Rabu, 14 Oktober 2020

BUAT PERKARA YANG BAIK DAN SELALU HORMATI ORANG LAIN, KATA TAN SRI OTHMAN HASHIM

Tags

BUAT PERKARA YANG BAIK DAN SELALU HORMATI ORANG LAIN, KATA TAN SRI OTHMAN HASHIM



 

Buat sesuatu perkara yang baik dan selalu menghormati orang lain, itulah antara pesan dan nasihat ibu bapa yang sentiasa diingati oleh Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Tan Sri Othman Hashim dimana saja beliau berada. Emak saya juga berpesan, agar mesti selalu kerja sungguh-sungguhdalam apa saja bidang yang diceburi. Emak saya selalu mengajarkan disiplin dan kerja kuat, katanya ketika ditemui di Kota Kinabalu, baru-baru ini.

 Tan Sri Othman Hashim dilahirkan di Ipoh Perak pada tahun 1954. Beliau mendapat pendidikan di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) sebelum meneruskan pelajaran di Universiti Malaya hingga memperolehi Ijazah Sarjana Muda Ekonomi.

Beliau memulakan kerjaya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) pada tahun 1979. Beliau pernah berkhidmat di beberapa buah negara, termasuk Romania, Switzerland dan Republik Rakyat China. Beliau juga pernah menjadi  Duta Besar Malaysia ke Republik Czech dari tahun 2002 hingga 2005.  Kemudian beliau kembali bertugas di Putrajaya sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Khidmat Pengurusan dan seterusnya sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Dua Hala.

Selepas itu, beliau dilantik sebagai Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Geneva, Switzerland dari tahun 2009 hingga 2012, sebelum ditugaskan di Washington sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat pada tahun 2012. Kemudian Othman dilantik sebagai Ketua Setiausaha (KSU)  Kementerian Luar pada 1 September 2013  hingga 2016. Beliau bersara sebagai KSU selepas tiga dekad berkhidmat di Kementerian Luar.

 Beliau berpengalaman mengemudi kementerian dengan jayanya ketika Malaysia mempengerusikan ASEAN 2015 dan keahlian tidak tetap Malaysia bagi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2015 - 2016.

 Kemudian beliau dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) bagi tempoh tiga tahun (2019-2022) berkuatkuasa 27 April 2019.

Beliau mendirikan rumah tangga dengan  Puan Sri Rohaya Kamaruzaman dan dikurniakan dua cahayamata.



 Wartawan kanan Utusan Borneo, ABD. NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang untuk mewawancara beliau pada satu petang di salah sebuah hotel terkemuka di ibu negeri baru-baru ini. Ikuti petikan wawancara bersama tokoh berpengalaman itu:

 UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang Tan Sri?

TAN SRI OTHMAN HASHIM: Saya berasal dari Perak. Saya dilahirkan di Ipoh pada tahun 1954. Saya anak paling tua daripada enam orang adik beradik. Ayah saya Hashim Haji Suhur, lulusan Madrasah Al Junid Singapura, dan sempat jadi guru agama.Ibu daya, Sariah binti Jawi, seorang suri rumah.

 UB: Dimana Tan Sri mendapat pendidikan awal?

TAN SRI: Saya mendapat pendidikan awal di Ipoh kemudian melanjutkan persekolahan di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).

 UB: Dari MCKK, dimana Tan Sri melanjutkan pelajaran?

TAN SRI: Saya melanjutkan pelajaran di  Universiti Malaya dalam jurusan ekonomi.

 UB: Selepas lulus pengajian di UM, dimana Tan Sri mula bekerja?

TAN SRI: Saya memulakan karier sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) pada tahun 26 November 1979, iaitu selepas menamatkan pengajian dalam bidang ekonomi dengan kelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Malaya.

 UB: Sepanjang berkhidmat di Kementerian Luar, mungkin Tan Sri boleh ceritakan pengalaman bertugas di negara luar?

TAN SRI: Saya pernah berkhidmat di beberapa buah negara seperti Romania, Switzerland, Republik Rakyat China diawal kerjaya saya sebagai diplomat. Pengalaman memang banyak. Sebagai orang baru, kita harus sentiasa boleh menyesuaikan diri dengan kebiasaan dan adat setempat. Cara hidup kita dengan cara hidup mereka agak berbeza.  Ketika pertama kali ditugaskan di Romania, saya ingat lagi masa itu, negara itu masih kekurangan dari pelbagai aspek. Kekurangan makanan kerana tak ada bekalan. Bekalan makanan yang ada tidak mencukupi untuk menampung keperluan harian penduduknya.Situasi sosialnya juga berbeza kerana  negara itu masih mengamalkan sistem sosialis. Ketika itu juga permulaan bagi negara negara sosial mulai mengamalkan ekonomi terbuka.

 UB: Apa pula pengalaman ketika bertugas di negara China?

TAN SRI: Di China, masa itu China juga mulai beralih kepada ekonomi yang terbuka dan mulai menjalani peningkatan eknomi yang pesat. China mulai membangunkan ekonomi terutamanya  dalam bidang pelancongan, ekonomi dan sebagainya. Sebagai anggota perwakilan Malaysia di Beijing, kami menguruskan lebih banyak misi dagang  sama ada delegasi Malaysia ke China atau dari China ke Malaysia untuk meninjau peluang dan menjalin kerjasama dalam pelbagai bidang  antara kedua negara. Sebagai seorang diplomat, yang amat menarik ialah kita mengetahui perkembangan kemajuan dan hubungan kerjasama kedua negara yang dicapai.

Sekembalinya dari China, saya mengikuti kursus di Royal College of Defence Studies di London dalam pengajian Strategik .

 UB: Selepas China, dimana Tan Sri ditugaskan?

 TAN SRI: Kemudian saya ditugaskan memegang jawatan Duta buat pertama kali sebagai Duta Besar Malaysia ke Republik Czech dari tahun 2002 hingga 2005. Ketika itu juga Republik Czech sedang dalam masa transisi untuk menyertai EU. EU adalah kesatuan ekonomi negara-negara Eropah. Ketika itu, banyak perubahan dapat disaksikan di Republik Czech.Sebelum itu mereka adalah negara yang mengamalkan sistem komunis sosialis. Ketika bertugas di sana juga, berlaku satu peristiwa penting iaitu runtuhnya tembok Berlin.

 UB: Selepas bertugas di Republik Czech, dimana Tan Sri ditempatkan?

TAN SRI: Kemudian saya kembali bertugas di Putrajaya sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Khidmat Pengurusan dan seterusnya sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Dua Hala.



 UB: Kemudian? Selepas itu?

TAN SRI: Selepas itu, saya dilantik  sebagai Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Geneva, Switzerland dari tahun 2009 hingga 2012, sebelum ditugaskan di Washington sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat pada tahun 2012. Masa itu, Presiden Barack Obama bertanding untuk penggal kedua.

 UB: Bagaimana hubungan Malaysia dengan Amerika Syarikat ketika itu?

TAN SRI: Ketika itu kita menikmati hubungan yang sangat  baik antara Malaysia dan Amerika Syarikat.Kerjasama dengan Amerika Syarikat terjalin sudah lama dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, budaya,pendidikan, dan pertahanan.

 UB: Kalau dari segi makanan, soalan santai saja Tan Sri. Tak susahkah cari makanan ketika bertugas di Washington DC?

TAN SRI: Tidak begitu sukar untuk mencari makanan Asia, ramai orang Vietnam, yang dulu pernah tersadai di Pulau Bidong, yang membuat perniagaan makanan dan menyajikan makanan Asia. Ramai juga orangThai, Orang Filipina, Restoran India Pakistan di Amerika. Selain itu, banyak juga masjid di sana. Pada saya tak jadi masalah untuk mencari makanan di sana. Ada juga komuniti Arab yang menyajikan pelbagai jenis makanan

 UB: Selepas jadi Duta Besar Malaysia di Amerika Syarikat, di  mana Tan Sri ditempatkan?

TAN SRI: Saya  dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian pada 1 September 2013 hingga bersara pada 2016.

 UB: Tentu banyak pengalaman ketika bertugas di Kementerian Luar. Boleh ceritakan sedikit?

 TAN SRI: Sebagai seorang pegawai di Kementerian Luar, saya terlibat dalam menyediakan dan mengimplimentasi dasar dasar kerajaan. Saya bertugas dalam pelbagai jawatan dan kapasiti untuk menjaga kepentingan negara di seluruh dunia.

 Sebagai Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, saya juga dilantik sebagai Ahli Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC). Saya juga menjadi perwakilan Malaysia ke Universal Periodic Review (UPR) mengenai Hak Asasi Manusia di UNHRC pada 2009. Saya juga terlibat dalam menyediakan laporan UPR Malaysia mengenai Hak Asasi Manusia. UPR membolehkan kita melihat situasi mengenai Hak Asasi Manusia di semua negara anggota PBB. Saya mengetuai delegasi Malaysia dari tahun 2009-2012.

 UB: Mungkin ada pengalaman manis?

TAN SRI: Antara pengalaman manis di sana ialah mengemudi kementerian dengan jayanya sebagai Ketua Setiausaha (KSU) ketika Malaysia mempengerusikan ASEAN 2015 dan keahlian tidak tetap Malaysia bagi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2015 - 2016.

 UB: Bila Tan Sri dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM)?

TAN SRI: Selepas bersara sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Luar, saya tidak menyangka akan dilantik menerajui Suhakam. Saya dilantik menjadi Pengerusi Suhakam selepas Pengerusi Suhakam sebelum ini, Tan Sri Razali Ismail meletakkan jawatan pada 16 April 219 selepas menerajui Suhakam selama hampir tiga tahun. Pelantikan saya sebagai Pengerusi Suhakam diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong berkuatkuasa pada 27 April 2019 bagi tempoh tiga tahun iaitu pada 2019 hingga 2022.

 Pelantikan ini menurut subseksyen 5(2) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 [Akta 597] dan diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Selaras dengan subseksyen 6(1) Akta 597, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong juga memperkenankan saya dilantik sebagai Pengerusi SUHAKAM.

 UB: Sejak jadi Pengerusi Suhakam, sudah tentu agak sibuk dengan tugas. Biasanya jam berapa bertolak dari rumah?

TAN SRI: Saya bertolak dari rumah kira-kira jam 7.30 pagi dan tiba di pejabat kira-kira jam 9.00 pagi. Kemudian saya menjalankan tugas seperti biasa,mempengerusikan mesyuarat dan membincangkan pelbagai perkara mengenai hak asasi manusia dan sebagainya.

 UB: Menurut Tan Sri, bagaimana tahap kesedaran rakyat Malaysia terhadap isu-isu

hak asasi manusia?

TAN SRI: Kesedaran rakyat terhadap isu-isu hak asasi manusia semakin meningkat. Ini perkembangan yang positif. Ada perundangan berkaitan hak asasi yang diratifikasi dan beberapa lagi, mendapat respon yang positif. Kita juga berusaha untuk memasukkan elemen hak asasi manusia dalam pembelajaran di sekolah-sekolah.Kita harap peruntukan segera diberikan kepada sekolah-sekolah agar pelajar-pelajar sejak dari zaman kanak-kanak lagi sudah memahami isu isu berkaitan hak asasi manusia.

 Dalam kehidupan harian kita sebagai individu, sudah pasti banyak elemen hak asasi manusia. Hak Asasi Manusia mempunyai cakupan yang luas, hak asasi dari segi ekonomi, sosial, hak asasi dari segi budaya dan banyak lagi. Kita lihat peningkatan kos taraf hidup dan sebagainya. Kesedaran rakyat mengenai hak asasi manusia semakin meningkat. Namun, kita mesti perkasakan lagi bidang pendidikan, kita mesti terapkan elemen hak asasi manusia dalam pembelajaran  di sekolah-sekolah agar orang memahami apa yang dikatakan sebagai hak asasi manusia.

Selain itu, kita juga mengadakan banyak program latihan mengenai isu hak asasi manusia kepada pihak berkuasa seperti PDRM, Jabatan Penjara dan agensi penguatkuasaan yang lain. Dalam penguatkuasaan peraturan dan undang-undang, isu-isu melibatkkan hak asasi manusia jangan diketepikan dan perlu diberi keutamaan.

 UB: Pada pilihan raya negeri yang lepas, difahamkan Suhakam juga ada membuat pemantauan?

 TAN SRI: Suhakam memantau proses pilihan raya itu berdasarkan prinsip hak asasi manisia dan demokrasi agar ia dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada.

 Suhakam memantau pilihan raya bermula 21 hingga 26 September lepas. Sebelum ini Suhakam menjalankan pemaantauan pilihan raya di Malaysia termasuk Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018. Suhakam mengalu-alukan maklumat daripada pengundi berhubung segala bentuk pelanggaran peraturan pilihan raya dalam tempoh proses pilihan raya negeri.

 UB: Di mana Suhakam membuat pemantauan

TAN SRI: Pasukan Suhakam yang terdiri daripada kira-kira 30 orang termasuk Pesuruhjaya, kakitangan dan sukarelawan, menjalankan pemantauan di beberapa kawasan pilihan raya negeri di Sabah termasuk Matunggong,Bandau, Karambunai, Darau, Kepayan, Moyog, Membakut, Kuala Penyu, Sook, Nabawan, Gum-Gum, Sungai Manila, Kemabong,Melalap, Bugaya, Sulabayan, Senallang,Kukusan, Tanjung Batu, Pantai Dalit, Sulaman, Inanam dan Api-Api.

 UB: Apa cita-cita Tan Sri sewaktu masih kanak-kanak?

TAN SRI: Mulanya saya bercita-cita mahu menjadi seorang akauntan. Tetapi saya menerima tawaran untuk melanjutkan pengajian di Universiti Malaya dalam bidang ekonomi. Tawaran untuk belajar dalam bidang perakaunan di UK datang kemudian. Saya mengambil keputusan untuk belajar di Malaysia saja.

 UB: Siapa antara rakan se universiti dari Sabah?

TAN SRI: Antaranya Salleh Lamsin, kami sama-sama belajar dalam jurusan ekonomi. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran di UK  dalam bidang undang-undang dan kemudian menjadi seorang peguam. Seorang lagi, ialah mantan Timbalan Menteri, Datuk Datu Nasrun Datu Mansur. Masa itu beliau belajar di fakulti undang-undang. Sebenarnya ada lago, tapi saya dah tak ingat.

 UB: Satu lagi soalan sembang sebang ni.Bila pertama kali datang ke Sabah?

TAN SRI: Pertama kali saya ke Sabah ialah  ketika mengikuti kursus di Intitut Tadbiran Awam Negara (INTAN). Selain itu, setiap kali ada kursus untuk duta-duta yang dihantar bertugas di luar negara, mereka dibawa menyertai program lawatan  ke Sabah  dan Sarawak sebagai salah satu program kursus. Dalam program ini, mereka akan menghadiri taklimat dan mengadakan perbincangan daripada Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) mengenai pembangunan ekonomi, budaya, pelancongan, peluang pelaburan dan sebagainya.

 UB: Apa harapan Tan Sri jika terdapat aduan mengenai pelanggaran hak asasi?

TAN SRI: Kita harap isu hak asasi manusia dapat ditangani. Kita mesti mencari jalan penyelesaian, tapi ia tidak makan masa yang lama sangat.

UB: Apa hobi Tan Sri jika ada masa lapang?

TAN SRI: Setiap hujung minggu, saya mengambil kesempatan untuk beriadah di Taman Saujana Hijau yang terletak berdekatan Masjid Putrajaya.

 UB: Oh ya. Baru saya teringat tapi saya fikir, ini soalan penting juga untuk ditanyakan.Apa agaknya pesan orang tua yang masih diiingati sampai sekarang?

 TAN SRI: Buat sesuatu perkara yang baik dan selalu menghormati orang lain.Emak saya berpesan, agar mesti selalu kerja sungguh-sungguhdalam apa saja bidang yang diceburi. Emak saya selalu mengajarkan disiplin dan kerja kuat.