Thursday, October 15, 2020

HAJI ADIS ENJIH, PERNAH NAIK BUKIT TURUN BUKIT KETIKA MENJADI GURU

  

HAJI ADIS ENJIH, PERNAH NAIK BUKIT TURUN BUKIT KETIKA MENJADI GURU


Sentiasa berbuat baik dan jangan sesekali bercakap bohong, itulah pesan orang tua yang tidak pernah padam dalam ingatan Haji Adis Enjih, seorang pesara guru yang kini aktif dalam pelbagai kegiatan kemasyarakatan di daerahnya. Seorang pendidik yang sarat dengan pengalaman, pernah berjalan kaki `naik bukit turun bukit’ berjam-jam lamanya semata-mata untuk mendidik anak murid yang tinggal jauh di luar bandar. Selepas bersara, beliau terlibat aktif dalam kegiatan NGO, dan kini dipilih sebagai Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Kota Tuaran. Beliau juga pernah berlakon dalam drama pentas selain drama tv tetapi kebaikan dan kemesraan beliau menjadikannya seorang pemimpin yang sentiasa diingati dan dihormati.

 

Haji Adis Enjih dilahirkan di Kampung Kota, Tuaran pada 11 November 1952. Anak kedua daripada enam bersaudara kepada pasangan Haji Enjih bin Lugung dan Hajijah binti Anjam. Beliau mendapat pendidikan awal di GPS Tuaran dari tahun 1961 hingga 1967 kemudian melanjutkan pelajaran menengah  di GJSS Tuaran tetapi terpaksa berhenti  sehingga tingkatan dua sahaja kerana memulakan kerjaya kerjaya guru di GPS Lokos,  Tuaran pada tahun 1971 hingga 1972. Kemudian beliau berpindah ke GPS Tambalang dari tahun 1972 dan bertugas di sana selama kira-kira sembilan tahun.Selepas itu, beliau ditugaskan SRK Guakon, SRK Kok Hwa Telibong, SRK Termenung dan seterusnya SRK Pekan Tuaran sehinggalah bersara pada 2008 dalam usia 56 tahun. Beliau juga mengikut pernah mengikuti program Kursus Dalam Cuti (KDC) di Maktab Perguruan Kent Tuaran pada 1978 hingga 1980 dan Pendidikan Muzik  (KDC) di Maktab Perguruan Gaya pada 1980. Haji Adis mendirikan rumah tangga dengan Hajah Bibi Jahan Mohamad Said pada 25 Disember 1975 dan dikurniakan tujuh orang cahaya mata iaitu lima perempuan dua laki laki dan cucu seramai 20 orang.

 Wartawan kanan UTUSAN BORNEO, ABD. NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemuramah HAJI ADIS ENJIH di salah sebuah restoran di Taman PuteraJaya Telipok untuk berkongsi pengalaman beliau sepanjang menjadi seorang pendidik. Ikuti petikan temuramah bersama beliau:

 UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang tuan haji?

HAJI ADIS ENJIH: Saya dilahirkan di Kampung Kota, dalam daerah Tuaran pada 11 November 1952, jam 5.45 pagi seperti yang dicatat oleh ayah saya Haji Enjih bin Lugung, seorang peniaga ikan di pasar Tuaran. Ibu saya Hajijah binti Anjam seorang suri rumah. Saya anak kedua daripada enam adik beradik, tiga lelaki dan tiga perempuan.

 UB: Dimana tuan haji mendapat pendidikan awal?

HAE: Saya bersekolah rendah di Government Primary School (GPS) Tuaran dari darjah satu hingga darjah enam, tahun 1961 hingga 1967.

 UB: Berapa jarak sekolah dari rumah? Naik apa ke sekolah?

HAE: Tidak begitu jauh, kira-kira 5 km sahaja. Dari rumah ke sekolah, selalunya jalan kaki saja. Tapi kadang-kadang naik basikal, ikut kawan-kawan.

 UB: Berapa bekal ke sekolah?

HAE: Belanja sekolah kami masa itu kadang-kadang 50 sen, kadang-kadang 20 sen.Sebabnya ayah saya seorang peniaga ikan. Kehidupan agak baik sedikit. Belanja 20 sen masa itu sudah memadai.  Ais berharga 5 sen. Kopi 10 sen.Mee 5 sen. Kalau ada duit , 10 sen, kita rasa kenyang sudah. Harga sup kecil 25 sen. Kalau sup mangkuk besar harganya 50 sen.

Sekolah terletak tidak jauh dari pasar. Masa rehat,kira-kira jam 10.00 pagi, saya ke pasar cari ayah. Keadaan ini hanya berubah apabila ayah meninggalkan alam yang fana ini ketika saya berada dalam darjah 5.

 UB: Lepas itu, dimana tuan haji meneruskan pelajaran menengah?

 HAE: Lepas itu, saya melanjutkan pelajaran di Government Junior Secondary School (GJSS) Tuaran dari bridge class (kelas peralihan) hingga Form 2 (tingkatan dua) dari tahun 1968 hingga 1971. Saya terpaksa  berhenti sekolah setakat tingkatan dua saja.

 UB: Apa yang menyebabkan tuan haji berhenti sekolah?

HAE: Saya berhenti sekolah kerana membantu menyara keluarga. Ayah saya meninggal dunia ketika saya berada dalam darjah lima. Saya rasa bertanggungjawab untuk membantu mencari pendapatan untuk meringankan bebanan keluarga. Kebetulan saya ditawarkan bekerja sebagai guru pada 1 Jun 1971.

 UB: Oh begitu. Apa pengalaman ketika mula bertugas? Tak rasa janggal jadi guru dalam usia yang begitu muda?

HAE: Masa itu, pencapaian akademik Form 2 sudah dianggap baik. Cara penyampaian mengajar pun boleh dikatakan baik. Tidak jadi masalah.

 UB: Di mana tuan mula bertugas?

HAE: Sekolah pertama tempat saya bertugas ialah GPS Lokos yang terletak di ulu Tuaran.

 UB: Boleh ceritakan pengalaman ketika mula-mula bertugas sebagai guru?

HAE: Antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan ialah ketika mula bertugas di GPS Lokos ialah perjalanan ke sana yang bermula dari rumah kira-kira jam 6.00 pagi dan hanya sampai di sekolah kira-kira jam 9.45 malam.

 UB: Bagaimana ceritanya hingga jadi begitu lama?

HAE: Saya bertolak dari rumah ke Pekan Tamparuli  kira-kira jam 6.00 pagi. Di Pekan Tamparuli saya menumpang bas dan tiba di Simpang Batu 27 kira-kira jam 10.30 pagi. Dari sana, saya berjalan kaki ke GPS Lokos dengan melewat beberapa sekolah lain. Saya hanya berpandukan pelan yang diberikan oleh seorang guru di SRK Tumis. Saya sempat tersesat dan sampai di sekolah GPS Lokos kira-kira 9.45 malam.

 UB: Wah,Lamanya. Kira-kira 15 jam.

HAE: Selepas itu, ia memakan masa yang tidak begitu lama kerana sudah tahu arah jalan. Kalau berangkat dari rumah jam 6.00 pagi, jam 10.30 pagi tiba di Simpang Batu 27, saya boleh tiba di sekolah kira-kira jam 6.00 petang atau 7.00 malam.  Itu masa dulu  awal tahun 70-an. Sekarang mungkin sudah dekat kerana jalan raya yang lebih bagus dan tidak perlu lagi berjalan kaki begitu jauh.

 UB: Apa nama sekolah yang dilewati sebelum sampai ke GPS Lokos?

HAE: Antaranya GPS Giuk, GPS Sinulihan sebelum sampai di GPS Lokos. Ada juga jalan dari Batu 24 melalui GPS Tumis dan kemudian GPS Tiung Pengurusan.

 UB: Berapa kali pulang kampung dalam sebulan?

HAE: Saya pulang kampung tiap-tiap bulan untuk menghantar duit belanja. Kasihan orang tua. Saya masih ingat ketika pertama kali saya balik kampung dari sekolah. Kami bertolak dari GPS Lokos kira-kira jam 3.45  pagi dengan berjalan kaki dan tiba kira-kira jam 7.00 pagi di Simpang Batu 24 sebelum meneruskan perjalanan ke Pekan Tamparuli seterusnya ke kampung di Kampung Kota di Tuaran.

 UB: Kalau boleh tahu, berapa gaji guru pada masa itu?

HAE: Ketika itu, gaji yang saya terima setiap bulan ialah RM380.00.

 UB: Boleh ingat siapa nama murid-murid yang pernah diajar?

HAE: Antaranya Hajah Aminah Meringking, Puan Lembiu, Ganam, Hajah Nairi, Jurid. Saya juga pernah mengajar Datuk Wilfred Madius Tangau. Sebenarnya saya sudah tidak ingat kerana maklumlah ketika itu mereka masih kecil.Beliau yang beritahu saya.

 UB: Nama-nama guru yang mengajar di GPS Lokos masa itu?

HAE: Guru besarnya bernama Cikgu Tahai manakala guru-gurunya pula ialah Cikgu Kaimin, Cikgu Taimin, Cikgu Tahai dan dua guru perempuan, Puan Aning dan Puan Nuriah.

 UB: Apa yang mendorong tuan haji bertugas di tempat yang begitu jauh sekali?

HAE: Selain ingin mendidik anak-anak murid, saya sanggup menempuh perjalanan yang jauh, bagaimanapun pahitnya pengalaman itu semata-mata untuk menjalankan tugas sebagai guru. Tempat yang jauh, tidak menjadi halangan. Asalkan dapat membantu keluarga untuk menikmati hidup yang sederhana, saya rasa senang hati.

 UB: Berapa lama tuan haji bertugas di GPS Lokos?

HAE: Kira-kira satu tahun lebih iaitu dari tahun 1971 hingga 1972. Selepas itu, saya berpindah sekolah. Kebetulan saya bertemu seorang pegawai dari Jabatan Pelajaran  di GPS Sinulihan ketika merasmikan Hari Ibu Bapa di sekolah itu. Beliau tanya saya sudah berapa lama bertugas di GPS Lokos. Setelah mendengar kesukaran yang saya hadapi berulang alik itu, beliau memberitahu saya boleh pindah ke sekolah baru.

 UB: Dimana tuan haji dipindahkan?

HAE:  Saya berpindah ke sekolah baru iaitu GPS Tambalang pada tahun 1972. GPS Tambalang terletak tidak jauh dari rumah, hanya perlu berjalan kaki kira-kira 1 kilometer.

 UB: Berapa lama bertugas di SRK Tambalang?

HAE: Kira-kira sembilan tahun.

 UB: Masih ingat rakan rakan guru yang pernah bertugas di sana?

HAE: Antaranya Cikgu Arifin Dundung, guru besar, PK Cikgu Jumar Bangad, Cikgu Yahya Lasi, Cikgu Suhaili Bongkol. Cikgu Ramli Said, Cikgu Halimah Arifin, Cikgu Asiah Amih, , Ustazah Mariam Shaffie , guru agama pertama dari Alor Setar Kedah dan Ustazah Arfah Haji Abd Aziz berasal dari Tanjung Karang Selangor.

 UB: Selepas itu, dimana tuan haji dipindahkan?

HAE: Saya dipindahkan di SRK Guakon, kira-kira dua tahun. Antara cikgu yang saya ingat ialah Cikgu Tangau, dan Cikgu Emalina Ingkat. Kemudian saya dipindahkan di SRJK Kok Hwa Telibong sebagai guru bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris juga selama dua tahun. Kemudian saya dipindahkan lagi ke SRK Termenung dari tahun 1982 hingga 1983. Pada tahun 1986, saya dipindahkan ke SK Pekan Tuaran hinggalah bersara pada tahun 2008 dalam usia 56 tahun.

 UB: Dimana tuan haji mempelajari bidang muzik?

HAE: Saya mempelajari bidang muzik ketika menjalani Kursus Dalam Cuti (KDC) di Maktab Perguruan Gaya. Saya juga pernah mengikuti  kursus penciptaan lagu kanak-kanak sewaktu saya mengajar di SRK Termenung.

 UB: Apa beza murid sekolah dahulu dengan murid sekolah sekarang, menurut pandangan tuan haji?

HAE: Murid sekolah  dulu amat menghormati guru, walaupun guru-guru pada masa itu tidak begitu pandai atau tinggi persekolahannya, tetapi mereka tetap berusaha keras untuk memastikan muridnya menjadi anak yang pandai. Guru mengajar muridnya untuk menghadapi cabaran masa depan yang akan berlaku.

 UB: Selain tugas sebagai guru, apa kegiatan tuan haji yang lain?

HAE: Saya banyak terlibat dalam kegiatan seni.

Saya juga aktif dalam Kumpulan Pancaragam Sri Sabandar dari tahun 1973 hingga 1979. Pernah mengiringi lagu lagu asli dan beberapa kali disiarkan dalam ruangan Asli Raa jam 2.00 petang terbitan Saudara Mokti Haji Norbek. Dalam drama pentas saya terlibat dari tahun 1969 hingga 1980an. Antaranya dalam drama Keris Pusaka Menikam Diri arahan Ali Taugan Enjih, Darah mengalir di Mayang Emas arahan Ali Shakbar Amin, Permata Di Perut Bumi arahan Awang Abdul Hamid, Daun Daun Kering arahan Haji Gulabdin Enjih,Menara dan Protes  dan banyak lagi di bawah arahan  Haji Gulabdin Enjih, tapi saya tak ingat.

 Saya juga pernah berlakon drama TV iaitu Nayan dan Nunis arahan Norhan Mohamad. Antara pelakonnya Zulkifli Ismail,Rozie Rashid, Wan Norazlin, Hasnah Ibrahim dan Azad.

Saya juga terlibat dalam penyediaan lokasi antaranya drama Anak Kerbau dan Shoyiah arahan Norhan Mohamad. Filem Dokumentasi  TV1 Kuih Tradisional dan Fomoga arahan Datuk Kelana.

 UB: Selepas bersara, apa yang tuan haji buat bagi mengisi masa lapang?

HAE: Saya melibatkan diri dalam kegiatan kemasyarakatan. Saya juga adalah pengerusi masjid  Baitul Makmur Kampung Kota dan pengerusi KRT Kampung Kota Tuaran. Saya pernah aktif dalam Sanya Tuaran, dan Badan Bahasa Cawangan Tuaran, pengerusi guru muzik sekolah-sekolah Tuaran.Saya juga aktif sebagai mediator komuniti sejak 2010.

 UB: Apa nasihat tuan haji kepada generasi muda?

HAE: Nasihat saya agar mereka sentiasa bersedia, tambahkan ilmu di dada. Peluang sentasa ada  dimana-mana tetapimereka perlu bersedia. Kalaupun ada peluang, tapi jika tiada persediaan, ia akan berlalu begitu saja. Kerana itu, sebagai generasi muda kita haruslah sentiasa menyediakan diri untuk merebut peluang yang datang.

 UB: Apa pesan orang tua yang tidak dapat dilupakan hingga sekarang?

HAE: Arwah ayah saya pesan agar saya sentiasa berbuat baik dan jangan sesekali bercakap bohong. Itu saja pesan ayah yang saya ingat sebelum beliau meninggal.

 

No comments: