialah Malim Ugau (Datin).
Suasana persekolahan menarik.Ketika itu, bapa wakilkan saya dan adik, Hajah Jamilah untuk sampaikan hadiah. Saya masih ingat ada acara sekolah, biasanya di pentas dibina daripada bambu.Masa rehat, kawan-kawan berlari-lari, main-main, saya pula mama suruh berjualan.Mama buat aiskrim dan bihun goremg.Ketika itu belum ada nasi lemak.
UB: Di manakah Datuk mendapat pendidikan awal?
DHZA: Sebagau anak Guru Besar, saya bersekolah di beberapa tempat bapa bertugas. Pada masa yang sama, setiap kali mama bersalin, ayah wajibkan mesti balik  ke kampung di Kampung Buang Sayang, Papar. Saya anak sulung, ada tujuh orang adik-tujuh kali balik kampung dan bersekolah di SRK Papar.
Saya pernah bersekolah di Papar, Kota Belud dan Tuaran. Kami berada di kampung tahun 1955, 1959,1961, 1962,1968, 1970 dan 1972.
Seingat saya, saya bersekolah di SRK Tamparuli bermula tahun 1957.Pada tahun 1959, saya Darjah Tiga.Ketika bapa menjadi Guru Besar di SRK Pekan Kota Belud, masa itu yang ada ialah saya dan adik yang kedua. Adik adik yang lain belum lahir.
Kami lama di Papar ketika bapa belajar bahasa Inggeris di University College of Technology, Cardiff UK (1961-1963) Ketika itu saya ingat saya menduduki peperiksaan Darjah 6 ketika di GPS Papar (1963).
Zaman saya,selepas Darjah Enam, ada Bridge 1 dan Bridge 2. Bridge 1 saya di Government Junior Secondary School Papar (20 Januari 1964- 3 September 1964). Bapa dipindahkan ke Labuan sebagai Penyelia Sekolah. Saya sambung Bridge 1-II di Labuan. Bapa bertugas di Jabatan Pelajaran Labuan, Saya bersekolah di Government English School Bridge 1 dan II hingga tingkatan 1.
Ketika bapa dipindah ke Kota Belud semula, saya memilih terus tinggal di Kota Kinabalu sebab ketika itu saya nak ambil peperiksaan JCE (1968).Lulus Gred 1, cemerlang dalam bahasa dan sastera Inggeris.
Saya terus menuntut di Sabah College sehingga lulus MCE (1970) dan HSC (1972) Full Certificate.Ketika itu hanya Full certificate dianggap baik.
UB: Siapakah yang paling banyak memberikan dorongan? Boleh ceritakan keadaan persekolahan pada masa itu?
DHZA:  Sekitar tahun 1950-an dan 60-an, semasa saya  berada di sekolah rendah, saya agak kecil.Kawan persekolahan lebih dewasa daripada saya.Ertinya mereka lambat memulakan alam persekolahan.
Saya bersyukur sebab bapa seorang guru.Ketika berumur 11 tahun, saya sudah lulus Darjah Enam sedangkan kawan-kawan lain semacam lebih tua dari saya.saya masih ingat saya selalu dibuli oleh pelajar yang agak tinggi dan mungkin lebih tua daripada saya.Namun demikian, ramai juga sudah bersekolah.
UB: Di mana Datuk Hajah melanjutkan pelajaran menengah?
DHZA: Selepas saya belajar di Labuan, bapa memilih untuk menghantar saya bersekolah di Sabah College Kota Kinabalu Ketika saya di Tingkatan Tiga, bapa dipindah lagi ke Kota Belud.Saya tinggal di asrama.Setiap hari Jumaat, bapa akan ambil saya, hantar saya semula ke asrama setiap Ahad.
Saya terus bersekolah di Maktab Sabah selepas JCE (Sabah Junior Certificate of Education) (1968) iaitu Tingkatan Empat dan Lima (MCE-1970) Lower Six Arts dan Upper Six Arts (HSC-1972).
Bapa mahu saya menjadi guru selepas MCE tetapi saya mohon melanjutkan pelajaran ke Tingkatan Enam sehingga HSC. Keputusan MCE cuma Gred III, saya tak mahu ke Maktab Gaya menjadi guru sebab mahu ke universiti.Masa itu hanya HSC Full Certificate boleh sambung ke universiti.
UB: Siapa rakan-rakan seangkatan Datuk Hajah sewaktu bersekolah di Maktab Sabah?
DHZA: Di Maktab Sabah, ketika saya berada di Tingkatan Empat dan Lima, kami aktif di sekolah. Ketika itu, Sabah College ada Dewan sendiri dan kemudahan pementasan yang lengkap untuk pementasan drama,
Setiap Isnin sebulan sekali setiap tingkatan perlu memilih teks drama bahasa Inggeris untuk dipentaskan.Pementasan itu dinilai oleh seorang guru bahasa Inggeris. Boleh dikatakan Form 1 hingga 6 akan membuat pementasan.
Kawan sedarjah ramai yang aktif ketika itu.Senior saya arwah ABM Fajeer, Datuk Mark Koding, Datuk Lamri Alisaputra, Hashim Jeffrey (tingkatan 6), Arwah Hajah Saerah Haji Antin, junior saya. Kami aktif drama di luar.
Pernah bertanding ke Papar dan kami menjadi Johan Pertandingan Drama antara sekolah juga berlaku sekitar tahun 60-an dan 70-an.Malah ada juga pertandingan tarian, ini disertai oleh arwah Haji Mustapha Kula.  Rakan-rakan juga aktif dalam bidang penulisan.Karya pertama saya tersiar dalam BORNEAN (1968).
Saya minat subjek Kesusasteraan Melayu sejak masih Form 4.Malah saya pernah lawan bahas/debat dengan Tingkatan 6 (masa itu saya tingkatan 5), saya jadi best debator (pendebat terbaik).Ketika itu sebahagian tokoh politik sekarang pernah jadi lawan saya.
Arwah ABM Fajeer senior saya mengajak menerbitkan majalah sastera stensilan.Kami juga bersaing  untuk dapat tempat di akhbar dan radio (Radio Sabah, kini RTM).Jika puisi tersiar di akhbar kami akan bincang. Antara penyair Datuk Lamri Alisaputra, ABM Fajeer, arwah Bujang Abu Bakar dan arwah Haji Mustapha Kula, Arnis (arwah). Cerpen saya tersiar di Radio Sabah.Bayarannya cuma RM22.50
UB: Selepas tamat sekolah menengah, di mana Datuk Hajah melanjutkan pelajaran?
DZHA: Selepas tamat sekolah, saya bekerja dahulu. semasa menunggu keputusan Peperiksaan Tingkatan Lima saya pernah menjadi guru sains (dalam bahasa Inggeris) di SMK Badin Tuaran. Pengalaman itu membuat saya tidak memilih profesion guru seperti impian bapa.Saya fikir menjadi guru adalah satu tanggungjawab berat, penting dan besar.
Pada zaman saya, mudah cari kerja.Semasa menunggu keputusan Tingkatan 6, saya dan kawan-kawan sudah memasang impian menjadi peguam, antara rakan ketika itu Datin Sandralela Tun Mohd Said, Abu Bakar, Datuk Hajah Mariati Robert, Marina Tiu.Hajah Mariati berjaya menjadi Peguam Besar Negeri Sabah.
Selepas Tingkatan 6, saya tidak terus ke universiti. Sebenarnya selepas HSC, saya bertugas sebagai penterjemah di JKM (2 April 1973-27 Ogos 1973).Kawan kawan lain melanjutkan pelajaran ke beberapa universiti tempatan. Permohonan saya untuk mengambil jurusan undang-undang di Universiti Malaya tak dapat.Semasa saya di JKM, saya mendapat biasiswa Kerajaan Negeri untuk melanjutkan pelajaran di England setahun sebelum mengambil jurusan undang-undang. .Dulu-dulu jika belajar di England, Hebat!.Namun, nasib tak menyebelahi saya.Saya kembali bertugas di Jabatan Penerangan (19 Oktober 1974 hingga 21 November 1977). Saya bertanggungjawab menguruskan penerbitan.
Apabila DBP menubuhkan cawangannya di Sabah, saya memohon jawatan Penolong Pegawai Penyelidik, bermulalah kerjaya di DBP.
Ketika di DBP, untuk naik pangkat ke pegawai, ada masa perlu ijazah.Bapa saya yang pada mulanya berharap saya berjaya menjadi peguam merestui hasrat saya untuk menyambung pelajaran. Saya dapat biasiswa Kerajaan Negeri pada tahun 1982.
Menjejakkan kaki ke England setelah berumur ketika 30 tahun bukanlah mudah.Sepatutnya saya menjadi mahasiswi ketika berumur 21 tahun!. Saya telah bekerja hampir 10 tahun, rakan-rakan saya berumur belasan tahun.Sangat sukar, ketika itu saya sudah aktif dalam Anak Seni (sejak tahun 1977). Tahun pertama di University of Newcastle Upon Tyne sangat sukar.Hampir saya balik! Bapa saya kata, jika berhenti, bayar sendiri RM80,000!. Akhirnya, saya bertahan, lahirlah puisi “Nostalgia 1”.
UB: Siapa rakan-rakan dari Malaysia yang sama-sama menuntut di University of Newcastle Upon Tyne?
DZHA: Rakan saya tak ramai, yang lain  muda muda belasan tahun.Apatah lagi saya ambil “English Linguistics”.Kawan dari Malaysia seorang sahaja, Zarina.
Sungguhpun, saya aliran Inggeris sejak tingkatan 1, jarang menuturkannya. Namun kemudian baru saya faham,Tahun pertama,musim penyesuaian.Ada yang ambil masa sebulan dua bulan.Akhirnya saya boleh teruskan.
UB: Apa pengalaman menarik sewaktu menuntut di England?
DZHA: Tahun pertama sangat menarik. Saya aktif dengan persatuan pelajar Malaysia.Kami ada acara.Ada yang tubuh band, saya menyanyi.Namun masa saya ke UK tahun 80-an, masa pelajar Islam aktif berdakwah.Jadi mereka anggap kami pelajar senior perlu “dimurnikan”.
UB: Selepas  menamatkan pengajian di England,di mana Datuk Hajah bertugas?
DZHA:  Selepas menamatkan pengajian, saya berjaya mendapat  BA Hons English Language/Linguistics. Sungguhpun Kerajaan Negeri menjanjikan jawatan, ketika itu keadaan tidak mengizinkan. Saya bertugas di DBP (atas jasa baik Timbalan Pengarah, Haji Zainal Abidin Zulkifly, saya dapat cuti belajar).  Saya bernasib baik, saya mendapat jawatan Pegawai Perancang Bahasa pada Disember 1985.Berbaloilah keputusan sambung belajar.
UB: Mungkin ada pengalaman menarik sewaktu bertugas di DBP Sabah?
DZHA: Sejak bertugas di DBP Cawangan Sabah, pengalaman sangat pelbagai, ditambah lagi saya aktif dengan Persatuan Kumpulan Anak Seni. Ketua saya pula, Almarhum SN Dato Abdullah Hussein, Datuk Ismail Abbas atau Amil Jaya, Hajah Izzah Abdul Aziz sangat aktif dan memberi galakan..
Sungguhpun saya hanya penolong, saya berpeluang jadi Juri/Hakim pelbagai kegiatan kebahasaan dan kesusasteraan.Oleh sebab malu selalu ditanya apakah lulusan UM, saya bertekad sambung belajar  tetapi tidak di Semenanjung tetapi di England. Impian bapa juga tercapai-sungguhpun saya tidak jadi cikgu/guru di sekolah-saya jadi penceramah/pembimbing/munsyi Dewan.Saya juga jadi Pengerusi Badan Keluarga-saya berjaya mendaki Gunung Kinabalu pada 7 September 1986 ketika berumur 34 tahun,
Pengalaman ketika berkhidmat di DBP Sabah cukup pelbagai, ini memudahkan saya apabila disangkutkan di DBP KL sekitar tahun 1990-an,dan  hampir dua tahun kemudian ditukar ke KL kerana naik pangkat. Di Sabah, kami kena menguasai bidang bahasa, sastera, penerbitan, pengurusan dan pentadbiran, mengetuai bahagian di DBP KL menjadi mudah.

UB: Apa pandangan Datuk Hajah terhadap penulis Sabah?
DZHA: Ramai yang hebat, berjaya mendapat tempat di arus perdana.Mungkin perlu pendedahan di luar Sabah.
UB:Apakah cita-cita Datuk Hajah sewaktu kecil?
DZHA: Ada tiga profesion yang saya suka.Saya suka menjadi inspektor polis dan berjaya, saya juga minat menjadi doktor,melihat peguam, saya suka menjadi peguam, saya juga ingin menjadi pemimpin.Akhirnya, saya percaya, ciri-ciri yang perlu dimiliki oleh penguatkuasa, doktor, peguam dan pemimpin, perlu ada bagi seorang pengurus dan pentadbir yang baik.
UB: Oh ya, sebagai penyair yang sudah menulis sejak 1968, mungkin Datuk Hajah boleh ceritakan pengalaman ketika pertama kali karya tersiar?
DZHA: Gembira kerana berjaya mendapat tempat di akhbar ketika itu. Jika di Sabah Times, ada Almarhum K Bali, ada masa dia bertindak sebagai pengkritik. Di Daily Express, pula ada pak Surya Irawan, dia bijak memilih karya yang bermutu. Saya berpuas hati jika puisi saya dipilih dan tersiar.Sementara di Radio Sabah, karya kita didengar.Sementara karya-karya tersiar di Dewan Sastera, sudah pasti yang bermutu.Kita berjaya di arus perdana.Dulu-dulu puisi-puisi saya tersiar di Berita Minggu dan Mingguan Malaysia.Yang membahagiakan apabila karya kita diminta untuk disiarkan.
UB: Apakah genre yang paling diminati? Puisi atau cerpen?
DZHA: Saya bermula dengan esei-menang tempat pertama dan mendapat hadiah mesin taip ketika di Tingkatan 6.saya berjaya mengalahkan peserta peserta pelajar dari seluruh Sabah.Tersiar juga di Jurnal Sejarah (terima kasih kepada Cikgu Mohd Nor Long), kemudian puisi saya dinilai oleh Bahasa pada awal penubuhannya.Dapat penghargaan.Saya menulis cerpen dan puisi.Kini saya lebih fokus kepada puisi.Puisi saya pernah terpilih untuk buku khas PNB-dibayar RM2,000.
UB:Apakah Anugerah yang pernah dimenangi?
DZHA: Peringkat awal Hadiah Sastera Sabah-menang puisi dan esei, pernah juga menang Hadiah Sastera Perdana Malaysia dalam genre puisi. Anugerah yang diperolehi ialah Tokoh Penyair Islam Sabah, Tokoh Mahrajan Persuratan dan Kesenian Islam Nusantara 2015, Anugerah Budayawan Wanita Cemerlang, Hadiah Penulis Veteran.
UB: Selepas bersara, apa program Datuk Hajah? Ada cadangan buat memoir?
DZHA: Peringkat awal saya terpilih membimbing pengkarya Guru dalam bidang puisi, membimbing Bengkel Buku Bergambar Kanak-Kanak (puisi) dan penyunting/editor.

UB: Apa pesan orang tua yang masih diingati?
DZHA: Sentiasa memberikan sokongan.
UB: Terima kasih kerana sudi diwawancara untuk ruangan Sembang Sabtu yang disiarkan Utusan Borneo, setiap hari Sabtu.
DZHA: Terima kasih kembali. Moga ada manfaatnya.

1 comments so far